Tuesday, December 30, 2008

Biduk Lalu Kiambang Bertaut



Syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran dan perjuangan semua terutamanya melalui gerak kerja persatuan, maka tirai 1430H telah mulai menunjukkan hasil. Jabatan Agama Islam Perak bakal mendapat Pengarah baru, iaitu Dato' Sheikh Mohamah Nor b. Mansor Al-Hafiz, mulai 1 Januari 2009. Walaupun inilah kali pertama Pegawai-Pegawai Agama di Negeri Perak mendapat peluang untuk memimpin Jabatan, namun ada terlalu banyak amanah dan tanggungjawab yang menanti kita dalam era perubahan ini. Kita semua menyedari betapa beratnya pihak atasan untuk mengambil keputusan. Jika tidaklah kerana titah paduka raja, mungkin penantian ini masih lagi berterusan. Ahli Jawatankuasa Persatuan telah melakukan segala yang boleh dilakukan termasuk kemuncaknya sehingga bertekak dengan pihak atasan. Usaha dan pengaruh Dato' Sheikh sendiri adalah penentu kejayaan ini. Apa yang pasti anugerah yang kita perolehi ini adalah anugerah yang dipaksakan. Walaupun kontraknya selama 2 tahun, namun mudah saja mereka merampasnya kembali. Kita akan dinilai dengan nilaian yang tidak seimbang. Sebarang kesilapan kecil berkemungkinan akan dibesar-besarkan. Bagi kita inilah peluang bagi kita membuktikan kita boleh, tetapi bagi mereka inilah peluang bagi membuktikan kegagalan dan ketidakmampuan kita. Maka marilah kita insafi bersama, anugerah ini mungkin menjadi titik mula atau boleh saja menjadi penamat segala-galanya. Peluang ini wajib kita rebut seadanya. Semua ahli wajib berazam untuk berusaha dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan Jabatan sebagai pemimpin di barisan hadapan. Jika selama ini kita berada dalam serba kebimbangan, maka kebebasan ini harus kita manfaatkan. Tekanan dan kekangan terdahulu kini sudah menjadi sejarah. Maka segalanya bergantung kepada kita bersama. Gunakanlah kreativiti masing-masing bagi menyerlah kehebatan. Jika selama ini kita berpecah belah dan saling curiga sesama sendiri, maka marilah kita bersatu. Semoga keberkatan kedatangan tahun baru ini akan merubah landskap Jabatan ini sesuai dengan keperluan masyarakat dan kehendak Syariat.

Monday, December 29, 2008

Selamat Tahun Baru 1430H

الَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Hari ini kita melangkah ke tahun baru 1430 Hijrah. Perpindahan tahun ini bukanlah mempunyai sebarang kehebatan dan keistimewaan melainkan menyedarkan dan mengingatkan kita kepada pertambahan usia yang makin menghampirkan kita kepada kematian. Semakin lama kita melangkah, semakin usia kita bertambah, semakin hampir kita menemui Allah. Samada kita menghayati Hijrah atau tidak, samada kita melakukan perubahan atau tidak, namun kita semua pasti akan berhijrah. Kita akan berhijrah dari alam dunia ke Alam Barzakh, kita akan berhijrah dari Alam Barzakh ke Alam Mahsyar, kita akan berhijrah dari Alam Mahsyar ke Alam Jaza’. Persoalannya apakah kita semua telah menyediakan bekalan dan melakukan persiapan untuk menerima ganjaran baik di sisi Allah atau pun persiapan dan bekalan bagi menerima penyiksaan. Kalau di dunia kita berbalah, mencari siapa yang benar dan siapa yang salah, namun di Akhirat kelak semuanya pasti terserlah. Semuanya akan tunduk kepada keputusan Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W telah menetapkan dan merintis strategi Hijrah sebagai asas mengatur rancangan dan memulakan langkah bagi menubuhkan sebuah pemerintahan dan negara berdaulat yang berlandaskan Syariat Allah. Berbeza dengan kita hari ini yang hanya berhijrah ketika tersepit dan terhimpit dan dihijrahkan oleh ketua dan majikan apabila melakukan suatu yang tidak disukainya.

Rasulullah S.A.W berhijrah dengan meninggalkan Mekah al-Mukarramah, tanah airnya sendiri menuju ke Madinatul Munawwarah, tempat asing yang amat jauh dari tanah tumpah darahnya. Adakah ini bermakna Rasulullah S.A.W tidak cinta dan setia kepada negaranya. Sejarah menunjukkan bahawa Mekah adalah sebuah negara yang cukup maju dari segi ekonomi dan perniagaannya. Mekah juga amat terkenal dengan kesenian dan kebudayaannya. Tetapi Mekah amat tandus dengan kehidupan beragama dan peradaban sosialnya. Mekah bukanlah tempat yang sesuai bagi mengembangkan, apatah lagi melaksanakan Syariat Allah. Ini menyebabkan Rasulullah S.A.W terpaksa meninggalkan Mekah tanah air yang amat disayanginya bagi melaksanakan Syariat Allah. Oleh kerana Madinah Al-Munawarrah mempunyai potensi bagi menerima Syariat Allah walaupun mungkin belum ada sejarah yang mampu membuktikan penduduknya mampu bersaing mengejar kemajuan berbanding dengan penduduk Mekah. Inilah gambaran hijrah yang kadang-kadang terpaksa melupakan kesenangan dan kehebatan dunia jika ianya tidak membantu mencapai keredhaan Allah.

Iktibar terbesar daripada Hijrah Rasulullah S.A.W ini adalah mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadat khusus semata-mata setiap kita mempunyai tanggungjawab masing-masing sebagai khalifah Allah di muka bumi. Rasulullah S.A.W pernah ditawarkan sebagai pemimpin di Mekah dan boleh beribadat secara bebas dengan syarat baginda meninggalkan hasrat melaksanakan Syariat Allah. Baginda dengan tegas menolak tawaran tersebut kerana tidak ada maknanya mentadbir dunia jika terpaksa meninggalkan agama dan mengikut telunjuk musuh-musuh Allah. Kecintaan kita kepada perkara lain seperti kecintaan kepada negara, kecintaan kepada kuasa, kecintaan kepada keluarga, kecintaan kepada harta dan sebagainya wajib kita korbankan jika bertentangan dengan Syariat Allah. Setelah Syariat Allah diikuti barulah kita boleh kembali kepada apa yang kita cintai. Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W yang akhirnya kembali semula ke Mekah al-Mukarramah pada pembukaan kota Mekah untuk melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam di Mekah dan menghancurkan jahiliah yang menghalang perlaksanaan Islam di muka bumi.

Hijrah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, semangat dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita menyambut Maal Hijrah jika di hari-hari yang mendatang hanya menjauhkan kita dari Allah. Apakah ertinya kita sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah jika perubahan yang ada hanya menjadikan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan musuh-musuh Allah malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.

Hijrah mengajar kita bagaimana usaha Rasulullah S.A.W membentuk negara dan membina umat. Matlamat Hijrah adalah satu, iaitu mengambil teraju pemerintahan bagi membolehkan perlaksanaan syariat. Tetapi ini tidak akan berjaya jika umat Islam berpecah-belah. Rasulullah S.A.W telah menyatukan antara puak Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Intipati Hijrah ini terangkum dalam surah Al-Imran ayat 102 :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاََ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءَايَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam) dan jangan kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (di sebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat pertunjuk.

Mencari perpaduan dan kesatuan umat hanyalah wasilah atau jalan bagi mencapai matlamat mendaulatkan perintah-perintah Allah. Kita tidak akan mampu meninggikan kalimat Allah dalam keadaan berpecah-belah dan saling salah menyalah. Perpaduan amat penting bagi mengumpulkan kekuatan bagi mengambarkan keagungan dan keindahan Islam. Begitu juga perpaduan yang tidak berlandaskan tali Allah atau persepakatan yang tidak bermatlamat mencari keredhaan Allah hanyalah sia-sia dan membawa padah. Seharusnya kita berdakwah kepada Allah dengan beradab dan menggunakan hikmah serta menjaga hubungan persaudaraan supaya tidak menambahkan jurang perpecahan di kalangan umat. Dan di samping kita mengajak umat bersatu dan berpadu, kita tidak harus lupa kepada amanah Allah bagi memartabatkan perintah dan arahan Allah. Berpeganglah kepada kaedah Allah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125 :
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik

Wednesday, December 24, 2008

MENGENALI PELABURAN OFFSHORE


Pelaburan Offshore atau dipanggil Luar Pesisir ialah menyimpan wang dalam bidang kuasa selain negara tempat tinggal sendiri. Manakala dalam negara sendiri dipanggil Onshore. Maka jika melabur di Singapura atau Thailand pun sebenarnya sudah dikira pelaburan offshore.

Namun begitu istilah ini sering digunakan bagi urusan menyimpan wang di pusat-pusat bebas cukai (tax haven) atau Pusat Kewangan Antarabangsa (international Offshore Financial Center atau IOFC). Wang itu dimasukkan ke dalam akaun simpanan biasa, deposit tetap, pasaran wang, dana amanah (mutual fund), dana lindung nilai(hedge fund), dana hartanah atau unit amanah dan sebagainya. Tiada yang ajaib bagi menjanjikan pulangan 100% setahun atau lebih bagi urus niaga ini.

Tuesday, December 23, 2008

VCD DEBAT PERDANA - MELAYU; KEMANA HALA TUJU

PENALIS:
YB DATO' HAJI TAJUDDIN BIN ABDUL RAHMAN (MP PASIR SALAK)
YB DR. MUJAHID BIN YUSOF RAWA (MP PARIT BUNTAR)AF USTAZ HAFIZ BIN MUSTAFA LUBIS (NAIB PENGERUSI TERAS)
MODERATOR:
AF USTAZ AHMAD NIZAM BIN AMIRUDDIN

VCd Ekslusif di atas boleh diperolehi dari Us Mohd Haizam (Pejabat Agama Islam Daerah Bagan Serai), Us Kamarudin Adam (Pejabat Agama Islam Daerah Ipoh), Us Kamal Izat Ahmed (Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Kangsar) dan Ustaz Manolito Dahlan (Pejabat Agama Islam Daerah Parit Buntar) dengan harga RM10.00 sahaja ( 2kpg CD = 2 jam) mulai Khamis ini (25hb Dis 2008)

Monday, December 22, 2008

Mesyuarat Agung Ke-12 Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perak (PEWARAK

Satu Muzakarah Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perak telah diadakan di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, pada Hari Ahad, 21 Disember 2008. Muzakarah tersebut dianjurkan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke 12, Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perak (PEWARAK). Pembentangan Kertas Kerja bertajuk "Program Pemerkasaan Masjid Dan Surau Untuk Transformasi Masyarakat " telah disampaikan oleh Cikgu Azmi Bin Abdul Hamid, Presiden Teras Pengupayaan Melayu.

Muzakarah dan Mesyuarat Agung ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Antara intipati terpenting dalam ucapan perasmian tersebut adalah mengajak semua Pegawai Masjid di seluruh Negeri Perak untuk bersama dengan Kerajaan Negeri Pakatan rakyat berusaha memartabatkan institusi masjid sebagai pemangkin kepada kemajuan Ummah. Satu teguran keras yang senada dengan penegasan Yang Dipertuan PEWARAK, Y.Bhg. Dato' Sheikh Mohd Nor Bin Mansur Al-Hafiz dalam ucapan aluan beliau adalah, agar tidak akan ada lagi mana-mana Pegawai Masjid yang lebih sudu dari kuah dalam menyekat kegiatan agama di mana-mana masjid. Sebelum ini terdapat sebahagian Pegawai Masjid terutamanya imam yang menjadi ejen dalam mencari kesalahan guru-guru agama dan mengadu domba kepada pihak yang berkenaan walaupun perkara tersebut biasanya dilakukan oleh ajk masjid. Semua masjid pada hari ini hendaklah dibebaskan daripada sebarang sekatan terhadap usaha penyebaran ilmu Allah dan seharusnya menjadi pusat kegiatan Umat Islam di seluruh qariah.



Mesyuarat Agung kali ke 12 ini telah berlangsung dengan begitu lancar dengan keputusan sebulat suara diambil bagi menyambung kembali mandat semua AJK yang ada kecuali mereka yang tidak hadir tanpa alasan yang munasabah. Mesyuarat juga memutuskan agar Jawatankuasa Induk melantik penyelaras atau jawatankuasa peringkat daerah bagi merancang dan melaksanakan tugas dan aktiviti persatuan. Dengan nisbah keahlian seramai lebih kurang 2,000 orang, kehadiaran pada mesyuarat agung seperti ini bukanlah suatu yang dapat dibanggakan. Ini sebenarnya adalah gambaran biasa bagi kebanyakan persatuan dan pertubuhan yang dianggotai oleh Umat Islam terutamanya Melayu. Sebahagian dari kita masih menganggap bahawa mesyuarat seperti ini hanya membuang masa. Sebahagian lagi hanya akan melibatkan diri jika sekiranya mendapat saguhati kewangan. Ada juga yang enggan menghadirkan diri kerana bimbang diberikan sesuatu jawatan. Inilah diantara kelemahan yang menghantui masyarakat Islam sehingga kita tidak mampu untuk bergerak secara jama'iy dalam melaksanakan tugas dakwah. Semoga dengan kedatangan tahun baru 1430 Hijrah nanti akan membuka lembaran baru ke arah yang lebih baik bagi semua ahli dan ajk yang diberikan amanah yang amat berat ini. Semoga Umat Islam di negeri ini akan mampu berubah ke arah menjadi golongan yang terbaik yang dilahirkan di kalangan manusia dengan berteraskan kepada keimanan kepada Allah dan melaksanakan tugas amar makruf nahi munkar.

Thursday, December 18, 2008

HARI KELUARGA MASJID SULTAN IDRIS SHAH 11

Sabtu, 13 Disember 2008 – Dengan aturcara seawal jam 7.00 pagi, kami sekeluarga meninggalkan rumah untuk berkumpul di Masjid Negeri. Namun sebagaimana yang dijangkakan, semua yang terlibat seolah-olah ingin membuktikan bahawa mereka memang “Melayu Tulen” dan sentiasa berpegang teguh kepada “Janji Melayu”.

Walaupun dua tempat berkumpul ditentukan, pukul 10.00 di R&R Tapah dan 1.00 tgh di R&R Dengkil, masih gagal memastikan konvoi yang dirancang diikuti semua yang terlibat. Akhirnya semua keluarga sampai di Air Keroh Resort lebih kurang jam 2.00 petang. Resort ini terletak di kawasan Taman Mini Malaysia/Asean. Kami pernah menginap di sini ketika menghadiri majlis perkahwinan Faisal kira-kira 8 tahun dulu.

Kepenatan memandu secara bersopan menyebabkan sepanjang petang dihabiskan dengan membuta di bilik. Oleh kerana malam tidak ada acara rasmi yang diaturkan maka kami bertolak ke Bandaraya Melaka untuk menghabiskan masa. Sekalung tahniah atas kehebatan Kerajaan Negeri Melaka dalam mempromosikan negeri ini sebagai pusat pelancungan bertaraf antarabangsa. Berbagai projek pelancungan baru yang menakjubkan seperti River Cruise, Eye On Malaysia, Menara Tamingsari dan sebagainya.
Kami menelusuri Sungai Melaka dengan bermandikan neon yang bergemerlapan dengan menaiki bot yang boleh membawa kira-kira 40 orang dalam satu masa. Bayaran dewasa sebanyak RM 5.00 dan kanak-kanak sebanyak RM 2.00 dirasakan amat berpatutan. Walaupun aku merasakan terlalu banyak wang yang dibelanjakan semata-mata untuk membolehkan rakyat bercanda dan menghabiskan masa, namun ianya jauh lebih baik daripada Bandaraya Ipoh yang tak tau apakah sebenarnya bahan pelancungan yang ada. Mungkin Tajol Rosli perlu menghadiri kursus khas dengan Ali Rustam sebelum hajat kembali memerintah Perak Darul Ridzuan dimakbulkan tuhan. Aku tak pasti apakah semua projek ini dibiayai kerajaan atau ditampung oleh swasta. Namun apa yang pasti beratus juta perlua dibelanjakan. Timbul tandatanya di dalam fikiran, apakah kelulusan yang sama akan diberikan jika aktiviti keagamaan atau keilmuan yang akan dianjurkan. Sepanjang berpengalaman berurusan dengan Pejabat Kewangan Negeri berbagai karenah perlu dihadapi. Sebagai contoh berbagai rungutan dan leteran yang kami terima untuk menjemput kumpulan nasyid membuat persembahan dalam mana-mana program agama walaupun artis semahal Siti Nurhaliza biasa membuat persembahan di majlis sambutan Hari Raya dan sebagainya.

Pagi Ahad, 14 Disember 2008, sebuah bas disediakan untuk aktiviti rombongan. Lokasi pertama dilawati adalah perigi Hang Tuah. Ketika kami sampai ada satu keluarga yang sedang mengambil wudhu’ menggunakan air jernih yang ditimba. Mungkin berbagai khurafat timbul yang dikaitkan dengan khasiat air telaga tersebut. Orang Melayu terlalu sukar memisahkan diri dari unsur-unsur sedemikian rupa. Di bahagian belakang ada sebuah rumah seni bina Melaka yang dimiliki oleh satu keluarga. Malangnya bayaran RM 1.00 dikenakan untuk masuk ke dalamnya. Malah untuk mengambil gambar juga dikenakan bayaran entah berapa. Ini benar-benar menghilangkan mood kami untuk masuk ke dalam. Bukan sangat kerana mahalnya bayaran tetapi terkilan dengan sikap tuan rumah yang terlalu mengambil kesempatan.

Lawatan seterusnya diteruskan ke River Cruise untuk menaiki bot. Kemudiannya kami menaiki Menara Tamingsari. Sebelum balik ke Resort untuk makan pada jam 3.00 ptg, kami menghabiskan masa menaiki beca melawat tempat-tempat bersejarah di Banda Hilir. Petangnya Dato’ Sheikh ajak main futsal. Walaupun terlalu lama tak menyepak bola, namun sejarah terukir bila aku berjaya membuat rembatan untuk gol terakhir pada petang itu. Malam ada barbeque makan malam dengan persembahan menarik bacaan ayat Kursi oleh anak Imam Azam dan doa oleh anak Imam Aziz.
Pagi ada sukaneka diadakan.Sebelum makan jam 12.00 tgh dan check out, kami mengambil kesempatan melawat Taman Mini Malaysia. Bayaran RM 10.00 dewasa dan RM 5.00 kanak-kanak dikenakan.
Kami meneruskan percutian ke Negeri Johor Darul Takzim. Aku memilih untuk mengikuti jalan biasa untuk ke Johor Bharu. Kami mengikuti perjalanan pesisir pantai melintasi Muar, Batu Pahat dan Pontian. Kami menemui nelayan yang menjual belangkas di Pantai Minyak Beku kira-kira 20 km daripada Batu Pahat. Dikatakan bahawa belangkas biasanya ditemui berpasangan. Patutlah selama ini kalau sesiapa yang terlalu rapat seolah-olah tak mau berenggang dikatakan ”macam belangkas”.

Satu lagi pantai yang kami temui adalah Pantai Punggor. Ramlee Awang Mursyid menggambarkan Punggor sebagai kampung asal Panglima Sunan, Pahlawan Melayu yang berguru dan menabur jasa di Acheh dalam novelnya, Bagaikan Puteri.

Sampai di JB kami menginap di Hotel Kozi berdekatan Danga Bay. Kehebatan Danga Bay memang sukar dibayangkan. Namun aku tidak melihat sebarang manfaat dari sudut perkembangan minda dan kerohanian daripada projek mega seumpama itu. Ianya tidak lebih daripada menyediakan ruang dan kemudahan bagi peniaga mengaut keuntungan dan rakyat jelata bersukaria. Kami menghabiskan minyak yang baru turun harga mengelilingi seluruh Johor sebelum kembali ke Melaka semula. Kami melengkapkan acara dengan mendermakan sedikit wang kepada peniaga ikan bakar di Umbai. Selepas bermalam di Banda Hilir, kami bersiar-siar termasuk melawat muzium , kapal replika dan muzium maritim. Menjelang petang kami bertolak kembali ke rumah.

Uji Kemahiran Anda





Saya teramat yakin kebanyakan Umat Islam di negara ini mempunyai perasaan yang sama dengan majoriti rakyat Iraq ketika menonton rakaman di atas. Walaupun tidak dinafikan sebahagian kita mempunyai pandangan lain sebagaimana Nuri al-Maliki dan sekutunya yang meletakkan nama baik dan maruah Islam di mata barat. Balingan kasut jika tepat mengenai kepala sekalipun tidak ada nilainya dengan perintah Allah bagi membalas kejahatan Bush terhadap seluruh Umat Islam di seluruh dunia.

فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ -البقرة : 194
Maka sebahagian besar dari kita akan berbangga jika dapat melakukannya. Namun Allah tidak menuntut kita melakukan sesuatu kecuali mengikut kemampuan.

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ -البقرة 286
Sebelum kita mampu melakukan sesuatu yang lebih berkesan, maka ujilah kemampuan masing-masing dan berlatihlah agar kita tidak kekok melakukannya apabila tiba masa yang sesuai......

Sila Klik : http://www.kroma.no/2008/bushgame

Friday, December 12, 2008

KENAPA PERPECAHAN YANG DITAJA

[.......SERI ISKANDAR-Kerajaan Negeri Perak akan menerima suntikan dana khas sebanyak RM60 juta daripada kerajaan pusat. Pengarah Pembangunan Negeri (gambar) Datuk Zainal Abidin Omar berkata semua JKKKP di setiap kawasan Parlimen di arah menghantar senarai projek yang perlu dilaksanakan di kawasan masing-masing. Katanya,peruntukan khas itu diperolehi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Timb. Perdana Menteri,Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini." Kita juga telah mengarahkan Pejabat Pembangunan Negeri agar mengemukakan senarai projek baru termasuk menaik taraf kemudahan asas yang perlu dilaksanakan segera"." Kerja-kerja pembangunan projek itu akan dilakukan segera pada akhir bulan ini walaupun peruntukan hanya akan diperolehi awal tahun depan"katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog bersama kira-kira 700 JKKKP diseluruh Perak bertempat di Institut Latihan Kemas Di sini semalam. Beliau juga turut menggesa semua JKKKP supaya terus mengurus tadbir Dewan Orang Ramai di kawasan masing-masing,dan tidak sesekali menyerahkan kepada JKKK yang ditadbir kerajaan negeri." Saya ingin mengingatkan sekali lagi bahawa kesemua Dewan Orang Ramai tersebut adalah dibina atas tanah kerajaan negeri tetapi menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Pusat "." Oleh itu Dewan Orang Ramai mesti diuruskan oleh JKKKP dan segala penyelenggaraan akan dibuat melalui peruntukan yang diterima daripada kerajaan Pusat selepas ini " katanya.- Petikan Kosmo!.............]

Amat menyedihkan apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang yang amat kita kenali. Seorang dianggap sebagai antara yang "terbaik" di kalangan pegawai tinggi yang ada tetapi rupanya mempunyai mentaliti kampungan yang tidak dapat dibangga. Sesekali hati ini tertanya-tanya apakah ini sikap sebenar bekas orang no. 1 di jabatan kita. Entah apakah kaedah dan prinsip yang digunapakai dalam mengeluarkan kenyataan sebegini rupa. Walaupun secara jelas dinyatakan "...kesemua Dewan Orang Ramai tersebut adalah dibina atas tanah kerajaan negeri..", namun tetap diarahkan JKKKP agar terus menguruskannya. 

Thursday, December 11, 2008

Majlis Qurban PPUP



Majlis Qurban yang diadakan di Pejabat Agama Daerah Ipoh telah selamat diadakan. Sebanyak 2 ekor lembu telah disembelih oleh A.F. Ustaz Kamal Izat Ahmed dan Tuan Haji Ahya Arif. Majlis diserikan dengan kehadiran SF Tuan Haji Zamri B. Hashim, Yang Dipertua PPUP. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada ahli-ahli yang datang daripada jauh seperti AF Ustaz Haizam yang datang dari Bagan Serai. Kebanyakan hadirin hanya meninggalkan majlis menjelang waktu Asar pada hari tersebut. Jamuan makan tengahari berlaukkan Sup Tulang dan daging masak kicap seolah mengubat segala kepenatan ketika menyelenggarakan segala tugasan. Bagi ahli-ahli yang senior mungkin masih mengingati bagaimana setiap tahun majlis qurban ini diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. Walaubagaimanapun program ini terpaksa dihentikan akibat sambutan yang amat dingin daripada ahli-ahli. Walaupun ianya sentiasa memberikan pulangan yang lumayan, namun kelihatan seolah-olah terlalu bergantung kepada bantuan bukan ahli seperti mubaligh, pegawai penguatkuasa sukarela dan sebagainya untuk memeriahkan suasana. Atas permintaan ahli-ahli baru maka program ini diusahakan kembali dan hasilnya sambutan ahli masih lagi........................fikir-fikirkanlah.

Sunday, December 07, 2008

Mencari Penyatuan Ummah Melalui Perdebatan


Mukjizat Al-Quran bukanlah suatu yang sukar untuk dibuktikan. Contoh terbaik telah ditunjukkan oleh Pejabat Agama Islam dan Persatuan Pegawai-Pegawai Ugama Perak (PPUP) melalui Debat Perdana yang dianjurkan pada malam tadi. Allah swt menyatakan dalam Al-Quran :

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Thursday, December 04, 2008

Debat Perdana


DEBAT PERDANA - MELAYU ; KEMANA HALA TUJU
ANJURAN JABATAN AGAMA ISLAM PERAK DENGAN KERJASAMA PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI AGAMA NEGERI PERAK(PPUP)

6 DISEMBER 2008JAM 8.00 MALAM
DEWAN SRI KERIAN, PARIT BUNTAR

PERASMI :YAB MENTERI BESAR PERAK DARUL RIDZUAN
PENALIS:
YB DATO' HAJI TAJUDDIN BIN ABDUL RAHMAN (MP PASIR SALAK)
YB DR. MUJAHID BIN YUSOF RAWA (MP PARIT BUNTAR)
AF USTAZ HAFIZ BIN MUSTAFA LUBIS (NAIB PENGERUSI TERAS)
MODERATOR:
AF USTAZ AHMAD NIZAM BIN AMIRUDDIN

Skim Cepat Kaya @ Skim Cepat Papa


Sejak menjejakkan kaki ke Jabatan bukan sedikit skim pelaburan yang saya dengar melibatkan teman-teman. Ianya boleh jadi dalam bentuk Skim Cepat Kaya, Multilevel Marketing, Pelaburan Saham dan sebagainya. Kebetulan saya bukanlah jenis orang yang mudah dilibatkan dalam hal-hal sebegini. Dan saya sentiasa mengelak daripada bercakap mengenainya kecuali di dalam kuliah-kuliah di masjid dan surau. Namun apabila ada yang meminta pendapat, mahu tidak mahu terpaksa juga saya menyatakan apa yang saya tahu. Walaupun sebagai berbekalkan kelulusan ijazah Syariah yang memahami sedikit sebanyak Fiqh Muamalat, ditambah dengan sedikit ilmu berkaitan kewangan yang digali daripada pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan, tidak sangat menjamin ketepatan pandangan, namun saya rasa berkewajipan untuk meluahkan rasa yang terpendam agar dapat dikongsi bersama-sama rakan.
Teman-teman sekelian,
Walaupun konsep Muamalat menyatakan bahawa “Setiap sesuatu itu halal kecuali ada nas atau dalil yang mengharamkannya”, namun sebagai orang agama kita tidak hanya sekadar mewakili diri dan kelompok kita. Bukan sedikit walaupun tidak semua skim yang ditawarkan akan menyandarkan penglibatan kita bagi menarik pelanggan. Walaupun kadang-kadang kita tak perasan, namun hakikatnya tingkahlaku, percakapan dan penampilan kita menjadi panduan kepada masyarakat yang diluar sana. Mungkin sebahagian kita tidak pernah menghadapi kegagalan lantaran sentiasa menjadi pemula atau pengasasnya. Namun apakah ertinya keuntungan yang dibina di atas titisan air mata mangsa-mangsa yang terkemudian.
Dalam setiap tindakan kita apakah kita meletakkan halal dan haram sebagai asas penilaian atau keuntungan yang lebih diutamakan. Penglibatan begitu ramai manusia dalam Skim Cepat Kaya bukanlah sesuatu yang amat menghairankan. Sir Isaac Newton pernah mengatakan ; "Aku mampu meramalkan pergerakan bintang-bintang di angkasa, tetapi bukan kegilaan manusia”. Ungkapan ini mungkin diucapkannya selepas kehilangan lebih £20,000 akibat berspekulasi saham Syarikat South Sea. Skim Cepat Kaya bukanlah suatu yang baru bermula, tetapi telah bercambah sejak abad ke 17 di Eropah.
Beberapa perkara boleh difikirkan bersama sebelum kita melibatkan diri dalam mana-mana muamalah yang menawarkan pulangan lumayan iaitu :
a. Pelaburan biasanya dikaitkan dengan kadar pulangan. Mengikut John C. Bogle, pengasas The Vanguard Group Of Investment Companies (yang mempunyai dana berjumlah AS$100 bilion) : "sebarang pulangan lebih daripada 20% setahun adalah durian runtuh". Rekod pengurus kewangan terbaik dunia mencatat sejarah seperti berikut :
- JOHN TEMPLETON, pengurus dana TEMPLETON GROWTH FUND memberikan pulangan 14% setahun selama 32 tahun.
- WARREN BUFFET, pengurus dana BERKSHIRE HATHAWAY memberikan pulangan 22% setahun selama 40 tahun.
- PETER LYNCH, pengurus dana FIDELITY MAGELLAN memberikan pulangan 29% setahun selama 13 tahun.
- GEORGE SOROS, pengurus dana QUANTUM FUND memberikan pulangan 34% setahun selama 25 tahun.Jika sekiranya George Soros hanya mampu memberikan pulangan sebanyak 34% setahun secara berterusan selama 25 tahun dan pelabur terbaik dunia Warren Buffet yang hanya mencatatkan rekod memberikan pulangan sebanyak 22% setahun secara berterusan selama 40 tahun maka apakah logiknya warga Negara ini yang tidak dikenali mampu memberikan lebih daripada itu.
b. Secara dasarnya wang yang dilaburkan akan digunakan oleh syarikat melalui tiga kaedah ; diniagakan atau dilaburkan atau kedua-duanya. Perniagaan sememangnya mampu mendapatkan keuntungan berkali ganda. Tetapi perniagaan yang hebat pasti melahirkan dua perkara; persaingan dan berita. Maka jika tiada siapa yang mengenali corak perniagaannya sedangkan pulangan yang diberikannya berlipatganda tentulah ada suatu yang tak kena dengan perniagaannya ataupun sememangnya perniagaan tersebut tidak wujud sama sekali. Jika wang kita dilaburkan maka untuk memberikan pulangan yang banyak tentulah memerlukan syarikat juga mendapat keuntungan yang banyak. Maka pelaburannya tidak mungkin dalam lingkungan satu dua ribu tapi mungkin menjangkau ratusan ribu atau jutaan ringgit. Malangnya tidak banyak institusi pelaburan di negara ini yang memunyai wang sebegitu banyak seperti PNB, KWSP dan beberapa buah syarikat insuran dan unit amanah. Maka jawapan paling mudah yang sering diberikan adalah pelaburan luar pesisir; Offshore. Istilah ini digunakan kerana mereka tahu bahawa kebanyakan orang tak berapa tahu mengenainya dan ini akan menyebabkan mereka akan berhenti bertanya mengenainya. (Insya Allah sedikit penerangan mengenai offshore akan saya tuliskan dalam siri akan datang).
Teman-teman sekelian,
Jika diminta nasihat dan pandangan saya suka menasihatkan beberapa perkara bagi memastikan kita tidak menjadi mangsa atau terlibat dalam melakukan penyelewengan :
a. Belajarlah atau ambil tahu mengenai hal-hal berkaitan kewangan.
b. Kajilah apa-apa peluang pelaburan. Baca prospektusnya, baca buku mengenainya atau bertanyalah kepada yang faham tentangnya.
c. Jangan gopoh untuk melakukan pelaburan. Ingatlah “peluang hanya datang sekali seumur hidup” sebenarnya datang setiap bulan.
d. Jangan terima tawaran sesiapapun bulat-bulat walaupun dikenali peribadinya.
e. Hampir semua pelaburan dijual oleh ejen yang mengambil komisyen. Mereka tidak akan bersikap neutral terhadap produk mereka.
f. Terlalu besar risiko mel;etak wang di luar Negara. Kerajaan asing boleh menukar polisi (ianya sah) menyebabkan wang kita tersangkut di suatu tempat yang terletak jauh beribu batu.
g. Jangan sekali-kali meminjam untuk melakukan pelaburan. Anda perlu membayar ansurannya samada mendapat keuntungan atau menghadapi kerugian.
h. Sebelum berpisah dengan wang anda, pastikan pelaburan anda sah dan syarikatnya berlesen. Rujuklah Suruhanjaya Sekuriti – (http://www.sc.com.my/).
i. Jika belum mampu membayar sesuatu, simpan wang anda dulu dan hanya beli apabila mampu. Tiada undang-undang mewajibkan anda perlu memiliki segala-galanya.
j. Ingatlah ; segala yang kedengaran terlalu indah untuk dipercayai, biasanya palsu semata-mata.

Hebat Sangatkah Pegawai PTD


Satu perjumpaan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah diadakan di Pejabat SUK pada 18 November 2008, jam 10.00 pagi. Rombongan kita diwakili oleh YDP, AF Ustaz Hj. Zamri B. Hashim, TYDP, AF Ustaz Kamal Izat B. Ahmed, AF S/U, Ustaz Kamaruddin Adam, Bendahari, Ustaz Syed Mohamad, AF Ustaz Faizal Jani dan AF Ustaz Muzammil Syafawi. Beberapa perkara yang melibatkan perkara dasar telah dikemukakan termasuk perlantikan Pengarah JAIPk, kepincangan dalam kenaikan pangkat, kelewatan mengisi perjawatan yang telah diluluskan dan penempatan pegawai bermasalah di JAIPk.
Terdapat perbezaan yang agak ketara mengenai sikap yang ditunjukkan oleh YB SUK dengan penjawat-penjawat sebelum ini. Ayat-ayat sindiran yang dilontarkan terhadap persatuan seusai salam, jelas menunjukkan betapa tebal prejudisnya terhadap pegawai agama. Sikap tersebut berterusan sehingga mendorong sebahagian kami gagal mengawal kesabaran untuk berlemah lembut,bersopan santun dan lunak terhadap beliau. Kebanyakkan hujah yang dilontar gagal dihabisi lantaran ketegasannya menentukan apa yang beliau mahu dengar atau tidak. Ini menyebabkan ada di antara kami terpaksa mengikut rentaknya dengan memotong atau membidas secara langsung hujah beliau tanpa membiarkan beliau berterusan memaksa kita mendengar hujah beliau tanpa berjawab.
Walaupun amat sukar untuk mengubah pendirian beliau, namun sekurang-kurangnya kita mampu menyatakan pendirian kita tanpa membiarkan sahaja mana-mana pihak membuat berbagai dakwaan sesuka hati mengenai pendirian "orang dalam". Amatlah tidak masuk di akal jika pandangan dalaman tidak langsung diambil kira dalam penentuan jawatan "Pengarah". Apakah munasabahnya jika berbagai pihak yang mempunyai "kepentingan" yang berbagai memberikan cadangan mengenainya lantas mendakwa bahawa itulah cadangan yang terbaik. Walaupun berkali-kali ditegaskan mengenai cadangan dan pendirian kita, beliau terus-terusan mendesak agar di berikan cadangan lain yang kononnya lebih baik seolah-olah tidak ada sebesar zarah kemampuan dan kelayakan "orang agama" bagi mengetuai jabatan sendiri. Andaian yang mampu saya fikirkan adalah antaranya :
a. Kebanyakan Pegawai PTD masih berpegang kepada pemikiran bahawa hanya mereka yang paling cekap mentadbir.
b. Masih kuat tertanam di sanubari mereka bahawa "orang agama" hanya tahu mengenai hukum hakam agama tetapi amat jahil mengenai pengurusan dan pentadbiran.
c. Kalaupun "orang agama" diberi peluang, peluang itu akan dijadikan peluang untuk dibuktikan kegagalannya, bukan sangat sebagai peluang untuk membuktikan kejayaannya.
Teman-teman sekelian,
Amat besar tanggungjawab yang perlu kita laksanakan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Bukan sahaja peningkatan dalam bidang keilmuan dan kemahiran yang berbagai diperlukan dalam berhadapan dengan masyarakat, namun untuk memuaskan hati pembuat dasar yang entah apa panduan mereka dalam membuat penilaian dan mengambil keputusan. Orang agama didesak untuk tahu segala-galanya, dan dianggap "OKU" jika tiada kemahiran tambahan samada kemahiran teknikal, kemahiran ICT dan sebagainya. Masyarakat seolah-olah sepakat menerima pemisahan antara orang agama atau ulamak dengan golongan professional. Maka sampai bilapun orang agama atau ulamak tidak akan dianggap professional kalaupun tidak dipandang rendah terhadap apa sahaja yang kita laksanakan. Ironinya, bukan sedikit saintis yang fobia dengan komputer, doktor pakar yang terpaksa memanggil pomen menukar tayar kenderaannya, saintis yang bergelap semalaman setelah fius utama di rumahnya jatuh akibat petir. Ketiga-tiga contoh golongan ini tidak pernah dianggap kurang malah tetap dianggap pakar dan golongan professional yang dihormati. Walaupun orang agama sudah mempunyai berbagai kemahiran yang diiktiraf termasuk ijazah samada sarjana atau sarjana muda dalam berbagai bidang namun kita tetap orang agama. Kita di mata mereka tetap orang agama dan sifat tetap "tak tau mentadbir" tidak akan hilang daripada kita. Ijazah Pentadbiran Perniagaan, Kaunseling, Jurisprudence dan sebagainya tidak ada nilainya sama sekali jika disandarkan kepada kita. Oleh itu insaflahlah, bahawa segala kemuliaan itu di sisi Allah, bukan nilaian manusia. Berebutlah kita dalam usaha meningkatkan pengalaman, kemahiran dan ilmu pengetahuan kerana ianya tuntutan tuhan, bukan untuk mendapatkan sanjungan dan pengiktirafan manusia, dan kita adalah golongan yang paling memahaminya. Persetankanlah pengiktirafan manusia, kerana kebanyakan mereka adalah sama.
Teman-teman sekelian,
Satu sudut pandangan yang lain, saya bimbang jika sikap ini bukan kerana tidak yakinnya mereka dengan dengan kemampuan kita tetapi kerana keengganan mereka dalam menerima Islam sebagai penyelesai masalah. Keistimewaan yang ada pada kita, adalah kerana kita ada asas agama yang kuat, pengalaman mentadbir di jabatan agama, ditambah dengan kursus dan ijazah lanjutan di bidang yang sama dengan mereka. Kita menguasai dua kemahiran berbeza yang saling melengkapi. Kita mewarisi kaedah feqah yang memandu kita dalam memilih segala ketentuan. Walaupun kelebihan ini antara sebesar-besar rahmat dari yang Maha Esa, namun apakah nilainya bagi mereka yang terdidik dan hanyut dalam lingkungan sekular. Kelebihan menghayati agama bukan standard yang boleh dibangga. Pentadbiran dan pengurusan barat adalah terbaik dan wajar didewa. Pengurusan berteraskan konsep rabbani hanyalah dianggap sejarah silam yang wajar dilupakan. Jika inilah hakikatnya, maka tugas dan tanggungjawab kita amat berat dan terlalu mencabar. Pemahaman mengenai hakikat sebenar Islam perlu dipertingkatkan. Semoga usaha ini akan meletakkan Islam dan pengurusannya di persada yang tertinggi.

Pekakah Kita

"Kalau ada problem bagitau je. Insya Allah aku boleh tolong, kecuali duit". Itulah ungkapan yang sering kita gunakan terhadap teman-teman. Samada niat bergurau atau sememangnya bermaksud begitu hanya Allah yang mengetahuinya. Seolah-olah saling memahami, amat sukar untuk memohon bantuan kewangan daripada teman-teman. Budaya kita menjadikan kita merasakan bahawa masalah kewangan adalah masalah masing-masing dan seharusnya diselesaikan sendiri.Terdapat berbagai keadaan manusia di sekeliling kita. Ada yang fakir samada bersifat meminta atau rela berdiam diri dan menderita. Ramai pula yang mencukupi seadanya. Ada pula yang sepatutnya mencukupi tetapi menderita kerana ingin meningkatkan kualiti diri seperti melanjutkan pelajaran dan sebagainya. Segelintir pula ada yang berlebihan malah ada yang terlalu mewah. Indahnya hidup ini jika semua manusia memahami bahawa setiap kita saling melengkapi. Allah sengaja menguji dengan meletakkan sebahagian rezeki terletak di tangan mereka yang patut memberi. Dalam Surah Az-Zaariat ayat 19 Allah berfirman : وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُوم yang bermaksud; dan dalam harta milik mereka ada mengandungi hak bagi si miskin yang meminta dan yang mendiamkan diri.Ketika mana musibah menimpa Arwah Ustaz Khairuddin, kita terkilan memikirkan bagaimana mungkin beliau terpaksa bekerja part time bagi menambah pendapatan. Namun hakikatnya, berapa kali kah kita pernah terfikir, mengambil tahu apatah lagi berusaha menyelesaikan masalah kewangan teman-teman. Jika tidak kerana kematian, tangkapan BPR dan sebagainya, masalah ini akan berterusan menjadi masalah peribadi. Semoga selepas ini ungkapan kita terhadap teman akan berubah menjadi ; " Kalau ada problem terutamanya kewangan, bagitau je. Insya Allah aku boleh tolong".

Tuesday, November 04, 2008

Ijtimak Sanawi Guru-Guru Takmir Negeri Perak


Ijtimak Sanawi Guru Takmir Negeri Perak diadakan pada hari ini dengan dirasmikan oleh Dato' Seri Dr. Haji Zahid Bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ijtimak ini diserikan dengan pembentangan kertas kerja oleh S.S. Dato' Seri Hj Harussani B. Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Dr. Jamnul Azhar Mulkan.
Dato' Seri Dr. Haji Zahid dalam perasmiannya menekankan agar para pendakwah tidak diketepikan terutamanya dalam proses pembentukan negara walaupun tidak dinafikan mengenai kepentingan pembangunan fizikal. Walaubagaimanapun pembangunan fizikal tidak akan bertahan lama tanpa pembentukan asas kerohanian yang mantap.
Dalam hal ini, ketika dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang amat parah pada hari ini, maka elaun Guru-Guru Takmir hendaklah dikaji semula agar munasabah dengan keperluan semasa. Walaupun isu kewangan bukanlah matlamat utama, namun keperluan yang munasabah amat penting bagi memastikan kualiti pentarbiahan ummat ini mampu dilaksanakan dengan berkesan.
Guru-Guru Takmir amat penting bagi memastikan masjid-masjid dapat diimarahkan sesuai kehendak Allah dan semua pihak harus memastikan kepentingan Syariat Allah diutamakan berbanding kepentingan-kepentingan lain. Maklumat yang disampaikan hendaklah tepat dan berdasarkan kepada sumber yang berotoriti. Masyarakat tidak seharusnya dibiarkan keliru dengan hanya berpegang kepada laporan media perdana yang kebanyakannya memihak kepada sesuatu pihak. Oleh yang demikian Guru-Guru Takmir mempunyai tanggungjawab yang amat besar bagi memastikan masyarakat mendapat ilmu dan maklumat yang tepat dan bermakna.
Selain daripada memastikan hanya yang berkualiti sahaja yang akan menyampaikan ilmu dan maklumat kepada masyarakat, maka usaha Kerajaan Negeri Perak bagi membawa mereka yang berkualiti tetapi selama ini dihalang dari menyampaikan dakwah selama ini ke masjid-masjid seharusnya diraikan.
1415, 4 November 2008

Executive Talk Oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim


Terdapat beberapa rakan yang mempertikaikan langkah Kerajaan Negeri Perak menjemput tokoh-tokoh daripada Pakatan Rakyat bagi mengisi program Executive Talk sebagaimana yang dianjurkan pagi tadi. Mereka membandingkan dengan "Kerajaan Dulu" yang hanya mengambil "non-political personality" bagi program seperti ini. Saya akui program yang dipelopori oleh "Kerajaan Dulu" ini amat baik bagi membuka minda penjawat awam di negeri ini. Namun inilah kelainan "Kerajaan Kini" dengan "Kerajaan Dulu" yang begitu menghormati kebebasan dan daya intelektual penjawat awam yang merupakan barisan kepimpinan bagi seluruh rakyat jelata. Jika dulu kita dinafikan hak bagi mendapat buah fikiran daripada golongan politician terutamanya pembangkang maka anggaplah era kegelapan itu telah berlalu. Sikap keterbukaan Kerajaan Negeri ini wajar dialu-alukan kerana ianya mampu mendidik rakyat agar tidak tidak melihat sesuatu melalui batasan fahaman dan kepartian, tetapi lebih fokus kepada kelayakan dan bidang kepakaran. Kita belum melihat mana-mana pusat kegiatan termasuk masjid dan surau yang dihalang menggunakan mana-mana kepakaran walau apapun fahaman mereka selama mana tidak menyalahi ajaran agama.
Samada fenomena ini akan kekal berterusan 4 @ 5 tahun akan datang, bagi saya setiap penjawat awam di negeri ini harus mengambil kesempatan yang ada ini. Amat menghairankan bagi saya melihat ada antara kita yang masih "malu-malu kucing" atau "seram sejuk" untuk menzohirkan keghairahan dalam melibatkan diri sepenuhnya dalam program seumpama ini. Apakah bencana yang akan menimpa jika dilihat atau diketahui oleh "seseorang" bahawa kita amat selesa dengan suasana yang ada.
Amat janggal jika dinafikan kehebatan tokoh-tokoh politik yang ada di negara ini. Mana mungkin mereka yang mendapat kepercayaan rakyat dan terlibat dalam penggubalan dasar negeri dan negara tidak harus didengar pandangan dan wawasan mereka. Langkah menghalang mana-mana ahli politik dari berbicara dengan penjawat awam nyata merupakan langkah berbalik ke belakang. Bagaimana hendak melahirkan penjawat awam yang cekap, berilmu dan berwawasan jika minda mereka dipenjarakan.
Sebagai penjawat awam yang dikatakan sebagai golongan cerdik pandai dan berwawasan, maka tanggungjawab kita untuk menilai dan menganalisa setiap ucapan yang disampaikan. Perlu dibezakan antara penjawat awam dengan rakyat biasa dalam menerima pandangan. Sikap menolak mentah-mentah atau menelan semahunya bukanlah sikap yang boleh dibanggakan. Kita mempunyai saluran atau rangkaian secara langsung sehingga mampu mengesahkan setiap fakta yang diberi. Maka latihlah diri agar mampu menjadi golongan yang berilmu, bermaklumat dan berkeupayaan bagi memikirkan dan bertindak selaras dengan tuntutan zaman kerana rakyat jelata mengharapkan kita untuk dijadikan panduan ke arah perubahan yang lebih baik dari masa ke semasa.
2300, 3 November 2008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...