Wednesday, August 15, 2018

Harta Di Akhirat












Kita pasti akan pulang menemui Allah dengan meninggalkan berbagai perkara yang berada di sekeliling kita. Rasulullah saw menjelaskan bahawa keluarga, teman dan sahabat, harta benda dan sebagainya tidak akan mengiringi kita hingga ke alam barzakh. Namun ada beberapa perkara yang akan terus menerangi kehidupan kita walaupun hingga ke alam barzakh. Rasulullah saw bersabda :

إذا ماتَ الرجلُ انقطعَ عملُهُ إلاَّ من ثلاثٍ ولدٍ صالحٍ يدعو لَهُ ، أوصدقةٍ جاريةٍ أو علمٍ يُنتَفعُ بِهِ

Apabila mati seseorang itu terputuslah amalannya kecuali 3 ; anak yang soleh yang mendoakannya, atau sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaat dengannya.

Untuk memastikan sesuatu harta itu benar-benar menjadi harta kita adalah dengan menginfaqkannya di jalan Allah. Hanya melalui cara ini kita akan memberikan nilai tambah kepadanya kepada satu nilaian yang jauh berbeza dengan nilaian di dunia.

Kereta Kia Sephia keluaran Korea ini adalah merupakan kereta ketiga yang kami miliki setelah 2 buah kereta tempatan iaitu kereta pertama second hand Proton Aeroback, ABX 8816 dan kereta baru Iswara 1.5, ADR 74. Kereta yang dibeli second hand dengan harga RM 42k ini telah memberikan perkhidmatannya melebihi nilaian harga sebenarnya. Dengan sistem suspension yang begitu lembut membolehkan pemanduan jarak jauh dilakukan dengan selesa. Ianya menjadi "first car" keluarga selama beberapa tahun sebelum kami membeli kereta Naza Citra, AFT 7071 dan SangYong Stavic, AHY 7170.
Walaupun tidak mempunyai harga jika dijual pada masa ini, namun kereta ini masih berkeadaan baik enjinnya. Ia hanya mengalami kerosakan penyaman udara dan beberapa kerosakan kecil seperti alternator, bateri dan sebagainya. 
Walaupu begitu lama tidak digunakan setelah bermastautin di Taiping ini, namun menyerahkannya kepada pihak lain bukanlah suatu urusan yang mudah. Berbagai pihak menawarkan pembelian dengan harga yang langsung tak munasabah dan akhirnya aku kami bersetuju agar ianya diwaqafkan kepada SMK Bukit Jana Kamunting, bagi tujuan kegunaan pengajaran dan pembelajaran bagi panitia PVMA Automotif bermula 9 Ogos 2018. Semoga anak-anak kita akan dapat menggunakannya semaksima mungkin dan mendapatkan manfaat yang amat berguna kepada Umat Islam seluruhnya.

Alhamdulillah...Thummal Alhamdulillah....    

Friday, June 08, 2018

Khutbah Aidil Fitri 2018 - BIDUK BERLALU KIAMBANG BERTAUT

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، 

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، 

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ 

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ لله كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً. 

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا 

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. 
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اتَّقُواْ  اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. بسم الله الرحمن الرحيم
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (2) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)
Apabila datangnya pertolongan Allah dan saat kemenangan, kamu akan melihat manusia kembali kepada Agama Allah beramai-ramai, maka bertasbih lah dengan memuji tuhanMu dan mohonlah keampunan. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.


اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ
Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

          Saya berpesan kepada siding Jemaah sekelian, juga buat diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah selain daripada ketaqwaan seseorang hamba kepadaNya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ 
Sidang hadirin sekelian,

          Kedatangan Aidil Fitri untuk kesekian kalinya disambut dengan gembira. Gema takbir dan tahmid membesarkan serta menujin Allah oleh seluruh Umat Islam sedunia tidak kira yang berpangkat atau pun yang berharta, tidak kira yang berdarjat ataupun orang biasa, tidak kira bangsa atau Negara. Ucapan kalimah ini dilaungkan penuh semangat sebagai tanda kemenangan gemilang sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat selepas Berjaya menewaskan musuh dalam Peperangan Ahzab, Peperangan Badar, Pembukaan Kota Mekah dan beberapa siri peperangan yang lain. Mereka Berjaya memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukan hanya sekadar pegangan yang dipermudah. Laungan ini juga sebagai bukti tanda kesyukuran kita kepada Allah atas nikmat dan anugerah yang dikecapi. Umat terdahulu terpaksa mengorbankan masa, harta, malah nyawa mereka semata-mata untuk memastikan Islam tersebar ke serata alam. Sedangkan kita pada hari ini hanya mengamalkan nya tanpa bersusah payah.

االلهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ 
Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,
Negara masih lagi segar dengan suasana menyambut keputusan Pilihanraya Umum kali ke 14 yang memperlihatkan kepada kita pertukaran Kerajaan Persekutuan dan beberapa buah Kerajaan Negeri. Ada pihak yang merasakan mereka mencapai kemenangan dan ada pihak yang merasakan mereka ditimpa kekalahan. Kita kini menghadapi cabaran yang amat besar  sebagaimana titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak Darul Ridzuan ketika Majlis Mengangkat Sumpah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak yang lalu iaitu untuk menyatukan kembali warga dan rakyat jelata dalam semangat “Biduk Berlalu Kiambang Bertaut”. Kita tidak seharusnya merasakan bahawa yang menang, menang semua dan yang kalah, kalah semuanya.  Semua pihak perlu kembali kepada Allah dan memilih pendekatan agama Allah bagi menghadapi kemenangan mahupun kekalahan. Tidak ada gunanya kita meneruskan sengketa hingga akhirnya yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Marilah kita bersama menggembeling tenaga membangunkan Negara.


 اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ 
Muslimin yang dirahmati Allah,
          Allah telah memberikan panduan kepada pihak yang menang agar sentiasa bertasbih memuji tuhan agar tidak hanyut dibuai perasaan. Tanpa ingatan terhadap nikmat Allah yang memberikan kemenangan tersebut, kita mungkin akan merasa “ujub” dan menganggap kemenangan ini hanya dating semata-mata hasil kebijaksanaan dan jerih payah kita berusaha tanpa dikaitkan dengan keizinan dan keredhaan Allah. Ada kemenangan yang mendapat keizinan dan keredhaan Allah namun ada kemenangan yang hanya diizinkan oleh Allah tanpa mendapat keredhaanNya. Kemenangan sekali-kali tidak akan dicapai tanpa keizinan Allah walau sehebat manapun usaha dan kebiojaksanaan manusia. Kemenangan yang tidak dikaitkan dengan Allah akan menjadikan kita betitu mudah melemparkan kata-kata nista, cercaan dan hinaan kepada pihak yang kalah. Sering kali Umat Islam mampu mengingati Allah di saat menghadapi kesusahan, ketika ditimpa kekalahan dan ketika benar-benar mengharapkan pertolongan Allah, namun bukan sedikit yang tewas dan melupakan Allah di saat terlepas dari kesusahan, di kala kemenangan menjelang tiba dan diwaktu Allah memberikan pertolonganNya. Dalam surah Al-Ankabut  Allah SWT berfirman :

فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ (65)  

Tatkala mereka menaiki bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya dilaut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadanya.


Hadhirin yang dirahmati Allah,
          Selain daripada bertasbih, Allah memerintah kepada pihak yang menang agar beristighfar memohon ampun dari Allah atas kesalahan yang mungkin tidak mereka sedari. Kalaupun tidak kerana ujub yang terlintas di sanubari, mungkin terfikir di fikiran mengenai habuan duniawi yang bakal diperolehi. Atau mungkin juga keterlanjuran kita menghina dan memperlekehkan pihak yang tewas.Atau mungkin ada kesalahan yang tidak kita sedari yang sebenarnya melayakkan Allah membatalkan kemenangan tersebut tetapi Allah masih mengekalkannya. Jika inilah keadaannya, sesungguhnya Allah sebenarnya sengaja mahu menguji kita apakah kita bersyukur dengan kemenangan ini ataupun kita semakin kufur dengan nikmat-nikmat Allah. Firman Allah dalam surah Ibrahim :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ َلأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ (7)

Dan (ingatlah) ketika tuhan kamu memberitahu : demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan jika sekiranya kamu kufur engkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih.



 اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ  
Muslimin muslimat sekelian,
          Bag pihak yang menerima kekalahan, inilah masanya kita bermuhasabah, apakah selama ini kita bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah, atau ada sebab yang kukuh untuk kita menerima kemurkaan Allah. Tidak perlulah mengisytiharkan penyesalan dan kesilapan kita di hadapan manusia. Cukuplah kepada Allah kita menyerah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat samada dari pihak yang menang atau dari pihak yang tewas. Mungkin ada hikmahnya kekalahan ini, kerana memberi peluang kepada kita untuk mendangar kebenaran yang mungkin dating dari pihak lawan yang mana selama ini kita nafikan hak kita untuk mendengarnya.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
          Di antara kelebihan ibadat puasa adalah ianya akan diganjari oleh Allah tanpa had dan ketentuan sebagaimana ibadat-ibadat lain. Dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari menyebutkan :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi saw bersabda : Setiap amalan anak Adam adalah bagnya kecuali ibadat puasa. Sesungguhnya puasa adalah bagiku dan aku sendiri yang akan mengganjarinya. Dan perubahan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari bauan kasturi.

Allah dan RasulNya telahpun memberikan penawar kepada kedua-dua pihak yang menang dan yang kalah. Sebagaimana ibadat puasa yang akan diganjari oleh Allah sekehendakNya, maka ada beberapa perkara yang turut boleh kita lakukan bagi mendapatkan ganjaran pahala sedemikian rupa. Di antaranya adalah istiqamah dengan sifat sabar. Kita hendaklah bersabar ketika susah dan senang, bersabar ketika suka dan derita, bersabar ketika tewas dan Berjaya. Firman Allah swt dalam Surah Az-Zumar :

 قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ (الزمر:10)
Katakanlah : wahai hamba-hamba yang beriman, bertaqwalah kepada tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi kebaikan. Dan bumi Allah ini adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan pahala mereka tanpa batasan.


 اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ 
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
          Perkara kedua yang akan diberikan ganjaran yang tiada hadnya adalah memaafkan dan berbuat baik kepada saudaranya walaupun ketika berkempen berbagai perkara yang menimpa kita. Ada yang terlajak menghina, memaki dan mencerca, malah ada yang difitnah sebegitu rupa, namun kemaafan adalah merupakan dendam yang terindah. Balaslah segala keburukan saudara kita dengan berbuat baikterhadap mereka. Doakanlah mereka mendapat hidayah dan tidak lagi menjadi penyambung dan penyebar kepada fitnah dan Allah pasti memberikan balasannya terhadap dosa-dosa yang sudah.

      وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الظَّالِمِينَ (الشورى:40)
Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang seumpamanya. Maka barang siapa yang memeafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas kehendak Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.
  
          Seterusnya Rasulullah saw menerangkan dalam satu hadis bertaraf Hasan Lighairi (حَسَن لِغَيْرِه) riwayat Abu Daud yang berbunyi :
عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَهُمْ أَنَّ عَبْدًا مِنْ عِبَادِ اللَّهِ قَالَ يَا رَبِّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلاَلِ وَجْهِكَ وَلِعَظِيمِ سُلْطَانِكَ فَعَضَّلَتْ بِالْمَلَكَيْنِ فَلَمْ يَدْرِيَا كَيْفَ يَكْتُبَانِهَا فَصَعِدَا إِلَى السَّمَاءِ وَقَالاَ يَا رَبَّنَا إِنَّ عَبْدَكَ قَدْ قَالَ مَقَالَةً لاَ نَدْرِي كَيْفَ نَكْتُبُهَا قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا قَالَ عَبْدُهُ مَاذَا قَالَ عَبْدِي قَالاَ يَا رَبِّ إِنَّهُ قَالَ يَا رَبِّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلاَلِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ فَقَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمَا اكْتُبَاهَا كَمَا قَالَ عَبْدِي حَتَّى يَلْقَانِي فَأَجْزِيَهُ بِهَا – سنن ابي داود
Hadis Abdullah Ibnu Umar Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah saw menceritakan kepada mereka mengenai seorang hamba dari hamba Allah berdoa ; “يَا رَبِّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلاَلِ وَجْهِكَ وَلِعَظِيمِ سُلْطَانِكَ”. Maka kalimah doa itu menjadikan kedua malaikat merasa berat dan tidak mengetahui bagaimana untuk menuliskan pahalanya. Lalu mereka naik ke langit dan berkata; Wahai tuhan kami, sesungguhnya hambaMu telah melafazkan perkataan yang kami tidak tahu bagaimana untuk menulis ganjarannya. Firman Allah Azza wa Jalla sedangkan Dia Maha Mengetahui apa yang diucapkan oleh hambaNya. Apakah yang dikatakan oleh hambaKu itu. Maka kata mereka berdua; sesungguhnya dia mengungkapkan ; “يَا رَبِّ لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلاَلِ وَجْهِكَ وَلِعَظِيمِ سُلْطَانِكَ”. Maka firman Allah Azza wa Jalla ; tulislah mengikut apa yang dikatakan oleh hambaku itu. Biarkan sehingga dia menemuiku dan aku sendiri akan memberikan ganjaran kepadanya dengan ucapan tersebut.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ
Muslimin yang dirahmati Allah,
          Semoga keputusan pilihanraya umum yang lalu benar-benar membawa kebaikan kepada semua dan menjadi pemangkin kepada penyatuan Umat Islam seluruhnya. Yang terbaik bukanlah yang menang atau yang kalah, tetapi siapakh di antara kita yang mahu menyahut seruan Allah sebagaimana firmannya :

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي اْلأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاَةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ -    سورة الحج اية (41)
Mereka yang Kami berikan kedudukan yang tinggi di muka bumi ini nescaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat serta menyeru kepada kebaikan dan menegah dari kemunkaran. Dan bagi Allah akibat segala urusan.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Wednesday, February 28, 2018

Muzakarah Raja Nazrin Shah 2018


      Muzakarah Raja Nazrin Shah 2018 anjuran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak telahpun melabuhkan tirai. Resolusi telahpun dibentangkan di hadapan YAB Menteri Besar Perak yang sewajarnya akan memperhalusi setiap resolusi bagi melihat kesesuaiannya untuk dilaksanakan dan menjadi dasar dan keutamaan pihak kerajaan. Inilah objektif tertinggi perlaksanaan Muzakarah ini yang membawa tajuk ; Kepimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama' dan Umara'. Muzakarah membuka tirainya dengan pembentangan Prof. Dato' Dr. Ridzuan Othman, yang membicarakan mengenai Empayar Othmaniah dan pengaruhnya kepada dunia Melayu. Sejarah telah mencatatkan kisah bagaimana Laksamana Hang Tuah telah melakukan pengembaraan ke Istanbul bagi membeli meriam dan singgah mengerjakan Haji di Mekah. ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa adanya kaitan dan mungkin juga penyerahan wala' Kerajaan Melaka kepada Empayar Othmaniah. 

           Pembentangan seterusnya lebih menumpukan kepada konsep ketaatan kepada raja dan sultan serta bagaimana seharusnya sebagai rakyat kita mentaati segala perintah raja dan pemerintah. Hal ini telah ditegaskan dengan penuh keyakinan oleh Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeratus Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Bin Abdul Majid yang mengatakan; "Bersatu mentaati peminpin yang tidak baik lebih baik dari berpecah di bawah pemimpin yang baik" Juga disoroti sejarah peranan kesultanan Melayu dalam memperkasakan peranan ulama' dan bagaimana ulama' menjadi "mastermind" dalam membantu umara' membina ketamadunan umat. Ketandusan kepimpinan Umat Islam di peringkat dunia telah cuba disogokkan oleh mantan Pengerusi ABIM, Ahmad Azam Abdul Rahman, dengan kehebatan Recep Tayyib Erdogan, Presiden Turki yang dikatakan sebagai memiliki ciri-ciri untuk dinobatkan sebagai Pemimpin Dunia Islam pada masa ini.

         Berbeza dengan Muzakarah yang sama beberapa tahun yang lalu, Muzakarah kini tidak memberi banyak peluang untuk membincangkan setiap isu dan fakta secara lebih meluas. Dengan keterbatasan waktu bagi sesi dialog, malah ianya masih menjadi medan bagi "golongan politician" melontarkan soalan yang sebenarnya merupakan sindiran terhadap kepincangan kerajaan. Kini tiada lagi sesi perbincangan berkumpulan ataupun sidang pleno bagi merumuskan resolusi. Resolusi hanya diamanahkan kepada ilmuan Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bagi merangka dan akhirnya dibacakan oleh Rektornya, Dato' Dr. Nordin Kardi. Maka samada setuju atau tidak maka para peserta terpaksa menelan apa sahaja yang disuapkan tanpa sebarang perbahasan yang komprehensif.

           Terdapat 2 perkara utama yang ditekankan pada Muzakarah ini iaitu bagaimana seharusnya peranan yang perlu dilaksanakan oleh Pemerintah, Ulama dan Rakyat di bawah. Persoalan kedua adalah perlunya Kepimpinan Umat Islam ditonjolkan dan ditaati oleh kesemua negara Islam pada hari ini. Persoalan ketaatan kepada pemerintah adalah suatu yang mempunyai dasar yang telah ditegaskan dalam Al-Quran iaitu :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً (النساء:59)
           Ayat ini secara jelas menolak dasar ketaatan mutlak terhadap raja dan pemerintah. Dunia sudah secara umumnya menolak sistem perhambaan yang menjadikan ada manusia yang boleh bercakap dan melakukan apa sahaja dalam masa yang sama ada manusia yang perlu menerima apa sahaja seolah-olah mereka tidak mempunyai jiwa dan rasa. Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang amat menghormati institusi kesultanan daripada dahulu sehingga kini. Namun raja dan sultan yang dihormati dan ditaati ini tidak mungkin diwakili oleh Sultan Mahmud yang mangkat dijulang, Sultan Alam Shah Bana yang digambarkan oleh Tan Sri P. Ramlee sebagai raja yang memberi perintah dan hukuman sesedap mulutnya sahaja. Apatah lagi Raja anak buloh betung dan Raja Bersiong yang bermaharajalela dan menyiksa rakyat jelata. 
         Tamadun dan Sejarah Bangsa Melayu telah memberikan contoh terbaik bagaimana pelaksanaan ketaatan ini dapat dilaksanakan. Malangnya Orang Melayu hanya banyak menonjolkan Laksamana Hang Tuah sebagai wira dan tokoh besar dalam membina tamadun Melayu. Walaupun jasa dan bakti Hang Tuah terlalu banyak namun ianya dicemari dengan ketaatannya kepada raja sehingga menjadi dalang dalam memenuhi kehendak nafsu syahwat sultan dan raja ketika itu. Walaupun Hang Jebat dikagumi anak muda dengan semangat membela rakyatnya, namun dia terpalit dengan peristiwa amuk yang juga membunuh rakyat serta isu perselingkuhan yang begitu kabur dan paling tidaknya terlibat dengan perlanggaran peraturan pernikahan. Hero dan Wira sebenar Melayu dalam empayar Melaka adalah Bendahara Tun Perak yang menjadi tulang belakang kepada beberapa orang sultan. Beliaulah yang menaikkan nama Hang Tuah dan beliau jugalah yang mampu menjatuhkannya. Tidak sebagaimana Hang Tuah, Bendahara Tun Perak telah menunjukkan kaedah praktikal dalam mentaati dan mengengkari Sultan sebagaimana yang berlaku ketika berlakunya fitnah terhadap Hang Tuah. Tanpa kebijaksanaan Tun Perak ini entah bagaimanalah berakhirnya kisah pemberontakan Hang Jebat. Siapakah yang mampu menewaskan Hang Jebat melainkan Hang Tuah pada ketika itu. Maka kita melihat bahawa betapa bijaksananya Bendahara Tun Perak yang memiliki sudut pandang yang begitu jauh dan mengajar kita bahawa ketaatan kepada raja bukanlah ketaatan yang mutlak tetapi harus dihadapi dengan pertimbangan akal dan iman.     

         Semua orang bersetuju perlu ada seorang pemimpin yang akan mengetuai umat Islam di dunia hari ini. Sememangnya secara asasnya kita melihat negara-negara Umat Islam kini dipimpim oleh para pemimpin yang dayus dan bacul sehingga dunia seolah-olah tidak mengetahui sebarang pendirian negara Islam walaupun kita sudah ada Liga Arab, OIC dan seumpamanya. Dalam suasana ketandusan ini, lahirlah Erdogan yang memukau umat Islam di seluruh dunia dengan kelantangan dan keberaniannya membantu Umat Islam di seluruh dunia dan menyuarakan suara alternatif kepada dunia barat. Namun dalam keadaan negaranya yang masih belum pulih dari cengkaman Sekularisme yang melampau maka mampukah beliau untuk memainkan peranan yang amat besar ini. Dengan bebanan sejarah yang memperlihatkan bagaimana musuh Islam pernah bersatu meruntuhkan Khilafah Othmaniah di bumi tersebut, maka apakah mereka hanya akan berdiam diri menghadapi kelahiran bibit-bibit kekhalifahan baru di bumi tersebut. Maka apakah bijak jika kita mencanang-canangkan Turki sebagai Pemimpin Islam Sedunia melainkan kita hanya menambahkan beban beliau yang bukan sahaja menghadapi cabaran luar malah yang paling beratnya adalah cabaran dalaman dalam negaranya sendiri.

            Maka umat Islam seharusnya mencari kepimpinan yang bukan sahaja diterima oleh semua pihak dan tidak begitu menjadi target dan sasaran musuh. Dunia Arab sudah begitu lama menunjukkan perkembangan yang begitu menyedihkan. Mereka berhadapan dengan perang saudara dan persengketaan sesama sendiri di samping kesangsian antara negara beraja dan negara demokrasi. Maka tidak ada sebarang harapan yang boleh diletakkan kepada mereka yang bukan sehaja tidak mampu malah diperkotak katikkan oleh Israel yang di kelilingi oleh mereka. Buat masa ini kita melihat kepada dunia Melayu yang sebenarnya mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang hebat walaupun sebahagiannya sudah begitu lama terpisah dari kita. Bagaimanakah cara dan kaedah merealisasikannya maka lebih banyak muzakarah, seminar, perbincangan meja bulat dan seumpamanya ke arah itu. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...