Tuesday, November 04, 2008

Executive Talk Oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim


Terdapat beberapa rakan yang mempertikaikan langkah Kerajaan Negeri Perak menjemput tokoh-tokoh daripada Pakatan Rakyat bagi mengisi program Executive Talk sebagaimana yang dianjurkan pagi tadi. Mereka membandingkan dengan "Kerajaan Dulu" yang hanya mengambil "non-political personality" bagi program seperti ini. Saya akui program yang dipelopori oleh "Kerajaan Dulu" ini amat baik bagi membuka minda penjawat awam di negeri ini. Namun inilah kelainan "Kerajaan Kini" dengan "Kerajaan Dulu" yang begitu menghormati kebebasan dan daya intelektual penjawat awam yang merupakan barisan kepimpinan bagi seluruh rakyat jelata. Jika dulu kita dinafikan hak bagi mendapat buah fikiran daripada golongan politician terutamanya pembangkang maka anggaplah era kegelapan itu telah berlalu. Sikap keterbukaan Kerajaan Negeri ini wajar dialu-alukan kerana ianya mampu mendidik rakyat agar tidak tidak melihat sesuatu melalui batasan fahaman dan kepartian, tetapi lebih fokus kepada kelayakan dan bidang kepakaran. Kita belum melihat mana-mana pusat kegiatan termasuk masjid dan surau yang dihalang menggunakan mana-mana kepakaran walau apapun fahaman mereka selama mana tidak menyalahi ajaran agama.
Samada fenomena ini akan kekal berterusan 4 @ 5 tahun akan datang, bagi saya setiap penjawat awam di negeri ini harus mengambil kesempatan yang ada ini. Amat menghairankan bagi saya melihat ada antara kita yang masih "malu-malu kucing" atau "seram sejuk" untuk menzohirkan keghairahan dalam melibatkan diri sepenuhnya dalam program seumpama ini. Apakah bencana yang akan menimpa jika dilihat atau diketahui oleh "seseorang" bahawa kita amat selesa dengan suasana yang ada.
Amat janggal jika dinafikan kehebatan tokoh-tokoh politik yang ada di negara ini. Mana mungkin mereka yang mendapat kepercayaan rakyat dan terlibat dalam penggubalan dasar negeri dan negara tidak harus didengar pandangan dan wawasan mereka. Langkah menghalang mana-mana ahli politik dari berbicara dengan penjawat awam nyata merupakan langkah berbalik ke belakang. Bagaimana hendak melahirkan penjawat awam yang cekap, berilmu dan berwawasan jika minda mereka dipenjarakan.
Sebagai penjawat awam yang dikatakan sebagai golongan cerdik pandai dan berwawasan, maka tanggungjawab kita untuk menilai dan menganalisa setiap ucapan yang disampaikan. Perlu dibezakan antara penjawat awam dengan rakyat biasa dalam menerima pandangan. Sikap menolak mentah-mentah atau menelan semahunya bukanlah sikap yang boleh dibanggakan. Kita mempunyai saluran atau rangkaian secara langsung sehingga mampu mengesahkan setiap fakta yang diberi. Maka latihlah diri agar mampu menjadi golongan yang berilmu, bermaklumat dan berkeupayaan bagi memikirkan dan bertindak selaras dengan tuntutan zaman kerana rakyat jelata mengharapkan kita untuk dijadikan panduan ke arah perubahan yang lebih baik dari masa ke semasa.
2300, 3 November 2008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...