Saturday, September 10, 2011

Penyampaian dan Penyediaan Khutbah


PENYAMPAIAN KHUTBAH

MUQADDIMAH

          Penyediaan dan penyampaian khutbah tidaklah semudah yang difikirkan. Ia bukan sekadar menyampaikan mesej kepada makmum tetapi juga memerlukan mesej tersebut disampaikan dengan cara yang teratur, menarik dan berkesan. Penyampaian yang berkesan ialah penyampaian yang memberi keyakinan kepada pendengar, dapat mempengaruhi pendengar dan menyebabkan pendengar boleh menerima malah sanggup menurut saranan dan gesaan yang diutarakan. Walaubagaimanapun terdapat berbagai kelemahan yang menjejaskan penyampaian mesej tersebut dalam kebanyakan khutbah pada hari ini. Antara kelemahan yang ketara adalah :

1. Bahasa yang tidak dapat difahami.

• Terlalu banyak membuat kesalahan sebutan.

• Menggunakan perkataan yang tidak tepat dan tidak sesuai.

• Menggunakan istilah yang salah dan mengelirukan.

• Menggunakan bahasa yang terlalu tinggi dan berbelit-belit. Contoh –

Di zaman era globalisasi dunia tanpa sempadan ini kita mesti beriltizam dan istiqamah dalam usaha memperkasakan diri kita agar tidak tercicir dalam arus gelombang modenisasi.

Di zaman moden ni kita mesti tekun berusaha memperbaiki keadaan diri masing-masing supaya tidak ketinggalan.

• Menggunakan ungkapan yang tidak betul.

                   Intensif / Insentif

• Menyampaikan mesej dalam bentuk ayat-ayat yang janggal dan salah yang boleh mengelirukan pendengar

• Menggunakan bahasa yang longgar, tidak tepat dan tidak sesuai.

• Menggunakan intonasi yang tidak betul.

• Menggunakan intonasi yang mendatar dan tiada tinggi rendah.

• Teragak-agak dan gagap.


2. Suara yang tidak jelas.

           Apabila suatu khutbah di sampaikan dengan suara yang perlahan atau tidak jelas, maka makmum tidak dapat mendengar dengan jelas dan ini boleh menjejaskan minat makmum, lalu membuat tafsiran yang salah terhadap isi khutbah.


3. Gerak-geri yang tidak sesuai.

        Gerak badan, tangan dan muka yang tidak sesuai dengan isi dan maksud khutbah mengurangkan kesan baik terhadap makmum yang mendengar.


4. Penampilan yang tidak menarik.

         Penampilan yang kurang menarik menyebabkan pendengar hilang minat dan keyakinan terhadap isi khutbah yang disampaikan.

5. Kesihatan yang tidak baik.

           Keadaan kesihatan khatib dan makmum yang terganggu boleh menyebabkan tumpuan tidak dapat diberikan sepenuhnya.

6. Persekitaran yang tidak menarik.

            Persekitaran yang tidak menarik juga seperti cuaca yang panas dan hingar bingar juga boleh mengganggu keberkesanan khutbah yang disampaikan.


7. Perbezaan Taraf.

          Perbezaan taraf hidup, taraf pendidikan dan taraf ekonomi boleh menyebabkan beberapa hal tidak dapat difahami oleh sebahagian makmum. Oleh yang demikian khutbah seboleh mungkin hendaklah menggunakan bahasa yang sederhana agar dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat.

8. Masalah Peribadi.

             Masalah peribadi seperti sifat panas baran, sensitif, perbezaan fahaman politik dan sebagainya menyebabkan sebahagian isi yang disampaikan tidak dapat diterima walaupun perkara tersebut benar dan bernas. Oleh yang demikian khatib seboleh mungkin perlu meletakkan diri dalam keadaan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak secara nyata.

9. Kekurangan isi.

            Khutbah yang kekurangan isi akan menyebabkan penyampaian menjadi tidak teratur dan menyebabkan terjadinya khutbah yang `merewang-rewang’. Ini akan menyebabkan pendengar terasa seperti diperbodoh-bodohkan dan menghilangkan rasa hormat dan kepercayaan mereka kepada khatib.

10. Isi yang tidak tersusun.

              Walaupun setengah khutbah mempunyai isi yang baik tetapi disebabkan penyusunan isi yang tidak kemas menyebabkan kesukaran bagi pendengar untuk memahaminya.


PENYEDIAAN KHUTBAH YANG BERMUTU.



Terdapat 5 bahagian utama dalam menghasilkan sesuatu khutbah yang baik :

a. Penyediaan bahan atau isi khutbah.

• Mengenalpasti tajuk khutbah.

• Mengenalpasti Objektif khutbah.

• Mengetahui siapa pendengarnya (audience)

• Mengumpul bahan – Penyelidikan, perbincangan, petikan, pendapat orang lain, pendapat sendiri, buku, majalah, akhbar dll.


b. Menyusun isi

           Segala isi yang dikumpulkan perlu dianalisis dan disesuaikan dengan pendengar dan objektif khutbah. Isi khutbah perlu diteliti dan disusun dengan rapi bagi menyesuaikannya dengan satu-satu isu disamping menyesuaikannya dengan kebolehan khatib serta pendengar dari berbagai peringkat.


c. Gaya Penyampaian

            Gaya persembahan ketika menyampaikan khutbah boleh menambahkan keyakinan pendengar terhadap isi khutbah yang disampaikan. Walaubagaimanapun gaya yang keterlaluan boleh menyebabkan pendengar merasa kurang senang dan menjejaskan tumpuan.

d. Ingatan

          Ingatan yang baik sangat penting dalam menyampaikan khutbah. Menyampaikan khutbah dengan membaca teks tidak begitu baik. Komunikasi yang baik memerlukan pertembungan mata yang akan melahirkan ungkapan yang datang dari hati. Dengan terlalu membaca teks maka pertembungan mata dengan pendengar tidak dapat dilakukan.


e. Teknik Penyampaian

   Teknik penyampaian berhubung rapat dengan :

• Suara – Tinggi rendah suara, suara mengajuk, suara sedih, suara tegas, suara takut dan sebagainya.

• Laju atau perlahan

• Gerak-geri badan


PENUTUP

           Secara umumnya khutbah yang baik hanya akan berhasil melalui gabungan di antara penyediaan yang baik, penyampaian yang baik dan pendengar yang baik. Oleh yang demikian kerjasama semua pihak amat perlu bagi memastikan setiap khutbah dapat dihayati dengan sebaiknya tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur lain yang tidak berkaitan dengan kehendak Syarak.

Hukum Solat Jumaat

HUKUM

1. Wajib dengan Fardhu Ain bagi Lelaki, Merdeka, Berakal, Baligh, bagi yang bermukim di tempat kedengaran Azan dan bagi yang tiada uzur Syar’ie yang boleh meninggalkan solat jemaah.

2. Tidak wajib bagi Perempuan, Hamba, Orang Gila, Kanak-Kanak, Musafir dan Orang yang uzur.

3. Wajib atas orang yang sakit dan sebagainya jika mereka berada di masjid ketika didirikan solat atau hadir ketika masuk waktu dan tiada masyaqqah untuk menanti. Jika ada masyaqqah untuk menanti atau mereka hadir sebelum masuk waktu maka harus balik walaupun tiada masyaqqah menanti.

4. Harus balik bagi yang tidak wajib Jumaat jika hadir ke tempat Jumaat.

5. Wajib bagi orang tua atau yang lumpuh jika ada kenderaan dan mampu menunggangnya.

6. Wajib atas orang buta jika ada orang memimpinnya.


SYARAT AHLI QARYAH ATAU AHLI JUMAAT

1. Sekurang-kurangnya 40 orang

2. Lelaki

3. Merdeka

4. Berakal

5. Baligh

6. Mastautin – Wajib mendirikan Jumaat di tempat mereka dan haram pergi  Solat Jumaat di tempat lain walaupun didengari azan di tempat lain itu.

7. Jika kurang dari 40 orang di qaryah tersebut dan didengari suara Azan dari qaryah berhampiran maka wajib Jumaat di qaryah berhampiran itu.

8. Haram orang yang wajib Jumaat, bermusafir selepas fajar walaupun dengan niat baik kecuali dipastikan dapat Jumaat di mana-mana. Boleh jika takut mudharat seperti ketinggalan kawan atau untuk mendapatkan wukuf di Arafah atau menanti hartanya.

9. Makruh bermusafir pada malam Jumaat.

10. Sunat berjemaah Zohor bagi orang yang tidak wajib Jumaat kerana uzur. Jika uzur yang tersembunyi maka sunat disembunyikan jemaahnya. Jika uzur nyata seperti perempuan maka sunat menzahirkan jemaahnya.

11. Sunat orang yang berharap akan hilang keuzurannya untuk melambatkan Zohor seperti orang sakit yang diharapkan sembuh.

12. Sunat menyegerakan Zohor bagi yang tiada harapan hilang uzurnya seperti orang perempuan dan orang lumpuh.

13. Orang yang tidak wajib Jumaat dan sah Zohornya maka boleh Solat Jumaat dan boleh memilih antara Jumaat dan Zohor. Walaubagaimanapun Jumaat lebih afdhal. Jika dibuat Jumaat maka wajib disempurnakan Jumaatnya dan tidak boleh menyempurnakan Zohor selepas salam imam.

14. Siapa yang wajib Jumaat maka tiada sah Zohornya sebelum salam imam Jumaat. Jika selepas ruku’ imam dalam rakaat kedua tetap tidak sah kerana qaul yang muktamad Jumaat itu asal bukan ganti Zohor. Walaubagaimanapun wajib disegerakan Zohornya.

15. Jika ahli qaryah meninggalkan Jumaat maka tidak sah Zohor mereka kecuali suntuk waktu bagi sekurang-kurangnya 2 khutbah dan 2 rakaat Jumaat.


SYARAT SAH JUMAAT

1. Masuk Waktu Zohor

i. 2 rakaat Jumaat dengan 2 khutbah dalam waktu Zohor.

ii. Jika keluar dari waktu Zohor walaupun sekadar salam imam maka luput Jumaat dan wajib disempurnakan 4 rakaat Zohor.

iii. Tak sah qada’ Jumaat.

iv. Jika suntuk waktu untuk 2 rakaat dan 2 khutbah maka wajib solat Zohor.

v. Jika keluar waktu ketika dalam Solat Jumaat maka wajib sempurnakan Jumaatnya dengan Zohor dan tak perlu membaharui niat dengan Zohor.

vi. Jika masbuq berdiri selepas salam untuk menggenapkan rakaat maka habis waktu sebelum salam maka wajib sempurnakan dengan Zohor.

vii. Jika imam Jumaat melanjutkan rakaat pertama hingga diyakinkan tiada tinggal waktu bagi rakaat kedua maka berdosalah dia. Maka jadilah solatnya itu Zohor ketika itu walaupun belum keluar waktunya sekalipun.



2. Didirikan di tempat samada masjid dan sebagainya atau tanah lapang yang bercerai daripada rumah.

i. Tak sah di luar negeri atau qaryah.

ii. Tak wajib bagi yang mendiami umpama khemah walaupun tak berpindah randah melainkan jika kedengaran suara azan di kariah berhampiran.


3. Tak didahului oleh Jumaat yang lain dalam qaryah itu kecuali sukar berhimpun di satu tempat. Maka harus berbilang jumaat sekadar hajat sahaja.

i. Jika berbilang Jumaat maka yang terdahululah yang sah.

ii. Jika bersamaan keduanya maka tak sah kedua-duanya.

iii. Dikira bersamaan atau tidak dengan huruf (ر) dalam takbiratul ihram.

iv. Jika samar yang mana dahulu maka wajib Zohor kedua-duanya.

v. Sunat orang yang dalam qaryah yang berbilang Jumaat kerana hajat itu, bersembahyang Zohor bagi tujuan keluar dari khilaf ulama’ yang menegah berbilang Jumaat itu walaupun sekadar hajat.

vi. Jika berbilang Jumaat lebih daripada hajat seperti berhajat kepad 5 tetapi didirikan 10 Jumaat maka hanya sah 5 tempat yang terdahulu samada beserta atau tidak dan tak wajib Zohor bagi 5 yang terdahulu hanya sunat sahaja bagi menghormati khilaf seperti di atas.

vii. Tidak sah bagi 5 tempat yang terkemudian dan wajib Zohor.

viii. Wajib Zohor bagi yang syak apakah mereka dalam golongan 5 terdahulu atau terkemudian.


4. Dikerjakan Secara Berjemaah.

i. Hanya wajib berjemaah pada rakaat pertama sahaja dan tiada disyaratkan berjemaah dalam rakaat kedua.

ii. Harus masing-masing dalam rakaat kedua tapi tetap disyaratkan 40 orang dari mula hingga salam semua sekali.

iii. Jika berhadas seorang daripada 40 orang sebelum salam walaupun selepas salam orang lain sekalipun maka terbatal semua sekali.

iv. Syarat 40 orang termasuk imam daripada lelaki, berakal, baligh dan merdeka.

v. Disyaratkan 40 orang itu sunyi daripada qadha’.

vi. Disyaratkan tiada yang buta huruf.

vii. Jika dalam qaryah 40 buta huruf semuanya maka wajib Jumaat kerana sah ikut mengikut antara mereka.

viii. Tiada sah jika setengah Ummi dan setengah Alim.

ix. Disyaratkan juga mastautin iaitu orang yang tetap pada tempat kediamannya tiada pergi kecuali hajat seperti berniaga.

x. Tak sah Jumaat oleh musafir semuanya atau mukim di satu tempat dengan bercita-cita untuk kembali ke tempat kediaman asalnya kemudian hari walaupun berlalu bertahun lamanya.

xi. Tidak sah Jumaat mastautin pada tempat yang lain daripada tempat Jumaat dan wajib ia hadir ke tempat Jumaat sekalipun.

xii. Jika bercampur 2 qaryah yang kurang 40 hingga mencukupi maka tak sah walaupun kedengaran azan kedua-dua tempat itu kerana semuanya tidak mastautin.

xiii. Bagi yang mempunyai 2 rumah maka Jumaatnya adalah di tempat yang paling banyak didiami. Jika sama banyak maka dikira tempat tinggal isterinya dan hartanya.

xiv. Jika ada kedua-duanya maka yang terbanyak isteri atau hartanya.

xv. Jika sama banyak maka Jumaatnya pada kedua-duanya sekali.

xvi. Jika di satu tempat ada isteri dan di satu tempat ada harta maka dikira tempat isterinya.

xvii. Siapa yang bermastautin di dalam kota maka tak boleh Jumaat di luar kota dan begitulah sebaliknya.

xviii. Siapa yang wajib Jumaat lalu luput Jumaat di negerinya tetapi boleh dapat Jumaat di luar negerinya kerana boleh berbilang Jumaat atau diadakan Jumaat di negeri yang kedengaran azan maka wajib berjumaat di negerinya atau yang lain dan tidak boleh Zohor selama boleh dapat Jumaat.

xix. Bilangan 40 mesti kekal dari mula solat hingga habis.

xx. Jika kurang dari 40 dalam solat kerana keluar setengah daripada masjid atau mufaraqah dalam rakaat pertama atau keduanya maka batallah solat semuanya. Maka mestilah yang tinggal itu menyempurnakan solat mereka dengan Zohor kecuali jika takbiratulihram dengan segera mereka yang menggenapi bilangan yang mendengar 2 khutbah atau takbiratulihram segala mereka yang menggenapi bilangan itu walaupun mereka tak mendengar khutbah.

xxi. Jika takbiratulihram 39 laki-laki yang masbuq selepas imam bangkit dari ruku’ rakaat pertama kemudian keluar 40 yang takbiratulihram bersama imam atau terkurang bilangan mereka dari 40 maka Jumaat itu sah walaupun 39 itu tak dapat rakaat pertama.

xxii. Tidak mengapa terlambat takbiratulihram makmum daripada takbiratulihram imam dengan syarat dapat membaca Al-Fatihah sebelum ruku’ imam. Jika tidak maka tak sah kerana bilangan 40 disyaratkan pada permulaan solat hingga akhirnya.

xxiii. Wajib 40 orang itu mendengar khutbah.

xxiv. Jika jadi kurang kerana keluar dan sebagainya maka tak dikira rukun yang dibaca ketika ketiadaan yang keluar itu. Jika kembali dengan segera sebelum lanjut tempohnya haruslah disambung khutbah yang telah dibacanya dan kembali dibaca rukun khutbah yang telah dibacanya.

xxv. Jika kembali mereka selepas lanjut masa bercerai atau datang yang menggenapi bilangan yang selain mereka tadi, wajib atas khatib memulai semula khutbahnya.

xxvi. Jika jadi kurang daripada 40 antara khutbah dan sembahyang dan kembali mereka sebelum lanjut masa perceraian maka harus didirikan solat atas khutbah yang telah lalu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...