Sunday, November 08, 2009

PAS Tidak Perlukan Orang Luar Untuk Menyelesaikan Masalah Parti

Seminar Pemerkasaan Parti yang berlangsung di Taman Melewar telah selesai dilaksanakan. Sepanjang berada di sana dirasakan seolah-olah parti ditelanjangi di hadapan awam sambil dicubit di sana sini. Prof. Dr. Aziz Bari sememangnya boleh mendabik dada sebagai jagoh yang mampu berpencak silat di gelanggang lawan walaupun tanpa penyokong yang dibawa bersama. Beliau berjaya mencuri sokongan dari penyokong lawan walaupun berada di gelanggang lawan. Ini diungkapkan sendiri oleh beliau dalam sebahagian jawapannya bahawa beliau tetap datang walaupun asalnya tidak mahu, agar tidak dikatakan takut berhadapan.


Sebagai sebuah parti yang menjadi alternatif untuk memimpin negara, PAS perlu menerima hakikat bahawa sesiapa sahaja berhak mengkritik dan memberi pandangan kepada pimpinannya. Namun berbeza dengan berbagai kritikan yang dikemukakan oleh berbagai pihak termasuk daripada peringkat bawahan, entah kenapa kritikan Prof. Dr. Aziz Bari mendapat respon luar biasa. Mungkin atas faktor nama besar beliau di persada media ataupun respon kepada kritikan beliau daripada Mursyidul Am menyebabkan kritikan beliau menjadi satu isu yang luar biasa kesannya.

Satu kejutan luar biasa aku rasakan bila melihat agenda seminar di atas yang secara khusus mengundang beliau membahaskan kritikan yang diberikan. Biasa sahaja jika sesuatu isu itu di seminarkan, tetapi atas nama Seminar Pemerkasaan Parti yang berpunca daripada pergolakan peringkat atasan, maka pemfokusan kepada kritikan beliau amat menghairankan. PAS mungkin berjaya membuktikan keterbukaannya dengan seminar tersebut, tetapi dalam masa yang sama mendedahkan kelemahannya kepada umum. PAS seolah-olah mengharapkan pihak luar bagi membetulkan keadaan yang tidak mampu diperbetulkan para pimpinan. Prof Dr. Aziz Bari hanyalah pencetus, namun yang berselisih adalah pimpinan kita. Kritikan beliau samada ikhlas atau tidak, difahami dengan tepat atau tidak bukanlah isu utama tetapi yang penting kesannya terhadap pimpinan. Berbagai isu yang berlegar di peringkat dalaman parti bermula dengan isu UG yang tidak diselesaikan. Pimpinan hanya berbincang sesama mereka dan meminta wala' daripada ahli agar tidak memperkatakan mengenainya. Namun apabila ianya ditimbulkan kembali maka ahli-ahli kembali bercempera. 

Amat menyedihkan kerana kehadiran beliau hanya menambahkan satu lagi perpecahan di kalangan perwakilan. Ada wakil yang tegas menghentam dan meminta beliau bertanggungjawab terhadap tuduhan yang dilontarkannya kepada pimpinan dan ada sebahagiannya pula berterima kasih seolah-olah beliau dihantar oleh tuhan untuk memperbetulkan pimpinan. Kebiadaban beliau terhadap pimpinan seolah-olah tenggelam dicelah-celah kelantangan perwakilan yang menyatakan pandangan. Media musuh akan pasti mewar-warkan bagaimana biadab dan tertutupnya fikiran ahli-ahli PAS yang tidak mahu menerima kritikan. Beliau dengan mudah mengatakan; cukuplah rasanya dia mengusik PAS dan akan beralih kepada parti lain pula sedangkan kita yang tinggal terpaksa menyelesaikan pula kekalutan pemikiran diwariskan belia kepada kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...