Saturday, September 10, 2011

Hukum Solat Jumaat

HUKUM

1. Wajib dengan Fardhu Ain bagi Lelaki, Merdeka, Berakal, Baligh, bagi yang bermukim di tempat kedengaran Azan dan bagi yang tiada uzur Syar’ie yang boleh meninggalkan solat jemaah.

2. Tidak wajib bagi Perempuan, Hamba, Orang Gila, Kanak-Kanak, Musafir dan Orang yang uzur.

3. Wajib atas orang yang sakit dan sebagainya jika mereka berada di masjid ketika didirikan solat atau hadir ketika masuk waktu dan tiada masyaqqah untuk menanti. Jika ada masyaqqah untuk menanti atau mereka hadir sebelum masuk waktu maka harus balik walaupun tiada masyaqqah menanti.

4. Harus balik bagi yang tidak wajib Jumaat jika hadir ke tempat Jumaat.

5. Wajib bagi orang tua atau yang lumpuh jika ada kenderaan dan mampu menunggangnya.

6. Wajib atas orang buta jika ada orang memimpinnya.


SYARAT AHLI QARYAH ATAU AHLI JUMAAT

1. Sekurang-kurangnya 40 orang

2. Lelaki

3. Merdeka

4. Berakal

5. Baligh

6. Mastautin – Wajib mendirikan Jumaat di tempat mereka dan haram pergi  Solat Jumaat di tempat lain walaupun didengari azan di tempat lain itu.

7. Jika kurang dari 40 orang di qaryah tersebut dan didengari suara Azan dari qaryah berhampiran maka wajib Jumaat di qaryah berhampiran itu.

8. Haram orang yang wajib Jumaat, bermusafir selepas fajar walaupun dengan niat baik kecuali dipastikan dapat Jumaat di mana-mana. Boleh jika takut mudharat seperti ketinggalan kawan atau untuk mendapatkan wukuf di Arafah atau menanti hartanya.

9. Makruh bermusafir pada malam Jumaat.

10. Sunat berjemaah Zohor bagi orang yang tidak wajib Jumaat kerana uzur. Jika uzur yang tersembunyi maka sunat disembunyikan jemaahnya. Jika uzur nyata seperti perempuan maka sunat menzahirkan jemaahnya.

11. Sunat orang yang berharap akan hilang keuzurannya untuk melambatkan Zohor seperti orang sakit yang diharapkan sembuh.

12. Sunat menyegerakan Zohor bagi yang tiada harapan hilang uzurnya seperti orang perempuan dan orang lumpuh.

13. Orang yang tidak wajib Jumaat dan sah Zohornya maka boleh Solat Jumaat dan boleh memilih antara Jumaat dan Zohor. Walaubagaimanapun Jumaat lebih afdhal. Jika dibuat Jumaat maka wajib disempurnakan Jumaatnya dan tidak boleh menyempurnakan Zohor selepas salam imam.

14. Siapa yang wajib Jumaat maka tiada sah Zohornya sebelum salam imam Jumaat. Jika selepas ruku’ imam dalam rakaat kedua tetap tidak sah kerana qaul yang muktamad Jumaat itu asal bukan ganti Zohor. Walaubagaimanapun wajib disegerakan Zohornya.

15. Jika ahli qaryah meninggalkan Jumaat maka tidak sah Zohor mereka kecuali suntuk waktu bagi sekurang-kurangnya 2 khutbah dan 2 rakaat Jumaat.


SYARAT SAH JUMAAT

1. Masuk Waktu Zohor

i. 2 rakaat Jumaat dengan 2 khutbah dalam waktu Zohor.

ii. Jika keluar dari waktu Zohor walaupun sekadar salam imam maka luput Jumaat dan wajib disempurnakan 4 rakaat Zohor.

iii. Tak sah qada’ Jumaat.

iv. Jika suntuk waktu untuk 2 rakaat dan 2 khutbah maka wajib solat Zohor.

v. Jika keluar waktu ketika dalam Solat Jumaat maka wajib sempurnakan Jumaatnya dengan Zohor dan tak perlu membaharui niat dengan Zohor.

vi. Jika masbuq berdiri selepas salam untuk menggenapkan rakaat maka habis waktu sebelum salam maka wajib sempurnakan dengan Zohor.

vii. Jika imam Jumaat melanjutkan rakaat pertama hingga diyakinkan tiada tinggal waktu bagi rakaat kedua maka berdosalah dia. Maka jadilah solatnya itu Zohor ketika itu walaupun belum keluar waktunya sekalipun.



2. Didirikan di tempat samada masjid dan sebagainya atau tanah lapang yang bercerai daripada rumah.

i. Tak sah di luar negeri atau qaryah.

ii. Tak wajib bagi yang mendiami umpama khemah walaupun tak berpindah randah melainkan jika kedengaran suara azan di kariah berhampiran.


3. Tak didahului oleh Jumaat yang lain dalam qaryah itu kecuali sukar berhimpun di satu tempat. Maka harus berbilang jumaat sekadar hajat sahaja.

i. Jika berbilang Jumaat maka yang terdahululah yang sah.

ii. Jika bersamaan keduanya maka tak sah kedua-duanya.

iii. Dikira bersamaan atau tidak dengan huruf (ر) dalam takbiratul ihram.

iv. Jika samar yang mana dahulu maka wajib Zohor kedua-duanya.

v. Sunat orang yang dalam qaryah yang berbilang Jumaat kerana hajat itu, bersembahyang Zohor bagi tujuan keluar dari khilaf ulama’ yang menegah berbilang Jumaat itu walaupun sekadar hajat.

vi. Jika berbilang Jumaat lebih daripada hajat seperti berhajat kepad 5 tetapi didirikan 10 Jumaat maka hanya sah 5 tempat yang terdahulu samada beserta atau tidak dan tak wajib Zohor bagi 5 yang terdahulu hanya sunat sahaja bagi menghormati khilaf seperti di atas.

vii. Tidak sah bagi 5 tempat yang terkemudian dan wajib Zohor.

viii. Wajib Zohor bagi yang syak apakah mereka dalam golongan 5 terdahulu atau terkemudian.


4. Dikerjakan Secara Berjemaah.

i. Hanya wajib berjemaah pada rakaat pertama sahaja dan tiada disyaratkan berjemaah dalam rakaat kedua.

ii. Harus masing-masing dalam rakaat kedua tapi tetap disyaratkan 40 orang dari mula hingga salam semua sekali.

iii. Jika berhadas seorang daripada 40 orang sebelum salam walaupun selepas salam orang lain sekalipun maka terbatal semua sekali.

iv. Syarat 40 orang termasuk imam daripada lelaki, berakal, baligh dan merdeka.

v. Disyaratkan 40 orang itu sunyi daripada qadha’.

vi. Disyaratkan tiada yang buta huruf.

vii. Jika dalam qaryah 40 buta huruf semuanya maka wajib Jumaat kerana sah ikut mengikut antara mereka.

viii. Tiada sah jika setengah Ummi dan setengah Alim.

ix. Disyaratkan juga mastautin iaitu orang yang tetap pada tempat kediamannya tiada pergi kecuali hajat seperti berniaga.

x. Tak sah Jumaat oleh musafir semuanya atau mukim di satu tempat dengan bercita-cita untuk kembali ke tempat kediaman asalnya kemudian hari walaupun berlalu bertahun lamanya.

xi. Tidak sah Jumaat mastautin pada tempat yang lain daripada tempat Jumaat dan wajib ia hadir ke tempat Jumaat sekalipun.

xii. Jika bercampur 2 qaryah yang kurang 40 hingga mencukupi maka tak sah walaupun kedengaran azan kedua-dua tempat itu kerana semuanya tidak mastautin.

xiii. Bagi yang mempunyai 2 rumah maka Jumaatnya adalah di tempat yang paling banyak didiami. Jika sama banyak maka dikira tempat tinggal isterinya dan hartanya.

xiv. Jika ada kedua-duanya maka yang terbanyak isteri atau hartanya.

xv. Jika sama banyak maka Jumaatnya pada kedua-duanya sekali.

xvi. Jika di satu tempat ada isteri dan di satu tempat ada harta maka dikira tempat isterinya.

xvii. Siapa yang bermastautin di dalam kota maka tak boleh Jumaat di luar kota dan begitulah sebaliknya.

xviii. Siapa yang wajib Jumaat lalu luput Jumaat di negerinya tetapi boleh dapat Jumaat di luar negerinya kerana boleh berbilang Jumaat atau diadakan Jumaat di negeri yang kedengaran azan maka wajib berjumaat di negerinya atau yang lain dan tidak boleh Zohor selama boleh dapat Jumaat.

xix. Bilangan 40 mesti kekal dari mula solat hingga habis.

xx. Jika kurang dari 40 dalam solat kerana keluar setengah daripada masjid atau mufaraqah dalam rakaat pertama atau keduanya maka batallah solat semuanya. Maka mestilah yang tinggal itu menyempurnakan solat mereka dengan Zohor kecuali jika takbiratulihram dengan segera mereka yang menggenapi bilangan yang mendengar 2 khutbah atau takbiratulihram segala mereka yang menggenapi bilangan itu walaupun mereka tak mendengar khutbah.

xxi. Jika takbiratulihram 39 laki-laki yang masbuq selepas imam bangkit dari ruku’ rakaat pertama kemudian keluar 40 yang takbiratulihram bersama imam atau terkurang bilangan mereka dari 40 maka Jumaat itu sah walaupun 39 itu tak dapat rakaat pertama.

xxii. Tidak mengapa terlambat takbiratulihram makmum daripada takbiratulihram imam dengan syarat dapat membaca Al-Fatihah sebelum ruku’ imam. Jika tidak maka tak sah kerana bilangan 40 disyaratkan pada permulaan solat hingga akhirnya.

xxiii. Wajib 40 orang itu mendengar khutbah.

xxiv. Jika jadi kurang kerana keluar dan sebagainya maka tak dikira rukun yang dibaca ketika ketiadaan yang keluar itu. Jika kembali dengan segera sebelum lanjut tempohnya haruslah disambung khutbah yang telah dibacanya dan kembali dibaca rukun khutbah yang telah dibacanya.

xxv. Jika kembali mereka selepas lanjut masa bercerai atau datang yang menggenapi bilangan yang selain mereka tadi, wajib atas khatib memulai semula khutbahnya.

xxvi. Jika jadi kurang daripada 40 antara khutbah dan sembahyang dan kembali mereka sebelum lanjut masa perceraian maka harus didirikan solat atas khutbah yang telah lalu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...