Thursday, October 05, 2017

PEMILIHAN AJK MASJID; ANTARA SYURA DAN DEMOKRASI

Masjid sudah menjadi satu institusi yang begitu penting dalam kehidupan umat Islam di negara ini. Berlaku berbagai perkembangan terhadap pengurusan dan pentadbiran masjid. Sejarah pentadbiran masjid bermula dengan pentadbiran masjid pertama di zaman Rasulullah saw yang memperlihatkan baginda bertindak sebagai Pengerusi dan Imam Besar Masjid Nabawi. Konsep ini berterusan diwarisi oleh para ulamak yang menguasai ataupun menjadikan masjid sebagai pusat pengajian. Kebanyakan mereka bukan sahaja menjadikan masjid sebagai pusat pengajian semata-mata, tetapi segala urusan berkaitan pentadbiran, pengimarahan dan kewangan masjid terletak di bawah arahan dan penentuan mereka. Maka tidak timbul keperluan kepada sebarang jawatankuasa untuk tujuan tersebut.
Tidak ada catatan yang merekodkan bilakah bermulanya pelantikan para pentadbir masjid secara rasmi di negara ini. Walaubagaimanapun pelantikan dilaksanakan dengan cara demokrasi yang berlangsung dengan aman dan harmoni. Fenomena ini berlangsung begitu lama sehinggalah wujudnya sintom-sintom perpecahan umat dalam berbagai sudut. Antara faktor terbesar yang memainkan peranan dalam memecah belahkan umat Islam adalah faktor politik kepartian. Ketaksuban terhadap politik kepartian telah melebar luaskan pergolakan umat Islam sehingga melajak hingga ke masjid. Desakan meninggalkan politik di pintu pagar masjid tidak langsung merawat pertelingkahan di kalangan umat Islam malah menjadikannya lebih membarah. Maka masjid menjadi medan perebutan di kalangan pengikut dalam mencari pengaruh. Akibatnya timbul isu pengundi hantu yang dibawa khas tatkala Mesyuarat Agung Tahunan. Berbagai kisah hitam mencacatkan imej dan nama baik masjid hingga memaksa pihak berkuasa campur tangan dalam urusan pentadbirannya.  Maka para pentadbir masjid tidak lagi dibiarkan kepada masyarakat untuk menentukannya.   
Hari ini memperlihatkan bahawa kesemua negeri yang ada di seluruh negara sudah mengambil alih peranan pentadbiran dan pengimarahan masjid. Undang-undang telah menetapkan bahawa segala urusan ugama adalah terletak di bawah bidangkuasa Sultan selaku Ketua Ugama Negeri. Dalam melaksanakan peranan ini, diwujudkan Majlis Agama Islam Negeri bagi membantu dan menasihati Sultan. Maka Majlis Agama Islam Negeri telah menentapkan kaedah bagi pentadbiran dan pengimarahan masjid dengan melantik para pentadbir masjid dengan berbagai nama seperti Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Kariah Masjid, Jemaah Nazir dan seumpamanya. Secara umumnya keseluruhan negeri telah mewujudkan kaedah tersendiri bagi membuat pelantikan tersebut dengan mengenepikan kaedah pemilihan orang ramai. 
            Sebenarnya terdapat banyak masalah yang timbul daripada sistem pemilihan orang ramai sebagaimana yang telah diamalkan oleh masyarakat awam terdahulu. Mungkin pada masa dahulu kesan negatif daripada kaedah pemilihan orang ramai ini tidak begitu ketara. Walaubagaimanapun pada masa ini jika kita teliti maka kesan buruknya adalah melebihi daripada kesan baiknya. Antara yang dapat kita lihat adalah kaedah pemilihan orang ramai melalui Mesyuarat Agung Tahunan ini sebenarnya tidakpun mewakili atau menggambarkan kehendak Jemaah sebagaimana yang sering dikatakan oleh sebahagian manusia. Kebanyakkan masjid hanya memperlihatkan jemaah rutin atau harian yang sentiasa mengimarahkan masjid setiap waktu dalam lingkungan 20 ke 30 orang sahaja. Namun setiap kali Mesyuarat Agung Tahunan diadakan, jumlah ini bertambah dengan mendadak hingga menjangkau ke jumlah 100 hingga ke 150 orang. Maka apakah ini membolehkan segala keputusan yang diambil menepati segala kehendak Jemaah yang sentiasa mengimarahkan masjid tersebut.
            Satu kelemahan yang ketara di kalangan para pentadbir masjid adalah mereka tidak mempunyai daftar rasmi ahli qaryah yang kemaskini. Sebahagian dari mereka tidakpun mengetahui dengan tepat jumlah sebenar ahli qaryah mahupun ketua isi rumah yang berada dalam qaryah mereka. Maka ketiadaan daftar rasmi yang kemaskini ini memungkinkan berlakunya penipuan seperti wujudnya pengundi hantu sebagaimana yang berlaku dalam pilihanraya sebenar. Walaupun sebahagian mereka mungkin mengetahui bukan ahli qaryah yang turut hadir, tetapi tidak ada kaedah yang mampu dibuat untuk mengatasi masalah itu melainkan hanya menimbulkan pergeseran dan perbalahan semata-mata.
            Dari segi realitinya, pemilihan para pentadbir masjid tidak sewajarnya diserahkan kepada orang ramai. Ini memandangkan sebahagian besar orang ramai akan membuat cadangan dan pemilihan tidak berdasarkan kesesuaian dan kelayakan sebenar. Sebahagian mereka mencadangkan seseorang yang lain bagi tujuan mengelakkan daripada orang lain mencadangkan dirinya sendiri. Ada juga segelintir yang mencadangkan orang lain yang dilihatnya terlalu banyak cakap atau sering menunjuk pandai. Dengan kata lain mereka mencadangkan seseorang untuk dilantik berdasarkan kesesuaian dan kelayakan sebenar tetapi hanya bertujuan untuk mengenakan (memadan mukakan seseorang). Selain dari ini ada juga kesilapan dalam meletakkan kesesuaian dan kelayakan sebenar bagi sesuatu jawatan. Sebagai contohnya bagi jawatan bendahari, selalunya masyarakat kampung akan memilih seorang yang paling “kedekut” yang dikenali di kampung tersebut. Maka lahirlah bendahari yang berbangga dengan banyaknya wang masjid yang tersimpan di bank dan begitu sukar bagi mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan masjid.
            Kelayakan bagi dilantik menjawat sesuatu jawatan ini telah digambarkan oleh Allah dalam firmanNya yang menceritakan mengenai kisah anak perempuan Nabi Allah Shuib yang mencadangkan kepada bapaknya agar mengambil Nabi Allah Musa sebagai pekerja.
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمِينُ (القصص:26)
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai".

Dalam ayat ini Allah menyebutkan bahawa mereka yang paling berkelayakan untuk diambil bekerja adalah orang yang kuat lagi dapat dipercayai. Dalam ayat ini Allah mengutamakan orang yang kuat berbanding orang yang dipercayai. Istilah kuat di sini boleh ditafsirkan dengan maksud cekap, mahir dan berkeilmuan. Maka ciri-ciri yang paling penting bagi dilantik menjawat sesuatu jawatan adalah kecekapan, kemahiran dan keilmuan mengenai jawatan tersebut. Oleh yang demikian bagi jawatan Bendahari Masjid, ciri terpenting yang disebutkan oleh Allah adalah kecekapan, kemahiran dan keilmuan dalam bidang kewangan. Seseorang bendahari bukan sahaja perlu amanah dan dipercayai tetapi hendaklah dilihat sebagai amanah dan dipercayai. Seseorang itu tidak akan dilihat sebagai amanah dan dipercayai tanpa kemampuan beliau membentangkan penyata kewangan yang difahami, kemas dan tersusun.  
Sebenarnya banyak pertikaian berlaku mengenai kaedah pelantikan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri pada hari ini. Antara kritikan yang dilemparkan adalah kaedah tersebut adalah tidak demokratik malah tidak Syar’ie. Hakikatnya kaedah yang ditetapkan dengan menafikan hak orang awam dalam membuat pemilihan adalah tidak demokratik. Tetapi wajibkan kita mengamalkan demokrasi terutamanya dalam amalan keagamaan seperti ini. Adakah kaedah ini tidak ada langsung asasnya di dalam Islam. Jika kita merujuk kepada seerah Rasulullah saw, baginda tidak pernah menentapkan satu kaedah khusus bagi pelantikan ke sesuatu jawatan. Ini dapat kita lihat dalam pelantikan khalifah di kalangan para sahabat. Berbagai kaedah yang dilaksanakan oleh mereka dan ianya menjadi ijmak yang tidak boleh dipertikaikan keabsahannya.
Selepas kewafatan Rasulullah saw, para sahabat besar telah meninggalkan jasad baginda untuk diuruskan oleh ahli bait. Mereka bergegas mengadakan perbincangan bagi melantik khalifah menggantikan Rasulullah saw sebagai pemimpin. Ini kerana tidak wajar Umat Islam dibiarkan berterusan tanpa adanya seorang pemimpin yang mengetuai mereka. Dalam peristiwa ini para sahabat hanya melibatkan para pemimpin kaum yang mencadangkan dan membuat keputusan untuk melantik khalifah. Setelah semuanya bersepakat melantik Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah, barulah pencalonan tersebut dibentangkan kepada rakyat jelata bagi mendapatkan baiah. Mereka tidak langsung melibatkan rakyat ketika proses pemilihan. Inilah yang dinamakan oleh ulamak sebagai pemilihan oleh Ahli Hilli Wal Aqdi ataupun dinamakan sebagai Majlis Syura. Mereka terdiri daripada wakil kaum yang boleh membuat penilaian secara teliti.

Apa yang berlaku hari ini adalah berdasarkan kaedah ini. Sebagai contohnya di Negeri Perak Darul Ridzuan, pemilihan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid akan dicalunkan oleh Jawatankuasa Pemilih yang dianggotai oleh Penghulu Mukim, Pegawai Tadbir Agama dan dipengerusikan oleh Orang Besar Jajahan. Mereka ini mewakili kepentingan masing-masing iaitu Penghulu Mukim mewakili pentadbiran daerah berkenaan, Pegawai Tadbir Agama Daerah mewakili pentadbiran agama dan Orang Besar Jajahan mewakili pihak istana. Pihak-pihak inilah yang akan menyenaraikan nama bagi dilantik secara rasminya oleh Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Mungkin timbul persoalan bagaimana mereka hendak mendapatnya calun-calun yang sesuai sedangkan mereka tidak mengenali semua penduduk kampung yang terlibat. Sebenarnya terpulang kepada mereka untuk melakukan siasatan melalui berbagai cara termasuk mendapatkan maklumat dari berbagai pihak seperti ketua kampung, naib qadi, para imam dan orang ramai sendiri. Mungkin berlaku kesilapan dalam sebahagian dari penilaian mereka akibat kesilapan maklumat yang diperolehi tetapi ianya bukanlah menunjukkan kesilapan sistem atau kaedah yang digunakan ini. Oleh kerana Rasulullah saw tidak pernah menetapkan sebarang kaedah khusus bagi melantik pemimpin maka kaedah ini juga adalah merupakan salah satu kaedah yang dibenarkan oleh Syarak. Walaupun ianya bukanlah merupakan kaedah yang terbukti terbaik tetapi ianya boleh menyelesaikan beberapa masalah yang timbul dari kaedah pemilihan orang awam selama ini. Walaupun tidak demokratik tetapi apa yang lebih penting ianya Syarie dan tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan RasulNya.

Masjid Bukan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Dunia maya telah menjadikan setiap detik peristiwa yang berlaku di seluruh muka bumi ini dapat dikongsi bersama oleh seluruh warganya. Sebahagian dari perkongsian ini membawa berbagai kebaikan dan manfaat  kepada manusia sedangkan sebahagiannya pulak membawa keburukan serta mengeruhkan suasana kepada sesetengah pihak.
Antara isu yang sering tular di dunia maya adalah mengenai kemiskinan dan kemelaratan sebahagian manusia yang menggambarkan seolah-olah tiada pihak yang bersimpati dan membantu.  Antara pihak yang sering menjadi mangsa kritikan, sindiran dan tohmahan awam dalam menangani isu sebegini adalah pihak masjid ataupun Ahli Jawatankuasa Masjid. Masjid digambarkan sebagai satu institusi yang hanya pandai mengumpul duit dari ehsan orang ramai, menyimpan dan bermegah dengan banyaknya simpanan masing-masing. Dengan ayat yang lebih kasar masjid dikatakan hanya pandai menggemukkan badan, tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling yang memerlukan bantuan dari mereka.
Persoalan yang timbul adalah, benarkah masjid sebagai satu-satunya pihak yang bertanggungjawab bagi menangani isu seperti ini ?. Pihak manakah lagi yang wajar memikul tanggung jawab tersebut ? Apakah perkara ini menjadi salah satu peranan dan fungsi masjid ? Apakah perkara ini menjadi keutamaan pertama dalam peranan dan fungsi masjid ?
Persoalan-persoalan ini akan dapat dirungkaikan dengan kita melihat kepada fungsi masjid sebagaimana yang telah dilaksanakan di zaman Rasulullah saw dan para sahabat serta perbandingan dengan fungsi masjid di masa kini. Berdasarkan realiti ini timbul beberapa persoalan yang berkisar antara lain; perlukah fungsi dan peranan masjid pada masa kini dikembalikan semula peranan dan fungsinya sebagaimana masjid di zaman Rasulullah saw dan para sahabat ? Apakah wajar dan apakah kekangan bagi melaksanakan usaha tersebut ? Apakah usaha pengembalian tersebut sebagai satu peningkatan dan perkembangan yang baik atau ianya hanya sebagai satu langkah ke belakang yang tidak lagi relevan dengan perkembangan zaman ?.


Masjid pertama yang dibangun oleh Rasulullah Saw. adalah Masjid Quba’, kemudiannya disusuli dengan Masjid Nabawi di Madinah. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam firmanNya :
.......لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ (108)
Sesungguhnya mesjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.
Walaubagaimanapun Masjid Nabawi di Madinah telah dijadikan sebagai sebuah masjid yang sempurna dari segi fungsi dan peranannya ketika itu. Sejarah mencatat tidak kurang dari tujuh peranan utama yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw  di Masjid Nabawi, yaitu:
1. Pusat ibadah khusus.
      Rasulullah saw menjadikan masjid sebagai pusat ibadat khusus seperti solat dan berzikir bersama para sahabat. Ibadat secara berjemaah amat dititikberatkan dan kebanyakannya dilaksanakan di masjid.
2. Pusat Pendidikan.
           Rasulullah saw mengajar dan mentarbiah para sahabat di masjid sehingga mereka lahir sebagai tokoh-tokoh akademik yang begitu hebat dan berwibawa.
3. Pusat Maklumat dan Penerangan.
           Rasulullah saw memaklumkan segala perkembangan dan keperluan semasa kepada seluruh penduduk Madinah melalui mimbar.
4. Pusat Aktiviti Ketenteraan.
           Rasulullah saw turut mengisytiharkan peperangan dan menjadikan masjid sebagai tempat merangka dan merancang strategi peperangan.
5. Pusat Pengadilan.
           Rasululllah saw menghakimi setiap perbalahan dan menjatuhkan hukum bagi umat Islam mendapatkan keadilan di masjid.
6. Pusat Tahanan Tawanan.
           Rasulullah saw pernah menambat tawanan perang di tiang masjid.
7. Pusat Kegiatan Ekonomi.
           Perkarangan masjid juga dijadikan sebagai pusat perkumpulan masyarakat di samping mereka berjual beli di masjid.
 Secara umumnya jika dinisbahkan kepada dunia moden hari ini, masjid bukan sahaja mempunyai satu fungsi untuk beribadat semata-mata, malah merangkumi berbagai fungsi. Ini bermakna masjid juga berfungsi sebagai sebuah universiti, Kementerian Penerangan dan Komunikasi, Kem Tentera, Mahkamah, Penjara dan Pasaraya.
Berdasarkan apa yang disenaraikan, fungsi di atas telahpun dikembangkan dengan penubuhan institusi masing-masing yang lebih kemas, fokus dan selesa. Sebagai contohnya, pengwujudan universiti dan institut pengajian tinggi telah meletakkan taraf pendidikan masyarakat di bidang akademik pada tempat yang sewajarnya. Di sini para ilmuan dikumpulkan bersama para penuntut agar mereka boleh menumpukan segala aktiviti berkaitan akademik. Tinggallah masjid menjadi pelengkap kepada keperluan ilmiah masyarakat bagi golongan yang tercicir dari arus pendidikan perdana. Masjid menyediakan ruang dan peluang bagi mereka yang dahagakan ilmu agama yang mungkin tidak dapat dipelajari secara khusus dan terperinci. Kesibukan tugas seharian menjadikan mereka hanya mempunyai senggang waktu tertentu sahaja bagi mendapatkan ilmu agama. Ruang inilah yang perlu dimanfaatkan oleh para pentadbir masjid bagi memenuhi keperluan golongan ini. Perkembangan semasa memperlihatkan masjid turut dilibatkan dalam menyebarkan ilmu-ilmu lain selain ilmu agama walaupun secara umumnya tidak begitu menepati kesesuaian pembelajaran ilmu tersebut mahupun budaya hidup masyarakat Islam tempatan.
Jika ditinjau daripada suasana yang sudah ada pada hari ini, tidak mungkin mana-mana pemikiran yang waras merasakan munasabahnya jika dikembalikan segala fungsi universiti, mahkamah, kem ketenteraan, Jabatan Penerangan dan Pasaraya ke masjid walaupun dibina sebuah masjid yang begitu besar untuk menempatkan kesemua keperluan tersebut.
Oleh yang demikian, begitu jugalah dengan tanggung jawab sosial dan kemasyarakatan yang kini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh berbagai pihak seperti Kementerian Kewangan, Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Basmi Kemiskinan dan agensi seumpamanya. Apakah wajar bila wujudnya satu kes terpencil gelandangan, maka pentadbir masjid terus diherdik dan dimaki hamun seolah-olah tidak wujudnya berbagai agensi yang mengangani masalah tersebut.
Sebenarnya bukanlah menjadi satu halangan bagi pihak masjid untuk membantu umat Islam yang menghadapi kesulitan kewangan apatah lagi di kalangan ahli kariah mereka sendiri. Walaubagaimanapun masyarakat juga perlu melihat bahawa masjid mempunyai senarai peranan yang berbagai dan ianya harus dilaksanakan mengikut keutamaan yang ditentukan Syarak.  Begitu juga dalam urusan membasmi kemiskinan, terdapat keutamaan pihak yang harus bertanggungjawab dan masjid bukanlah berada di keutamaan yang terawal. Oleh yang demikian tidak wajar sama sekali pihak masjid dipersalahkan jika ianya berlaku di dalam kariah mereka. Apatah lagi membandingkan masjid dengan gereja yang kononnya lebih mudah membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
Di antara fungsi dan peranan terpenting bagi masjid adalah bagi membolehkan Umat Islam beribadat dengan sah, aman dan selesa. Oleh yang demikian apa sahaja usaha ke arah itu adalah merupakan keutamaan utama masjid. Penggunaan sumber kewangan masjid hendaklah memberi keutamaan bagi membolehkan ibadat dilaksanakan dengan sah, aman dan selesa. Sebagai contohnya, adalah wajib bagi menjadikan sahnya Solat Jumaat, rukun-rukun khutbah didengari oleh 40 orang jemaah. Maka sistem audio masjid hendaklah disempurnakan agar sekurang-kurangnya terdapat 40 orang yang boleh mendengar khutbah dikumandangkan.  Maka janganlah ada lagi masjid yang masih lagi menggunakan mikrofon yang berikat dengan tali atau getah kerana ini hanya menunjukkan kesilapan mereka dalam mematuhi keutamaan ketika berbelanja. Bagi sesetengah orang atau sesetengah masa dan keadaan, terdapat jemaah yang menghadapi masalah bagi menahan diri dari melepaskan hajat samada kecil mahupun besar. Bagi mereka, terpaksalah bergegas balik ke rumah dan mungkin terlewat bagi mendapatkan Takbiratul Ihram bersama imam ataupun mungkin akan terlepas solat berjemaah terus. Maka wujudnya keperluan untuk dibina tandas dan tempat wudhuk di masjid. Maka kewangan masjid hendaklah digunakan bagi tujuan tersebut dan seterusnya mengikut keutamaan lain seperti pengajian, program kemasyarakatan dan sebagainya.      
Sebenarnya ada titik pemisah yang harus diikuti oleh para pentadbir masjid dalam menguruskan kewangan masjid. Dalam masa yang sama orang awam juga wajib memahami bahawa pentadbir masjid terikat dengan amanah yang digalas daripada para penderma dan pewaqaf. Mereka tidak mempunyai wenangan dalam berbuat apa sahaja atas nama masjid, ataupun menggunakan kewangan masjid secara sembrono. Kita harus melihat dari sudut diri kita sendiri, jika kita yang menyumbangkan kewangan kepada masjid, apakah kita redha dengan penggunaannya. Secara umumnya, mereka yang menyumbang pastinya membayangkan bahawa wang mereka akan digunakan bagi mewujudkan suasana dan persekitaran masjid yang selesa. Mereka secara umumnya membayangkan bahawa wang mereka akan digunakan bagi keperluan ahli kariah mereka, bukan orang diluar apatah lagi mereka yang berbeza agama dengan mereka.
Oleh yang demikian, jika pihak pentadbir masjid hendak menggunakan kewangan masjid secara yang berbeza, maka hendaklah mereka mengisytiharkan kepada awam melalui kutipan-kutipan berasingan. Ini termasuklah bantuan kepada saudara-saudara kita yang berada di luar Negara seperti Palestin, Syria, Myanmar dan sebagainya. Pentadbir masjid hendaklah mengadakan kutipan khusus bagi tujuan tersebut tanpa bermudah-mudah dengan mengambil daripada tabung simpanan biasa hasil dari kutipan mingguan setiap Jumaat.
 Kesimpulannya, kita hendaklah mengambil jalan tengah di antara sikap sesetengah pentadbir masjid yang begitu sukar untuk membelanjakan tabungan masjid dan para pentadbir yang begitu bermudah dengan urusan tersebut. Memang ada sebahagian dari pentadbir yang lebih berbangga dengan banyaknya simpanan mereka di institusi-institusi kewangan sedangkan keperluan ahli kariah tidak langsung dipedulikan. Setiap sen kewangan masjid tidak harus disimpan kerana ianya bukan untuk diwariskan. Bendahari masjid yang baik bukanlah bendahari yang pandai berjimat dan menyimpan duit, tetapi bendahari yang pandai menggunakan duit mengikut ketentuan Allah dan RasulNya.

Semoga dengan ini tidak akan ada lagi suara-suara sumbang yang menghina pentadbir masjid tanpa asas yang kukuh apatah lagi membanding-bandingkannya dengan gereja yang pengurusannya tidak terikat dengan sebarang hukum hakam tuhan. Masjid boleh memberikan bantuan kepada yang memerlukan secara sementara sebelum mereka mendapat bantuan yang sepatutnya. Namun Masjid Bukanlah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan menanggung mereka seumur hidup dengan kewangan yang diwujudkan bukan dengan tujuan tersebut hanyalah semata-mata pengkhianatan kepada amanah ummat yang tidak sewajarnya dilakukan. Semoga kita mampu memahami dan menjalankan peranan masing-masing dan tidak menyerahkan sesuatu peranan kepada pihak yang tidak sepatutnya. In sya Allah Umat Islam akan menjadi satu umat yang hebat dan cemerlang jika semua pihak menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Wallahu A’lam Bis Sowab.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...