Sunday, September 11, 2011

PERATURAN MENGIKUT IMAM

1. Tidak sah makmum mengikut imam jika dia mengetahui tentang batal solat imam tersebut kerana hadas dan sebagainya. 
2. Tidak sah mengikut imam yang pada iktiqad makmum batal solatnya kerana tersilap ijtihadnya pada kiblat, atau pada dua kolah air atau pada kainnya samada suci atau najis. 
3. Tidak sah Syafie mengikut imam Hanafi yang meninggalkan satu rukun atau syarat seperti thoma'ninah atau menyentuh isterinya tanpa mengambil wudhuk walaupun Sultan sekalipun kecuali takutkan fitnah. Jika takutkan fitnah maka harus mengikutnya tanpa perlu diqada'. 
4. Jika hanya zan atau syak mengenai perkara di atas maka sah mengikutnya. 
5. Tidak sah mengikut orang yang diwajibkan qada' ke atasnya seperti yang bersembahyang dengan tayammum kerana ketiadaan air ditempat yang biasanya ada air dan yang bersembahyang ketika berhadas kerana dipaksa dan yang sembahyang kerana menghormati waktu kerana ketiadaan air dan tanah dan yang bersembahyang dengan tayammum kerana sejuk. 
6. Tidak sah mengikut imam yang masih menjadi makmum. Maka jika sudah putus ia daripadanya seperti selepas salam imamnya maka berdiri dia waktu itu maka sah. Jika selepas salam imam mengikut sebahagian orang yang masbuq terhadap sebahagian yang lain maka sah tetapi makruh. 
7. Tidak sah jika makmum syak samada dia imam atau makmum. 
8. Tidak sah qari mengikut orang yang ummi pada Fatihahnya iaitu seorang yang lemah membaca satu huruf atau satu tasydid daripada Fatihah dan lemah untuk belajar sekalipun seperti sudah belajar tetapi masih gagal menyebutnya. Contohnya seperti orang yang boleh membaca huruf Ra' mengikut yang tidak boleh menyebut huruf Ra'. 
9. Sah jika sama-sama ummi pada satu huruf dari Fatihah tetapi tidak sah jika berlainan huruf. 
10. Tidak sah lelaki mengikut perempuan atau khunsa dan tidak sah khunsa mengikut perempuan atau sesama khunsa. 
11. Sah lelaki mengikut lelaki dan khunsa mengikut lelaki dan perempuan mengikut lelaki dan perempuan mengikut khunsa dan perempuan mengikut perempuan. 
12. Jika seseorang mengikut imam yang disangkanya lelaki kemudian ternyata perempuan atau kafir atau dia seorang makmum atau ummi maka tiada sah dan wajib diulangi solatnya. 
13. Jika ternyata imam berhadas atau berjunub atau terkena najis yang tersembunyi pada batin pakaiannya atau badannya maka sah ikutannya. Jika najis itu pada zahir pakaiannya maka wajib diulangi sembahyangnya. 
14. Jika makmum tahu imam berhadas atau terkana najis kemudian dia terlupa dan hanya teringat setelah selesai sembahyangnya maka wajib diulangi sembahyangnya. 
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...