Showing posts with label Diri Dan Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Diri Dan Keluarga. Show all posts

Wednesday, March 02, 2016

Perihal Angiogram

          Pertama kali memasuki wad aku telah diterangkan dengan baik mengenai rawatan angiogram. Aku telah diterang mengenai risiko dan kelebihannya oleh misi di wad CCU, Taiping. Wad tersebut memang menempatkan misi yang begitu baik, cekap dan menyenangkan. Namun aku hanya berada di sana dalam masa dua hari semata-mata. Di sanalah aku mengambil keputusan untuk menjalani rawatan tersebut walaupun aku memohon ditangguhkan sehinggalah isteriku selesai melahirkan anak.
           Malangnya apabila berpindah ke wad biasa, aku menjadi pelik bila ditanya dengan berbagai persoalan yang sama. Antara penerangan yang dinyatakan adalah prosedur angiogram ini boleh diadakan di Ipoh dan Penang selain daripada di IJN. Walaubagaimanapun 6 bulan diperlukan bagi mendapatkan rawatan di Ipoh. Aku hanya mampu menyerahkan kepada mereka untuk menguruskannya dan aku hanya bergantung kepada nasib. 
             Setelah beberapa hari dalam wad tanpa ada sebarang perkembangan, aku mengambil keputusan memohon pertolongan sahabat yang berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di IJN. Beliau meminta aku mendapatkan surat atau laporan daripada hospital bagi dikemukakan ke IJN. Aku sudah menjangkakan masalah yang akan timbul bagi mendapatkan surat tersebut. Aku cuba berbincang dengan doktor yang merawatku. Dia mengatakan IJN takkan melayan sesiapa yang pergi sendiri tanpa rujukan daripada hospital. Aku mengatakan aku mempunyai seorang kawan yang boleh membantu menguruskannya. Malangnya aku ditempelak dengan katanya : "Kalau dah ada orang boleh tolong buat je lah", sekaligus mematikan harapanku mendapatkan pertolongannya. Aku hanya mendiamkan diri dan memendam rasa menghabiskan masa di dalam tanpa sebarang perkembangan yang memberangsangkan.
                 Sedang aku mengelamun menantikan hari untuk discharge dari wad, datang seorang nurse memberikan perkhabaran bahawa aku akan dibawa ke Ipoh untuk rawatan angiogram. Rupanya isteriku sudah menghubungi Dato' Ikram, sahabatku yang merupakan bekas Pengarah Kesihatan bagi mengatasi masalah tersebut. Doktor yang sama ditugaskan mengiringiku dan isteri ke Hospital Ipoh pada petang tersebut. Di sana aku ditempatkan di wad ICL bagi menunggu giliran dan menjelang jam 9 malam aku menerima rawatan yang sewajarnya. Aku bersyukur ke Hadrat Allah yang telah melorongkan jalan bagi aku mendapatkan rawatan sewajarnya.  Aku bersyukur kerana masih mempunyai teman-teman yang mempunyai pengaruh yang mampu membantu.  Alangkah sukarnya manusia biasa yang hanya mengenali insan biasa semata-mata untuk mendapatkan hak mereka seadanya. Perkara ini amat asing bagiku kerana aku bertugas di Jabatan Agama Islam Perak. Kami tidak pernah membiarkan masyarakat terbiar tanpa sebarang panduan bagi mendapatkan perkhidmatan kami. Jika terdapat sebarang kekurangan kami akan membantu untuk melengkapkan permohonan agar mereka boleh mendapatkan perkhidmatan kami. Kami juga memberikan keutamaan bagi sesetengah kes tetapi kami tidak pernah menghalang sebarang keperluan golongan marhain untuk mendapatkan perkhidmatan.
Mudah-mudahan kesihatan yang diberikan oleh Allah kepadaku nanti akan menambahkan kuupayaanku bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Friday, June 28, 2013

Sekali kakiku melangkah..

Sekali lagi aku menerima keputusan yang tidak pernah aku jangka dan harapkan sepanjang perkhidmatan. Menjadi calon simpanan bagi sesuatu jawatan bukanlah suatu yang menggembirakan malah amat menjengkelkan. Dalam masa 3 bulan jika ada kekosongan bagi jawatan yang sudah terisi itu maka akulah yang bakal menggantikan mereka. Hal ini akan terjadi jika salah seorang mereka dibuang kerja atau hilang upaya untuk bekerja atau kembali ke rahmatullah buat selama-lamanya. Mana mungkin aku mengharapkan ianya berlaku terhadap teman-temanku. Maka aku tidak mungkin akan menaruh harapan apatah lagi mendoakannya.
Pemilihan bagi kenaikan ke gred 48 (Imam Besar) kali ini merupakan satu pemilihan yang agak unik. Ianya membabitkan satu jawatan yang begitu berprestij dan amat memerlukan kemahiran dan ilmu yang mencukupi. Akibat ketiadaan calon berkelulusan Al-Quran yang layak memohon, maka kami terpaksa memberanikan diri mengisi borang permohonan agar tidak disalahertikan. Dalam tempoh penantian selama ini, sememangnya aku amat berharap agar calon lain yang terpilih.

Saturday, February 23, 2013

Sekali lagi aku terpaksa berada di wad hospital yang merupakan satu tempat yg paling kubenci di dunia ini. Walaupun wad di hospital swasta ini hanya kurang sedikit tarafnya dari hotel budget namun suasananya masih menjadikan aku seolah- olah seperti seorang pesakit. Bau ubat dan uniform jururawatnya menjadikan semangatku hilang berterbangan entah ke mana. Namun kerana isteri tercinta terpaksa lah aku berkorban menemaninya saban hari selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang menimpanya.
 
       Sepanjang hidupku bukan aku tidak pernah dirawat dihospital. Beberapa insiden sewaktu kecil menjadikan aku seorang yang begitu membenci hospital..antara yang paling hebat apabila bawah lututku terkena zink karat yang menyebabkan parut koyaknya kekal sehingga kini. Aku terpaksa dibawa oleh mak dan kakak untuk mencuci lukanya beberapa kali. Aku terpaksa ditipu dengan pujukan naik bas ke Malim Nawar walaupun bas itu datangnya dari Malim Nawar. Aku hanya mampu meraung bila merasa tertipu apabila bas bertolak menuju ke Kampar.

        Sebagai anak kepada tukang rumah terpijak paku adalah suatu yang amat lumrah. Mempunyai apak yang begitu takut ke hospital mengajar aku satu bentuk perubatan yang pernah disebut oleh Rasulullah walaupun baginda melarang sahabat melakukannya. Beberapa kali aku membantu apak mengubati kakinya yang terpijak paku karat sehinggalah aku sendiri mencubanya. Hanya lebarkan lubang luka tersebut dan masukkan belarang mancis api yang sudah dikikis. Hanya dengan satu sentuhan api maka menyalalah belarang tersebut menyelinap masuk ke saluran darah hingga mengejangkan seluruh tubuh. Rasanya masyaallah terlalu nikmat di sabalik kesakitan yang begitu melampau. Namun kesannya amat menakjubkan kerana kesan luka tersebut seolah-olah tidak pernah ada sebelumnya.  
5249 - حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحِيمِ أَخْبَرَنَا سُرَيْجُ بْنُ يُونُسَ أَبُو الْحَارِثِ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ بْنُ شُجَاعٍ عَنْ سَالِمٍ الْأَفْطَسِ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشِّفَاءُ فِي ثَلَاثَةٍ فِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ أَوْ كَيَّةٍ بِنَارٍ وَأَنَا أَنْهَى أُمَّتِي عَنْ الْكَيِّ - رواه البخاري
 ......Daripada Nabi SAW bersabda Kesembuhan itu melalui 3 cara iaitu Berbekam atau meminum madu ataupun melalui kepanasan api dan aku larang ummatku daripada menggunakan api.
 
            Kini setelah usiaku melewati 40 an aku jarang ditimpa sakit. Mungkin kerana doa yang tak putus atau Allah Maha Mengetahui kemampuankku untuk menghadapinya. Aku hanya mampu melawan setiap penyakit dan menyulamnya dengan doa dan rukyah, Segala kesembuhan adalah dari Allah. Moga sehingga ke akhir hayat aku tidak akan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Saturday, October 15, 2011

15 Oktober 2011

15 Oktober 2011 sekali lagi aku menerima ucapan selamat dari berbagai pihak. 41 tahun lalu aku dilahirkan oleh seorang ibu yang jika tidak silap maklumat yang aku perolehi, ketika itu sudahpun mencecah umur 41 tahun. Masih lagi terasa seolah-olah baru lagi berada di bawah belaiannya. Masih terasa hangatnya dakapan seorang ibu yang hanya pandai menyatakan kasih sayang terhadap anak bongsu manjanya ini melalui tindakan keibubapaannya, tidak sangat melalui kata-kata. Aku dibesarkan di bawah pengawasan sepenuhnya secara langsung oleh ibu tercinta, dengan pengawasan jarak jauh dari ayah yang tidak langsung pandai menzahirkan kasih sayangnya. Dan kini sebahagian sifatnya aku warisi, menjadi bebanan terhadap isteri yang terpaksa berseorangan memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak kami.

Hari Jadi sering dilihat sebagai satu hari yang amat penting dan menggembirakan bagi kebanyakan manusia. Malangnya ia sering mengingatkan diri ini dengan saat-saat kematian yang semakin menghampiri. Bukankah begitu banyak ajal manusia hadir di hari lahirnya. Ini menyebabkan sesekali, menanti berakhirnya hari jadi membuatkan aku merasa seperti berada di kandang pesalah menanti hukuman dijatuhkan.

Ulamak sirah banyak menyamakan tarikh Maulidur Rasul dengan tarikh kewafatan baginda. Umat Islam tidak pernah lupa menyambut tarikh kelahiran baginda berbanding menginsafi kewafatan baginda.

Dengan usia yang mencecah 41, usia yang dikatakan awal kehidupan oleh mereka yang tak kenal erti tua, usia kematangan bagi yang melihat kepada sirah perutusan risalah nubuwwah kepada Rasullullah, usia yang memberikan kata dua kepada yang mahu melakukan perubahan, berubah menjadi lebih baik atau terus berada dalam kesesatan. Berusaha mengejar redha Allah ataupun istiqamah dengan cara hidup syaitan.

Ketika di awal 20'an aku melihat tokoh-tokoh besar yang menabur jasa kepada dunia dalam segala bidang. Aku sebagai insan biasa, menyimpan cita-cita menjejaki langkah mereka. Impianku 20 tahun lagi pasti aku akan menggantikan mereka. Aku berkira-kira, jika ilmu dan kemahiran mereka boleh dikuasai dengan membaca, aku mengira berapa helaiankah yang mesti aku baca sehingga sampai ke tahap umur seperti mereka. Sehingga kini aku sendiri tidak pasti berapa ribu bukukah yang telah kuhabisi sepanjang 20 tahun yang lalu, dan bidang apakah yang belum pernah aku teliti.

Malangnya kini aku masih seperti dulu. Aku hanya insan biasa yang tidak menyumbang apa-apa kepada dunia. Aku hanya jaguh kampung yang hanya pandai menunujukkan kepandaian di hadapan teman-teman sekerja. Aku belum menguasai apa-apa bidang jauh sekali menjadi pakar dan sumber rujukan.

Terlalu banyak impian dan cita-cita besar yang terpaksa aku lupakan. Aku terpaksa belajar menerima kenyataan bahawa aku adalah salah seorang penumpang di dunia yang sementara ini. Aku tidak akan menjadi salah seorang pencaturnya, jauh sekali mengubah dunia.

Sunday, September 25, 2011

Menguasai Ilmu Menganyam Ketupat


Majlis Jamuan Hari Raya Taman Lapangan SSI, pada tahun ini telah memberikan satu ilmu baru bagiku dalam bidang ketupat. Selama ini aku adalah antara penganyam ketupat di taman ini setiap kali ada majlis yang dianjurkan. Kepakaranku hanya terhad kepada 3 jenis ketupat yang aku tak pasti namanya secara tepat. Antara nama yang aku tahu adalah ketupat satey, ketupat dan ketupat bawang. Semalam dengan rasminya aku berjaya menguasai satu lagi ketupat iaitu ketupat jantung yang di ajar oleh Prof. Madya Dr. Helmi, Jawa Bagan Datoh. Walaupun begitu ramai yang mengikuti sesi pembelajaran hany aku seorang yang berjaya menguasainya. Dengan kemahiran sedia ada tidaklah begitu susah untuk mempelajari jenis yang baru. Hanya percubaan dan latihan berterusan yang akan memastikan kejayaannya. 

 Ketupat Bawang

 Tak pasti nama apa..

 Ketupat Satey

Ketupat Jantung yang baru dikuasai

Monday, July 11, 2011

Khutbah: Bersihkanlah hati kita

JAKIM sebagaimana yang dijangka telahpun melaksanakan tugasnya sebagai saudagar agama nombor 1 negara. Khutbah mengecam dan memfitnah perhimpunan Bersih 2.0 diedarkan di seluruh Wilayah Persekutuan yang nyatakan memburukkan imej mereka di kalangan rakyat jelata yang mampu berfikiran waras. Bukan seorang dua menyatakan kepadaku untuk mengulangi sejarah, bertakbir dan keluar beramai-ramai jika khutbah sebegitu dibacakan di Negeri Perak.

Aku didatangi pihak SB yang cuba memujukku mengarang dan menyebarkan khutbah yang seumpama itu di negeri ini. Aku hanya mengucapkan Insyaallah dengan rasa yang begitu mual dengan permintaan yang tidak langsung menggembirakan itu. Bagiku institusi agama tidak perlu dilibatkan dengan urusan ini kerana yang nyatanya ini semua adalah mainan politik kedua belah pihak. Kurang wajar institusi yang masih dihormati umat Islam ini dicemarkan dengan sokongan yang diberikan kepada mana-mana pihak. Institusi ini perlu berada di atas mana-mana parti politik kerana itulah sifat istana yang menaunginya selama ini.

Tuesday, May 31, 2011

Ulangtahun Perkahwinan ke 16

Kami secara rasminya disahkan sebagai suami isteri 16 tahun yang lalu. 2 tarikh keramat yang menjadi kenangan 31 Mei & 1 Muharram. Sukar untuk meraikannya pada 1 Muharram kerana walaupun bercuti, namun aku terpaksa menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat negeri. 

Sebagai lelaki, tarikh-tarikh sebegini bukanlah suatu yang begitu dinanti-nanti. Lelaki menganggap setiap hari tidak ada bezanya sama sekali. Setiap hari adalah istimewa walaupun suasana berbeza. Menggembirakan isteri adalah tanggungjawab mereka sepanjang masa. Berbeza dengan wanita yang begitu menganggapnya terlalu istimewa. Hari istimewa seperti ini tidak mungkin dibiarkan berlalu sia-sia. Mesti ada upacara untuk meraikannya.

Lelaki jarang sekali bertanya mengenai cinta dan kasih sayang isterinya. Bagi kami cinta itu telahpun dibuktikan dengan lamaran yang diterima. Pengesahan itu adalah pengesahan sampai ke mati. Tidak perlu ditanya-tanya lagi. 

Bagi wanita ucapan cinta perlu sentiasa diperbaharui. Penegasan hari ini tidak bermakna lagi setelah berganti hari. Esok lusa akan dipersoalkan kembali.   

Inilah konflik yang sering terjadi antara 2 hati. Walaupun sama-sama menyintai namun penzahirannya nyata berbeza. Jika tidak saling memahami, akan berantakanlah ketenangan yang sedia ada. Suami perlu meraikan keghairahan isteri untuk merayakannya. Isteri juga perlu memahami kekangan dan halangan yang dihadapi oleh suami.

Mudah-mudahan kasih sayang ini akan terus bersemi hingga kita menemui Ilahi.................. 

Tuesday, May 24, 2011

Kelemahanku...

Aku merupakan seorang yang amat lemah ketika kecilku. Berada di bawah ketiak emak sehingga meningkat remaja menyebabkan aku menjadi seorang yang tidak mampu berdikari. Aku mengambil masa yang lama untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Aku tidak betah membeli di kedai runcit di kampung tanpa ditemani sesiapa. Aku sentiasa bersama emak walau ke mana sahaja kerana aku tidak mampu bermalam walaupun sehari tanpa emak yang aku sayangi. 

Latar belakang yang sebegitu, menjadikan hati ini begitu kecil untuk menghadapi dunia yang mencabar. Pemergian ibu menjadikan aku seolah-olah sebatang kara di dunia yang tersendiri. Kasih-sayang yang melimpah bertukar menjadi kehidupan tanpa kawalan ibarat layang-layang terputus tali. Hati ini menjadi begitu lembut, mudah tersentuh dan begitu sensitif. Di sebalik kemampuanku hidup seperti pengemis, mengemis simpati, mengharapkan sesuap nasi dan menumpang kasih sesama ahli keluarga.

Keyakinan diri hanya mampu aku kecapi dalam beberapa period dalam hidupku. Jati diri pertama aku rasai apabila mampu melangkah ke kelas terbaik ketika di tingkatan 2. Sebelum itu aku  berada di kelas tercorot kerana aku merupakan calon simpanan yang ditawarkan melalui tawaran ke 3. Ketika itu aku sudah mula belajar tanpa terikut-ikut dengan kaedah teman-teman. Aku merasakan kemampuanku menguasai pelajaran setelah melihat beberapa teman yang seolah-olah begitu sukar untuk menguasainya. Akhirnya aku berjaya mempertahankan kecemerlangan akademikku sehinggalah aku meninggalkan menara gading.

Dunia kerjaya merubah sebahagian dari sikapku yang terdahulu. Tekanan berterusan terhadap Pegawai-Pegawai agama menyebabkan aku menjadi matang melebihi usia perkhidmatanku. Kekuatan akademik yang aku miliki menjadikan aku mudah mengetahui di mana silapnya persekitaran tugas ini. Ini menjadikan aku lebih berani menyanggah tindakan pihak atasan yang aku kesan sebagai separuh matang dalam pengetahuan mereka terhadap tugas dan undang-undang. Mereka dengan mudah menganaktirikan pegawai yang hanya tahu bersetuju tanpa menyelidiki terlebih dahulu. Aku menjadi salah seorang yang dianggap pejuang dalam sesetengah kes yang bagiku hanya sekadar menyatakan apa yang aku tahu.

Sehingga kini ramai yang menganggapku sebagai seorang yang berani, tegas dan mempunyai daya juang yang tinggi. Hakikatnya aku hanya mampu menjadi pemangkin agar teman-teman mampu bersama memperjuangkan hak-masing-masing. Ketakutan dan kelemahanku kini tersembunyi dan terhijab kecuali bagi mereka yang benar-benar mengenali. Di sebalik keberanianku menyanggah pihak atasan yang bertindak garang, aku sering tewas dengan rayuan anak buah yang mengemukakan rayuan. Aku anak bertindakbalas terhadap  maki hamun dan kemarahan, namun aku rebah tatkala mendengar keluhan dan esak tangis. Aku hanya mampu bertahan dengan kekasaran dan keganasan, namun aku layu dengan belaian dan pujuk rayu. Aku terpaksa melupakan sebahagian impian dan harapanku, kerana terlalu memikirkan hati dan perasaan seseorang yang aku sayang. Kerana tidak mampu melihat orang yang aku cintai menangis, aku mungkin akan menangis di hati, dan terus akan menangis kerana yang pasti, tiada siapa yang menyedari tangisan itu...  

Saturday, September 25, 2010

Selangkah ke dalam Wad

Selepas Solat Jumaat, 24 September 2010, kami berada di Klinik Kesihatan Greentown untuk mendapatkan suntikan wajib menjejakkan kaki ke tanah suci. Secara teorinya hanya isteriku sahaja yang akan mendapatkan suntikan kerana aku tidak diluluskan oleh Dr. Tharizah bagi mendapatkan suntikan sehinggalah tekanan darahku menurun. Oleh kerana masa yang begitu mendesak, aku cuba mendapatkan suntikan tersebut pada petang itu juga. Dengan pertolongan Ustaz Azmi Chai, yang membantu keseluruhan urusan haji kami selama ini, aku diminta untuk membuat ujian tekanan darah di hadapan jururawat yang bertugas. Malangnya bacaan yang dicatatkan adalah 149/101. Bacaan bawah melebihi 100 dianggap masih tinggi dan aku diminta berehat selama sejam. Setelah sejam berlalu aku ujian tekanan di arah dibuat di hadapan doktor yang bertugas. Malangnya bacaan yang dicatatkan amat mengejutkan. 180/120. Kedua-dua bacaan atas dan bawah amat tinggi. Doktor mengarahkan aku diberi ubat yang boleh menurunkan tekanan darah secara drastik dan disuruh baring selama sejam. Jika sekiranya tiada perubahan maka tiada pilihan lain melainkan terpaksa masuk wad dan tak dibenarkan balik.

Syukur Alhamdulillah kerana setelah sejam bacaan menurun kepada 159/89. Maka aku dibenarkan pulang dengan terpaksa menjalani rawatan susulan. Mulai Isnin hingga Rabu aku terpaksa membuat ujian tekanan darah setiap pagi. Paling parah Hari Isni juga aku diminta berpuasa dan diambil darah untuk ujian menyeluruh. Apakah aku mampu bertahan dari rasa nak pitam sebagaimana yang biasa aku tempuhi selama ini. Mudah-mudahan aku mampu melalui semua ini dengan selamat. Semoga inilah kali terakhir aku terpaksa hadir ke hospital untuk menanggung segala penderitaan ini. Dan yang paling besar, moga Allah menyelamatkan aku agar aku dapat disahkan layak untuk menunaikan haji pada tahun ini. Jika kes ini berlanjutan semakin lambatlah aku dapat menhantar buku laporan kesihatan itu kepada Tabung Haji dan semakin lambatlah aku akan mendapat tarikh penerbangan.

Dugaan Awal

Kegembiraan kerana terpilih untuk menerima anugerah menunaikan Fardhu Haji pada tahun ini merupakan satu nikmat yang tidak pernah aku bayangkan. Tanpa sebarang persediaan untuk menjadi tetamu Allah dalam masa terdekat, tiba-tiba takdir Allah telah menjemputku ke sana. Sebagai insan Muslim biasa, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Selain kegembiraan yang tidak mungkin dapat dinafikan, terdapat getaran dan kebimbangan di sebalik rahmat ini. Walaupun yakin dengan kasih sayang dan rahmat Allah, aku terasa gementar memikirkan apakah akan ada ujian dan cobaan yang diberikan oleh Allah sepanjang menjadi tetamunya nanti. Allah tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hambaNya, malah menguji hambanya agar terampun segala dosa mereka dan terangkat darjat mereka di sisiNya. Apakah dengan berbagai dosa dan kelalaian aku sebagai seorang pemimpin agama di negeri ini, akan dibiarkan oleh Allah begitu sahaja. Apakah aku akan diuji dan diberikan pengajaran oleh Allah sepanjang bertamu di tanah suci nanti. Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, jika engkau mengujiku, sesungguhnya aku redha dengan segala ketentuanMu. Namun jika engkau ampunkan segala kesilapanku, Engkau permudahkan segala urusanku, Engkau berikan keistimewaan kepadaku sebagai tetamuMu, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hambaMu.

Ujian pertama telah kuterima setelah tawaran pergi kuterima. Oleh kerana aku akan bertolak ke Mesir untuk berkursus selama 3 bulan, maka rayuan kuota untuk isteriku terpaksa dihantar ke Tabung Haji sebelum aku berangkat. Ketika itu senarai nama penerima anugerah masih belum diterima dari Jabatan Agama Islam Perak. Ini menyebabkan nama isteriku tidak dapat dipasangkan dengan namaku hingga menyebabkan ketika kesemua penerima anugerah lain telah menerima pengesahan untuk kuota isteri masing-masing namun aku masih lagi ditahap merayu. Alhamdulillah, dengan pertolongan Haji Mohd Abas, Timbalan Pengarah Tabung Haji Perak yang juga jiran setamanku, setelah sekian lama menderita perasaan, akhirnya hanya di saat hampir menyambut Hari Lebaran, barulah isteriku menerima tawaran dan segala urusan pasport dan sebagainya terpaksa dibuat dengan tergesa-gesa.

5.30 petang, Khamis, 23 September, kami membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Murshid dan Tharizah. Selepas Zohor sebelumnya aku terasa sakit kepala di pejabat. Tiba-tiba tekanan darahku mencatatkan bacaan 170/ 120. Tiga kali ujian itu dibuat kerana aku sebenarnya sentiasa membuat pemeriksaan sendiri di rumah dengan alat elektronik. Akhirnya aku di arahkan untuk mula memakan ubat dan datang semula dalam masa 5 hari.

-Bersambung-

Sunday, September 19, 2010

Mahalnya Kurma

Petang semalam sekali lagi akau melakukan tindakan mengikut perasaan bukan berdasarkan fikiran. Jumlah keseluruhan harga semua kurma di atas adalah RM 99.++.  Ini memecahkan rekod peribadiku dengan membeli kurma termahal sepanjang hidupku.
Oleh kerana terpengaruh dengan promosi kurma nabi, hati membuak-buak untuk merasai makanan sunnah. Entah kenapa tidak langsung terasa mahalnya ketika membayar walaupun ianya cukup untuk membeli beras selama 2 -3 bulan.
Dari segi besar dan rasanya taklah terasa sangat kehebatannya. Jauh sangat kalau nak dibandingkan dengan besar dan rasa kurma yang dihidangkan diistana. Entah apa sebenarnya jenis kurma yang dihidangkan diistana kerana besarnya 2-3 kali ganda dan lebih sedap pastinya. Kalau Kurma Ajwah ini sudah begitu mahal, maka berapa pulak harga kurma yang ada di istana itu.


Kurma Ajwah (Al-Kitab) ini adalah yang paling mahal. Walaupun isinya sekotak tak sampai 20 biji tapi harganya menghampiri RM 40.00 sekotak.

Satu masalah yang dihadapi dengan pembelian ini adalah kerana kotaknya yang terlalu cantik. Agaknya inilah harga yang terpaksa dibayar walaupun harga kurmanya tidaklah semahal mana. Walaupun makannya tidak, budak 3 orang tu yang beria sangat berebut nakkan kotak dan bekasnya.

Monday, September 13, 2010

Hari Raya Pertama (Gilirannya di mana ?)

Sudah beberapa tahun aku tidak Solat Sunat Aidil Fitri di kampungku sendiri. Walaupun itulah kemuncak gamitan memori zaman kecilku, namun keadaan memaksa aku melakukan pengorbanan. Oleh kerana aku hanya ada ibu dan bapa mertua, maka sewajarnya aku mengutamakan mereka. Walaupun sepatutnya tahun ini  bukan giliran kampung mertuaku, namun aku perlu berkorban untuk mereka. Sementelah kebanyakan adik beradik merancang balik dan berkumpul pada hari raya kedua.
Sememengnya jika ditanya, tidak ada sebarang keistimewaan berhari raya di sana. Selain dari mendengar kembali khutbah yang aku karang sendiri, dibaca dengan cara yang tidak begitu memuaskan hatiku oleh khatib amatur di kampung, maka apa nilai yang mampu menceriakan aku di sini. Tidak ada seorangpun menyapa dan menegurku di sini. Mana mungkin mereka mengenaliku sedangkan aku tidak lahir apatahlagi membesar di sini. Situasi ini amat jauh bezanyan jika aku bersembahyang  di kampung sendiri.

Selepas solat aku boleh diumpamakan seperti gadis sunti yang memerap di rumah. Ke mana hendak akutujui jika tiada sesiapapun yang benar-benar aku kenali. Ini berbeza jika aku berhari raya di kampungku sendiri. Semua kegembiraan yang sepatutnya aku rasai aku korbankan demi isteri yang kusayangi dan kedua ibu dan bapa mertuaku. Mudah-mudahan segala pengorbanan ini dihargai dan diganjari oleh Allah di Akhirat nanti.

Sunday, September 12, 2010

Sehari Berhari Raya

Sebagaimana biasa setiap kali hari raya, lemang, ketupat dan rendang menjadi hidangan wajib yang disajikan pada hari pertama dan kedua raya. Ini bermakna selama 2 hari itulah terlalu sukar untuk mendapatkan sesuap nasi. Hari Raya tahun ini yang kebetulan jatuh pada Hari Jumaat membolehkan aku mendapat peluang mencari menu lain selain lemang dan ketupat. Kebetulan pada hari raya kali ini DYTM Raja Muda berkenan berangkat untuk Solat Jumaat di Surau Desa Aman, Ipoh. Demi tugas aku terpaksa berkejar dari Parit ke Ipoh untuk memastikan segala persiapan berjalan lancar. 


Malangnya pada hari raya tahun ini, kesemua kedai makan yang aku lalui ditutup sempena raya. Bermula dari kedai Salim bersebelahan surau tersebut hinggalah sepanjang jalan dari Ipoh ke Seri Iskandar, tidak ada sebuah kedai mamakpun yang dibuka pada hari itu.
Sepanjang perjalanan balik ke Kampung Tualang Sekah pada Hari Raya Kedua, kami mengambil kesempatan melepaskan geram di kedai mamak di Taman Maju, Seri Iskandar. Antara makanan favorite aku setiap kali ke kedai mamak adalah maggi goreng.

Friday, August 20, 2010

Ramadhan terakhir mereka



Ramadhan tahun ini menjadi kenangan yang tidak mudah dilupakan. Sudah 3 orang kenalan dan sahabat dijemput menemui Allah pada Ramadhan tahun ini. Bermula dengan kematian isteri kepada SF Ustaz Abu Bakar Husin, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rapat Jaya Tambahan ketika hujan mencurah-curah sepanjang malam tersebut. Itulah pertama kali aku melihat Masjid Raja Nazrin, Masjid Daerah Ipoh penuh sesak seumpama Solat Jumaat. Inilah untungnya menjadi isteri kepada pimpinan Parti yang memperjuangkan Islam. Manusia dari seluruh pelusuk negeri menghadiri majlis pengkebumian tersebut. SF Ustaz Bakar pernah menjadi teman rapatku ketika mengajar di Sekolah Idris Shah Gopeng, 15 tahun lalu. Ketika itu aku mengjadi Guru Sandaran Tak Terlatih di sekolah tersebut.

Selang sehari selepasnya, menyusul pula bapa kepada Dr. Anuar Abdullah, Pengerusi Surau Muhajirin, Taman Lapangan SSI di mana kami menginap pada masa ini. Jika tidak kerana semangat juang dan kehebatannya beliau sudah pasti aktiviti surau kami tidak semeriah ini. Sebagaimana kisah kematian ayahandaku beberapa tahun lalu, begitulah kisah yang berlaku terhadap ayahnya. Akibat menderita sakit buah pinggang, hanya dalam masa 6 minggu sahaja, bapanya berubah dari keadaan sihat menjadi koma dan menemui ajal. Seolah-olah kisah yang menimpa ayahandaku kini berulang semula.

Petang semalam aku menerima mesej dari Ustaz Firdaus, PTA Lenggong mengenai kemalangan yang meragut nyawa bekas Kadi Lenggong, SF Ustaz Bukhari Harun. Beliau menjawat jawatan Pegawai Penyelaras Masjid ketika aku mula menjadi Kadi di Lenggong. Tanpa tunjuk ajar dan panduan beliau pasti sukar aku memulakan tugas pertamaku sebagai penjawat awam di sana. Di sebalik sifatnya yang begitu low profail tersembunyi khazanah ilmu di dadanya. Beliau adalah antara guru dan sahabatku dalam mentadbir hal ehwal agama di Lenggong ketika itu. Sebarang masalah dalam mencari hukum di dalam kitab kami selesaikan dengan merujuk kitab turath secara bersama. Segala jasamu, yang kupanggil Pok Yei tidak mampu aku balas dan hanya Allah yang mampu memberikan ganjarannya.

Malangnya oleh kerana pengkebumian dijalankan pada jam 9.00 pagi tadi, aku gagal menziarahinya buat kali terakhir. Aku terpaksa menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Batu Gajah. Dalam masa yang sama turut aku tinggalkan tugas sebagai Panel Penemuduga Imam bersama Pengarah di pejebatku sendiri. Mudah-mudahan Allah memberikan rahmat kepadanya dan menemukan kami semula di syurga nanti.

Wednesday, March 24, 2010

Panggilan Kaabah

22 Mac 2010 merupakan hari yang amat indah di antara hari-hari yang aku lalui sepanjang perkhidmatanku. Sebelum ini aku bebas berkata ; Aku tak terhutang budi dengan kerajaan negeri ; selain gaji tiada apa keistimewaan sebagai pegawai kerajaan yang aku dapat. Setakat gaji keje dengan cina sayorpun dapat gaji jugak. Hari ini aku dimaklumkan secara lisan oleh Timbalan, bahawa aku terpilih untuk menerima anugerah menunaikan Fardhu Haji percuma pada tahun ini. Tidak ada sebarang perancangan bagi melaksanakan tuntutan tersebut dalam masa terdekat. Namun sebagai seorang Islam, walau tersentak dengan berita yang menggemparkan ini, namun kesyukuran yang teramat sangat tetap kupanjatkan ke hadrat Ilahi. Tak tergambar rasanya perasaan ketika mendengar teman-teman bergebang mengenai tanah haram, tanpa kemampuan untuk mencelah. Kebimbangan sedikit timbul jika berlaku kontroversi dalam pemilihan, namun aku berharap agar teman-teman tidak mempertikaikan. Semoga dipanjangkan umur sehingga hari yang ditetapkan. Kepada semua teman-teman dan sahabat handai, maafkan atas segala dosa dan kesalahan.

Saturday, February 13, 2010

Pemergian Tanpa Sebarang Amaran

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Bagi yang hidup, amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi mesti dilaksanakan sepenuhnya. Allah menyebutkan dalam Al-Quran bahawa Dia tidak menjadikan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadat kepadaNya. Maka manusia dan jin wajib beribadat sepanjang hidupnya sebelum nyawa bercerai dari jasad. Allah juga menyebutkan dalam Al-Quran ; maka sembahlah tuhanmu sehinggalah datang kepadamu Al-Yaqin. Al-Yaqin ditafsirkan oleh para mufssirin sebagai Maut.


Sabtu 6 Februari 2010, kira-kira jam 2.30 petang, panggilan telefon diterima menyatakan bahawa Nurazura Abdul Manaf, isteri kepada anak saudaraku, Norasidi Abdul Rahman, jatuh lalu pitam di tempat kerja. Sejurus sampai di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh, pembedahan bagi membuang darah beku di kepalanya terus dilaksanakan. Sebaik selesai pembedahan ketika waktu sudah di akhir petang, tiada lagi komunikasi dengannya dapat dibuat. Beliau koma sehinggalah pulang menemui Allah pada saat Azan Asar berkumandang dari Masjid Muhibbuddin Shah, pada Rabu, 10 Februari 2010.

Tanpa sebarang amaran awal, seolah-olah serangan angin Ahmar, tiba-bila dikatakan darah membeku di kepalanya. Sample darah yang dihantar untuk diuji entah bila diketahui hasil ujiannya. Lukemia, hanya itulah andaian yang mampu dilontarkan oleh pihak perubatan. Apa yang pasti, beliau sudah meninggalkan suami dan dua anaknya yang masih perlukan belaian, disamping meninggalkan dunia dan segala kenikmatannya.


Monday, January 25, 2010

Perasmian Pondok Pengawal Keselematan



Indahnya hidup bermasyarakat jika sekiranya kita sanggup mengenepikan kepentingan peribadi bagi kepentingan bersama. Di taman yang mana majoritinya bekerja di waktu pagi, sememangnya terdedah kepada berbagai jenayah jika tidak ada usaha dibuat bagi memperbaiki keadaan. Cadangan melantik pengawal keselamatan yang membabitkan kos yang bukan sedikit bukanlah suatu cadangan yang mudah untuk dilaksanakan. Ianya sama sukarnya dengan cadangan memagar keseluruhan kawasan taman yang sekaligus menutup pintu masuk sebahagian penduduk yang berdekatan dengan pintu utama taman.
Sukar memastikan tiadanya suara bangkangan daripada keseluruhan penduduk bagi tujuan tersebut. Sehingga kini masih ada yang menyatakan keengganan secara terbuka bagi membuat bayaran tetap sebanyak RM 30.00 sebulan. Wang tidak boleh membeli segala-galanya. Namun desakan hidup yang berbagai menyebabkan ada pihak yang merasakan bebannya. Persatuan penduduk boleh mendengar rintihan dan rayuan mana-mana pihak dan mungkin boleh mengurang atau mengecualikan bayaran daripada mana-mana pihak yang berada dalam kesempitan. Namun pihak yang terlibat hendaklah menyuarakan rayuan mengikut saluran bukan hanya sekadar memboikot dan berdiam diri agar majoriti yang bekerjasama tidak merasakan ketidak adilan dalam kehidupan bermasyarakat.











Sunday, January 24, 2010

Orang Besar 16


Menginap di Taman Lapangan SSI tidak sama dengan mana-mana taman yang pernah aku diami. Kehidupan yang penuh dengan ketenangan dengan rumah yang selesa dan mempunyai halaman yang luas untuk aktiviti bersantai di waktu petang. Walaupun penduduk di sini dipenuhi dengan pegawai tinggi kerajaan, namun tiada apa yang membezakan antara kami. Bermula dengan tukang di kem tentera, guru sekolah menengah dan rendah, Pengarah JPN sendiri, professor di IPT, Kadi di Jabatan Agama hinggalah kepada businesman dan kontraktor semuanya dianggap sama. Pusat Berkumpul kami adalah Surau Muhajirin, Taman Lapangan SSI. Tiada protokol yang memisahkan kami walau ketua protokol SUK sentiasa bersama kami. Tahun ini satu lagi kebanggaan di taman ini. Kami sudah ada 2 orang pembesar negeri yang dianggap orang kuat istana. Kalau dulu kami mempunyai Y.D.H Toh Shahbandar Ulu, Dato' Haji Mohd Tarmizi bin Haji Idris, D.P.M.P., A.M.P., P.J.K. yang menjadi Orang Besar 16 semenjak 2005, kini kami ada Y.D.H. Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. Shaharudin bin Haji Nazari(bersara), P.M.P., K.A.T., A.M.P., P.J.M., psc. yang baru dilantik mulai 1 Januari 2010. Tahniah diucapkan buat Kol. Shaharudin yang dikenali ramai amat mahal senyumannya ketika menjalankan tugas. Namun itu semua tidak pernah dirasakan di taman ini kerana gelak ketawa dan senda gurau sentiasa mengiringi pertemuan kami sehingga terkadang kami terlupa pangkat dan darjat yang sering dititikberatkan sesama manusia.

Thursday, December 17, 2009

Hari Keluarga Masjid Negeri

Oleh kerana sehingga kini Jawatankuasa Tadbir Masjid Negeri masih belum dipinda, maka sehingga kinilah aku masih menjawat jawatan bendaharinya. Maka setiap tahun aku akan turut bersama dalam Hari Keluarga yang dianjurkan. Berbeza dengan tahun-tahun lalu, tahun ini Dato' Sheikh tidak bersama semenjak menjadi Pengarah.

Kemesraan lebih terserlah pada tahun ini memandangkan semuanya bersama menaiki bas beramai-ramai. Namun apa yang dirancangkan tidak semuanya menjadi kenyataan. Perjalanan ke Genting Highland terencat seketika apabila tayar bas terpaksa ditukar ketika berhenti di R & R Tapah. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Muzammil yang begitu tegas meminta bas lain untuk meneruskan perjalanan. Keselamatan penumpang sewajarnya menjadi keutamaan tertinggi dan tidak sewajarnya dipandang ringan.

Keadaan penginapan yang disediakan oleh agensi pelancungan bolehlah dikatakan selesa. Kami menginap di Ria Apartment yang terletak di bawah sedikit daripada puncak. Ini bermakna kami terpaksa menapak mendaki bukit untuk ke tempat permainan.


Kesejukan Tanah Tinggi Genting ini amat dirasai memandangkan hujan yang sentiasa mengiringi percutian kami kali ini. Ya lah, kalau tak nak sejuk sangat cukuplah di Cameron Highland yang tidak begitu jauh dari Bandaraya Ipoh.

Satu yang aku geram dengan pengurusan Theme Park ni. Ada ke salah satu permainan airnya, Bumper Boat mensyaratkan berat bawah 75 kg untuk menaikinya. Tanpa perlu menggunakan alat timbang tyang disediakanpun aku tahu aku terkeluar dari senarai kelayakan. Rasanya pelampung yang digunakan sama je dengan yang lain. Entah apa kajian yang dijalankan untuk permainan tersebut.
Secara umumnya walaupun ada beberapa masalah seperti nasi bungkus yang disediakan seolah-olah kami ni perlarian Rohingya, kurangnya disiplin beberapa orang peserta sehingga melambatkan pergerakan dan beberapa masalah teknikal, namun segalanya berjalan lancar dan amat menghiburkan. Tahniah atas pengurusan yang baik oleh Ustaz Muzammil dan Cik Fadzilah sehingga membolehkan kami menikmati percutian yang sukar untuk dilupakan.
* Aku lupa nak check setting date pada kamera. So jangan confuse dengan tarikh pada gambar tu.

Sunday, August 30, 2009

Embun dan Damak

Arnab merupakan sejenis mamalia dalam kumpulan order lagomorpha dari alam haiwan filum kordata. Haiwan ini hidup secara berkoloni dan tinggal didalam lubang yang dikorek. Haiwan ini pada asal hidup pada persekitaran bebas di zon iklim sederhana. Haiwan ini membiak dengan cara melahir, menyusu dan menjaga anak sepanjang tempoh pembesaran sehingga cerai susu. Tidak kurang dari 72 spesis yang telah dikenalpasti di seluruh dunia yang sebahagian besarnya terdapat di Benua Eropah, Amerika dan Australia. Secara amnya, arnab yang berada di persekitaran tropika termasuk Malaysia adalah arnab penghijrah yang dibawa oleh kaum pendatang seperti pedagang, penjajah dan juga migran. Di kawasan beriklim sederhana, arnab dianggap musuh kepada peladang. Ini kerana, arnab adalah spesis herbivor iaitu memakan hampir semua tumbuhan hijau. Dalam habitat semulajadi, seekor arnab mampu menghabiskan 1 kilogram tumbuhan hijau sehari. Dengan kadar kelahiran yang tinggi amat cepat berkembang telah menyukarkan para peladang untuk mengawal populasi. Tempoh matang arnab betina ialah 4 hingga 5 bulan dan 5 hingga 6 bulan bagi pejantan. Seekor induk betina boleh melahirkan purata 5 ekor anak dalam satu-satu masa dan dalam tempoh 48 jam akan mengawan semula. Tempoh bunting arnab ialah antara 30 - 35 hari. Jangka hayat maksimum arnab ialah 12 tahun. Untuk penternakan komersial, Umur maksimum 2 tahun adalah tempoh yang sesuai dan produktif.

Ini adalah anak arnab betina yang baru kami beli awal ogos yang lalu. Kami namakannya "Embun" bagi diselaraskan dengan nama pasangannya di bawah yang kami namakan "Damak".

Memelihara arnab sebagai binatang peliharaan tidak jauh bezanya dengan memelihara kucing. Walaubagaimanapun terdapat berbagai kelebihan bagi arnab kerana najisnya boleh dijadikan baja berbeza dengan kucing. Yang lebih penting, arnab boleh dijadikan hidangan istimewa berbanding kucing.

FAKTA LAIN TENTANG ARNAB

Nama Latin : Oryctolagus cuniculus

Panggilan untuk betina dewasa : Doe

Panggilan untuk jantan dewasa : Buck

Panggilan untuk anak : Kittens

Bilangan anak : 4-12

Berat waktu lahir : 30 – 80 gm

Tempoh buka mata : 10 hari

Purata berat : Jantan 1– 5 kg / Betina 1– 8 kg

Tempoh henti menyusu : 4-7 minggu

Suhu badan : 103.3-104F; 38-40C

Kadar denyutan jantung : 130-325 denyutan seminit

Kadar pernafasan : 32-60 tarikan nafas seminit

Rekod dunia paling tinggi melompat : 1 meter

Rekod dunia paling jauh melompat : 3 meter

Telinga paling panjang : 31.125 inci

Paling lama hidup : 19 tahun

Mempunyai 18 jari kaki : 4 setiap kaki belakang dan 5 setiap kaki depan

Warna bulu : Lebih dari 150

Warna mata : coklat, biru-grey, biru, marbel dan pink

Waktu aktif : Awal pagi dan malam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...