Friday, February 05, 2010

Kenaikan Pangkat

Pagi ini sekali lagi aku diminta mengisi borang permohonan kenaikan pangkat ke Gred 44. Malu dan mual rasanya membincangkan mengenai Gred 44 ketika mana tempoh perkhidmatan sedang menjangkau hampir 15 tahun. Borang yang berbagai jenis dan bentuk ini bukan pertama kali aku terima. Borang bagi nombor keramat 44 ini sahaja, rasanya sudah kira-kira 5 @ 6 kali terpaksa kuisi. Bagiku kenaikan pangkat bukanlah hak mutlak bagi semua penjawat awam. Ianya akan lebih bermakna jika dianugerahkan. Namun oleh kerana prosedur yang ditetapkan memerlukan semua calon membuat permohonan, maka urusan ini terpaksa juga kulalui. Walaupun aku tidak pernah merasakan kelayakan ku bagi penganugerahan tersebut, namun amat mengharukan apabila melihat prestasi mereka yang sudah dinaikkan pangkat selama ini. Kini persaingan ku hanyalah bersama teman-teman yang jauh lebih junior, yang sebahagian mereka pernah mengambil khidmat nasihatku bagi menghadiri temuduga ketika memohon jawatan ini, suatu ketika dulu. Aku pernah bersama menjadi calon bagi jawatan Gred 48 ketika berada di bawah skim SSB dahulu, dan pegawai junior yang dipilih kini sudahpun menduduki Gred 52.
Isu kenaikan pangkat di Jabatan Agama Islam Perak, bukan suatu isu yang baru. Ianya berpanjangan sekian lama akibat percaturan politik yang membabi buta. Akibatnya, beberapa jawatan yang dilanda kontroversi, dibiarkan begitu lama tanpa diisi. Kegusaran akibat ketidakadilan yang berlaku, dijadikan alasan bagi menafikan hak kenaikan pangkat pegawai-pegawai di Jabatan ini. Walaupun incharge di Bhg Sumber manusia SUK merupakan orang yang lama di jabatan, namun tidak ada sebarang advantage padanya. Malah tidak keterlaluan jika ada yang menganggap ianya dijadikan medan pelepas dendam yang tak sudah terhadap pegawai agama di jabatan ini. Entah bila kemelut ini akan berakhir hanya Allah yang akan menentukan. Perubahan mustahil akan berlaku di era pemerintahan Barisan Nasional kerana asal masalah adalah mereka. Semoga 9 Februari 2010 akan membawa sinar harapan kepada satu perubahan walaupun pengalaman silam memperlihatkan terlalu banyak rintangan dan sabotaj di peringkat pegawai tinggi kerajaan. Wallahu A'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...