Sunday, September 11, 2011

AZAN DAN IQAMAH, HUKUM SERTA PERLAKSANAANNYA

Takrif

Azan dari segi Bahasa (اِعْلاَمٌ) iaitu pemberitahuan sesuatu samada waktu solat atau lainnya. Firman Allah dalam Surah At-Taubah Ayat 3 :

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ

 “Dan inilah perisytiharaan dari Allah dan Rasulnya kepada manusia”


Azan dari Segi Syarak

ذِكْرٌ مَخْصُوْصٌ يُعْلَمُ بِهِ وَقْتَ الصَّلاَةِ

iaitu Ucapan khusus yang diketahui dengannya waktu-waktu solat yang difardhukan.


Manakala Iqamah dari segi Bahasa – Mendirikan. Dinamakan Iqamah kerana didirikan sembahyang dengannnya.

 Dalil Azan Dan Iqamah

1. Firman Allah dalam Surah Al-Jumaah Ayat 9 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ(9)

 Wahai orang yang beriman apabila diserukan (Azan) untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat maka segerakanlahkamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjualbeli, yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.

2. Hadis Nabi :

حَدِيثُ مَالِكِ بْنِ الْحُوَيْرِثِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : أَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ شَبَبَةٌ مُتَقَارِبُونَ فَأَقَمْنَا عِنْدَهُ عِشْرِينَ لَيْلَةً وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَحِيمًا رَقِيقًا فَظَنَّ أَنَّا قَدِ اشْتَقْنَا أَهْلَنَا فَسَأَلَنَا عَنْ مَنْ تَرَكْنَا مِنْ أَهْلِنَا فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ فَأَقِيمُوا فِيهِمْ وَعَلِّمُوهُمْ وَمُرُوهُمْ فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ *

 “Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairis r.a katanya: Kami datang menemui Rasulullah s.a.w, pada waktu itu kami masih sama-sama muda dan usia kami tidak banyak perbezaanya. Kami tinggal bersama baginda selama dua puluh malam. Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemurah dan lembut sekali. Baginda menyangkakan bahawa aku sedang berselisih paham dengan keluargaku sehingga baginda bertanya kepadaku keadaan keluarga yang aku tinggalkan. Maka aku menceritakan kepada baginda mengenai keluargaku. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah kepada keluargamu dan tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan perintahkanlah mereka apabila tiba waktu sembahyang. Hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua dari kalangan kamu menjadi imam”
 
3. Hadis Abu Daud dengan isnad Sahih daripada Abdullah Bin Zaid Bin Abdullah bahawa ia berkata ketika Nabi menyuruh memukul (ناقُوْنَ) bagi menghimpunkan manusia untuk solat. Tiba-tiba aku tertidur lalu bermimpi bahawa seorang membawa Naqus dan mengelilingiku maka aku berkata : Wahai Tuan hamba, kamu menjual naqus itukah. Maka jawabnya dengan pertanyaan : Apa kamu mahu buat dengan Naqus ini. Maka kataku: Aku akan memanggil manusia untuk solat dengannya. Lalu katanya : Mari aku tunjukkan kamu yang lebih baik dari ini. Maka kataku : Tunjukkanlah. Maka kata orang itu : Katakanlah الله اكبر Hingga akhir kalimah Azan. Maka dia berundur ke belakang dan berkata : Apabila nak mendirikan Sembahyang maka katakanlah : الله اكبر hingga akhir kalimah Iqamah. Maka apabila pagi aku datang kepada Rasulullah dan menceritakan mimpiku lalu Nabi bersabda :

اِنَّهَا رُؤْيَا حَقّ اِنْ شَاءَاللهُ ُقمْ مَعَ بِلاَلٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ فَاِنَّهُ أَنْدَى مِنْكَ صَوْتًا

Bahawasanya ia mimpi yang benar In Sya Allah. Maka berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkanlah apa yang engkau dapati dari mimpi itu. Sesungguhnya dia lebih nyaring suaranya daripadamu.

       Maka segeralah aku mengajarkannya maka Azanlah Bilal dengannya lalu didengari oleh Umar Al-Khattab maka Umar mendapatkan Nabi lalu berkata : Wahai Rasulullah, Demi tuhan yang menyuruhkan tuan hamba dengan sebenarnya , sesungguhnya aku telah melihat dalam mimpiku seperti yang dilihat oleh Abdullah Bin Zaid itu. Maka Sabda Rasulullah S.A.W. : Bagi Allah segala pujian.



Peringatan

            Timbul persoalan adakah Sabit Azan dan Iqamah melalui mimpi sedangkan Hukum Syarak hanya sabit dengan wahyu.

            Sebenarnya pensyariatan keduanya bukan disandarkan kepada mimpi tetapi sebenarnya telah muafaqah keduanya dengan wahyu yang turun kepada nabi kerana diriwayatkan oleh Abu Daud dan Lainnya bahawa Nabi S.A.W bersabda ia kepada Umar mengenai mimpi Umar itu dengan sabdanya:

( سَبَقَكَ بِهَا اْلوَحْيُ) iaitu telah mendahului engkau oleh wahyu maka sabit keduanya dengan wahyu bukan dengan mimpi.

Juga riwayat اَلْبَرَّازِيْ bahawa nabi diperlihatkan dengan Azam pada malam Mikraj di atas tujuh petala langit dan mendahulukan akan dia oleh Jibril menjadi Imam sembahyang maka mengikutinya oleh segala isi langit dan disertai oleh Nabi Adam dan Nabi Nuh dan Allah menyempurnakan kemuliaannya atas segala isi langit dan bumi.



Waktu-Waktu Disunatkan Azan

1. Diazankan di telinga manusia dan binatang yang jahat.

2. Diazankan di telinga orang yang dirasuk dan orang yang sangat marah.

3. Diazankan ketika kebakaran.

4. Diazankan ketika nak berperang.

5. Diazankan ketika nak bermusafir.

6. Diazankan bagi menolak kejahatan jin.

 
Hukum Azan Dan Iqamah


1. Yang Asalnya Sunat Kifayah Azan bagi sesebuah jemaah iaitu berhasil pahala dengan dibuat oleh sebahagiannya. Sunat Ain Azan bagi setiap individu.

2. Sunat Azan dan Iqamah bagi Solat Fardhu 5 waktu dan tidak disunatkan malahan makruh bagi Solat Nazar, Solat Jenazah dan Solat-Solat Sunat lain walaupun disunatkan berjemaah.

3. Disunatkan Iqamah bagi Solat Fardhu secara mutlak samada tunai atau qada’, jamak atau tamam, lelaki, perempuan atau khunsa, seorang atau ramai.

4. Disunatkan Azan pada lelaki sahaja walaupun kanak-kanak, bersendirian atau berjemaah dan mendengar azan orang lain..

5. Tidak disunatkan Azan bagi perempuan secara mutlak samada seorang atau berjemaah, nyaring atau perlahan.

6. Jika Azan perempuan dengan perlahan bagi dirinya atau jemaah perempuan maka harus hukumnya dan tidak makruh. Ia dianggap sebagai Zikrullah. Jika Azan perempuan dengan nyaring tanpa kehadiran lelaki ajnabi maka makruh hukumnya. Jika ada lelaki ajnabi maka haram kerana ditakuti fitnah.

7. Hukum Khunsa sama seperti perempuan.

8. Bagi Solat Qada’ beberapa waktu secara berturut-turut maka disunatkan Azan bagi solat pertama sahaja. Bagi solat seterusnya hanya disunatkan Iqamah. Jika Solat Qada’ bercerai-cerai dan panjang masa ceraian mengikut adat maka disunatkan azan pada setiap waktu.

9. Jika Solat Jamak Ta’khir Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak maka disunatkan Azan bagi solat pertama sahaja samada empunya waktu atau tidak.

10. Jika Jamak Taqdim maka sunat azan bagi solat pertama samada empunya waktu atau bukan kecuali jika masuk waktu kedua sebelum mengerjakan solat pertama maka sunat azan pada solat kedua kerana hilang ikutan(tabaiah).

11. Jika Solat Qada’ dan Solat Tunai berturut-turut maka sunat Azan bagi solat pertama sahaja samada dimulai dengan Tunai atau Qada’ kecuali jika dimulai dengan Qada’ dan selepas selesai qada’ maka masuk waktu Solat Tunai maka sunat azan bagi waktu tunai .

12. Sunat menyaringkan suara setinggi mungkin semasa Azan walaupun bersendirian kecuali jika berada di tempat seumpama masjid yang telah didirikan jemaah.

13. Memadai Iqamah bagi yang bersendirian bahawa memperdengarkan untuk dirinya sahaja.

14. Sunat diucapkan ( الصَّلاَةُ جَامِعَةُ) bagi solat yang dituntut berjemaah seperti sunat 2 hari raya, sunat gerhana, sunat mintak hujan dan terawikh tapi tidak solat jenazah dan solat nazar.

15. Memadai dikatakan (الصلاة الصلاة) atau (هلموا الى الصلاة) atau (الصلاة رحمكم الله) tetapi (الصلاة جامعة) lebih afdal .



Kalimah Azan Dan Iqamah
 
1. Semua kalimah Azan diucapkan 2x kecuali Takbir permulaan iaitu sebanyak 4x dan kalimah tauhid akhir sekali sahaja.

2. Jumlah keseluruhan kalimah Azan adalah 19 kalimah termasuk Tarji’ dan 15 kalimah tanpa Tarji’.

3. Semua kalimah Iqamah sekali sahaja kecuali Takbir awal dan akhir dan kalimah ( قد قا مت الصلاة ) iaitu 2x.

4. Jumlah keseluruhan kalimah Iqamah adalah sebanyak 11 kalimah.


 
Syarat Azan Dan Iqamah
 
1. Masuk Waktu

• Tidak sah dan tidak harus sebelum masuk waktu kecuali waktu Suboh.

• Harus Azan sebelum masuk waktu Suboh selepas ½ malam. Hikmahnya kerana ketika fajar ramai orang berjunub maka sempat bersedia.

• Tiada harus Iqamah sebelum masuk waktu.

• Waktu Iqamah bagi yang solat sendiri ialah ketika hendak mula solat dan bagi jemaah ialah setelah mendapat keizinan imam walaupun dengan isyarat.

• Sunat 2 orang azan dalam satu qaryah iaitu seorang sebelum fajar (terafdhal pada waktu sahur) dan seorang selepas fajar supaya dapat dibezakan. Sabda Nabi S.A.W :

حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا : عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِنَّ بِلاَلاً يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى تَسْمَعُوا تَأْذِينَ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ

 “Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila Bilal memperdengarkan azan pada malam hari, makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan yang akan diperdengarkan oleh Ibnu Ummi Maktum “



2. Tertib Semua Kalimahnya – Tidak sah tertinggal walaupun terlupa.

3. Muwalat (Berturut-turut)

4. Seorang Muazzin – Tak sah 2 orang walaupun sama suara.

5. Menggunakan Bahasa Arab jika ada yang tahu Bahasa Arab.

6. Didengari oleh jemaah walaupun seorang jika kerana solat jemaah.

7. Diperlahankan untuk didengari sendiri jika solat bersendirian kerana ketika itu menjadi zikir. Sunat suara Iqamah kurang nyaring daripada Azan.

8. Tiada ‘Sorif’ yang memaling dari niat asal iaitu memberitahu. Contohnya seperti niat mengajar orang yang mendengar.

9. Muazzin seorang Islam dan Mumaiyiz – Menjadi Islam orang kafir dengan ucapan syahadahnya maka mesti diulangi kerana awal azannya masih dalam kafir. Jika murtad ketika Azan maka terbatal azannya walaupun singkat tempoh murtadnya

10. Muazzin seorang lelaki walaupun kanak-kanak jika bagi jemaah lelaki. Sah Azan perempuan dan khunsa bagi jemaah perempuan.


 Sunat-Sunat Azan
 
1. Mengatakan kalimah Azan Dan Iqamah dengan segera tanpa menyaringkan suara.

2. Mengucapkan kalimah Azan dengan tartil kerana Azan bagi segala yang ghaib dan iqamah bagi yang hadir.

3. Sunat dihimpunkan 2 takbir pada bang dengan satu nafas dan dimatikan ra’ pertama dan saktah. Jika tak dimatikan maka yang utama dibariskan hadapan. Dikatakan baris atas iaitu dipindahkan baris alif ( الله) kepada Ra’ ( اكبر ). Lafaz-lafaz lain sunat dibaca senafas.

4. Disunatkan tarji’ iaitu menyebut 2 kalimah syahadah 2x dengan perlahan kira-kira didengar oleh orang yang hampir sebelum menyebutnya dengan nyaring.

5. Sunat Taswib ( تثويب ) pada 2 bang subuh tunai atau qada’ iaitu (الصلاة خير من النوم) 2x selepas ( حيعلتين ). Makruh pada waktu lain.

6. Sunat berdiri ketika melafazkan Azan dan Iqamah. Sabda Rasul

حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَانَ الْمُسْلِمُونَ حِينَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلَوَاتِ وَلَيْسَ يُنَادِي بِهَا أَحَدٌ فَتَكَلَّمُوا يَوْمًا فِي ذَلِكَ فَقَالَ بَعْضُهُمِ اتَّخِذُوا نَاقُوسًا مِثْلَ نَاقُوسِ النَّصَارَى وَقَالَ بَعْضُهُمْ قَرْنًا مِثْلَ قَرْنِ الْيَهُودِ فَقَالَ عُمَرُ أَوَلاَ تَبْعَثُونَ رَجُلاَ يُنَادِي بِالصَّلاَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا بِلاَلُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلاَةِ *

“Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Ketika orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkatakan tentang waktu sembahyang. Tiada seorang pun yang menyeru kepadanya. Semasa mereka berbincang tentang perkara tersebut, sebahagian daripada mereka berkata: Bunyikanlah loceng sebagaimana loceng orang Nasrani. Manakala sebahagian lagi berkata: Bunyikanlah trompet seperti trompet orang Yahudi. Kemudian Umar berkata: Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang agar menyerukan sembahyang؟ Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal! Bangunlah dan serukan untuk sembahyang



7. Disunatkan Azan pada tempat tinggi dan tak disunatkan pada Iqamah kecuali dikehendaki dengannya kerana kebesaran masjid.

8. Sunat meletak 2 telunjuk kepada 2 lubang telinga ketika Azan dan Iqamah kerana Bilal melakukan demikian di depan nabi. Jika sakit satu tangan maka cukup dengan sebelah tangan. Jika sakit telunjuk maka diganti dengan jari lain.

9. Disunatkan mengadap kiblat.

10. Sunat berpaling sekali ke kanan ketika mengucap ( حي على الصلاة ) 2x pada Azan dan sekali pada Iqamah. Sunat berpaling ke kiri ketika mengucap ( حي على الفلاح ) seperti di atas.

11. Jangan berpaling dada dan mengubah 2 kaki.

12. Tiada Berpaling pada yang lain kerana yang lain itu ( ذكر الله ) dan ( حيعلتين ) itu ( خطاب ) kepada manusia seperti salam dalam solat.

13. Sunat Muazzin seorang yang adil kerana amanah menjaga waktu.

14. Sunat Muazzin seorang yang nyaring suaranya kerana nabi menyuruh Abdullah Bin Zaid mengajar Bilal kerana suaranya yang nyaring.

15. Sunat Muazzin seorang yang baik suaranya kerana lebih berkesan.


16. Sunat yang mendengar Azan menjawab Azan walaupun dalam keadaan berjunub atau haid.

17. Sunat orang yang bang pada malam yang hujan atau ribut kuat atau sangat gelap mengucapkan ( الا صلوا في رحالكم ) atau dan ( الا صلوا في بيوتكم ) selepas ( حي على الصلاة) dan dijawab dengan ( لاحول ولاقوة الا بالله العلي العظيم )

18. Sunat berhenti membaca Al-Quran atau zikir atau doa dan sebagainya bagi menjawab azan.

19. Makruh menjawab azan atau Iqamah bagi orang sedang solat atau jimak atau qadha hajat dan sunat menjawab selepas selesai.

20. Bila azan beberapa orang dengan tertib maka sunat menjawab semuanya walaupun selepas selesai solat. Menjawab azan pertama lebih dituntut kecuali 2 azan subuh dan 2 azan Jumaat maka sama sahaja kedua-duanya.

21. Jika mendengar sebahagian kalimah azan maka sunat juga menjawab yang tak didengar.

22. Sunat menjawab Tarji’ walaupun tak didengar.

23. Sunat orang yang azan dan yang mendengar azan membaca doa.

24. Sunat berdoa antara bang dan Iqamah kerana sangat mustajab.

25. Makruh orang yang azan dan yang lain keluar dari tempat jemaah selepas azan dan sebelum solat kecuali uzur.

26. Sunat melewatkan solat sekadar memberi peluang orang berhimpun selepas azan kecuali maghrib kerana singkat waktu.

27. Makruh azan dan Iqamat oleh orang fasiq, kanak-kanak dan orang buta

28. Sunat melewatkan solat sekadar memberi peluang orang berhimpun selepas azan kecuali maghrib kerana singkat waktu.

29. Makruh ( تمطيط ) dan ( تغني ) iaitu melanjut-lanjut dan melagu-lagu jika tidak berubah makna tetapi haram jika mengubah makna.

30. Suci Muazzin dalam keadaan suci dari najis dan hadas tetapi sah jika tiada wudhuk.

31. Tersangat makruh Azan jika junub dan iqamah dalam keadaan junub lebih-lebih lagi makruh.
 
المراجعات :

1. سير السالكين اوليه الشيخ عبد الصمد الفلمباني.

2. الوجيز في فقه مذهب الامام الشافعي, اوليه حجة الامام محمد بن محمد ابي حامد الغزالي

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...