Sunday, November 10, 2013

Khutbah Jumaat ; PERLUKAH KITA BERSATU


اَلْحَمْدُ ِللهِ القائل :

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ  لأمنَ مَنْ فِي الأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (سورة يونس : 99)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدَنـَا مُحَمَّدِنِ الْهَادِىْ اِلىَ الْحَقِّ  وَاِلىَ الصِّرَاطِ الْمُسْتَقِـيْمِ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ. اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.


Saudara kaum muslimin yang berbahagia,
          Daripada dahulu sehingga kini, kita sentiasa disogokkan dengan gesaan untuk bersatu dan berpadu, seolah-olahnya dengan bersatu padu semua masalah ummat akan dapat diselesaikan. Sebahagian kita menghendaki semua manusia menerima pandangan dan pendapat mereka seolah-olahnya menyanggahinya merupakan satu dosa yang amat besar. Kebanyakan kita tidak dapat menerima mereka yang tidak bersama dengan kita dan tidak merasakan mereka bersaudara dengan kita jika mereka tidak mentaati kita secara total.

         

Sidang Jumaat Sekelian,

Khilaf  bermakna berselisih pandangan atau pendapat. Dikatakan sesuatu kaum itu berkhilaf apabila sebahagiannya mengambil jalan yang berlainan daripada jalan yang lain daripadanya. Pada zaman Rasulullah S.A.W tidak berlaku sebarang perselisihan kerana mereka bersegera mencari kebenaran melalui nabi. Berbeza dengan kita hari ini yang masih terus berselisih dalam urusan yang sudahpun diputuskan oleh Rasul apatah lagi urusan yang tidak diputuskan oleh Rasul. Apabila baginda wafat maka bermulalah perselisihan di kalangan para sahabat sehinggalah ke hari ini.

 

Sidang Jumaat Sekelian,

Perselisihan pertama yang berlaku dalam sejarah adalah mengenai kewafatan Rasulullah S.A.W. Saidina Umar Al-Khattab mengengkari kewafatan baginda dan mengatakan bahawa baginda tidak mati tetapi diangkat oleh Allah SWT sebagaimana diangkatNya Nabi Isa anak Maryam. Perselisihan ini hilang ketika mana Saidina Abu Bakar membacakan Surah Ali Imran ayat 144 dan Surah Az-Zumar ayat 30.

Firman Allah SWT :

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ – آل عمران : 144

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

 

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ – الزمر : 30

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.


Sidang Jumaat Sekelian,

Perselisihan kedua timbul mengenai tempat pengkebumian Rasulullah SAW kerana ada sahabat yang mengatakan di Mekah kerana ianya tempat lahir Rasulullah, tempat diutusnya sebagai rasul, qiblat umat Islam dan tempat dikebumikan Nabi Ismail. Sebahagiannya mengatakan di Madinah kerana ianya merupakan tempat hijrah dan tempat mengembangkan Islam. Sebahagian sahabat pula berpendapat di Baitul Maqdis kerana ianya tempat pengkebumian Nabi Ibrahim. Perselisihan ini akhirnya hilang apabila Saidina Abu Bakar mengingatkan mengenai hadis nabi yang menyebutkan :

إِنَّ اْلأَنْبِيَاءَ يُدْفَنُوْنَ حَيْثُ يُقْبَضُوْنَ

Para Nabi dikebumikan di tempat kewafatannya.

 

Sidang Jumaat Sekelian,

Perselisihan seterusnya berlaku dalam urusan perlantikan khalifah dimana Orang Ansar mahu melantik Saad Bin Ubadah  (سعد بن عبادة)tetapi tidak meneruskan hasrat itu apabila diingatkan kepada hadis Rasulullah SAW :

َاَْلأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

 Pemimpin itu hendaklah dilantik daripada keturunan Quraisy.

Walaubagaimanapun perselisihan ini berterusan kerana Golongan Khawarij mendakwa boleh dilantik selain Quraisy.

Kemudian berlakulah beberapa perselisihan seterusnya seperti perselisihan mengenai harta peninggalan nabi yang kemudiannya diselesaikan oleh Saidina Abu Bakar yang meriwayatkan hadis nabi :

نَحْنُ مَعَاشَرَ اْلأَنْبِيَاءِ لاَ نُوَرِّثُ

Ertinya : Sesungguhnya kami para anbiya’ tidak mewariskan.

Sahabat juga berselisih apabila Khalifah Abu Bakar As-Siddiq memerangi mereka yang enggan membayar zakat dan kemudiannya semua sahabat bersetuju dengan pandangan Abu Bakar yang mengatakan mereka wajib diperangi.

 

Hadirin yang dirahmati Allah,

          Jika para sahabat yang mendapat didikan secara langsung daripada Rasulullah SAW sendiripun menghadapi berbagai perselisihan pendapat maka apakah yang diharapkan kepada Umat hari ini untuk menjadi Umat yang satu yang tidak berbeza pandangan dan sikap mereka. Malah perselisihan pandangan di kalangan Umat adalah perlu dan tidak harus dibimbangkan selama mana kita menjaga adab dan hukum dalam berselisih pendapat.  Secara umumnya hukum perselisihan terbahagi kepada dua bahagian iaitu : Perkara yang diharamkan berselisih dan perkara yang dibolehkan berselisih. Diantara perkara yang diharamkan berselisih adalah:

1)    Rukun Islam yang lima.

Antaranya adalah Dua Kalimah Shahadah, Sembahyang 5 waktu, Haji bagi yang berkemampuan, Puasa di Bulan Ramadhan dan sebagainya. Umat Islam tidak dibenarkan sama sekali mempertikaikan perkara ini. Oleh sebab itulah Khalifah Abu Bakar memerangi golongan Murtaddin, golongan yang engkar kewajipan zakat dan mereka yang menyokong Musailamatul Kazzab.

2)    Rukun Iman yang enam.

Antaranya adalah beriman kepada Allah, Para Malaikat, Kitab-Kitab, Rasul-Rasul, Hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar. Ini berdasar ayat 136 Surah An-Nisa’ :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالاً بَعِيْدًا

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad SAW) dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

 

Maka tidak boleh diterima sama sekali aqidah dan I’tiqad yang bercanggah dengan I’tikad di atas termasuk I’tikad Ahli Batiniah yang menta’wilkan Hukum Syariat mengikut fahaman mereka seperti mengatakan menunaikan Haji itu sebagai menziarahi imam-imam mereka, puasa hanya menahan diri daripada membocorkan rahsia imam-imam mereka dan mereka mengatakan sesiapa yang memahami hakikat ibadat maka gugurlah kefardhuan beribadat daripadanya berdasarkan Firman Allah dalam Surah Al-Hijr : 99 :
(وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ – الحجر : 99 )      

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap diyakini)  yakni kematian.

 

3)    Semua nas Syarak yang sabit secara qat'i ( قَطْعِيُّ الثُّبُوْت ) iaitu Al-Quran dan Hadis Mutawatir  ( حَدِيْثٌ مُتَوَاتِرٌ ) dan Qat'i Dilalah ( قَطْعِيُّ الدِّلاَلَةُ ).

4)    Semua yang telah diijmakkan oleh Ulama' daripada masalah aqidah dan syariah.

          Maka barangsiapa yang mengengkari sesuatu daripada rukun Islam, Rukun Iman atau apa yang disepakati ulamak maka dia terkeluar daripada golongan orang yang beriman, menjadi murtad dan wajib orang Islam mengambil tindakan tegas terhadap mereka bagi menghalang kerosakan dalam agama dan perpecahan di kalangan Umat.

بَـارَكَ اللَّـهُ لِى وَلـَكُمْ فِى الْـقـُرْأَنِ الْـعَـظِـيْـمِ وَنـَفـَعَـنِى وَاِيـَّاكُمْ بـِاْلاَيـَاتِ وَالـذِّكـْـرِ الْـحَـكِـيْـمِ, وَتـَقـَبَّـلَ مِـنِّى وَمِـنـْكُمْ تِـلاَوَتـَهُ اِنـَّهُ هُـوَ الـسَّـمِيْـعُ الْـعَـلـِيْمُ. اَقـُوْلُ قـَوْلِى هَـذَا وَاَسْـتَـغْـفِـرُ اللَّـهَ الْـعَـظِـيْـمَ لِى وَلـَكُمْ وَلِـسـَائِـرِ الْـمُـسْـلِـمِـيْـنَ وَالْـمُـسْـلِـمَـاتِ وَالْـمُـوْءمـِنِـيْنَ وَالْـمُـوْءمِنـَاتِ فـَاسْـتـَغـْفـِرُوْهُ اِنـَّهُ هُـوَ الْـغَـفـُوْرُ الـرَّحِـيْـمُ  .

 

Wednesday, November 06, 2013

Khutbah; Kewajipan Berhijrah Dan Berjihad


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُمْ مِنْ وَلَايَتِهِمْ مِنْ شَيْءٍ حَتَّى يُهَاجِرُوا وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلَّا عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (الأنفال:72)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.

أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ  اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!
         Marilah kita bersama bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan Islam. Marilah kita berhijrah daripada kehidupan yang hanya mementingkan dunia dan kepentingannya, kepada kehidupan yang penuh dengan iman dan taqwa, yang hanya akan memenangkan Islam berbanding dunia dan seisinya. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

         Hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah bukan sahaja perlu dilihat dari sudut dan bentuk penghijrahan peribadi tetapi yang lebih besar dari itu adalah penghijrahan tanahair baginda dari sebuah negara pimpinan golongan bangsawan yang berpaksikan sistem keadilan sejagat semata-mata kepada sebuah negara Islam yang dipimpin oleh seorang nabi yang hanya menurut ketentuan Allah dan rasulnya.

Negara Mekah bukan tidak memiliki undang-undang yang mampu mengawal keamanan masyarakat malah mereka amat menjaga keadilan mengikut peraturan yang mereka bina sendiri. Mereka mengikat Perjanjian Al-Fudhul yang melibatkan para pembesar Mekah yang berkumpul di kediaman Abdullah bin Jad’an al-Taiyimi. Kesemua mereka bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaja yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya. Rasulullah saw yang turut serta dalam perjanjian tersebut sebelum dilantik menjadi rasul telah memuji, dengan sabdanya:

Aku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al-Jad’an. Perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenanganku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya aku beri persetujuan segera.

 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
         Jika hanya sekadar mencari kehidupan yang aman sejahtera, Rasulullah saw tidak perlu berhijrah ke Madinah. Namun negara yang aman tetapi tidak dinaungi petunjuk Ilahi tidak mencukupi untuk mendapatkan keredhaan tuhan. Inilah punca berhijrahnya rasulullah saw untuk membina negara Islam yang meletakkan Islam di kedudukan tertinggi. Islam mesti dinobatkan sebagai undang-undang tertinggi dan Umat Islam mestilah  memiliki keistimewaannya yang tersendiri.

Muslimin yang dirahmati Allah,
       Kita sudah memiliki negara yang meletakkan Islam sebagai agamanya. Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi merupakan Agama Persekutuan. Jika dinisbahkan kepada individu maka agama negara ini adalah Islam. Maka akidahnya, syariatnya, akhlaknya, undang-undang dan budayanya adalah Islam. Dalam masa yang sama agama-agama lain masih bebas diamalkan oleh setiap penganutnya. Namun begitu, penganut agama-agama lain tidak dibenarkan melakukan penyebaran apa-apa kepercayaan atau ajaran agama mereka dikalangan orang Islam.

Sebagai Agama Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan di negara ini berbanding agama-agama lain. Namun jika kita gagal mengambil manfaat daripada peruntukan sedia ada, maka tidak ada jaminan untuk Islam menjadi cara hidup yang sempurna di negara ini. Jika umat Islam sendiri tidak berjihad mempertahankan ketuanan Islam di negara ini, maka hijrah kita hanyalah seumpama hijrah para sahabat ke Habsyah yang hanya bagi mendapatkan kebebasan melaksanakan amalan keagamaan semata-mata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

         Para Mufassirin membahagikan para sahabat kepada 4 kelompok berdasarkan ayat yang dibacakan tadi. Ada sahabat yang berhijrah sebelum berlakunya Perang Badar serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Ada sahabat yang terdiri dari golongan Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah. Ada sahabat yang belum berhijrah sehinggalah berlakunya Perjanjian Hudaibiah. Dan ada yang tidak berhijrah walaupun selepas berlakunya Perjanjian Hudaibiah.  Allah mewajibkan bantuan diberikan kepada yang berhijrah dan golongan yang meminta pertolongan daripada penindasan kuffar melainkan jika adanya perjanjian antara orang kafir dan orang Islam. Dalam hal ini, Islam tetap berpegang teguh dengan perjanjian walaupun zahirnya seolah-olah merugikan Islam.

         Di negara ini terdapat berbagai sikap umat Islam terhadap Islam dan perjuangan memartabatkan Islam. Sebahagian dari kita berjuang dan berjihad dalam berbagai bidang untuk memartabatkan Islam, memenangkan Islam berbanding kepentingan lain dan sanggup mati demi perjuangan Islam.

Sebahagian dari kita tidak mempunyai ilmu dan tidak berkemampuan untuk berjuang dan berjihad, namun membantu perjuangan Islam samada secara terang-terangan ataupun secara bersembunyi. Namun ada sebahagian lagi yang hanya menangguk di air keruh, menunjukkan kegembiraan dengan kebangkitan Islam jika memberikan manfaat kepadanya namun turut sama menekan pejuang Islam jika Islam berada di bawah. Ada di antara kita sibuk mempersoalkan apa yang mampu kita perolehi daripada Islam tanpa melihat kepada apa sumbangan kita terhadap Islam.

 
Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

         Kita wajib mempertahankan ketuanan Islam yang masih ada dalam Negara demi memastikan Islam sentiasa memimpin negara. Apa perlunya umat Islam sibuk mempertahankan hak orang kafir menggunakan kalimah Allah sedangkan kita memandang ringan ancaman terhadap aqidah umat Islam dari tindakan tersebut. Wajarkah kita menghentikan ibadat qurban di sekolah-sekolah kerana menghormati penganut agama Hindu, sedangkan mereka sewenang-wenangnya melakukan upacara keagamaan mereka di jalan-jalan raya sehingga tanpa menghormati sesiapa. Apakah kita akan tunduk kepada tuntutan golongan yang menyalahgunakan hak asasi manusia sehingga membiarkan hubungan sejenis yang menjijikkan dan mengiktiraf golongan sesat seperti Syiah sedangkan para sahabat menggunakan penguatkuasaan undang-undang dan kekuatan ketenteraan bagi menghapuskan golongan sesat seperti mereka. Islam amat menghormati hak agama lain tapi tidaklah sampai menjolok mata sehingga tidak ada bezanya Negara yang kuasai dengan negara yang masih mereka jajahi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

خطبة كدوا


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوا أَوْ مَاتُوا لَيَرْزُقَنَّهُمُ اللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ (الحج:58)

Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.


أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَماَّ بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ،

اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

         Sudah sekian lama kita merdeka dan meraikan Maal Hijrah, apakah kita semakin menghampiri dan menuju ke arah Negara Islam sebagaimana yang diasaskan oleh rasulullah saw di Madinatul Munawwarah. Apakah cukup sekadar meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan  sedangkan Umat Islam tidak sebebas penganut agama lain dalam mengamalkan ibadat dan ajaran Islam sepenuhnya. Semua pihak mesti berhijrah dengan memihak dan memenangkan Islam dalam apa sahaja yang berkaitan dengan agama-agama lain. Jika para sahabat berhijrah meninggalkan tanahair sehingga ada yang terbunuh, janganlah kita yang sudah berada di Negara yang dikuasai oleh Umat Islam kembali meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain. 

 اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،

اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،

وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ،

اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ . إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .

Thursday, October 31, 2013

Hudud bukan alternatif, tapi penyelesaian mutlak.



Tatkala Brunei mengisytiharkan pelaksanaan Undang-Undang Islam sepenuhnya maka timbulnya pelbagai maklumbalas dari pelbagai pihak. Pujian dan kejian silih berganti. Pelbagai ulasan dinukilkan, antaranya pernyataan kebimbangan terhadap penerimaan masyarakat, keberkesanannya dalam membendung jenayah dan maksiat hinggalah yang mempertikaikan kesesuaiannya.  Walaupun ianya terdedah kepada kajian dan perbahasan mengenai kaedah pelaksanaannya, namun tidaklah memberikan hak kepada manusia untuk mempertikaikan hak Allah mewajibkan Syariatnya kepada manusia sejagat. Malangnya inilah yang terjadi pada sebahagian manusia yang sentiasa berusaha mencari alasan agar tidak melaksanakannya. Ianya ibarat mengatakan ; “Jangan berani-berani membaca Al-Quran kerana jika tersalah maka akan dilaknat oleh Al-Quran itu sendiri nanti”. Antara komen-komen negatif yang banyak ditimbulkan oleh berbagai pihak termasuk cendiakawan yang mengaku mempertahankan kesucian Undang-undang Allah ini adalah seperti berikut:

Ini bukan Hududullah kerana Hududullah bukan sekadar perundangan negara tetapi ianya adalah batas sempadan manusia dari melanggar tata-susila agama dan sosial.
Sebenarnya ramai yang membaca Al-Quran namun gagal memahami Al-Quran mengikut kehendak Allah. Mereka gagal membezakan istilah Hududullah dengan Hukum Hudud. Hukum Hudud disebutkan oleh Allah secara jelas hukumannya di dalam Al-Quran atau dinyatakan oleh Rasulullah saw melalui hadisnya. Hukuman yang disebutkan ini ini tidak boleh dipinda oleh pemerintah dan perbincangan hanyalah mengenai kaedah perlaksanannya. Allah menggunakan kalimah Hududullah dalam Al-Quran bukan merujuk kepada Hukum Hudud tetapi merujuk kepada beberapa hukum lain antaranya mengenai hukum hakam perceraian,  hukum zihar dan hukum pewarisan. Di antara ayat-ayat Allah yang menggunakan istilah Hududullah adalah seperti berikut :
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (البقرة :229(
فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يَتَرَاجَعَا إِنْ ظَنَّا أَنْ يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (البقرة :230)
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا (الطلاق:1)
Setelah menceritakan salah satu hukum pewarisan Allah menyambung :
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (النساء: 13)
Begitu juga setelah menceritakan hukum zihar Allah menyambung :
فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ (المجادلة :4)

Antaranya juga mereka mengatakan bahawa Hukum Hudud telah mengalami banyak inovasi,  berbagai versi dan terbuka kepada ijtihad 
Bagi yang memahami mengenai konsep Hukum Jenayah Islam yang merangkumi Hukum Qisas, Hudud dan Takzir maka tidak perlulah diperpanjangkan mengenai isu ini. Ijtihad, inovasi atau kepelbagaian versi hanyalah dari sudut yang tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasul secara jelas, bukan segala-galanya. Tidak pernah berlaku perubahan kepada hukumannya kerana jika diubah maka ianya bukanlah lagi dinamakan Hukum Hudud. 100 sebatan tidak akan lagi dinamakan Hukum Hudud samada jika dijadikan 99 ataupun 101 sebatan.  Perlu dibezakan antara Hukum Hudud yang sebenar dengan hukum manusia yang didakwa sebagai hukum Hudud sebagaimana hukuman denda, penjara dan sebatan bagi kesalahan zina di negara ini.
 Ulamak telah menerangkan mengenai sebatan 80 kali yang dilaksanakan di zaman Khalifah Umar berbeza dengan 40 sebatan yang dilaksanakan oleh Rasululllah saw sendiri. Hakikatnya Saidina Umar sendiripun menyatakan tambahan 40 sebatan itu adalah sebagai Takzir, bukan Hudud.
Bagaimana melaksanakannya maka terpulang kepada pemerintah asal sahaja hukumannya mengikut ketentuan Allah. Tak perlulah dikeluarkan ungkapan-ungkapan bodoh seperti mempertikaikan perbezaan seksyen antara Enakmen Jenayah Islam Kelantan dan Terengganu dan sebagainya.

Ada juga yang mengatakan bahawa Hudud adalah wasail sesungguhnya. Dan maqasid adalah lebih utama. 
Samada ianya dianggap wasail atau maqasid yang pastinya ia adalah perintah Allah sama seperti perintah solat dan puasa. Ianya wajib dilaksanakan semampu mungkin dan bukan untuk dielakkan sehabis mungkin. Perintah Allah dalam Hukum Hudud adalah Muhkamat dan tidak meletakkan sebagai syarat dan pengecualian seperti perintah haji yang dikaitkan dengan kemampuan. Ianya tidak sebagaimana keharusan poligami yang dikait dengan kebimbangan tidak mampu berlaku adil kerana tidak disebutkan oleh Allah,  laksanakanlah Hukum Hudud apa yang baik bagi kamu, jika kamu takut disalah faham oleh manusia maka berpadalah dengan hukum manusia dan tinggalkanlah Hukum Hudud. Dalam mendepani perintah Allah maka tidak ada relevennya persoalan wasail atau matlamat sama sekali. Solat adalah wasail dan Maqasidnya mencegah perkara keji dan mungkar. Puasa juga adalah wasail dan Maqasidnya menjadikan manusia insan yang bertaqwa. Maka apakah tak perlu solat jika kita memang tidak pernah terlibat dengan perkara keji dan mungkar. Apakah tidak perlu lagi berpuasa jika sudah menjadi insan bertaqwa.
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ (العنكبوت:45)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (البقرة:183)

Dikatakan juga apabila dengan menjalankan hudud tidak membawa kepada maqasid lebih baik ia ditangguhkan seperti yang pernah dilakukan umar. 
Saidina Umar sering menjadi sasaran fitnah mereka yang membenci Syariat Allah. Kebijaksanaannya yang luar biasa sering disalahgunakan bagi menghalang hukum Allah dari dilaksanakan. Hakikatnya baginda tidak pernah menangguhkan hudud tapi tidak menghukum pesalah kerana ada syubhat. Bagaimana nak menghukum pencuri yang mencuri demi sesuap nasi akibat kemarau dan kebuluran yang meliputi seluruh negara. Namun jika si kaya yang di kelilingi makanan mencuri pasti akan dikerat tangan nya walaupun zaman kemarau  atau tidak.
Sebahagian kita pula membandingkan Hudud  dengan kadar rasuah di negara Islam bagi tujuan memperkecilkan Hukum Hudud.
Apakah rasionalnya perbandingan ini sedangkan kesalahan rasuah tidakpun melibatkan Hukum Hudud. Apa munasabahnya menyalahkan hudud dengan peningkatan rasuah.  Hudud bukan satu-satunya Hukum Allah. Ia datang bersama takzir dan qisas. Jika dirasakan rasuah lebih besar kesannya daripada kesalahan hudud maka takzirkanlah. Pilihlah pandangan yg membolehkan hukuman takzir lebih berat daripada hudud. Pasti negara yang melaksanakan Hukum Hudud akan menjadi negara yang paling aman dan paling selamat daripada rasuah.

Ada juga yang mengaitkan isu Hudud dengan masalah kemiskinan.  Apa guna hudud dikuatkuasakan jika kemiskinan melarat.  Negara yang aman dan kuat maka sesuailah hudud dilaksanakan, kerana hudud seharusnya memberi penyelsaian alternatif dan bukan pembebanan keatas rakyat. 
Penguatkuasaan Hudud adalah perintah Allah tidak kira kemiskinan melarat ataupun kemewahan melimpah ruah. Kalau majoriti rakyat kaya raya sekalipun tapi sentiasa hidup dalam ketakutan disamun, dirompak, dibunuh, difitnah dan sebagainya maka apakah ertinya kemewahan bagi mereka. Apakah bagi pemerintah yang rakyatnya masih ramai yang miskin maka segala hukuman jenayah tidak perlu dikuatkuasakan. Berikan sahaja kebebasan bagi rakyat untuk mencuri, merompak, membunuh dan sebagainya. Negara hanya akan aman dengan pelaksanaan Hukum Allah. Hudud bukan penyelesaian alternatif apatah lagi beban kepada rakyat tapi satu-satunya penyelesaian mutlak dan rahmat bagi rakyat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...