Saturday, September 17, 2011

Masjid Dan Surau mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004


NEGERI PERAK

WARTA KERAJAAN

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF PERAK GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 57 Bil. 19



Enakmen yang berikut, yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 21 Jun 2004 dan telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 15 September 2004, disiarkan untuk pengetahuan umum:

The following Enactment passed by the State Legislative Assembly Perak Darul Ridzuan on the 21 June 2004 and assented by His Royal Highness the Sultan of Perak on the 15 September 2004 is published for general information:

4. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 - Administration of the Religion of Islam (Perak)
 BETA PERKENANKAN,

 SULTAN AZLAN SHAH,

Sultan Perak

2004

Suatu Enakmen bagi mengadakan peruntukan baru tentang pentadbiran agama Islam, penubuhan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah, penubuhan dan fungsi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.
DIPERBUAT oleh Badan Perundangan Negeri Perak Darul Ridzuan seperti berikut:



BAHAGIAN I



PERMULAAN



1. (1) Enakmen ini boleh dinamakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

(2) Enakmen ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.

(3) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh menetapkan tarikh yang berlainan bagi permulaan kuat kuasa peruntukan-peruntukan yang berlainan Enakmen ini.

2. (1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteknya menghendaki makna yang lain —

"Ahli Kariah" ertinya seseorang yang secara tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah masjid;

"Enakmen terdahulu" ertinya Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1992 [Enakmen Bil. 2 Tahun 1992];

"Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah subseksyen 47 (1) atau 48(1);

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali;

"Jawatankuasa Kariah" ertinya Jawatankuasa Kariah yang ditubuhkan melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 93;

“Jawatankuasa Fatwa” ertinya Jawatankuasa Kariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 35;

"Kariah masjid" berhubung dengan masjid, ertinya kawasan yang di dalamnya masjid itu terletak;

"Ketua Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah subseksyen 45 (1);

“Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama”, “Pegawai Penguatkuasa Agama” dan “ Penolong Pegawai Penguatkuasa”

Ertinya pegawai-pegawai yang dilantik sebagai yang sedemikian di bawah seksyen 68;

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 67 (1);

"Mahkamah Syariah" atau "Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 44(1) atau 44(2);

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1);

"masjid" ertinya suatu bangunan –

(a) yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan yang disuruh, disyorkan, atau dibenarkan oleh agama Islam; dan

(b) yang penggunaannya sebagai yang demikian dibenarkan oleh Majlis di bawah seksyen 87,

dan termasuklah mana-mana surau, madrasah atau bangunan lain yang ditetapkan oleh Majlis sebagai masjid di bawah seksyen itu;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Negeri Perak Darul Ridzuan di bawah seksyen 33 dan termasuklah Timbalan Mufti;

"orang Islam" ertinya —

(a) seseorang yang menganut agama Islam;

(b) seseorang yang salah seorang atau kedua ibubapanya pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam;

(c) seseorang yang dibesarkan atas asas bahawa dia orang Islam;

(d) seseorang yang lazimnya dikenali sebagai orang Islam;

(e) seseorang yang telah memeluk agama Islam mengikut seksyen 96 atau

(f) Seseorang yang ditunjukkan telah menyatakan, dalam hal keadaan apabila dia terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, bahawa dia ialah orang Islam, sama ada pernyataan itu secara lisan atau bertulis;

 "Pegawai Masjid" ertinya Imam, Bilal, atau Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang diterima masuk sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 69;

"Setiausaha" ertinya Setiausaha Majlis yang disebut dalam seksyen 16;

"wakaf" ertinya apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk apa-apa tujuan khairat sama ada sebagai wakaf aw atau wakaf khas mengikut Hukum Syarak, tetapi tidak termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208].

“wakaf am” ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat umum mengikut Hukum Syarak;

“Yang Dipertua” ertinya Yang Dipertua Majlis yang dilantik di bawah subseksyen 11(1).

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Bahagian 1 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah masing-masing mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Bahagian itu setakat yang erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual Pertama itu.

Kecualian prerogatif

3. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen ini, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh mengurangkan atau menyentuh hak-hak dan kuasa-kuasa prerogatif Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua agama Islam di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

BAHAGIAN VII

MASJID

Majlis menjadi pemegang amanah tunggal bagi masjid dan tanah yang berkaitan dengannya

85. (1) Walau apa pun peruntukan yang berlawanan dalam mana-mana surat cara bertulis, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah bagi semua masjid di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(2) Tiap-tiap masjid, bersama-sama dengan tapak masjid itu dan mana-mana tanah yang berhubungan dengan dan digunakan bagi maksud-maksud masjid itu, selain tanah Kerajaan atau tanah yang dirizab bagi maksud awam, hendaklah, sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah, dan tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahanhakan atau pemindahan hakmilik, terletak hak pada Majlis bagi maksud-maksud Enakmen ini.

Sekatan tentang penubuhan masjid dan penalti

 86. (1) Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis, mendirikan apa-apa bangunan untuk digunakan atau menggunakan atau menyebabkan digunakan mana-mana bangunan bagi maksud-maksud yang hanya boleh dilakukan di atau oleh masjid.

(2) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Penubuhan Masjid

87. (1) Majlis boleh pada bila-bila masa –

(a) Membenarkan sesuatu bangunan didirikan untuk digunakan sebagai masjid;

(b) Membenarkan penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid; atau

(c) Menetapkan mana-mana surau, madrasah atau bangunan lain menjadi masjid.

(2) Majlis tidak boleh memberikan kebenarannya atau membuat penetapan di bawah subseksyen (1) melainkan jika tapak bangunan yang hendak digunakan sebagai masjid itu telah dijadikan wakaf yang berkekalan.

(3) Majlis boleh, melalui pemberitahuan dalam warta, menentukan atau mengubah sempadan mana-mana kariah masjid.

Penyelenggaraan masjid dan kawasannya

88. (1) Majlis hendaklah memastikan bahawa semua masjid di dalam negeri Perak Darul Ridzuan berada dalam keadaan baik yang sepatutnya dan bahawa kawasan-kawasannya diselenggarakan dalam keadaan bersih yang sepatutnya.

(2) Majlis boleh memperdapatkan dan menggunakan atau membenarkan pemerdapatan dan penggunaan, wang khas bagi maksud apa-apa pembaikan dan penyelenggaraan itu daripada Baitulmal.

(3) Imam hendaklah dengan segera memberitahu Majlis tentang apa-apa keadaan yang memerlukan pembaikan dalam masjidnya, dan hendaklah memeriksa atau mengawal selia mana-mana pembaikan itu sebagai ejen untuk dan bagi pihak Majlis.

(4) Tiada perubahan yang material kepada struktur masjid boleh dibuat tanpa kebenaran daripada Majlis.

(5) Majlis boleh mengarahkan sesuatu Jawatankuasa Kariah supaya menyenggarakan masjid yang di bawah tanggungjawabnya dalam keadaan baik yang sepatutnya.


Perlantikan Pegawai Masjid

89. (1) Bagi tiap-tiap masjid di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dilantik seorang atau beberapa orang imam, Bilal dan Pembantu Bilal.

(2) Bagi tiap-tiap masjid yang ditetapkan oleh Duli yang Maha Mulia Sultan selepas berunding dengan Majlis, Imam dan Bilal hendaklah dilantik daripada kalangan perkhidmatan awam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(3) Bagi tiap-tiap masjid yang tidak ditetapkan di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah melantik Imam dan Bilal daripada kalangan ahli kariah bagi masjid itu.

(4) Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid hendaklah dilantik daripada kalangan ahli kariah bagi masjid itu.

(5) Apabila seksyen ini mula berkuatkuasa, tiap-tiap orang yang sebaik sebelum seksyen ini berkuatkuasa ialah Imam, Bilal atau Pembantu Bilal bagi masjid yang ditetapkan di bawah Enakmen terdahulu hendaklah masing-masing disifatkan telah dilantik dengan sewajarnya di bawah seksyen ini sebagai Imam, Bilal dan Pembantu Bilal bagi masjid itu dan hendaklah, tertakluk kepada seksyen 91, terus memegang jawatan sebagai Imam, Bilal atau Pembantu Bilal masjid itu.

Tauliah Pegawai Masjid

90. (1) Tiap-tiap orang yang dilantik oleh Majlis menjadi Pegawai Masjid, termasuk tiap-tiap orang yang disifatkan telah dilantik sedemikian di bawah subseksyen 89(5), hendaklah diberikan tauliah oleh Majlis.

(2) Tiap-tiap Pegawai Masjid hendaklah mempunyai kuasa-kuasa dan kewajipan-kewajipan yang dinyatakan dalam peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini dan dalam tauliahnya.

Tempoh jawatan Pegawai Masjid

91. (1) Perlantikan seseorang Pegawai Masjid selain Imam dan Bilal bagi masjid yang ditetapkan di bawah subseksyen 89(2) atau disifatkan telah dilantik di bawah subseksyen 89(5) sebagai Pegawai Masjid, boleh ditamatkan dengan notis bertulis oleh Majlis.

(2) Tiada seorang pun Pegawai Masjid yang dilantik atau disifatkan dilantik di bawah subseksyen 89(5) boleh terus memegang jawatan itu selepas mencapai umur enam puluh tahun:

Dengan syarat bahawa Majlis boleh, jika difikirkannya sesuai, melantik mana-mana orang menjadi Pegawai Masjid walaupun orang itu telah mencapai umur enam pulum tahun atau melanjutkan tempoh perkhidmatan Pegawai Masjid yang telah mencapai umur enam puluh tahun.

(3) Setiausaha hendaklah memaklumkan kepada Majlis tentang kelakuan mana-mana Pegawai Masjid yang mencemarkan namanya, sama ada yang berhubungan dengan kewajipan-kewajipannya sebagai Pegawai Masjid atau selainnya dan membuat apa-apa syor yang munasabah.

Kawalan dan arahan atas Pegawai Masjid

92. Dalam pelaksanaan kewajipan-kewajipan mereka, Imam, Bilal dan Pembantu Bilal adalah tertakluk kepada kawalan dan arahan Majlis.

Jawatankuasa Kariah

93. (1) Majlis boleh, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan-peraturan  bagi –

(a) penubuhan Jawatankuasa Kariah bagi sesuatu kariah masjid;

(b) menetapkan cara bagaimana anggota Jawatankuasa Kariah itu hendaklah dilantik; dan

(c) menetapkan fungsi-fungsi Jawatankuasa Kariah itu.

(2) Jawatankuasa Kariah sesuatu kariah masjid, bersama-sama dengan Pegawai Masjid, hendaklah –

(a) bertanggungjawab bagi pengelolaan sempurna dan keadaan baik masjid dan semua tanah perkuburan Islam dalam kariah masjid itu;

(b) bertanggungjawab bagi kelakuan baik anak kariah masjid itu dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam; dan

(c) memberikan maklumat wajar dan segera kepada Majlis tentang semua perkara yang berbangkit dalam kariah masjid itu yang memerlukan perhatian Majlis.

Pengecualian

94. Majlis boleh, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta, mengecualikan mana-mana masjid daripada semua atau mana-mana peruntukan Bahagian ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...