Menginap di Taman Lapangan SSI tidak sama dengan mana-mana taman yang pernah aku diami. Kehidupan yang penuh dengan ketenangan dengan rumah yang selesa dan mempunyai halaman yang luas untuk aktiviti bersantai di waktu petang. Walaupun penduduk di sini dipenuhi dengan pegawai tinggi kerajaan, namun tiada apa yang membezakan antara kami. Bermula dengan tukang di kem tentera, guru sekolah menengah dan rendah, Pengarah JPN sendiri, professor di IPT, Kadi di Jabatan Agama hinggalah kepada businesman dan kontraktor semuanya dianggap sama. Pusat Berkumpul kami adalah Surau Muhajirin, Taman Lapangan SSI. Tiada protokol yang memisahkan kami walau ketua protokol SUK sentiasa bersama kami. Tahun ini satu lagi kebanggaan di taman ini. Kami sudah ada 2 orang pembesar negeri yang dianggap orang kuat istana. Kalau dulu kami mempunyai Y.D.H Toh Shahbandar Ulu, Dato' Haji Mohd Tarmizi bin Haji Idris, D.P.M.P., A.M.P., P.J.K. yang menjadi Orang Besar 16 semenjak 2005, kini kami ada Y.D.H. Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. Shaharudin bin Haji Nazari(bersara), P.M.P., K.A.T., A.M.P., P.J.M., psc. yang baru dilantik mulai 1 Januari 2010. Tahniah diucapkan buat Kol. Shaharudin yang dikenali ramai amat mahal senyumannya ketika menjalankan tugas. Namun itu semua tidak pernah dirasakan di taman ini kerana gelak ketawa dan senda gurau sentiasa mengiringi pertemuan kami sehingga terkadang kami terlupa pangkat dan darjat yang sering dititikberatkan sesama manusia.
No comments:
Post a Comment