Tuesday, March 31, 2009

Perlukah Sampai Sebegini ?

Pembabtisan Gus Dur



Walaupun sebagai Umat Islam pastinya amat menyedihkan melihat saudara kita dimurtadkan satu persatu. Namun sedikit kegembiraan sedikit tercetus di hati, menganangkan Gus Dur adalah salah seorang pimpinan jemaah Islam yang mempunyai keahlian yang ramai. Dalam masa memimpin negara Indonesia dan jemaahnya, bukan sedikit tindakan dan ucapannya yang dianggap tidak memihak kepada Islam. Bukan sedikit manusia yang mendewainya menjadi rosak agamanya akibat sikapnya yang mendokong gerakan pemikiran Liberal. Semoga dengan ini akan menyedarkan mereka yang telah tersesat kerananya dan mampu mengelakkan Umat Islam di Indonesia daripada mengambil sebarang fatwa dan pandangannya sehingga menjadikan mereka sesat dalam mencari kebenaran. Semoga Allah membukakan kembali pintu hatinya dan kembali menjadi muallaf dan kembali mempelajari agama Islam yang disangkanya begitu difahaminya selama ini.

Monday, March 30, 2009

Kehebatan DS Nizar Mampu Merampas Majlis BN

TAIPING: Pada hari pertama berkempen, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamalaluddin cuba mencetuskan kekecohan apabila 'merampas' majlis bacaan Yassin dan solat hajat anjuran Barisan Nasional (BN) di Masjid Simpang di sini, 7.30 malam. Perkara itu didedahkan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang mendakwa Nizar bersama beberapa penyokongnya memasuki masjid itu dan terus mengimamkan solat Maghrib. "Bagaimanapun, dia kemudian bertindak keterlaluan apabila cuba mengambil alih jemaah dengan meminta mikrofon daripada imam dan cuba mengadakan ceramah sebelum menunggu Isyak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program lawatan dan memperkenalkan calon BN, Ismail Saffian di Tokong Nyee Wong Kong, di sini. Zambry berkata kejadian turut disaksi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Beliau berkata, tindakan Nizar itu seperti dirancang dan jelas calon Pas itu sanggup menggunakan masjid sebagai gelanggang berpolitik untuk berceramah. "Perbuatan Nizar sangat menyedihkan dan satu tindakan provokatif. "Saya percaya beliau, selepas ini tidak teragak-agak menggunakan pelbagai alasan untuk menjadikan masjid sebagai tempat melakukan perbuatan seumpama itu.



Penjelasan Imam Terbabit (Blog Anak Sengat):

Saya menerima tel sahabat bertanyakan tentang kejadian "Rampasan Kuasa" di satu Masjid di Bukit Gantang. Melihat laporan akhbar melaporkan ia angkara bekas Menteri Besar yang juga Calon PAS- DS Nizar Jamaludin. Setelah menyelidiki masjid saya difahamkan berlaku di Masjid Simpang Taipig... Cantikkk. Imamnya adalah sahabat baik saya...Terus mendail nombor hpnya. Semalam baru bertemu beliau di taiping. Ketika menjawab telefon beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur... " Memang ana imam yang bertugas masa tu dan memang ana yang jemput DS Nizar jadi imam" saya lega..beliau bercerita...Masa ana datang Maghrib, DS Nizar telah ada,. Memang ana difahamkan beliau akan solat di situ..tak pulak dengar cerita umNO nak buat bacaan Yasiin. Mungkin depa dah tahu DS Nizar nak ke situ... ( mengikut catatan, Zamri memang banyak kali didapati menjejaki DS Nizar setelah DS Nizar hadir di sesuatu tempat sejak mula merampas kuasa.)Ana tak perasan ada Zamri dan Muhyidin Yasin.. Ana terus bagi pada DS Nizar jadi imam.Selesai menjadi imam dan wirid DS Nizar melepaskan Pembesar suara lalu di ambil oleh seorang imam luar yang diangkut ke situ( katanya usatz MPT- Terompah le tu ustaz jelmaan -MPT mana ada jawatan ustaz). Ana minta pembesar suara tetapi beliau tak bagi...ana jerkah bagi tau "ana imam di sini". Terkejut lalu terus menyerahkan kepada ana mikrofon tu. Ana pun jemput orang yang jadi imam tadi hurai ayat " wa'tasimu" (aliImran) untuk beri tazkirah. Tiba tiba orang umNO bantah tak mahu tazkirah..politik katanya. Oleh kerana agak kecoh ana pun serah untuk baca Yasin..DS Nizar turut berada bersama ketika membaca Yasiin. Zamri telah keluar sebelum Yasiin dibacakan..tinggal Muhyidin dan Calon.Kalau DS Nizar bagi Tazkirah ana cadang nak jemput pulak Zamri lepas tu...sahabat saya menambah... Lepas ni mungkin kena pecat le ana.... Beliau menghabiskan cerita... Tahniah saya menyambut... Agaknya sahabat itu akan jadi seperti Ramlan Porigi le gamaknya....Kesimpulan; Nizar dijemput oleh imam bertugas bukan merampas sebagaimana cerita Zamri penipu. Nizar bertolak ansur dan bersedia membaca Yasiin bersama dalam majlis walaupun imam luar yang diangkut menjadi khalifah hari tu..Inilah cerita dari mulut insan yang terlibat dan tiada kepentingan dalam cerita ni... Zamri.... Dari dulu hingga kini dan selamanya tak boleh dipercayaiiiiNak dengar sendiri dari sahabat tu boleh hubungi saya..tapi kalau saya tak kenal sedara...jangan harap saya nak bagiiii.maaf le... Cerita penuh juge ada dalam Al Banjari sahabt yang hidup mati di Bukit Gantang..Tahniah! Blog MB pun ada Setpol pun ada...macam macam ada.



Sedikit Kemusykilan:


  • DS dijemput oleh Imam. Macamana nak kata dia rampas Majlis BN.


  • BN nak buat majlis Yasin tak bagitau imam ke. Boleh ke imam jemputan rampas kuasa imam masjid.


  • Tidakkah dikatakan BN menggunakan masjid sebagai gelanggang politik dengan mengadakan Majlis Yasin dan Solat Hajat tanpa keizinan AJK dan Pegawai Masjid.


  • Hebatnya imam tu yang berani mempertahankan mikrofon yang telah dirampas oleh imam pendatang haram tu.


  • Apakah imam pendatang haram tu telah lulus temuduga imam oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.


  • Apalah nasib imam tu selepas ini setelah beliau menjalankan tugas dengan baik.

Sunday, March 29, 2009

Friday, March 27, 2009

CERAMAH MAULIDUR RASUL

Ceramah Maulidur Rasul di Masjid Ridwaniah, Kuala Kangsar (Masjid Daerah)

Penceramah : Prof. Dato' Dr. Hj. Haron Bin Din Al-Hafiz

Tarikh : Hari Rabu, 1 April 2009

Masa : Selepas Solat Maghrib.

"Dijemput Bersama Menimba Ilmu Ulamak Pewaris Nabi"

Thursday, March 26, 2009

BLOG TOK GURU DIBUKA HARI INI

Pendapat dan buah fikiran daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ditulis dalam blog tok guru yang dilancarkan hari ini. Majlis pelancaran blog tok guru dijalankan serentak dengan pelancaran khidmat wi-fi A’ptus Net yang merupakan anak syarikat kepada PKINK atau juga dikenali sbg SEDC. Mukadimah yang terdapat dalam blog ini adalah seperti berikut :

Selamat datang ke laman blog saya. Disini anda dapat membaca segala pendapat dan buah fikiran dari saya tentang isu-isu politik, semasa dan agama. Semoga dengan adanya blog ini, kita dapat sama-sama mendapat kebaikan darinya, InsyaAllah.
Blog ini boleh dilayari di http://blogtokguru.com/

Wednesday, March 25, 2009

Penarikan Balik Sijil Pengesahan Halal

Adalah dimaklumkan bahawa Panel Pengesahan Halal, Jabatan Agama Islam Perak yang telah bersidang pada 27 Februari 2009 telah membuat keputusan untuk menarik balik Sijil Pengesahan Halal bagi premis perniagaan makanan seperti berikut:

a. The Gate Cafe
No. 93, Tingkat 1, Pusat Komersial, 33000 Kuala Kangsar, Perak.
b. Marina Cove Resort Management SDN Bhd
Jalan Teluk Batik, 32200 Lumut, Perak

Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan tidak lagi memberikan jaminan terhadap status halal bagi sajian makanan yang dijual di kedua-dua premis tersebut sehinggalah tindakan pembetulan dilakukan sehingga melayakkan pemberian semula sijil pengesahan tersebut.

Tuesday, March 24, 2009

Bukit Gantang Akan Diwakili Bapa Demokrasi Perak Darul Ridzuan

Seluruh pendusuk Bukit Gantang sewajarnya bersyukur dan bergembira kerana mereka Insya Allah mereka akan diwakili oleh tokoh yang layak saya gelarkan sebagai "Bapa Demokrasi Perak Darul Ridzuan", ke sidang Parlimen akan datang . Kekentalan semangat tokoh ini dalam mempertahankan prinsip dan ketelusan dalam berdemokrasi tidak mungkin dapat disangkal sehingga kemuncaknya beliau sanggup menyatakan kebenaran walaupun di hadapan Paduka Seri Sultan. Keberanian luar biasa seperti ini bukanlah mampu dilakukan oleh sebarang manusia sehingga sebahagian manusia yang tidak mampu berfikir panjang menganggap dan mengaitkan beliau dengan isu penderhakaan.

Sunday, March 22, 2009

Mee Tarik & Mee Sagat

Selama ini aku sering terpegun melihat Jacky Chan membuat mee tarik dalam filem kungfunya. Lawatan ke Negara China membolehkan aku melihat dengan mata kepala sendiri. Kebanyakkan penjual mee di sini menggunakan kaedah tarik ataupun disagat. Mulanya aku menyangka tepung yang siap diuli adalah untuk membuat roti canai dan sebagainya. Namun hajat nak merasai roti canai di sini hanya tinggal harapan. Tepung tersebut adalah untuk dibuat mee. Ianya ditarik atau disagat berdasarkan order yang dibuat.


Kedai halal yang biasanya ada di setiap bandar seperti menggunakan kaedah franchaise. Dengan design dan menu yang sama kebanyakkan kedai dinamakan "Thoamul Muslim". Kita hanya mampu melihat gambar pada papan menu dan menunjukkan kepada pekedai. Tidak ada sepatah perkataan kita, yang difahami oleh mereka.

Suatu yang amat sukar bila makan mee di sini adalah untuk menghabiskan semangkuk mee yang diorder. Dalam keadaan biasa semangkuk mee cukup untuk dimakan oleh dua atau tiga orang di sini. Kurangnya di sini hanyalah dari sudut minumannya. Tidak ada yang aku lihat sesiapa membuat order minuman kecuali arak. Bagi minuman biasa hanya dihidangkan teh Cina yang tawar walaupun tanpa diorder. Mungkin penduduk China kurang menginap diabetes.

Budak Kecik Mengalahkan Raja

Alkisah dalam satu negeri tu adalah seorang raja yang sangat ego. Baginda mempunyai seekor kuda yang sangat patuh kepadanya. Raja ini telah mengadakan satu pertandingan siapa di antara rakyatnya yang dapat mengarahkan kuda tu duduk, dapatlah hadiah lima ratus dinar. Apabila hari pertandingan bermula, keluarlah seluruh rakyatnya untuk menyaksikan siapa yang boleh membuatkan kuda tu duduk. Hari dah hampir senja tapi masih tiada yang dapat berbuat demikian.

Thursday, March 19, 2009

Nik Nur Madihah yang memperoleh 20A dalam peperiksaan SPM yang lalu berkata beliau perlu berfikir panjang sama ada ke Timur Tengah menyambung pelajaran dalam bidang keagamaan, atau mendalami ilmu fizik yang diminatinya di United Kingdom (UK). Katanya, "Saya memang berminat untuk belajar ilmu agama di Timur Tengah, tetapi pada masa yang sama, saya juga minat mempelajari fizik. Mereka yang lebih arif termasuk seorang profesor fizik dari sebuah universiti tempatan pula, mencadangkan saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dalam bidang fizik."

Persoalan ini adalah dilema yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar yang mahu mendalami sains dan agama secara serentak. Seolah-olah terdapat pertentangan yang amak hebat di antara kedua-dua disiplin ilmu. Salah satu daripadanya terpaksa dikorbankan. Ironinya, kebanyakan manusia akan meyarankan agar pendidikan agama dikorbankan. Suatu yang dianggap pelik dan merugikan jika pelajaran sains dikorbankan demi mengejar pendidikan agama.
Kebanyakan pelajar terbaik akan ditawarkan dengan berbagai bantuan oleh berbagai pihak. Kalaupun tidak ditawarkan, kebanyakan pelajar atau penjaga akan melakukan berbagai usaha bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran di berbagai bidang. Selalunya jika sekiranya mereka gagal, barulah mereka melihat mana-mana institusi pendidikan agama bagi mengelakkan mereka daripada tercicir. Selain daripada itu institusi agama juga dijadikan tumpuan penjaga bagi memulihkan anak-anak yang bermasalah. Ini menyebabkan agama dikuasai oleh mereka yang kurang berketerampilan. Malah sebahagian mereka menjadi sembilu yang mencemarkan institusi agama yang sepatutnya begitu dihormati.
Kebanyakan ibu bapa memikirkan masa depan anak-anak mereka dari sudut peluang kerjaya yang bakal diperolehi. Pandangan umum menganggap aliran agama tidak punya peluang kerjaya dan tidak menjamin masa depan seseorang pelajar. Ini kerana keperluan kepada agama tidak begitu difikirkan oleh berbagai agensi samada kerajaan atau swasta. Namun apabila berlaku kemelesetan ekonomi global, banyak pekerja yang menghadapi masalah pembuangan kerja. Beberapa agensi terpaksa mengorbankan pekerja-pekerja yang dulunya amat diperlukan tetapi boleh dikorbankan. Maka bertambah lagilah pengangguran di kalangan siswazah yang akan keluar tanpa bekalan pengalaman. Keadaan ini tidak pernah berlaku kepada mereka yang berpendidikan agama. Belum ada lepasan agama yang menganggur kecuali mereka malas ataupun tidak mampu menggunakan kelebihan ilmu mereka. Walaupun mungkin tidak menjanjikan kemewahan namun sudah ramai yang mampu memperolehinya. Maka bersamalah kita fikirkan, apakah paradigma dan dogma yang ada pada masyarakat hari ini masih lagi relevan atau perlu kepada perubahan segera.

Tikus Membaiki Labu


Berbagai kritikan diberikan oleh berbagai pihak terhadap keputusan Lembaga Disiplin UMNO terhadap berberapa orang ahli termasuk Ali Rustam dan Khairi Jamaluddin. Kes-kes rasuah seperti ini bukanlah merupakan perkara baru dalam UMNO. Namun dalam UMNO ada rasuah yang dianggap jenayah dan ada rasuah yang dianggap hanya sebagai tidak berdisiplin. Rasuah yang terbongkar akan terlepas dari tindakan SPRM jika ianya di bawa ke Lembaga Disiplin. Malang bagi beberapa pihak yang tidak sempat diselamatkan oleh Lembaga Disiplin seperti kes Azalina, Norza dan sebagainya, maka ianya hanya boleh diselamatkan melalui makanisme kerajaan.

Sunday, March 15, 2009

Hujan Emas Di Negeri Orang..........

Kalaulah tidak kerana menjejakkan kaki ke Tanah Besar China, sehingga kini aku masih menganggap rakyat negara tersebut masih hidup dalam suasana kampung dan mundur. Bagi kebanyakan orang kampung sepertiku, sesekali melihat KLCC dan KLIA, kita terlupa ada negara yang lebih hebat daripada kita. Namun berada di China merobah terus persepsiku terhadap negara tersebut. Apakah kalimah yang boleh menggambarkan jika Air Port domistic di sini hampir menyamai standard KLIA. Jumlah air port di sini entah berapa ratus buah memandangkan negara yang amat luas.

Kebanyakan jalanraya di sini termasuk di bandar-bandar adalah besar (sehala 2 atau 3 lorong). Ini bersesuaian dengan arahan Khalifah Umar Al-Khattab kepada gabenor-gabenornya. Kalaulah jalanraya di sini seperti di Malaysia, entah macamanalah teruknya kesesakan lalulintas yang akan berlaku. Penggunaan hon adalah maksima sehinggakan nak memotong di highwaypun biasa dibunyikan hon. Pemandu yang berada di sebelah kiri menyebabkan kekoknya kita melihat bagaimana memilih jalan. Namun sikap manusia jenis Cina ini tetap sama. Peraturan tidak begitu dihormati sehingga ada yang masuk ke jalan menyongsong arus.

Walaupun pelacuran boleh membawa hukuman mati, namun ianya boleh dilakukan dengan mudah. 10 minit selepas check ini, telefon berdering. Entah apa yang dikatakannya, kecuali massage dan sex. Bayangkan mudahnya kita terjebak jika tidak punya iman yang kukuh di dada. Amoi di sini tidak sepet seperti di Malaysia, tetapi cukup menawan tak ubah seperti pelakon Hong Kong yang disiarkan di TV.

Satu Lagi Kesilapan Pakatan Rakyat

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini merobohkan plak peringatan 'tersebut yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lalu.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Dr Mah Hang Soon berkata tindakan meroboh plak itu adalah mengikut undang-undang kerana pembinaannya merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyebabkan halangan di tempat awam."Saya tidak anggap kes ini sebagai satu kes yang istimewa kerana sebarang pembinaan secara haram tanpa kebenaran MBI akan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang," katanya mengulas mengenai tindakan pekerja MBI membersihkan kawasan berkenaan pagi ini, lapor Bernama.Semalam, MBI mengeluarkan notis mengarahkan pemilik plak 'pokok demokrasi' yang terletak di Medan Istana supaya merobohkan tugu berkenaan dalam tempoh 24 jam.Notis itu ditampal pada pokok berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan dan menjadi tempat persidangan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang yang gagal memasuki Dewan. Persidangan itu meluluskan tiga usul termasuk pembubaran DUN.Notis yang ditandatangani Pegawai Undang-undang MBI, Syahrul Azrin Ghazali bagi pihak Datuk Bandar Ipoh menyatakan pembinaan tugu itu menyalahi Seksyen 46(1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan di tempat awam.

Kalaulah Pakatan Rakyat bertanya kepada orang yang berpengalaman mungkin banyak perkara mampu diselesaikan. Dalam kes Plak Peringatan inipun kalau ditanya mungkin tidak ramai yang merasa hairan dan terkejut dengan tindakan MBI. Cuma nya, kalau ditanya padaku, aku akan mencadangkan agar didirikan tokong Hindu di kawasan tersebut. Hanya tokong Hindu sahajalah satu benda yang kebal daripada tindakan runtuh oleh MBI.

RADIX FRIED CHICKEN SEBAGAI ALTERNATIF

Isu pemboikotan Syarikat Makanan Segera yang terbabit dengan Israel seperti Mc Donald, KFC dan sebagainya sering diperbincangkan. Antara hujjah yang sering dilontarkan bagi memujuk umat Islam agar tidak menyokong pemboikotan itu adalah kerana ianya membabitkan 90% pekerja Islam. Jumlah 90% ini adalah mewakili puluhan ribu pekerja yang akan menimbulkan masalah pengangguran beramai-ramai Umat Islam.

SEMINAR PEGAWAI MASJID SIRI 1/2009

Seminar Pegawai Masjid Siri 1/2009
Anjuran Bersama
Bahagian Pengurusan Masjid
Dan
Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid (Pewarak)
Tarikh : 21 Mac 2009
Masa : 8.00 Pagi Hingga 4.30 Petang
Tempat : Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar
Peserta : 2 Orang Imam, 2 Orang Bilal Dan 2 Orang
Siak Setiap Masjid Di Kuala Kangsar

Saturday, March 14, 2009

Hujah-Hujah Bapa PPSMI (Chedet)

Saya belum pernah secara jelas melihat dan mengkaji hujah-hujah bapa PPSMI (Chedet) ketika permulaan perlaksanaannya dulu. Maklumlah ketika berkuasa, sepatah kata dikeluarkan maka berkajang-kajanglah huraian dan tafsiran dibuat dan diseminarkan oleh berbagai peringkat para ilmuan. Namun apabila melihat hujah beliau sendiri , maka saya merasakan tidaklah sehebat mana pemikirannya sebagaimana yang diperkatakan selama ini.

Saya hairan bagaimana boleh ditimbulkan persoalan Sains dan Matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa melayu. Ini kononnya disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu dan sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan. Kita sedang berhadapan dengan kemusnahan Bahasa Melayu di negara yang masih mempunyai penutur Bahasa Melayu. Kalau bahasa ini hilang dari Malaysia dan Indonesia, maka tidak akam ada lagi penuturnya di dunia ini suatu masa nanti. Terlalu jauh untuk mengharapkan kedua subjek ini menolong kemajuan bahasa ini, namun apakah bahasa ini tidak mampu digunakan pada kedua-dua subjek.

Adakah beliau terlalu sayangkan Bahasa Melayu dengan hujahnya, "Jika kita Melayu-kan perkataan-perkataan ini, Bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi." Apakah dengan banyaknya cedokan dari luar ianya bukan lagi bahasa yang asli. Adakah Bahasa Inggeris suci daripada sebarang cedokan.

Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Semua ilmu sebenarnya tidak ada yang statik. Apakah mereka yang mahir berbahasa Inggeris akan memahami artikel Sains dalam Bahsa Inggeris jika tiada ilmu asas berkaitan dengannya. Contohnya pemandu teksi berbangsa Inggeris. Apakah dia faham membaca artikel Sains dalam bahasa ibundanya. Isunya adalah pemahaman kepada teori dan kaedah sains bukan bahasanya. Apa kurangnya pakar sains dan matematik Melayu selama ini yang belajar dengan bahasa ibundanya, tetapi boleh memahami artikel sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bahkan fasih menggunakannya.

Kata Chedet : Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.
Dia lupa adakah dia belajar sains dan matematik dengan bahasa apa. Kalau mahir sains dan matematik dengan bahasa ibunda tak boleh maju agaknya. Kitapun tak nak guna bahasa sendiri macamana nak harapkan orang lain belajar bahasa kita.
Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.
Apa agaknya standard penilaian sayangkan bangsa dalam kepala otak dia. Dia ingat orang akan hormat dan segan dengan kita bila kita bercakap bahasa mereka. Akhirnya jelaslah isu pembangkang juga yang dipikirnya. Dulu dia suruh lanyak rakyat dengan gas pemedih mata. Bila dia kena tau lak bising. Nanti kalau kena sumbat ISA nanti kita tengokle berapa orang nak berdemonstrasi untuk orang tua ni...

Friday, March 13, 2009

Plak Pokok Demokrasi Yang Digeruni

Plak Papan Tanda Pokok Demokrasi yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin pada 8 Mac yang lepas didapati rosak teruk dan pecah berkecai dipercayai telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Papan tanda itu diletakkan di situ sebagai memperingati satu Mesyuarat Tergempar DUN Perak yang berlangsung pada 3 Mac yang lepas. Pokok tersebut mendapat perhatian dan mendapat kunjungan ramai dari berbagai pihak. Setelah plak diletakkan, lebih ramai pengunjung yang datang untuk bergambar di pokok itu.
Ini menunjukkan kebimbangan yang amat sangat di kalangan musuh terhadap Pakatan Rakyat. Sokongan yang semakin bertambah menyebabkan mereka diigaui mimpi ngeri. Peristiwa ini sememangnya sudah dijangka oleh kebanyakkan pihak memandangkan sikap mereka yang menimbulkan kekecohan ketika Sidang DUN ingin dilangsungkan dahulu.

Tuesday, March 10, 2009

Salahkah Aku Menyayangi Bahasa Bangsaku Sendiri?

Beberapa tahun yang lalu, ketika menyampaikan kuliah di Masjid Tengku Hussein, Ipoh aku telah menyentuh dan memberikan pandangan ikhlasku terhadap perkara di atas. Ketika itu tidak ramai para intelektual termasuk pakar-pakar bahasa yang menyatakan bantahan secara terbuka berkenaan keputusan kerajaan tersebut. Ini menyebabkan sesiapa sahaja yang mempertikaikannya dianggap dipengaruhi pembangkang dan dipandang serong oleh pihak pemerintah. Secara kebetulan, pengerusi masjid tersebut yang kebetulan mempunyai hubungan kekeluargaan yang amat rapat dengan Menteri Besar Perak ketika itu turut hadir dan mendengar kuliah tersebut. Walaupun beliau sehingga kini masih menjadi sahabat yang amat rapat denganku namun oleh kerana hubungannya dengan parti pemerintah ketika itu, telah menyebabkan setiap yang keluar daripada mulutnya tidak dianggap ringan. Walaupun aku amat berkeyakinan bahawa beliau tidak berniat mendatangkan kesusahan kepadaku namun gurauannya denganku di hadapan pembesar kerajaan termasuk Pengarah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Perak telah menyebabkan aku menerima kesan sehingga kini. Berbagai kesan sampingan terpaksa aku lalui dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam yang dianggap menyebelahi pembangkang. Namun kini bukan sahaja pembangkang yang menyuarakan bantahan malah berbagai pihak termasuk cerdik pandai dan tokoh yang diiktiraf kehebatannya oleh pihak pemerintah. Ini membuktikan bahawa mengaitkan aku dengan pembangkang dalam soal ini adalah kesilapan yang nyata. Antara pandangan yang agak baik untuk di nilai adalah pandangan Prof Dr Awang Sariyan yang hidup matinya dicurahkan untuk memartabatkan Bangsa melalui Bahasa. Sama-samalah kita membuat penilaian secara tenang, adil dan terbuka dan bantulah perjuangan mempertahankan bangsa ini walaupun ianya diusahakan oleh pihak mana sekalipun.


Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.
Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.
Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.

Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri). Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.

Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu�China Beijing Foreign Studies University

Memorandum GMP kepada Yang Dipertuan Agong

Gerakan Mansuh PPSMI


Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.

Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!

Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.

Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.

Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.

Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.

Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.

Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato? Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).

Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.

Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.

Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.

Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah.

Sunday, March 08, 2009

Seminggu Negeri Ini Kutinggalkan




Seminggu lamanya aku meninggalkan Perak tidak pernah melupakan hati ini terhadap tanah tumpah darah tercinta ini. Ketika berada di Negara China, kesempatan terluang bagi melayari internet tetap digunakan bagi mendapatkan maklumat mengenai isu semasa di negeri ini. Terkilan rasanya kerana tidak berkesempatan melibatkan diri menjadi saksi peristiwa bersejarah, Persidangan DUN di bawah pokok yang pastinya menjadi catatan sejarah terulung dunia. Rakyat Perak dahulunya telah membuktikan kehebatan mereka menentang penjajah, mengasaskan kebangkitan Islam seluruh negara dan kini rakyat Perak mengajar negara erti demokrasi tanpa kongkongan budaya tradisi.

Sunday, March 01, 2009

Sekitar Pengkebumian Mertua Menteri Besar

Awal tengahari hari tadi berlangsung upacara pengkebumian Bonda kepada Datin Seri Fatimah Taat dan Ibu Mertua kepada YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar yang telah kembali ke rahmatullah malam semalam (28hb. Februari, 2009) di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Datuk, Tapah, Perak Darul Ridzuan.
Jenazah dibawa ke Masjid Tapah untuk disembahyangkan lebih kurang jam 11:15 pagi dan YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar telah mengimamkan solat jenazah.

Kelihatan ramai sahabat-sahabat, rakan-rakan, penyokong-penyokong dan teman-teman seperjuangan hadir untuk memberi penghormatan terakhir dan menyampaikan ucapan takziah kepada YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar dan Datin Seri Fatimah atas pemergian Allahyarhamah.Antara yang hadir ialah Mustafa Ali, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Zul, Saudara Idham Lim, Ustaz Norazli dan Saudara Misbahul Munir.

Pasangan yang tabah, YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar dan Datin Seri Fatimah Taat.


YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar mengimamkan solat jenazah.


Mengamimkan doa selepas solat jenazah.


Ketika jenazah sedang diturunkan kedalam liang lahad.


Menyempurnakan bacaan talkin.


Penghormatan terakhir.


Jenazah Allahyarhamah disemadikan disebelah pusara suaminya Taat bin Haji Abdul Rahman yang terlebih dahulu meninggalkan mereka pada 4hb. November, 1974.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...