Tuesday, November 24, 2009

Khutbah: Aidil Adha

خطبة عيد الأضحى


الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر , الله أكبر، الله أكبر، الله أكبرالله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، وَِللهِ الْحَمْد.
الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٍ،
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَالسِّرَاجُ الْمُنِيْرُ.
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى حَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ نَّبِيِّ الرَّحْمَةِ وَشَفِيْعِ اْلأُمَّةِ وَعَلَى اَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ وَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ
.
اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ
Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah agar kita mendapat kejayaan. Di hari ini seluruh Umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban. Hari ini kita memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihis salam sebagaimana firman Allah :

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ ِلأَبِيهِ آَزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آَلِهَةً إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ

Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapaknya Aazar: "Patutkah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata". (Al-An’am : 74)

Nabi Allah Ibrahim Alaihis salam terpaksa melakukan pengorbanan dalam usaha menegakkan aqidah tauhid dengan menolak segala bentuk ketuhanan dan kekuasaan selain daripada Allah yang Maha Esa. Nabi Ibrahim terpaksa mengorbankan kasih sayangnya terhadap bapanya dan bangun menentang kekuasaan pembesar-pembesar yang berpengaruh dan memerintah masyarakat ketika itu. Pengorbanan besar ini menyebabkan beliau dibakar di dalam api yang besar, dihalau oleh bapanya sendiri dan diancam oleh pihak berkuasa di tanahairnya sendiri. Itulah fitrah bagi orang yang beriman dan bertaqwa dan sanggup berqurban mempertahankan Agama Allah.

Wednesday, November 18, 2009

Pejabat Pemasaran Arak Perak milik Guiness Anchor Berhad (GAB) di Jalan Sultan Azlan Shah Selatan

Seorang teman bertanya apakah Tan Sri Mufti membenarkan perniagaan ini diluluskan. Ini tidak menghairankan kerana sebahagian besar masyarakat menganggap beliau yang bertaraf Exco terlibat dalam semua urusan kelulusan di peringkat Kerajaan Negeri Perak. Tidak ramai yang mengetahui beliau hanya mendapat kemudahan dan elaun setaraf dengan exco tetapi tidak dilibatkan dalam mesyuarat exco.
Isu ini amat menarik perhatian saya memandangkan saya melalui jalan ini setiap hari ketika pergi dan balik ke pejabat di Kuala Kangsar. Namun perlu saya jelaskan disini agar tidak berlaku salah faham terhadap penjelasan yang diberi.
Saya menyebutkan kepada sahabat yang bertanya bahawa saya tidak pasti dengan kuasa meluluskan premis perniagaan tersebut. Saya mengatakan bahawa di Kuala Kangsar, Pegawai Tadbir Agama Daerah dijemput hadir dalam mesyuarat perlesenan. Walaubagaimanapun Pegawai Tadbir Agama hanya menyuarakan pandangan jika diminta dan keputusan hanya bergantung kepada beberapa agensi seperti PBT, PDRM, Imigresen dan Bomba. Hanya jabatan yang menjadi ahli tetap ini sahaja yang boleh menjadi mencari alasan untuk tidak menyokong dan ianya tidak akan diluluskan. Bagi sesetengah kes ianya dipanjangkan ke peringkat negeri untuk mendapatkan kelulusan.
Kehadiran Pegawai Tadbir Agama dalam mensyuarat seperti ini juga sering diperdebatkan. Walaubagaimanapun saya memilih untuk menghadirinya agar dapat peluang menyuarakan sesuatu dan saya berdoa agar Allah tidak menggolongkan saya dalam golongan yang bersubahat dalam meluluskannya.
Namun saya tidak pasti siapa yang terlibat di Bandayara Ipoh kerana belum ada sekalipun dilibatkan dalam mesyuarat seumpama itu di sini. Oleh yang demikian saya nak menegaskan bahawa amat malang jika dibenarkan premis pusat pengedaran arak yang mengundang laknat dan bala dari Allah terletak amat hampir dengan Kampung Melayu dimana rumah SS Mufti Kerajaan Negeri Perak ada di dalamnya. Wallhu a'lam

Sunday, November 08, 2009

PAS Tidak Perlukan Orang Luar Untuk Menyelesaikan Masalah Parti

Seminar Pemerkasaan Parti yang berlangsung di Taman Melewar telah selesai dilaksanakan. Sepanjang berada di sana dirasakan seolah-olah parti ditelanjangi di hadapan awam sambil dicubit di sana sini. Prof. Dr. Aziz Bari sememangnya boleh mendabik dada sebagai jagoh yang mampu berpencak silat di gelanggang lawan walaupun tanpa penyokong yang dibawa bersama. Beliau berjaya mencuri sokongan dari penyokong lawan walaupun berada di gelanggang lawan. Ini diungkapkan sendiri oleh beliau dalam sebahagian jawapannya bahawa beliau tetap datang walaupun asalnya tidak mahu, agar tidak dikatakan takut berhadapan.

Tuesday, November 03, 2009

Dr. Asri ; Dimana Kewarasan Kita

Tidak apa yang aneh dengan JAIS terhadap Dr. Asri Zainal Abidin. Semua rakyat Malaysia tahu mengenai kesalahan Mengajar Tanpa Tauliah terutamanya beliau sendiri yang pernah menjawat jawatan Mufti. Berbagai pihak telah menerima nasib yang sama sebelum ini atas berbagai sebab. Ulama-ulama dan pejuang PAS terlalu ramai yang ditangkap semata-mata kerana menyampaikan ayat-ayat Allah. Pejuang reformasi bukan sedikit yang ditangkap semata-mata kerana menzahirkan perasaan mereka di jalanan. Namun amat berbeza dengan tangkapan terhadap Dr. Asri, kerana bukan sedikit yang menyokong beliau termasuk Menteri Agama, Perdana Menteri malah golongan anti agama seperti SIS.

Apa yang aneh adalah reaksi berbagai pihak yang melatah tak tentu hala. Tokoh 1Malaysia menyatakan kehairanan kenapa Dr. Asri sahaja ditangkap sedangkan ramai lagi yang berceramah tanpa tauliah dibiarkan. Hujah ini sama seperti mempertikaikan polis yang menangkap penjenayah, sedangkan banyak lagi penjenayah yang lepas bebas. Kejahilannya terserlah apabila mengatakan saya tak tau apa masalahnya dengan pendekatan atau aliran Wahabi Dr. Asri yang dipertikaikan sedangkan beliau adalah seorang ulamak yang bercakap secara terus terang dan berani dengan hujah dan dalil yang bernas. Entah bila penghakiman dibuat terhadap hujah dan dalil Dr. Asri dan siapakah yang menghakiminya. Kemampuan mendatangkan hujah dan dalil tidak bererti benar kerana tidak semuanya tepat. Kebanyakan pembaharuan yang dibawa oleh beliau hanyalah ulangan kisah lama yang telahpun dijawab oleh ulamak-ulamak terdahulu. Bagi yang cetek pengetahuan agamanya menganggapnya sebagai perkara baru dan beliau dianggap superhero yang didatangkan untuk menyelamatkan umat.

Turut melatah sama adalah para pimpinan PAS yang terpukau dengan kehebatan pidato beliau. Ketua Dewan Ulamak sendiri berkunjung untuk menarik beliau menyertai PAS walaupun sudah terang lagi bersuluh beliau merelakan dirinya diperkudakan oleh UMNO dan lebih banyak memperlekehkan perjuangan PAS berbanding UMNO. Walaupun PAS menentang segala bentuk kezaliman terhadap para ustaz dan penceramah yang ditangkap selama ini, namun keperluan kepada satu kawalan terhadap penyebaran ajaran salah tidak mungkin dapat dinafikan. Mungkin ramai yang berkata sebesar mana salahnya wahabi dan apakah kesan buruknya terhadap masyarakat. Tidak ada salahnya berpegang kepada pandangan wahabi selama mana kita meraikan perbezaan pandangan di kalangan ulamak. Namun jika sampai ke tahap membidaahkan segala amalan orang lain dan memaksa orang lain menerima pandangan mereka, maka situasi ini wajib dibendung oleh pemerintah. Bukan sedikit pertengkaran dan perbalahan melanda orang awam yang tidak memahami adabul ikhtilaf akibat ketaksuban mereka kepada Dr. Asri dan pengikutnya. Apatah lagi beliau menganggap perubahan yang dibawa itu adalah satu bentuk perjuangan dan tidak dinamakan perjuangan jika yang ditentang itu tidak dianggap salah atau sesat. Ketika bersama pengikutnya, ucapan beliau seolah-olah sedang mengetuai angkatan perang sedangkan ketika bersama ulamak lain beliau berdolak dalih mengatakan pengikutnya yang berlebih-lebih tanpa dapat dikawal.

Sebahagian kita mengatakan setiap hujah mestilah dilawan dengan hujah. Ungkapan ini hanya sesuai di bidang akademik dan keilmuan. Ianya tidak ada kena mengena dengan tindakan pemerintah terhadap rakyatnya. Hujah bagi mereka yang dikenakan tindakan undang-undang hanyalah didengar di mahkamah.

Walaupun saya amat tidak bersetuju dengan latahan berbagai pihak terhadap isu ini, namun kaedah bagaimana penguatkuasaan ini dilaksanakan oleh JAIS bukanlah satu tindakan yang tidak boleh dipersoalkan. Kesesuaian masa, alasan yang diguna, cara perlaksanaannya sememangnya mengejutkan kita semua. Namun bagi pihak yang membangkang, adakah reaksi yang sama turut diberikan jika yang ditangkap itu bukan mufti atau mantannya. Apakah pimpinan UMNO akah melenting jika yang ditangkap adalah penceramah yang tidak memberi kredit kepada mereka. Apakah SIS akan turut terpanggil jika tangkapan ini dibuat oleh SPRM dan sebagainya, bukan Jabatan Agama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...