Showing posts with label Mutiara Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Mutiara Ilmu. Show all posts

Sunday, June 24, 2012

Wajib Tak Semesti Di Dahulukan

Ketika aku memulakan pengajian Usul Fiqh di masjid-masjid, teman-teman melahirkan kehairanan memandangkan belum ada sesiapa secara khusus mengadakan pengajian tersebut. Mereka melahirkan kebimbangan apakah orang awam akan mampu memahaminya. Aku katakan bahwa aku juga adalah orang awam tatkala mula mempelajarinya. Lantaran minat yang mendalam aku meneruskan hasrat memecahkan benteng pemikiran yang sekian lama menganggap ilmu usul fiqh sebagai suatu yang susah difahami dan tidak diperlukan oleh orang awam.

Ilmu Usul Fiqh sememangnya merupakan ilmu Fardhu Kifayah yang diperlukan oleh para mujtahid untuk mengistinbat hukum. Bagi para isteri wqjib meminta izin suami bagi mempelajari ilmu ini. Namun bagi orang awam jika dapat mempelajari ilmu ini maka akan memudahkan mereka memahami hukum dan fatwa yang dikeluarkan oleh para mujtahid. Tanpa asas dalam ilmu ini, bukan sahaja orang awam sahaja yang terpinga-pinga dengan perbezaan pandangan fuqaha', malah sebahagian para ustaz yang hanya menumpukan kepada pengajian hadis semata-mata, turut tertipu dengan ilmu hadis mereka dengan menyangka ulama' Feqah tidak menggunakan hadis dalam mengistinbat hukum.

Keperluan kepada ilmu Usul Feqah ini amat mendesak dalam keadaan yang bercelaru pada hari ini. Suasana hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada pengetahuan Feqah tradisional kerana suasana telah dibentuk dalam keadaan yang tidak mengikut Syarak. Dulu masyarakat membincangkan mengenai hukum menangguhkan ibadat Haji untuk tujuan berkahwin. Itupun hukumnya bergantung kepada keadaan seseorang samada masih sanggup bertahan ataupun sudah sampai ke kemuncak yang mewajibkannya berkahwin dengan segera.

Hari ini masyarakat ingin penjelasan mengenai hukum menangguhkan ibadat Haji untuk mengundi dalam PRU13. Ketika inilah beberapa orang mufti menzohirkan kelemahan mereka dalam ilmu Usul Fiqh sehingga secara mudah mengharamkan penangguhan tersebut hanya dengan alasan menunaikan Haji adalah wajib berbanding mengundi yang bagi mereka tiada hukum khusus.  

Mengundi juga adalah wajib secara pasti kerana itulah cara untuk memastikan kita dapat melantik pemimpin yang akan melaksanakan tanggungjawab menjaga agama dan mentadbir dunia dengan dasar agama. Maka pandangan yang menolak kewajipan mengundi bolehlah dianggap tidak relevan untuk dibincangkan.

Pilihan antara Haji dan mengundi adalah pemilihan antara dua kewajipan yang berbeza. Persoalannya yang mana satukah yang mesti didahulukan. Bagi menilai kedua-dua perkara ini maka perlu dilihat dari sudut perbahasan Usul Fiqh mengenai pembahagian wajib. Hukum wajib boleh dibahagikan kepada beberapa kategori dilihat daripada beberapa aspek seperti berikut :

PERTAMA : Pembahagian dari sudut waktu melaksanakannya 

                                                            (الواجب بالنظر الى وقت أدائه (

KEDUA : Pembahagian dari sudut penentuan kadarnya atau tidak ditentukan kadarnya (الواجب بالنظر الى تقديره وعدم تقديره).

 
KETIGA : Pembahagian dari sudut perincian tuntutannya atau tidak diperincikan (الواجب بالنظر الى تعين المطلوب وعدم تعينه).

 
       KEEMPAT : Pembahagian dari sudut pihak yang dituntut melakukannya  (الواجب بالنظر الى الشخص المطالب به).


           Dari sudut waktu melaksanakannya, wajib boleh dibahagikan kepada dua pembahagian iaitu Wajib Mutlaq dan Wajib Muqayyad.


a. Wajib Mutlak (الواجب المطلق).

         Wajib Mutlak iaitu wajib yang tidak dibatasi dengan waktu tertentu dan boleh dilakukan sehingga akhir batasan waktunya mengikut kemampuan. Contohnya seperti Qada’ puasa Ramadhan yang boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa berdosa melewatkannya. Namun khilaf antara Imam Abu Hanifah yang tidak membataskan langsung sedangkan Imam Syafie membataskannya sekadar tahun seseorang itu meninggalkan puasanya sahaja.


b. Wajib Muqayyad (الواجب المقيد).


Wajib Muqayyad atau juga dikenali dengan Wajib Muaqqad (الواجب المؤقت) atau Wajib yang terikat dengan waktu tertentu (الواجب المقيد بتوقيت معين) iaitu wajib yang ditetapkan masa tertentu untuk menunaikannya. Contohnya apabila masuknya Bulan Ramadhan maka diwajibkan berpuasa pada masa itu sahaja.


Wajib Muqayyad terbahagi kepada 3 pembahagian iaitu Wajib Muawassa`(الواجب الموسع), Wajib Mudhayya`(الواجب المضيع) dan Wajib Muqayyad Kesamaran (الواجب المقيد ذوالشبهين).


Wajib Muawassa`(الواجب الموسع) adalah wajib yang ditetapkan waktu perlaksanaannya tetapi masanya luas melebihi kadar perlaksanaan perkara tersebut. Contohnya seperti ibadat sembahyang yang diberi kebebasan untuk melaksanakannya dalam masa yang telah difardhukan. Selama mana masih di dalam waktunya, maka sah dilakukan sembahyang walaupun masih tertakluk kepada waktu harus, waktu makruh dan waktu afdhal. Contoh lain bagi kategori ini adalah menuntut ilmu, jihad, menghubung silaturrahim dan membantu saudara yang sedang ditimpa kesusahan.


Wajib Mudhayya`( الواجب المضيع) adalah wajib yang diwajibkan pada masa yang telah ditetapkan dan masa yang diberikan terhad kepada tempoh masa untuk melaksanakannya sahaja. Kewajipan ini mesti ditunaikan dalam waktu yang yang telah ditetapkan sahaja dan tidak boleh dibuat terlebih awal ataupun lewat dari masa tersebut. Contohnya adalah puasa yang hanya dilakukan mulai waktu subuh hingga ke waktu Maghrib sahaja. Juga puasa di Bulan Ramadhan yang hanya boleh dilakukan dalam tempoh sepanjang Bulan Ramadhan sahaja.


Wajib Muqayyad Kesamaran (الواجب المقيد ذوالشبهين) adalah wajib yang diperuntukkan masa yang tertentu dan terbatas terbatas dari satu sudut tetapi dari sudut yang lain ianya mempunyai masa yang luas untuk melaksanakan ibadat lain. Contohnya ibadat Haji yang hanya dibolehkan sekali sahaja pada setiap tahun dan hanya boleh dilakukan dalam musim haji sahaja tetapi dibolehkan melakukan umrah berkali-kali dalam tempoh yang sama.


          Maka hukum menunaikan Fardhu Haji adalah Wajib Muqayyad Kesamaran yang mana dari satu sudut ianya mempunyai masa yang luas sekurang-kurangnya seumur hidup sekali. Tidak berdosa menangguhkannya asalkan sebelum matinya seseorang dapat melaksanakannya. Dari satu sudut ianya terhad kepada musim haji dan penerimaan quota dari Lembaga Tabung Haji. Manakala mengundi adalah Wajib Mudhayya’ yang hanya terhad kepada hari mengundi semata-mata.

          Bagi wajib yang luas waktunya ini, kadang-kadang perkara sunat adalah lebih diutamakan. Contohnya seperti ketika berlangsungnya pengajian selepas Maghrib di masjid-masjid, apabila masuk waktu Isyak, maka hak dan tanggungjawab Muazzin adalah untuk azan dengan segera. Ini bagi membolehkan penduduk kampong mengetahui masuknya waktu agar dapat bersolat diawal waktu. Walaupun menuntut ilmu adalah wajib namun ianya boleh ditangguhkan sementara dan disambung semula selepas azan selesai.

          Dalam persoalan menunaikan Fardhu Haji, bagi seseorang yang uzur yang pada adatnya berkemungkinan mati pada bila-bila masa, maka tidak boleh mereka menangguhkan Fardhu Haji pada tahun tersebut. Bagi yang lain maka mengundi adalah lebih utama kerana Fardhu Haji boleh dibuat pada tahun-tahun akan datang. Fardhu Haji tidak boleh ditangguhkan jika mengundi boleh dibuat setiap tahun. Oleh kerana ianya diadakan lima tahun sekali, maka tidak wajar kita menggadaikan kepentingan negara sedangkan kita boleh menunaikan Fardhu Haji pada tahun-tahun berikutnya.

          Tahap wajib mengundi bagi setiap seorang juga adalah berbeza. Bagi penyokong Pakatan Rakyat mereka wajib mengundi untuk mengelakkan Negara terus diperintah oleh pemimpin yang zalim. Bagi penyokong Barisan Nasional juga lebih wajib bagi mengelakkan Negara jatuh ke tangan DAP yang mengikut mereka akan menghancurkan masa depan Bangsa Melayu. Bagi yang menganggap sama sahaja siapapun yang memerintah maka mereka wajib menunaikan fardhu Haji kerana tiada perkara penting untuk mereka untuk menangguhkannya.  

         Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya bermudah-mudah memfatwakan sesuatu perkara sebelum melihat kepada semua faktor yang berkaitan termasuk suasana, adat setempat, perbezaan keadaan individu dan berbagai faktor lain yang membezakan antara seseorang dengan individu lain.

                Wallahu A'lam Bissowab.

Friday, September 11, 2009

Kami Bersamamu Palestin

CERAMAH PERDANA

“KAMI BERSAMAMU PALESTIN”

BERSAMA: SHAIKH DR MUHAMMAD AS-SIYYAM
(MANTAN IMAM MASJID AL- AQSA)


MASA:
9.45 MLM -12.00 TGH MLM (SELEPAS TARAWIH)

TARIKH:
15 SEPTEMBER 2009 (SELASA)

TEMPAT :
DEWAN BANDARAN IPOH
(BERSEBELAHAN MASJID NEGERI IPOH)


SEMUA DIJEMPUT HADIR
DEMI PERJUANGAN UMAT ISLAM DI PALESTIN

SEBARANG PERTANYAAN: USTAZ HAFEZ SABRI (013-3190807)


Pesanan:
Mohon diedarkan poster ke dalam blog2 email2 para sahabat , supaya dapat mobilasi rakyat Negeri Perak turun beramai-ramai mendengar dan menghayati secara terus keadaan umat Islam Palestin yang akan disampaikan oleh Mantan Imam Masjidil Al Aqsa Palestin


Justeru, dengan kehadiran wakil kerajaan dan jemaah Islam HAMAS ke Negeri Perak iaitu Syeikh Dr. Mohammed Mahmoud Siyam dilihat mampu untuk memberi peluang kepada seluruh umat Islam dan rakyat Perak untuk memberikan pertolongan dan sumbangan dana untuk membantu nasib sahabat seagama kita di Palestin.

Tuesday, May 05, 2009

Peranan Institusi Imam

Amatlah menyedihkan apabila membaca berita seorang imam di Bukit Damansara dipecat setelah menyampaikan khutbah Jumaat yang menyeru kepada "pemerintahan adil, telus dan cara yang betul" pada Februari lalu. Ini menggambarkan bahawa Umat Islam tidak lagi mengganggap imam sebagai pemimpin masyarakat dan imam dianggap sebagai petugas yang boleh dikerah sesuka hati. Apakah ini merupakan satu penghinaan kepada pewaris kenabian yang sepatutnya ditaati dan dimuliakan oleh masyarakat.
Imam hakikatnya adalah jawatan yang amat penting di dalam sesebuah masyarakat Islam. Imam adalah mewarisi peranan yang dimainkan oleh Rasullullah S.A.W. sepanjang hidup baginda. Imam memainkan peranan yang cukup penting bukan sahaja dalam sembahyang malah berperanan penting dalam pembentukan masyarakat yang bertaqwa dan berdaya maju. Di antara beberapa peranan penting Imam dalam masyarakat adalah seperti berikut :

Simbol Penyatuan Umat
Imam dianggap sebagai simbol penyatuan umat melalui ibadat solat berjemaah. Solat berjemaah adalah simbol bagi kesatuan umat dan simbol ketaatan umat kepada pemimpin. Melalui solat berjemaah setiap umat Islam mengenepikan segala bentuk perbezaan yang ada dan tunduk kepada seorang pemimpin iaitu Imam. Konsep ini jika diguna pakai dalam segenap aspek kehidupan masyarakat sudah tentu akan dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Melalui solat berjemaah juga mengajar umat Islam tentang adab terhadap kepimpinan seperti adab menegur kesilapan pemimpin, adab menerima teguran dan adab menukar kepimpinan. Maka adalah amat pelik bagi AJK masjid yang sentiasa taat menjadi makmum kepada imam, setelah habis sembahyangnya terus memecat imam daripada jawatannya.

Penyelamat Umat
Secara umumnya imam bolehlah dianggap sebagai penyelamat umat daripada menanggung dosa kerana meninggalkan Fardhu Kifayah. Hukum solat berjemaah bagi sesebuah kariah adalah fardhu kifayah. Ini bermakna jika sekiranya tidak ada dilaksanakan solat berjemaah maka keseluruhan ahli kariah akan menanggung dosa. Pada masa ini banyak terdapat masjid yang gagal menghimpun ahli kariah untuk menunaikan solat secara berjemaah terutamanya bagi waktu Zohor, Asar dan Subuh. Sesetengah masjid hanya terdapat Imam dan Bilal sahaja yang datang berjemaah di masjid. Agak sukar untuk kita menyalahkan sesiapa memandangkan senario masa kini dimana tuntutan hidup yang semakin mencabar telah menyebabkan masyarakat semakin asyik dengan urusan seharian tanpa mempedulikan tuntutan Fardhu Kifayah ini. Ketika inilah Imam memainkan peranan yang cukup besar bagi menyelamatkan masyarakat daripada menanggung dosa.

Pemimpin Masyarakat Setempat
Imam tidak hanya sebagai pemimpin dalam solat berjemaah semata-mata, malah kepimpinan ini hendaklah merata dalam keseluruhan urusan hidup seharian. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peranan imam-imam dalam urusan kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Dalam hal ini imam-imam hendaklah menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Personaliti setiap Imam juga haruslah sentiasa dijaga agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Imam-imam hendaklah sentiasa kelihatan hebat pada setiap waktu dan ketika. Firman Allah S.W.T:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَةِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ( الأنبياء : 73)

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ ) السجدة :24)
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يُنصَرُونَ ( 41 ) وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُمْ مِنْ الْمَقْبُوحِينَ (42) (القصاص : 41-42
Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

Sumber Rujukan Masyarakat
Imam-Imam juga mestilah menyediakan diri dengan ilmu yang mencukupi. Mereka bukan sahaja perlu mahir dalam ilmu-ilmu Fardhu Ain sahaja malah mestilah menguasai kemahiran lain seperti ilmu Psikologi, Kaunseling dan sebagainya. Biasanya imam menjadi pusat pengajian Al-Quran bagi anak-anak di kampung.
Imam-Imam juga boleh mengambil peluang menjadi Guru Ta’mir yang mengajar di masjid-masjid dan memberikan perkhidmatan khidmat nasihat agama di masjid. Selain daripada itu para imam juga boleh membuka kelas pengajian berkaitan agama dan kebudayaan Melayu seperti marhaban, berzanji, rebana, qasidah dan sebagainya. Jika usaha ini tidak dimulakan maka tidak mustahil jika suatu hari nanti ilmu-ilmu ini akan pupus ditelan zaman. Selain daripada itu para Imam juga perlu mahir dalam ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti ilmu pentadbiran, teknologi, teknologi maklumat dan sebagainya. Mereka harus boleh memberikan sedikit pandangan mengikut perspektif Islam berkenaan perkembangan semasa supaya masyarakat tidak terus keliru dengan isu-isu semasa yang sentiasa berkembang.

Penggerak Kegiatan Masyarakat
Imam-Imam mestilah dapat menjadi penggerak dan pemangkin bagi segala kegiatan masyarakat setempat. Baik atau buruk sesuatu masyarakat banyak bergantung kepada sejauh mana para imam berperanan. Mereka mempunyai peluang sekurang-kurangnya setengah jam seminggu untuk berucap dimana kesemua ahli kariah wajib mendengarnya. Dalam hal ini Malik bin Nabi pernah menyebut, `keajaiban berlaku dalam dunia Islam dimana khatib dan makmum berpakat dalam suatu perkara. Khatib tahu khutbahnya tidak begitu bermanfaat untuk makmum dan makmum tahu khutbah itu tidak begitu bermanfaat baginya. Tapi Khatib bersetuju untuk terus berkhutbah dan makmum bersetuju untuk terus mendengar’. Inilah sindiran yang amat tajam yang mana jika kita mengambil iktibar akan dapat merubah keadaan masyarakat kita hari ini. Khatib mestilah membuat persedian rapi sebelum meniki mimbar pada hari Jumaat. Isi khutbah hendaklah dipastikan sentiasa sesuai dengan keadaan semasa dan menyentuh segenap lapisan masyarakat secara umum dan tidak ditujukan khusus kepada pihak tertentu sahaja. Ini akan menyakinkan jemaah tentang keikhlasan dan kejujuran Khatib dalam menyampaikan dakwah mereka melalui mimbar yang mulia itu.
Maka sebagai sebuah masyarakat yang mengaku beriman sewajarnya kita lebih beradab dengan para imam yang bukan sahaja memimpin kita di dunia malah memimpin kita menuju ke akhirat. Sedikit kekurangan dan kesilapan imam bukanlah menjadi lesen untuk kita bertindak biadab terhadap pewaris tugas kenabian ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...