Sunday, September 25, 2011

Menguasai Ilmu Menganyam Ketupat


Majlis Jamuan Hari Raya Taman Lapangan SSI, pada tahun ini telah memberikan satu ilmu baru bagiku dalam bidang ketupat. Selama ini aku adalah antara penganyam ketupat di taman ini setiap kali ada majlis yang dianjurkan. Kepakaranku hanya terhad kepada 3 jenis ketupat yang aku tak pasti namanya secara tepat. Antara nama yang aku tahu adalah ketupat satey, ketupat dan ketupat bawang. Semalam dengan rasminya aku berjaya menguasai satu lagi ketupat iaitu ketupat jantung yang di ajar oleh Prof. Madya Dr. Helmi, Jawa Bagan Datoh. Walaupun begitu ramai yang mengikuti sesi pembelajaran hany aku seorang yang berjaya menguasainya. Dengan kemahiran sedia ada tidaklah begitu susah untuk mempelajari jenis yang baru. Hanya percubaan dan latihan berterusan yang akan memastikan kejayaannya. 

 Ketupat Bawang

 Tak pasti nama apa..

 Ketupat Satey

Ketupat Jantung yang baru dikuasai

Saturday, September 17, 2011

Masjid Dan Surau mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004


NEGERI PERAK

WARTA KERAJAAN

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF PERAK GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

Jil. 57 Bil. 19



Enakmen yang berikut, yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 21 Jun 2004 dan telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 15 September 2004, disiarkan untuk pengetahuan umum:

The following Enactment passed by the State Legislative Assembly Perak Darul Ridzuan on the 21 June 2004 and assented by His Royal Highness the Sultan of Perak on the 15 September 2004 is published for general information:

4. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 - Administration of the Religion of Islam (Perak)
 BETA PERKENANKAN,

 SULTAN AZLAN SHAH,

Sultan Perak

2004

Suatu Enakmen bagi mengadakan peruntukan baru tentang pentadbiran agama Islam, penubuhan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah, penubuhan dan fungsi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.
DIPERBUAT oleh Badan Perundangan Negeri Perak Darul Ridzuan seperti berikut:



BAHAGIAN I



PERMULAAN



1. (1) Enakmen ini boleh dinamakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

(2) Enakmen ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.

(3) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh menetapkan tarikh yang berlainan bagi permulaan kuat kuasa peruntukan-peruntukan yang berlainan Enakmen ini.

2. (1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteknya menghendaki makna yang lain —

"Ahli Kariah" ertinya seseorang yang secara tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah masjid;

"Enakmen terdahulu" ertinya Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1992 [Enakmen Bil. 2 Tahun 1992];

"Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah subseksyen 47 (1) atau 48(1);

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali;

"Jawatankuasa Kariah" ertinya Jawatankuasa Kariah yang ditubuhkan melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 93;

“Jawatankuasa Fatwa” ertinya Jawatankuasa Kariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 35;

"Kariah masjid" berhubung dengan masjid, ertinya kawasan yang di dalamnya masjid itu terletak;

"Ketua Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah subseksyen 45 (1);

“Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama”, “Pegawai Penguatkuasa Agama” dan “ Penolong Pegawai Penguatkuasa”

Ertinya pegawai-pegawai yang dilantik sebagai yang sedemikian di bawah seksyen 68;

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 67 (1);

"Mahkamah Syariah" atau "Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 44(1) atau 44(2);

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1);

"masjid" ertinya suatu bangunan –

(a) yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan yang disuruh, disyorkan, atau dibenarkan oleh agama Islam; dan

(b) yang penggunaannya sebagai yang demikian dibenarkan oleh Majlis di bawah seksyen 87,

dan termasuklah mana-mana surau, madrasah atau bangunan lain yang ditetapkan oleh Majlis sebagai masjid di bawah seksyen itu;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Negeri Perak Darul Ridzuan di bawah seksyen 33 dan termasuklah Timbalan Mufti;

"orang Islam" ertinya —

(a) seseorang yang menganut agama Islam;

(b) seseorang yang salah seorang atau kedua ibubapanya pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam;

(c) seseorang yang dibesarkan atas asas bahawa dia orang Islam;

(d) seseorang yang lazimnya dikenali sebagai orang Islam;

(e) seseorang yang telah memeluk agama Islam mengikut seksyen 96 atau

(f) Seseorang yang ditunjukkan telah menyatakan, dalam hal keadaan apabila dia terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, bahawa dia ialah orang Islam, sama ada pernyataan itu secara lisan atau bertulis;

 "Pegawai Masjid" ertinya Imam, Bilal, atau Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang diterima masuk sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 69;

"Setiausaha" ertinya Setiausaha Majlis yang disebut dalam seksyen 16;

"wakaf" ertinya apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk apa-apa tujuan khairat sama ada sebagai wakaf aw atau wakaf khas mengikut Hukum Syarak, tetapi tidak termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208].

“wakaf am” ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat umum mengikut Hukum Syarak;

“Yang Dipertua” ertinya Yang Dipertua Majlis yang dilantik di bawah subseksyen 11(1).

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Bahagian 1 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah masing-masing mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Bahagian itu setakat yang erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual Pertama itu.

Kecualian prerogatif

3. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen ini, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh mengurangkan atau menyentuh hak-hak dan kuasa-kuasa prerogatif Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua agama Islam di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

BAHAGIAN VII

MASJID

Majlis menjadi pemegang amanah tunggal bagi masjid dan tanah yang berkaitan dengannya

85. (1) Walau apa pun peruntukan yang berlawanan dalam mana-mana surat cara bertulis, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah bagi semua masjid di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(2) Tiap-tiap masjid, bersama-sama dengan tapak masjid itu dan mana-mana tanah yang berhubungan dengan dan digunakan bagi maksud-maksud masjid itu, selain tanah Kerajaan atau tanah yang dirizab bagi maksud awam, hendaklah, sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah, dan tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahanhakan atau pemindahan hakmilik, terletak hak pada Majlis bagi maksud-maksud Enakmen ini.

Sekatan tentang penubuhan masjid dan penalti

 86. (1) Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis, mendirikan apa-apa bangunan untuk digunakan atau menggunakan atau menyebabkan digunakan mana-mana bangunan bagi maksud-maksud yang hanya boleh dilakukan di atau oleh masjid.

(2) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Penubuhan Masjid

87. (1) Majlis boleh pada bila-bila masa –

(a) Membenarkan sesuatu bangunan didirikan untuk digunakan sebagai masjid;

(b) Membenarkan penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid; atau

(c) Menetapkan mana-mana surau, madrasah atau bangunan lain menjadi masjid.

(2) Majlis tidak boleh memberikan kebenarannya atau membuat penetapan di bawah subseksyen (1) melainkan jika tapak bangunan yang hendak digunakan sebagai masjid itu telah dijadikan wakaf yang berkekalan.

(3) Majlis boleh, melalui pemberitahuan dalam warta, menentukan atau mengubah sempadan mana-mana kariah masjid.

Penyelenggaraan masjid dan kawasannya

88. (1) Majlis hendaklah memastikan bahawa semua masjid di dalam negeri Perak Darul Ridzuan berada dalam keadaan baik yang sepatutnya dan bahawa kawasan-kawasannya diselenggarakan dalam keadaan bersih yang sepatutnya.

(2) Majlis boleh memperdapatkan dan menggunakan atau membenarkan pemerdapatan dan penggunaan, wang khas bagi maksud apa-apa pembaikan dan penyelenggaraan itu daripada Baitulmal.

(3) Imam hendaklah dengan segera memberitahu Majlis tentang apa-apa keadaan yang memerlukan pembaikan dalam masjidnya, dan hendaklah memeriksa atau mengawal selia mana-mana pembaikan itu sebagai ejen untuk dan bagi pihak Majlis.

(4) Tiada perubahan yang material kepada struktur masjid boleh dibuat tanpa kebenaran daripada Majlis.

(5) Majlis boleh mengarahkan sesuatu Jawatankuasa Kariah supaya menyenggarakan masjid yang di bawah tanggungjawabnya dalam keadaan baik yang sepatutnya.


Perlantikan Pegawai Masjid

89. (1) Bagi tiap-tiap masjid di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dilantik seorang atau beberapa orang imam, Bilal dan Pembantu Bilal.

(2) Bagi tiap-tiap masjid yang ditetapkan oleh Duli yang Maha Mulia Sultan selepas berunding dengan Majlis, Imam dan Bilal hendaklah dilantik daripada kalangan perkhidmatan awam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(3) Bagi tiap-tiap masjid yang tidak ditetapkan di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah melantik Imam dan Bilal daripada kalangan ahli kariah bagi masjid itu.

(4) Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid hendaklah dilantik daripada kalangan ahli kariah bagi masjid itu.

(5) Apabila seksyen ini mula berkuatkuasa, tiap-tiap orang yang sebaik sebelum seksyen ini berkuatkuasa ialah Imam, Bilal atau Pembantu Bilal bagi masjid yang ditetapkan di bawah Enakmen terdahulu hendaklah masing-masing disifatkan telah dilantik dengan sewajarnya di bawah seksyen ini sebagai Imam, Bilal dan Pembantu Bilal bagi masjid itu dan hendaklah, tertakluk kepada seksyen 91, terus memegang jawatan sebagai Imam, Bilal atau Pembantu Bilal masjid itu.

Tauliah Pegawai Masjid

90. (1) Tiap-tiap orang yang dilantik oleh Majlis menjadi Pegawai Masjid, termasuk tiap-tiap orang yang disifatkan telah dilantik sedemikian di bawah subseksyen 89(5), hendaklah diberikan tauliah oleh Majlis.

(2) Tiap-tiap Pegawai Masjid hendaklah mempunyai kuasa-kuasa dan kewajipan-kewajipan yang dinyatakan dalam peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini dan dalam tauliahnya.

Tempoh jawatan Pegawai Masjid

91. (1) Perlantikan seseorang Pegawai Masjid selain Imam dan Bilal bagi masjid yang ditetapkan di bawah subseksyen 89(2) atau disifatkan telah dilantik di bawah subseksyen 89(5) sebagai Pegawai Masjid, boleh ditamatkan dengan notis bertulis oleh Majlis.

(2) Tiada seorang pun Pegawai Masjid yang dilantik atau disifatkan dilantik di bawah subseksyen 89(5) boleh terus memegang jawatan itu selepas mencapai umur enam puluh tahun:

Dengan syarat bahawa Majlis boleh, jika difikirkannya sesuai, melantik mana-mana orang menjadi Pegawai Masjid walaupun orang itu telah mencapai umur enam pulum tahun atau melanjutkan tempoh perkhidmatan Pegawai Masjid yang telah mencapai umur enam puluh tahun.

(3) Setiausaha hendaklah memaklumkan kepada Majlis tentang kelakuan mana-mana Pegawai Masjid yang mencemarkan namanya, sama ada yang berhubungan dengan kewajipan-kewajipannya sebagai Pegawai Masjid atau selainnya dan membuat apa-apa syor yang munasabah.

Kawalan dan arahan atas Pegawai Masjid

92. Dalam pelaksanaan kewajipan-kewajipan mereka, Imam, Bilal dan Pembantu Bilal adalah tertakluk kepada kawalan dan arahan Majlis.

Jawatankuasa Kariah

93. (1) Majlis boleh, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan-peraturan  bagi –

(a) penubuhan Jawatankuasa Kariah bagi sesuatu kariah masjid;

(b) menetapkan cara bagaimana anggota Jawatankuasa Kariah itu hendaklah dilantik; dan

(c) menetapkan fungsi-fungsi Jawatankuasa Kariah itu.

(2) Jawatankuasa Kariah sesuatu kariah masjid, bersama-sama dengan Pegawai Masjid, hendaklah –

(a) bertanggungjawab bagi pengelolaan sempurna dan keadaan baik masjid dan semua tanah perkuburan Islam dalam kariah masjid itu;

(b) bertanggungjawab bagi kelakuan baik anak kariah masjid itu dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam; dan

(c) memberikan maklumat wajar dan segera kepada Majlis tentang semua perkara yang berbangkit dalam kariah masjid itu yang memerlukan perhatian Majlis.

Pengecualian

94. Majlis boleh, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta, mengecualikan mana-mana masjid daripada semua atau mana-mana peruntukan Bahagian ini.

Sunday, September 11, 2011

ETIKA KEPEGAWAIAN SYAR’IE

MUQADDIMAH

          Pegawai kerajaan adalah merupakan satu amanah yang amat berat menurut pandangan Syarak. Ini berbeza dengan sektor swasta yang memberikan pilihan kepada umum samada mahu meneruskan urusan dengan mereka atau mencari alternatif yang lain. Masyarakat umum tidak mampu mencari alternatif walaupun mereka tidak mendapat perkhitmatan yang memuaskan hati mereka daripada mana-mana Pegawai Kerajaan. Inilah yang menyebabkan kita menanggung satu tanggungjawab yang berat untuk memastikan segala perkhidmatan yang diberi menepati dan selaras dengan sekuang-kurangnya 3 kepentingan utama iaitu Keredhaan Allah, Kehendak Pemerintah dan kepuasan hati pelanggan. Walaubagaimanapun apabila ketiga-tiga kepentingan ini saling bercanggahan, maka keutamaan hendaklah diberi kepada memenuhi keperluan mencari keredhaan Allah.

 2 PERANAN UTAMA

         Sedar atau tidak kita berhadapan dengan 2 peranan utama iaitu Peranan sebagai Pegawai Kerajaan dan Peranan sebagai Pegawai Agama. Kedua-dua peranan ini hendaklah dimainkan secara bersama dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Walaupun setiap Pegawai Kerajaan turut bertanggungjawab memastikan setiap tugasnya bertepatan dengan kehendak Syarak, namun Pegawai agama mempunyai tanggungjawab yang lebih berat memandangkan kita memegang panji-panji agama Allah dan tunggak kepada Syiar Islam yang maha suci. Berjayanya kita menunjukkan contoh tauladan yang baik maka bertambah tinggilah martabat kita di sisi Allah.Kegagalan kita bermakna semakin jauhlah kita daripada Allah dan semakin hilanglah kepercayaan masyarakat kepada kita.


PERANAN SEBAGAI PEGAWAI KERAJAAN

      Sekurang-kurangnya peranan sebagai pegawai kerajaan boleh dilihat daripada 3 perpektif yang besar. Jika selama ini Pegawai Kerajaan disebut sebagai pegawai yang kurang berkesan, bertugas seadanya dan terlalu lambat melakukan penambahbaikan, tetapi apakah kita akan terus terusan membuktikan segala dakwaan tersebut amat bertepatan. Aspek yang perlu dititik berat adalah seperti berikut :

a. Personaliti

            Seseorang Pegawai Kerajaan tidak dapat tidak, mestilah mempunyai beberapa ilmu pengetahuan berkaitan beberapa perkara iaitu :

Perintah-Perintah AM

Fail Meja

Manual Prosedur Kerja

Piagam Pelanggan

Visi dan Misi Jabatan

               Selain dari itu penampilan dan keterampilan seseorang Pegawai Kerajaan juga perlu dititik berat termasuk berpakaian kemas dan berpakaian seragam jika diarahkan.



b. Integriti

Di antara aspek-aspek yang membentuk integriti yang baik adalah seperti :
 
Amanah

Menepati Masa

Jujur

Taat



c. Pemahaman Politik

          Suatu kekhilafan yang sering melanda Pegawai Kerajaan terutamanya pegawai-pegawai kanan dan berjawatan utama ialah mengenai bagaimanakah sikap kita terhadap pendekatan politik. Ramai yang mengatakan bahawa kita kena taat secara mutlak terhadap parti mana sahaja yang memerintah. Kita kena sedar bahawa kuasa politik akan lenyap jika ahli parti tidak mahukan seseorang pemimpin. Namun Pegawai Kerajaan tetap mempunyai amanah mempertahankan kedaulatan negara dan kerajaan walau sesiapapun memegang tampuk pemerintahan. Kita wajib menegur dan membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin jika nyata ianya boleh memudharatkan negara dan kerajaan. Tugas kerajaan tetap berjalan walaupun parti pemerintah berkubur tanpa nisan. Prinsip yang perlu dipegang adalah kebenaran bukan ketaatan yang tak tentu haluan.



PERANAN SEBAGAI PEGAWAI AGAMA
 
Peranan sebagai Pegawai Agama dapat dilihat dari 2 perspektif :

a. Amanah terhadap Allah.

b. Peranan sebagai Syiar.


AMANAH TERHADAP ALLAH

1. Al-Quran dan Sunnah sebagai Perintah-Perintah Am. Sabd Rasulullah SAW :
 لاَ طَاعَةَ لِمَخْلُوْقٍ فِيْ مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ
Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam urusan menderhakai Allah.



2. Tugas sebagai khalifah

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً
 Dan ingatlah ketikamana tuhanmu berkata kepada Malaikat; aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.



3. Tugas Amar Makruh Nahi Munkar

مَنْ رَأَىْ مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
  Sesiapa di antara kamu yang melihat kemunkaran hendaklah dicegahnya dengan kuasanya. Jika tidak mampu maka hendaklah dengan suaranya. Jika tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.


4. Sentiasa bermotivasi
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan di atas segala kepimpinannya.



5. Berilah manfaat
أَحْسَنَ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik di antara kamu adalah yang paling memberi manfaat kepada manusia.



PERANAN SEBAGAI SYIAR

1. Kehebatan 

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.



2. Cara Kerja 
وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan bekerjalah maka Allah, Rasulnya, dan orang yang beriman akan menyaksikannya dan kamu akan dikembalikan ke alam ghaib dan alam Syahadah dan akan diceritakan tentang apa yang kamu telah perbuat.



Abu Izzah At-Tualanji

31 Mac 2006

SYARAT SAH MENGIKUT IMAM

 1. TIDAK TERKEHADAPAN DARIPADA IMAM. 
a. Dikira tumit bagi yang berdiri, punggung bagi yang duduk dan lambung jika berbaring.

b. Makruh yang meluputkan pahala berjemaah jika bersamaan.

c. Sunat bagi makmum lelaki berdiri sedikit kebelakang sebelah kanan imam bagi menyatakan kelebihan martabat imam tetapi makruh yang meluputkan pahala berjemaah jika berdiri di kiri atau dibelakang imam.

d. Jika datang selepasnya seorang lelaki lain maka sunat dia berdiri di kiri imam dan sedikit kebelakang dan selepas takbiratul ihram maka kedua-dua makmum berundur ke belakang lalu membuat saf atau imam bergerak kehadapan dan keduanya membuat saf.

e. Jika datang dua orang lelaki bersama maka terus keduanya di belakang imam.

f. Jika makmum seorang perempuan hendaklah berdiri di belakang imam.

g. Jika makmum seorang lelaki dan seorang perempuan maka hendaklah berdiri yang lelaki di kanan imam dan yang perempuan di belakang imam.

h. Jika makmum dua orang lelaki dan seorang perempuan atau seorang khunsa hendaklah kedua lelaki membuat saf di belakang imam dan perempuan atau khunsa itu di belakang keduanya.

i. Jika makmum seorang lelaki, seorang khunsa dan seorang perempuan maka lelaki itu di kanan imam, khunsa di belakang imam dan perempuan itu di belakang khunsa.

j. Maka sunat di belakang imam itu lelaki baligh, kemudian kanak-kanak, kemudian khunsa, kemudian perempuan.

k. Jika belum penuh saf pertama oleh lelaki maka boleh dipenuhkan oleh kanak-kanak tetapi jika belum penuh saf khunsa maka tidak boleh dipenuhkan oleh perempuan.

l. Jika terdahulu kanak-kanak pada saf pertama maka ditinggalkan padanya, jika terdahulu khunsa atau perempuan maka undurkan ke belakang dan berdiri di belakang imam oleh lelaki atau kanak-kanak, jika terdahulu perempuan daripada khunsa maka diundurkan perempuan.

m. Sunat imam jemaah yang bertelanjang berdiri di tengah-tengah dan dijadikan satu saf sahaja samada lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan tetapi jika sesama buta atau di dalam gelap maka imam berdiri sedikit ke hadapan.

n. Makruh makmum berseorangan di luar saf jika ada kelapangan dalam saf.

o. Jika tiada tempat dalam saf maka hendaklah takbiratul ihram di luar saf kemudian sunat dia menarik seorang yang di dalam saf ke belakang supaya menjadi saf bersamanya.

p. Sunat bagi yang ditarik itu menurut agar mendapat fadhilat bertolong-tolongan atas kebaikan dan taqwa.

q. Haram menarik sebelum takbiratul ihram kerana ianya mengeluarkan yang ditarik daripada saf kepada tidak bersaf dan menurunkan dia daripada saf yang utama kepada yang lebih rendah.

 
2. MENGETAHUI PERPINDAHAN IMAM DENGAN MELIHAT IMAM ATAU SEBAHAGIAN MAKMUM ATAU DIDENGAR SUARA IMAM ATAU PENYAMPAI (مبلغ) YANG DIPERCAYAI. 

3. BERHIMPUN IMAM DAN MAKMUM PADA SATU TEMPAT. MAKA ADA EMPAT KEADAAN  :-

 a. Keduanya di dalam masjid.

      i. Sah ikutannya walaupun jauh daripada 300 hasta.

     ii. Sah walaupun ada dinding antara keduanya bebarapa binaan seperti telaga, sutuh dan menara dengan  syarat binaan itu ada pintu terus ke masjid atau pintu terus ke sutuhnya walaupun pintunya tertutup dengan dikuncinya atau tidak sekira-kira makmum boleh bergerak kepada imam maka sahlah.

     iii. Jika binaan antara imam dan makmum tiada pintu terus seperti dipakunya atau ada sutuh yang tidak mempunyai tangga tempat naik maka tidak sah ikutannya.

    iv. Jika imam dan makmum dipisahkan oleh sungai atau jalanraya yang wujud terdapat di dalam masjid itu sebelum wujudnya masjid tersebut maka hukumnya seperti hukum salah seorang di dalam masjid dan seorang di luar masjid yang akan diterangkan kemudian.

    v. Jika binaan antara imam dan makmum itu (شباك) maka tidak sah ikutan mengikut Ibnu Hajar, Ramli dan Syarbini tetapi sah mengikut Asnawi makmum berdiri di belakang syibak yang pada dinding masjid kerana tiada disyaratkan pada binaan itu pintu yang terus tetapi ditolak pandangan ini oleh jumhur Fuqaha. Yang Muktamadnya disyaratkan disyartkan ada pintu atau lubang yang dapat dilalui daripada makmum kepada imam tanpa membelakangkan qiblat sebagaimana disebut oleh Ibnu Hajar dalam Tuhfah.

   vi. Masjid yang berhubung yang terbuka pintunya kepada pintu setengahnya kepada yang lain itu sama seperti hukum masjid yang satu. Jika setiap satu masjid mempunyai imam, bilal dan jemaah tersendiri maka sahlah makmum yang berdiri menghadap masjid yang kedua yang ada imam di dalamnya atau imam di masjid yang ketiga walaupun jauh antara keduanya lebih daripada tiga ratus hasta sekalipun kerana semua masjid dihukumkan seperti satu masjid jua.

  vii. Adapun ruhbah masjid (tempat yang di luar masjid sedangkan dipagari kelilingnya samada diketahui keadaannya diwaqafkan atau tidak kerana kita mengamalkan alamat yang zahir ) maka seperti hukum masjid seperti masjid yang satu dengan masjidnya, maka sah mengikut imam yang di dalam masjid atau sebaliknya walaupun jauh antara keduanya. Tetapi jika ada binaannya yang terus pintunya tetapi jika antara keduanya terdapat sungai atau jalanraya yang wujud terdahulu sebelum wujudnya masjid atau ruhbahnya maka hukumnya seperti berlainan dan disyaratkan jangan lebih daripada tiga ratus hasta antara imam dan makmum.

  viii. Harim masjid (tempat yang disediakan untuk membuang sampah masjid atau tempat menumpahkan air atau sebagainya) tidak dihukumkan seperti masjid yang satu. Kata Zarkasyi wajib atas orang yang membuatnya membezakan antara ruhbah dan harim dengan satu tanda supaya diberi ruhbah dengan hukum masjid.

  ix. Dinding masjid adalah seperti hukum masjid, begitu juga menara masjid yang terus pintunya kepada masjid atau kepada ruhbah masjid tetapi bukan kepada harim masjid.


 b. Keduanya di padang atau rumah yang luas.

i. Disyaratkan jaraknya antara imam dan makmum dan antara dua saf atau antara dua orang yang berdiri di belakang imam atau di kanan atau kiri imam tidak lebih daripada tiga ratus hasta.

ii. Jika imam dalam bangunan seperti rumah atau madrasah dan makmum pada bangunan yang lain atau salah seorang daripada keduanya dalam bangunan dan seorang di padang maka disyaratkan jarak yang hampir antara keduanya dan tiada antara keduanya (حائل) yang menegahkan lalu kepada imam atau setengah daripada segala makmum yang mengikut imam dan supaya dapat lalu berjalan mendapat akan imamnya dengan jalan yang mengikut adat tanpa membelakangkan qiblat tetapi cukup jika mengkanan atau mengkirikan qiblat. Boleh juga jika seorang daripada makmum berdiri berbetulan dengan pintu yang (حائل) iaitu yang mendindingi yang terus melihat ia akan imam atau melihat sebahagian makmum yang di dalam bangunan imam kerana jika ada antara imam dan makmum itu (حائل) yang tersebut itu atau tiada berdiri seorang yang berbetulan dengan pintu itu nescaya tiada sah ikutannya.

iii. Maka apabila sah mengikut imam oleh seorang yang berdiri berbetulan pintu itu maka sahlah mereka yang lain di belakang atau di kanannya atau di kirinya, mengikut akan imamnya walaupun ada beberapa dinding antara mereka dengan imam kerana mencukupi dengan adanya rabitah.

iv. Maka yang berdiri berbetulan pintu itu dinisbahkan sebagai imam bagi mereka dan tidak mereka mendahului imam pada takbiratul ihram dan pada berdirinya dan pada perbuatannya.

v. Maka disyaratkan keadaannya daripada orang yang sah diikut oleh mereka maka tidak sah ianya perempuan jika mereka lelaki seperti pandangan Ramli bersalahan dengan Ibnu Hajar.

vi. Disyaratkan juga yang berdiri itu dapat dilihat oleh mereka dan dapat pergi kepadanya tanpa membelakangkan qiblat.

vii. Jika hilang rabitah itu ditengah sembahyang maka tidak mengapa maka hendaklah disempurnakan oleh mereka itu sembahyang mereka jika diketahui oleh mereka perpindahan imam dan seperti itu juga jika tertutup pintu kerana ditiup angina ketika sembahyang.

viii. Kata Ibnu Hajar dalam Syarah Ubab jika hilang Rabitah itu dengan perbuatan makmum atau dengan suruhnya maka batal sembahyangnya. Jika dibuat orang (حائل) antara imam dan makmum pada tengah sembahyang maka tiada batal seperti yang dirajihkan oleh Ibnu Imad dan Azrai berdasarkan kaedah umum 'Dimaafkan pada berterusan (دوام) apa yang tidak dimaafkan pada permulaan'.

c. Imam di dalam masjid dan makmum di luar masjid.

d. Makmum di dalam masjid dan imam di luar masjid.

i. Hukumnya ( c ) dan ( d ) seperti hukum keduanya di dalam dua bangunan atau salah seorang antara keduanya di dalam bangunan dan seorang di padang.

ii. Disyaratkan tidak terlalu jauh antara imam dan makmum dan tiada (حائل) yang menegahkan lalu kepada imam atau menegah dari melihat imam atau berdiri seorang makmum yang berbetulan pintu (حائل) yang terus.

iii. Ianya seperti dua saf maka disyaratkan jangan jauh tetapi dibilangkan dari tepi masjid yang mengiringi imam atau makmum yang di luar masjid tiada daripada akhir saf dan tiada daripada tempat berdiri imam.

iv. Bukit yang boleh dinaik atasnya maka iaitu dikira sebagai padang juga, maka sah ikut orang yang berdiri di atas bukit kepada imam yang di bawah jika melihat ia akan imam dan hampir jarak antara keduanya dan dapat lalu makmum kepada imam tanpa membelakangkan qiblat.

v. Imam Syafie menaskan bahawa sah mengikut makmum di atas Bukit أبي قبيس kepada imam di Masjidil Haram.

vi. Jika imam dan makmum pada dua kapal yang berbeza maka jika keduanya terbuka seperti tiada keduanya beratap maka hukumnya seperti di padang jua maka sah mengikut imam jika dekat.

vii. Jika berdiri salah seorang di atas dan seorang di bawah maka tiada disyaratkan berbetulan setengah badan keduanya atas qaul muktamad Imam Nawawi hanya disyaratkan jangan jauh antara keduanyalebih daripada 300 hasta jika tiada keduanya di dalam masjid dan boleh dia mendapatkan imam tanpa membelakangkan qiblat.

viii. Makruh tinggi imam daripada makmum dan sebaliknya kecuali hajat.



4. BERNIAT MAKMUM MENGIKUT IMAM ATAU BERNIAT BERJEMAAH ATAU BERNIAT MENJADI MAKMUM 

 
a. Jika lama mengikut imam dalam perbuatan tanpa niat jemaah maka batal solatnya. Berbeza jika sekejap.

b. Maka niat jemaah pada solat lima waktu tidak wajib pada takbiratul Ihram, cuma afdhal kerana menghasilkan fadhilat jemaah dari permulaan sembahyang.

c. Sembahyang Jumaat wajib niat jemaah pada takbiratul Ihram kerana jemaah syarat bagi sah Jumaat pada awalnya.

5. MUAFAQAH PERATURAN SEMBAHYANG IMAM DAN MAKMUM 

 
a. Jika bersalahan seperti sembahyang fardhu lima waktu dengan sembahyang gerhana atau sembahyang jenazah maka tiada sah ikutannya kerana sukar mengikutnya.

b. Sah sembahyang Fardhu di belakang sembahyang sunat tasbih dan zohor di belakang Asar dan Maghrib dan begitu juga sebaliknya.

c. Sah sembahyang qadha' di belakang sembahyang tunai dan sebaliknya.

d. Sah sembahyang fardhu di belakang sembahyang sunat dan sebaliknya kerana muafaqah peraturannya.

e. Jika sembahyang imam lebih panjang daripada makmum maka ketika selesai tahiyat makmum memilih antara mufaraqah dan memberi salam atau menanti salam beserta imam dan ini lebih afdhal jika ada muafaqah tempat tahiyatnya seperti sembahyang Subuh di belakang Zohor.

f. Jika tiada muafaqah seperti Maghrib di belakang Isyak maka wajib bagi makmum niat mufaraqah.

g. Atau muafaqah pada tempat tahiyat keduanya tetapi tiada duduk imam bagi tahiyat awal maka wajib makmum yang sembahyang subuh itu mufaraqah tiada harus menanti.



6. MUAFAQAH MAKMUM BAGI IMAMNYA PADA SUNAT YANG DIKERJAKAN IMAMNYA ATAU YANG DITINGGALKANNYA YANG JADI KEJI MENYALAHINYA 

 
a. Jika sujud tilawah imamnya dan tiada sujud makmum atau sebaliknya atau duduk tahiyat awal imam tapi makmum meninggalkannya atau sebaliknya maka batallah sembahyang makmum jika diketahui haramnya lagi disengajakan tetapi jika duduk imam membaca tahiyat awal dan berdiri makmum dengan sengaja tidak batal sembahyang makmum tetapi sunat ia kembali duduk mengikut imam.

b. Jika berdiri makmum itu dengan lupa wajib kembalinya dan jika tiada kembali batal sembahyangnya.


7. HENDAKLAH MENGIKUT IMAMNYA PADA TAKBIRATUL IHRAM DAN LAINNYA 

 
i. Hendaklah takbir makmum selepas takbir imam dengan yakin.

ii. Jika takbir makmum bersama-sama takbir imam atau beserta setengahnya atau syak samada terkemudian atau tidak dan lama masa syaknya atau beriktikad bahawa terkemudian walaupun terdahulu maka batal sembahyangnya. Tersebut dalam Hadis Sahih, sabda nabi :

اِذَا كَبَّر فَكَبِّرُوْا

Apabila sudah bertakbir imam maka takbirlah kamu.

            Menurut hadis ini maka mesti takbir setelah imam selesai bertakbir dan masuk sembahyang apabila telah sempurna takbirnya. Maka takbir dahulu atau bersama dengan imam seumpama mengikut orang yang belum sembahyang maka tidak sah ikutannya.

iii. Batal sembahyang makmum yang sengaja mendahului imam dengan dua rukun perbuatan walaupun pendek seperti makmum ruku' sebelum imam, maka bila imam hendak ruku' maka makmum bangun I'tidal, maka bila imam bangun I'tidal maka sujud pula makmum lalu batal sembahyangnya ketika sujud.

iv. Batal sembahyang makmum yang terlewat dua rukun perbuatan dari imam tanpa uzur seperti kerana was-was walaupun rukun pendek seperti imam telah ruku' dan I'tidal lalu hendak sujud, sedangkan makmum masih berdiri atau imam sujud kedua dan berdiri membaca Fatihah lalu tunduk untuk ruku' sedangkan makmum masih duduk antara dua sujud maka batal sembahyangnya.

v. Jika bersama dengan imam dalam perbuatan sembahyangselain dari Takbiratul Ihram dan jika pada salam sekalipun tidak mengapa tetapi makruh yang menghilangkan fadhilat jemaah.

vi. Jika makmum mendahului imam atau terkemudian dengan satu rukun fi'li maka tidak batal sembahyangnya tetapi Haram makmum mendahului imam dengan satu rukun perbuatan yang sempurna seperti makmum ruku' dan dan I'tidal sedangkan imam masih berdiri.

vii. Jika makmum terlewat daripada imam kerana uzur seperti lambat membaca yang wajib tanpa was-was hanya semata-mata kerana lewat atau makmum yang muafiq asyik membaca iftithah dan ta'wwuz sebelum Fatihah hingga ruku' imam atau hampir kepada ruku' atau sudah ruku' imamnya maka syak ia semasa berdiri membaca fatihah samada sudah membaca fatihah atau belum ataupun teringat pada masa itu bahawa dia terlupa membacanya ataupu imam terlalu cepat membaca fatihah hingga ruku' imam sebelum makmum sempat membaca fatihahnya.

viii. Maka semua itu uzur yang dimaafkan tertinggal dari imam dengan mengerjakan perbuatan sembahyangnya dengan tertib sembahyang dirinya selama belum berlalu tiga rukun yang panjang yang dimaksudkan bagi dirinya . Maka tidak dikira rukun yang pendek seperti I'tidal dan duduk antara dua sujud maka apabila makmum selesai mambaca fatihah sedangkan imam sedang sujud yang kedua hendaklah makmum ruku' dan maka hendaklah diperbuat tertib sembahyang dirinya kerana belum berlalu 3 rukun yang panjang berbeza jika terkemudian makmum dari imam lebih daripada 3 rukun yang panjang seperti imam berdiri pada rakaat kedua atau duduk tahiyat sedangkan makmum belum selesai membaca Fatihah maka makmum berniat mufaraqah dan diselesaikan sembahyangnya sendiri. Atau boleh juga diikuti imam seperti terus berdiri atau duduk tahiayat tanpa menghabiskan bacaan dan ditambah satu rakaat lagi selepas imam salam. Ini semua adalah hokum bagi muafiq bukan masbuq.

ix. Masbuq atau orang yang tidak mendapat bersama imam masa yang sempat sekadar membaca Fatihah maka apabila ruku' imam sedangkan dia belum lagi habis bacaan Fatihahnya maka jika sebelum makmum itu membaca Fatihah, dia sibuk dengan bacaan sunat seperti doa iftitah dan taawwuz atau diam sahaja kerana lupa atau mendengar bacaan imam, maka wajib dia membaca Fatihah sekadar masa bacaan iftitah atau taawwuznya tadi atau masa diamnya tadi dan tidak boleh ruku' kerana jika ruku; dengan sengaja sebelum membaca sekadar yang wajib itu maka batal solatnya. Setelah membaca Fatihah sekadar yang wajib itu maka hendaklah dia ruku' dan jika dapat dia ruku' bersama imam dengan thoma'ninah maka dapatlah dia rakaat itu. Jika hanya sempat dia bersama imam ketika I'tidal atau waktu tunduknya kepada sujud maka tiadalah rakaat baginya dan wajib dia terus bersama imam dalam I'tidal atau tunduk imam itu tidak boleh ruku'. Jika ruku' maka dengan sengaja maka batal solatnya. Maka apabila luput rakaat itu maka wajib ditambah serakaat lagi selepas salam. Jika dia belum habis membaca qadar yang wajib itu padahal imam hendak tunduk kepada sujud padanya dua perkara :

i. Wajib menyempurnakan Fatihahnya dan batal sembahyangnya. Jika disempurnakan Fatihahnya pada ketika imamnya tunduk kepada sujud maka batallah solatnya kerana terkemudian daripada imam dengan dua rukun tanpa uzur.

ii. Jika ditinggalkannya menyempurnakan bacaannya yang wajib dengan sengaja maka batallah sembahyangnya. Maka tiadalah yang melepaskan daripada batal solatnya itu melainkan dengan niat mufaraqah tidak harus mengikut imam kerana dia wajib menyempurnakan Fatihahnya.

x. Sunat jangan sibuk membaca sunat seperti iftitah dan tauzz selepas takbiratul ihram tetapi sibuk dengan Fatihah kecuali dia zan dapat membaca Fatihah maka sunat dibaca bacaan sunat kemudian baru membaca Fatihah.

xi. Masbuq dan Muafiq pada tiap-tiap rakaat bukan seperti yang disalahfaham bahawa muafiq itu orang yang takbiratul ihram bersama takbiratul ihram imamnya sahaja.

HUKUM SOLAT BERJEMAAH

 1. Berhasil fadhilah jemaah selain solat Jumaat selagi mana belum salam. Tetap berhasil walaupun makmum tidak sempat duduk seperti imam salam selepas makmum takbir. 

2. Fadhilat yang paling sempurna dengan mendapat takbiratul Ihram bersama imam atau takbir makmum mengiringi takbir imam. 
3. Berhasil fadhilah jemaah pada Solat Jumaat jika mendapat satu rakaat bersama imam. 

4. Sunat Imam mensingkatkan perbuatan dan bacaannya dengan menyempurnakan segala sunat ab'ad dan sunat haiah dan jangan sama atau lebih dari yang disunatkan pada sembahyang sendirian. 
5. Makruh melanjutkan solat melebihi had diatas kecuali redha semua makmum dengan lafaz dan masjid itu tidak terletak di tepi jalan. Makmum yang berkerja di bawah orang atau perempuan yang bersuami tidak di kira keredhaan mereka. 

6. Makruh melambatkan sembahyang untuk mendapatkan jemaah yang ramai atau menanti orang yang berkedudukan seperti qadhi atau mufti. 
7. Sunat imam menanti orang yang hendak masuk sembahyang jika didengarnya dalam ruku' dan tahiyyat akhir agar didapatnya rakaat atau jemaah. Jangan menanti terlalu lama dan tidak boleh dibezakan antara yang dinanti. 
8. Tidak sunat malah makruh menanti selain dari dua tempat tadi kerana tiada faedah padanya. 
9. Tidak makruh malah sunat orang sembahyang bersendirian menanti dalam dua tempat tadi walau seberapa lama sekalipun. 
10. Sunat imam menanti dalam sujud kedua terhadap makmum yang muafiq yang tertinggal kerana membaca Fatihah agar mendapat rakaat kerana jika imam bangkit dari sujud sebelum makmum itu ruku' maka luputlah rakaat tersebut. 
11. Sunat orang yang sudah sembahyang fardhu tunai sendirian selain sembahyang Khauf (perang), nazar dan jenazah, lalu didapatinya orang berjemaah atau bersendirian dalam waktu tersebut maka sunat mengulangi untuk sekali ulang sahaja walaupun imam pertama lebih afdahl dari yang kedua sekalipun. Tidak sunat mengulangi jika imam kedua makruh diikuti. 

PERATURAN MENGIKUT IMAM

1. Tidak sah makmum mengikut imam jika dia mengetahui tentang batal solat imam tersebut kerana hadas dan sebagainya. 
2. Tidak sah mengikut imam yang pada iktiqad makmum batal solatnya kerana tersilap ijtihadnya pada kiblat, atau pada dua kolah air atau pada kainnya samada suci atau najis. 
3. Tidak sah Syafie mengikut imam Hanafi yang meninggalkan satu rukun atau syarat seperti thoma'ninah atau menyentuh isterinya tanpa mengambil wudhuk walaupun Sultan sekalipun kecuali takutkan fitnah. Jika takutkan fitnah maka harus mengikutnya tanpa perlu diqada'. 
4. Jika hanya zan atau syak mengenai perkara di atas maka sah mengikutnya. 
5. Tidak sah mengikut orang yang diwajibkan qada' ke atasnya seperti yang bersembahyang dengan tayammum kerana ketiadaan air ditempat yang biasanya ada air dan yang bersembahyang ketika berhadas kerana dipaksa dan yang sembahyang kerana menghormati waktu kerana ketiadaan air dan tanah dan yang bersembahyang dengan tayammum kerana sejuk. 
6. Tidak sah mengikut imam yang masih menjadi makmum. Maka jika sudah putus ia daripadanya seperti selepas salam imamnya maka berdiri dia waktu itu maka sah. Jika selepas salam imam mengikut sebahagian orang yang masbuq terhadap sebahagian yang lain maka sah tetapi makruh. 
7. Tidak sah jika makmum syak samada dia imam atau makmum. 
8. Tidak sah qari mengikut orang yang ummi pada Fatihahnya iaitu seorang yang lemah membaca satu huruf atau satu tasydid daripada Fatihah dan lemah untuk belajar sekalipun seperti sudah belajar tetapi masih gagal menyebutnya. Contohnya seperti orang yang boleh membaca huruf Ra' mengikut yang tidak boleh menyebut huruf Ra'. 
9. Sah jika sama-sama ummi pada satu huruf dari Fatihah tetapi tidak sah jika berlainan huruf. 
10. Tidak sah lelaki mengikut perempuan atau khunsa dan tidak sah khunsa mengikut perempuan atau sesama khunsa. 
11. Sah lelaki mengikut lelaki dan khunsa mengikut lelaki dan perempuan mengikut lelaki dan perempuan mengikut khunsa dan perempuan mengikut perempuan. 
12. Jika seseorang mengikut imam yang disangkanya lelaki kemudian ternyata perempuan atau kafir atau dia seorang makmum atau ummi maka tiada sah dan wajib diulangi solatnya. 
13. Jika ternyata imam berhadas atau berjunub atau terkena najis yang tersembunyi pada batin pakaiannya atau badannya maka sah ikutannya. Jika najis itu pada zahir pakaiannya maka wajib diulangi sembahyangnya. 
14. Jika makmum tahu imam berhadas atau terkana najis kemudian dia terlupa dan hanya teringat setelah selesai sembahyangnya maka wajib diulangi sembahyangnya. 
 

KEUTAMAAN MENJADI IMAM

 1. Raja atau ketua yang memerintah negeri atau tempat jika tiada Imam Rawatib yang dilantik oleh Sultan sebagai imam di sesebuah masjid. Jika ada Imam Rawatib maka Imam Rawatib lebih utama daripadanya dan daripada Qadhi. 

2. Orang yang mempunyai manfaat bagi sesuatu tempat samada miliknya atau dipinjam darinya atau disewa darinya atau diwaqaf olehnya, diwasiat orang baginya. 
3. Imam Rawatib itu lebih utama daripada yang lain walaupun yang lain lebih baik sifat yang utama menjadi imam kecuali Sultan yang melantik Imam Rawatib itu maka lebih afdhal darinya. 
4. Jika tiada keutamaan di atas maka dipilih mengikut keutamaan berikut  :
     a. Yang lebih faqeh tentang hukum solat.

     b. Yang lebih baik bacaannya.

     c. Yang lebih warak

     d. Yang lebih awal berhijrah

     e. Yang lebih awal masuk Islam

     f. Yang dinasabkan kepada nabi atau wali atau ulama’ atau solihin

    g. Yang berketurunan Bani Hasyim

    h. Yang berketurunan Bani Mutalib

     i. Yang berbangsa Quraisy

     j. Yang berbangsa Arab

     k. Anak orang soleh

     l. Anak orang alim

    m. Yang masyhur dengan kebaikan

     n. Yang lebih bersih pakaiannya

    o. Yang lebih bersih badannya

    p. Yang lebih baik kepandaiannya

    q. Yang lebih baik suaranya

     r. Yang lebih baik rupanya

     s. Di buat undi jika bersamaan kesemuanya.



PERINGATAN
 
1. Yang adil lebih utama daripada yang fasiq walaupun kurang faqeh dan kurang baik bacaannya. 

2. Yang baligh lebih utama daripada kanak-kanak walaupun kurang faqeh dan kurang baik bacaannya. 

3. Yang bermukim lebih utama daripada musafir walaupun kurang faqeh dan kurang baik bacaannya. 

4. Yang bernasab lebih utama daripada anak zina atau yang tak diketahui asalnya walaupun kurang faqeh dan kurang baik bacaannya. 
5. Yang buta sama seperti yang melihat. 
 

Pembahagian Imam


Imam terbahagi kepada 8 golongan :

1. Tidak sah dijadikan imam sama sekali iaitu orang kafir, kanak-kanak belum mumaiyiz, orang gila, orang pitam, makmum, orang yang disyakkan sebagai makmum, orang ummi, orang yang bacaan Fatihahnya merosakkan makna. 
2. Orang yang tidak sah dijadikan imam jika diketahui keadaannya iaitu orang yang berhadas kecil atau besar, orang yang ada najis yang tidak dimaafkan, orang yang telor ( لحن ) yang merosakkan makna Fatihah padahal dia seorang yang qari atau orang yang sengaja mentelorkan bacaan Fatihah atau bacaan lainnya atau terluncur lidahnya dalam Fatihah tetapi tidak memperbetulkannya atau orang yang mampu belajar tetapi tidak belajar sedangkan dia tahu haramnya dan orang yang sengaja mentelorkan bacaan selain Fatihahnya. 

3. Orang yang tidak sah dijadikan imam kecuali yang kurang daripadanya iaitu khunsa hanya sah dijadikan imam oleh perempuan, tidak sah oleh lelaki atau sesama khunsa. 
4. Orang yang tidak sah dijadikan imam kecuali yang sama dengannya iaitu perempuan atau ummi yang tidak dapat belajar lagi seperti orang gagap (ارت) yang mengidgham bukan pada tempatnya atau telor (ألثغ) iaitu menukar huruf deng huruf lain dan orang yang (لحن) yang mengubah makna bacaannya. 
5. Orang yang tidak sah dijadikan imam pada satu sembahyang dan sah pada satu sembahyang yang lain iaitu orang yang bermusafir, kanak-kanak, orang berhadas, orang kena najis yang tersembunyi yang tidak diketahui keadaaannya . Maka tidak boleh dijadikan imam mereka ini pada solat Jumaat jika mencukupkan bilangan 40 dengan dia dan sah dijadikan imam pada sembahyang selain Jumaat atau pada Jumaat yang tanpa mereka sudah mencukupi bilangan 40 orang.

6. Orang yang makruh dijadikan imam iaitu orang Fasiq, pengamal bidah dan orang yang kulup. 
7. Mereka yang lebih utama tidak dijadikan imam (خلاف أولى) iaitu anak zina, anak yang diyakinkan dengan lian oleh bapanya, anak yang tak diketahui bapanya, Orang buta atau melihat sama sahaja tarafnya. 

8. Orang yang menjadi pilihan sebagai imam iaitu orang yang selamat daripada segala sifat di atas dan mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang akan diterangkan nanti. 

Peranan Imam


            Imam merupakan jawatan yang amat penting di dalam sesebuah masyarakat Islam. Imam adalah mewarisi peranan yang dimainkan oleh Rasullullah S.A.W. sepanjang hidup baginda. Imam memainkan peranan yang cukup penting bukan sahaja dalam sembahyang malah berperanan penting dalam pembentukan masyarakat yang bertaqwa dan berdaya maju. Di antara beberapa peranan penting Imam dalam masyarakat adalah seperti berikut :
 
Simbol Penyatuan Umat

           Imam dianggap sebagai simbol penyatuan ummat melalui ibadat solat berjemaah. Solat berjemaah adalah simbol bagi kesatuan umat dan simbol ketaatan umat kepada pemimpin. Melalui solat berjemaah setiap umat Islam mengenepikan segala bentuk perbezaan yang ada dan tunduk kepada seorang pemimpin iaitu Imam. Konsep ini jika diguna pakai dalam segenap aspek kehidupan masyarakat sudah tentu akan dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Melalui solat berjemaah juga mengajar umat Islam tentang adab terhadap kepimpinan seperti adab menegur kesilapan, adab menerima teguran dan adab menukar kepimpinan.


Penyelamat Umat

          Secara umumnya imam bolehlah dianggap sebagai penyelamat umat daripada menanggung dosa kerana meninggalkan Fardhu Kifayah. Hukum solat berjemaah bagi sesebuah kariah adalah fardhu kifayah. Ini bermakna jika sekiranya tidak ada dilaksanakan solat berjemaah maka keseluruhan ahli kariah akan menanggung dosa. Pada masa ini banyak terdapat masjid yang gagal menghimpun ahli kariah untuk menunaikan solat secara berjemaah terutamanya bagi waktu Zohor, Asar dan Subuh. Sesetengah masjid hanya terdapat Imam dan Bilal sahaja yang datang bejemaah di masjid. Agak sukar untuk kita menyalahkan sesiapa memandangkan senario masa kini dimana tuntutan hidup yang semakin mencabar telah menyebabkan masyarakat semakin asyik dengan urusan seharian tanpa mempedulikan tuntutan Fardhu Kifayah ini. Ketika inilah Imam memainkan peranan yang cukup besar bagi menyelamatkan masyarakat daripada menanggung dosa.


Pemimpin Masyarakat Setempat

        Imam tidak hanya sebagai pemimpin dalam solat berjemaah semata-mata, malah kepimpinan ini hendaklah merata dalam keseluruhan urusan hidup seharian. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peranan Imam-Imam dalam urusan kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Dalam hal ini Imam-Imam hendaklah menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Personaliti setiap Imam juga haruslah sentiasa dijaga agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Imam-imam hendaklah sentiasa kelihatan hebat pada setiap waktu dan ketika. Firman Allah S.W.T:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَةِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ( الأنبياء : 73)

 Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.
 
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ  - السجدة :24
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
 
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يُنصَرُونَ ( 41 ) وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُمْ مِنْ الْمَقْبُوحِينَ (42) (القصاص : 41-42)

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

 
Sumber Rujukan Masyarakat

         Imam-Imam juga mestilah menyediakan diri dengan ilmu yang mencukupi. Mereka bukan sahaja perlu mahir dalam ilmu-ilmu Fardhu Ain sahaja malah mestilah menguasai kemahiran lain seperti ilmu Psikologi, Kaunseling dan sebagainya. Biasanya imam menjadi pusat pengajian Al-Quran bagi anak-anak di kampung.

         Imam-Imam juga boleh mengambil peluang menjadi Guru Ta’mir yang mengajar di masjid-masjid dan memberikan perkhidmatan khidmat nasihat agama di masjid. Selain daripada itu para imam juga boleh membuka kelas pengajian berkaitan agama dan kebudayaan Melayu seperti marhaban, berzanji, rebana, qasidah dan sebagainya. Jika usaha ini tidak dimulakan maka tidak mustahil jika suatu hari nanti ilmu-ilmu ini akan pupus ditelan zaman. Selain daripada itu para Imam juga perlu mahir dalam ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti ilmu pentadbiran, teknologi, teknologi maklumat dan sebagainya. Mereka harus boleh memberikan sedikit pandangan mengikut perspektif Islam berkenaan perkembangan semasa supaya masyarakat tidak terus keliru dengan isu-isu semasa yang sentiasa berkembang.



Penggerak Kegiatan Masyarakat

          Imam-Imam mestilah dapat menjadi penggerak dan pemangkin bagi segala kegiatan masyarakat setempat. Baik atau buruk sesuatu masyarakat banyak bergantung kepada sejauh mana para imam berperanan. Mereka mempunyai peluang sekurang-kurangnya setengah jam seminggu untuk berucap dimana kesemua ahli kariah wajib mendengarnya. Dalam hal ini Malik bin Nabi pernah menyebut, `keajaiban berlaku dalam dunia Islam dimana khatib dan makmum berpakat dalam suatu perkara. Khatib tahu khutbahnya tidak begitu bermanfaat untuk makmum dan makmum tahu khutbah itu tidak begitu bermanfaat baginya. Tapi Khatib bersetuju untuk terus berkhutbah dan makmum bersetuju untuk terus mendengar’. Inilah sindiran yang amat tajam yang mana jika kita mengambil iktibar akan dapat merubah keadaan masyarakat kita hari ini. Khatib mestilah membuat persedian rapi sebelum meniki mimbar pada hari Jumaat. Isi khutbah hendaklah dipastikan sentiasa sesuai dengan keadaan semasa dan menyentuh segenap lapisan masyarakat secara umum dan tidak ditujukan khusus kepada pihak tertentu sahaja. Ini akan menyakinkan jemaah tentang keikhlasan dan kejujuran Khatib dalam menyampaikan dakwah mereka melalui mimbar yang mulia itu.

AZAN DAN IQAMAH, HUKUM SERTA PERLAKSANAANNYA

Takrif

Azan dari segi Bahasa (اِعْلاَمٌ) iaitu pemberitahuan sesuatu samada waktu solat atau lainnya. Firman Allah dalam Surah At-Taubah Ayat 3 :

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ

 “Dan inilah perisytiharaan dari Allah dan Rasulnya kepada manusia”


Azan dari Segi Syarak

ذِكْرٌ مَخْصُوْصٌ يُعْلَمُ بِهِ وَقْتَ الصَّلاَةِ

iaitu Ucapan khusus yang diketahui dengannya waktu-waktu solat yang difardhukan.


Manakala Iqamah dari segi Bahasa – Mendirikan. Dinamakan Iqamah kerana didirikan sembahyang dengannnya.

 Dalil Azan Dan Iqamah

1. Firman Allah dalam Surah Al-Jumaah Ayat 9 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ(9)

 Wahai orang yang beriman apabila diserukan (Azan) untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat maka segerakanlahkamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjualbeli, yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.

2. Hadis Nabi :

حَدِيثُ مَالِكِ بْنِ الْحُوَيْرِثِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : أَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ شَبَبَةٌ مُتَقَارِبُونَ فَأَقَمْنَا عِنْدَهُ عِشْرِينَ لَيْلَةً وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَحِيمًا رَقِيقًا فَظَنَّ أَنَّا قَدِ اشْتَقْنَا أَهْلَنَا فَسَأَلَنَا عَنْ مَنْ تَرَكْنَا مِنْ أَهْلِنَا فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ فَأَقِيمُوا فِيهِمْ وَعَلِّمُوهُمْ وَمُرُوهُمْ فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ *

 “Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairis r.a katanya: Kami datang menemui Rasulullah s.a.w, pada waktu itu kami masih sama-sama muda dan usia kami tidak banyak perbezaanya. Kami tinggal bersama baginda selama dua puluh malam. Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemurah dan lembut sekali. Baginda menyangkakan bahawa aku sedang berselisih paham dengan keluargaku sehingga baginda bertanya kepadaku keadaan keluarga yang aku tinggalkan. Maka aku menceritakan kepada baginda mengenai keluargaku. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah kepada keluargamu dan tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan perintahkanlah mereka apabila tiba waktu sembahyang. Hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua dari kalangan kamu menjadi imam”
 
3. Hadis Abu Daud dengan isnad Sahih daripada Abdullah Bin Zaid Bin Abdullah bahawa ia berkata ketika Nabi menyuruh memukul (ناقُوْنَ) bagi menghimpunkan manusia untuk solat. Tiba-tiba aku tertidur lalu bermimpi bahawa seorang membawa Naqus dan mengelilingiku maka aku berkata : Wahai Tuan hamba, kamu menjual naqus itukah. Maka jawabnya dengan pertanyaan : Apa kamu mahu buat dengan Naqus ini. Maka kataku: Aku akan memanggil manusia untuk solat dengannya. Lalu katanya : Mari aku tunjukkan kamu yang lebih baik dari ini. Maka kataku : Tunjukkanlah. Maka kata orang itu : Katakanlah الله اكبر Hingga akhir kalimah Azan. Maka dia berundur ke belakang dan berkata : Apabila nak mendirikan Sembahyang maka katakanlah : الله اكبر hingga akhir kalimah Iqamah. Maka apabila pagi aku datang kepada Rasulullah dan menceritakan mimpiku lalu Nabi bersabda :

اِنَّهَا رُؤْيَا حَقّ اِنْ شَاءَاللهُ ُقمْ مَعَ بِلاَلٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ فَاِنَّهُ أَنْدَى مِنْكَ صَوْتًا

Bahawasanya ia mimpi yang benar In Sya Allah. Maka berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkanlah apa yang engkau dapati dari mimpi itu. Sesungguhnya dia lebih nyaring suaranya daripadamu.

       Maka segeralah aku mengajarkannya maka Azanlah Bilal dengannya lalu didengari oleh Umar Al-Khattab maka Umar mendapatkan Nabi lalu berkata : Wahai Rasulullah, Demi tuhan yang menyuruhkan tuan hamba dengan sebenarnya , sesungguhnya aku telah melihat dalam mimpiku seperti yang dilihat oleh Abdullah Bin Zaid itu. Maka Sabda Rasulullah S.A.W. : Bagi Allah segala pujian.



Peringatan

            Timbul persoalan adakah Sabit Azan dan Iqamah melalui mimpi sedangkan Hukum Syarak hanya sabit dengan wahyu.

            Sebenarnya pensyariatan keduanya bukan disandarkan kepada mimpi tetapi sebenarnya telah muafaqah keduanya dengan wahyu yang turun kepada nabi kerana diriwayatkan oleh Abu Daud dan Lainnya bahawa Nabi S.A.W bersabda ia kepada Umar mengenai mimpi Umar itu dengan sabdanya:

( سَبَقَكَ بِهَا اْلوَحْيُ) iaitu telah mendahului engkau oleh wahyu maka sabit keduanya dengan wahyu bukan dengan mimpi.

Juga riwayat اَلْبَرَّازِيْ bahawa nabi diperlihatkan dengan Azam pada malam Mikraj di atas tujuh petala langit dan mendahulukan akan dia oleh Jibril menjadi Imam sembahyang maka mengikutinya oleh segala isi langit dan disertai oleh Nabi Adam dan Nabi Nuh dan Allah menyempurnakan kemuliaannya atas segala isi langit dan bumi.



Waktu-Waktu Disunatkan Azan

1. Diazankan di telinga manusia dan binatang yang jahat.

2. Diazankan di telinga orang yang dirasuk dan orang yang sangat marah.

3. Diazankan ketika kebakaran.

4. Diazankan ketika nak berperang.

5. Diazankan ketika nak bermusafir.

6. Diazankan bagi menolak kejahatan jin.

 
Hukum Azan Dan Iqamah


1. Yang Asalnya Sunat Kifayah Azan bagi sesebuah jemaah iaitu berhasil pahala dengan dibuat oleh sebahagiannya. Sunat Ain Azan bagi setiap individu.

2. Sunat Azan dan Iqamah bagi Solat Fardhu 5 waktu dan tidak disunatkan malahan makruh bagi Solat Nazar, Solat Jenazah dan Solat-Solat Sunat lain walaupun disunatkan berjemaah.

3. Disunatkan Iqamah bagi Solat Fardhu secara mutlak samada tunai atau qada’, jamak atau tamam, lelaki, perempuan atau khunsa, seorang atau ramai.

4. Disunatkan Azan pada lelaki sahaja walaupun kanak-kanak, bersendirian atau berjemaah dan mendengar azan orang lain..

5. Tidak disunatkan Azan bagi perempuan secara mutlak samada seorang atau berjemaah, nyaring atau perlahan.

6. Jika Azan perempuan dengan perlahan bagi dirinya atau jemaah perempuan maka harus hukumnya dan tidak makruh. Ia dianggap sebagai Zikrullah. Jika Azan perempuan dengan nyaring tanpa kehadiran lelaki ajnabi maka makruh hukumnya. Jika ada lelaki ajnabi maka haram kerana ditakuti fitnah.

7. Hukum Khunsa sama seperti perempuan.

8. Bagi Solat Qada’ beberapa waktu secara berturut-turut maka disunatkan Azan bagi solat pertama sahaja. Bagi solat seterusnya hanya disunatkan Iqamah. Jika Solat Qada’ bercerai-cerai dan panjang masa ceraian mengikut adat maka disunatkan azan pada setiap waktu.

9. Jika Solat Jamak Ta’khir Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak maka disunatkan Azan bagi solat pertama sahaja samada empunya waktu atau tidak.

10. Jika Jamak Taqdim maka sunat azan bagi solat pertama samada empunya waktu atau bukan kecuali jika masuk waktu kedua sebelum mengerjakan solat pertama maka sunat azan pada solat kedua kerana hilang ikutan(tabaiah).

11. Jika Solat Qada’ dan Solat Tunai berturut-turut maka sunat Azan bagi solat pertama sahaja samada dimulai dengan Tunai atau Qada’ kecuali jika dimulai dengan Qada’ dan selepas selesai qada’ maka masuk waktu Solat Tunai maka sunat azan bagi waktu tunai .

12. Sunat menyaringkan suara setinggi mungkin semasa Azan walaupun bersendirian kecuali jika berada di tempat seumpama masjid yang telah didirikan jemaah.

13. Memadai Iqamah bagi yang bersendirian bahawa memperdengarkan untuk dirinya sahaja.

14. Sunat diucapkan ( الصَّلاَةُ جَامِعَةُ) bagi solat yang dituntut berjemaah seperti sunat 2 hari raya, sunat gerhana, sunat mintak hujan dan terawikh tapi tidak solat jenazah dan solat nazar.

15. Memadai dikatakan (الصلاة الصلاة) atau (هلموا الى الصلاة) atau (الصلاة رحمكم الله) tetapi (الصلاة جامعة) lebih afdal .



Kalimah Azan Dan Iqamah
 
1. Semua kalimah Azan diucapkan 2x kecuali Takbir permulaan iaitu sebanyak 4x dan kalimah tauhid akhir sekali sahaja.

2. Jumlah keseluruhan kalimah Azan adalah 19 kalimah termasuk Tarji’ dan 15 kalimah tanpa Tarji’.

3. Semua kalimah Iqamah sekali sahaja kecuali Takbir awal dan akhir dan kalimah ( قد قا مت الصلاة ) iaitu 2x.

4. Jumlah keseluruhan kalimah Iqamah adalah sebanyak 11 kalimah.


 
Syarat Azan Dan Iqamah
 
1. Masuk Waktu

• Tidak sah dan tidak harus sebelum masuk waktu kecuali waktu Suboh.

• Harus Azan sebelum masuk waktu Suboh selepas ½ malam. Hikmahnya kerana ketika fajar ramai orang berjunub maka sempat bersedia.

• Tiada harus Iqamah sebelum masuk waktu.

• Waktu Iqamah bagi yang solat sendiri ialah ketika hendak mula solat dan bagi jemaah ialah setelah mendapat keizinan imam walaupun dengan isyarat.

• Sunat 2 orang azan dalam satu qaryah iaitu seorang sebelum fajar (terafdhal pada waktu sahur) dan seorang selepas fajar supaya dapat dibezakan. Sabda Nabi S.A.W :

حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا : عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِنَّ بِلاَلاً يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى تَسْمَعُوا تَأْذِينَ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ

 “Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila Bilal memperdengarkan azan pada malam hari, makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan yang akan diperdengarkan oleh Ibnu Ummi Maktum “



2. Tertib Semua Kalimahnya – Tidak sah tertinggal walaupun terlupa.

3. Muwalat (Berturut-turut)

4. Seorang Muazzin – Tak sah 2 orang walaupun sama suara.

5. Menggunakan Bahasa Arab jika ada yang tahu Bahasa Arab.

6. Didengari oleh jemaah walaupun seorang jika kerana solat jemaah.

7. Diperlahankan untuk didengari sendiri jika solat bersendirian kerana ketika itu menjadi zikir. Sunat suara Iqamah kurang nyaring daripada Azan.

8. Tiada ‘Sorif’ yang memaling dari niat asal iaitu memberitahu. Contohnya seperti niat mengajar orang yang mendengar.

9. Muazzin seorang Islam dan Mumaiyiz – Menjadi Islam orang kafir dengan ucapan syahadahnya maka mesti diulangi kerana awal azannya masih dalam kafir. Jika murtad ketika Azan maka terbatal azannya walaupun singkat tempoh murtadnya

10. Muazzin seorang lelaki walaupun kanak-kanak jika bagi jemaah lelaki. Sah Azan perempuan dan khunsa bagi jemaah perempuan.


 Sunat-Sunat Azan
 
1. Mengatakan kalimah Azan Dan Iqamah dengan segera tanpa menyaringkan suara.

2. Mengucapkan kalimah Azan dengan tartil kerana Azan bagi segala yang ghaib dan iqamah bagi yang hadir.

3. Sunat dihimpunkan 2 takbir pada bang dengan satu nafas dan dimatikan ra’ pertama dan saktah. Jika tak dimatikan maka yang utama dibariskan hadapan. Dikatakan baris atas iaitu dipindahkan baris alif ( الله) kepada Ra’ ( اكبر ). Lafaz-lafaz lain sunat dibaca senafas.

4. Disunatkan tarji’ iaitu menyebut 2 kalimah syahadah 2x dengan perlahan kira-kira didengar oleh orang yang hampir sebelum menyebutnya dengan nyaring.

5. Sunat Taswib ( تثويب ) pada 2 bang subuh tunai atau qada’ iaitu (الصلاة خير من النوم) 2x selepas ( حيعلتين ). Makruh pada waktu lain.

6. Sunat berdiri ketika melafazkan Azan dan Iqamah. Sabda Rasul

حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَانَ الْمُسْلِمُونَ حِينَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلَوَاتِ وَلَيْسَ يُنَادِي بِهَا أَحَدٌ فَتَكَلَّمُوا يَوْمًا فِي ذَلِكَ فَقَالَ بَعْضُهُمِ اتَّخِذُوا نَاقُوسًا مِثْلَ نَاقُوسِ النَّصَارَى وَقَالَ بَعْضُهُمْ قَرْنًا مِثْلَ قَرْنِ الْيَهُودِ فَقَالَ عُمَرُ أَوَلاَ تَبْعَثُونَ رَجُلاَ يُنَادِي بِالصَّلاَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا بِلاَلُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلاَةِ *

“Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Ketika orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkatakan tentang waktu sembahyang. Tiada seorang pun yang menyeru kepadanya. Semasa mereka berbincang tentang perkara tersebut, sebahagian daripada mereka berkata: Bunyikanlah loceng sebagaimana loceng orang Nasrani. Manakala sebahagian lagi berkata: Bunyikanlah trompet seperti trompet orang Yahudi. Kemudian Umar berkata: Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang agar menyerukan sembahyang؟ Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal! Bangunlah dan serukan untuk sembahyang



7. Disunatkan Azan pada tempat tinggi dan tak disunatkan pada Iqamah kecuali dikehendaki dengannya kerana kebesaran masjid.

8. Sunat meletak 2 telunjuk kepada 2 lubang telinga ketika Azan dan Iqamah kerana Bilal melakukan demikian di depan nabi. Jika sakit satu tangan maka cukup dengan sebelah tangan. Jika sakit telunjuk maka diganti dengan jari lain.

9. Disunatkan mengadap kiblat.

10. Sunat berpaling sekali ke kanan ketika mengucap ( حي على الصلاة ) 2x pada Azan dan sekali pada Iqamah. Sunat berpaling ke kiri ketika mengucap ( حي على الفلاح ) seperti di atas.

11. Jangan berpaling dada dan mengubah 2 kaki.

12. Tiada Berpaling pada yang lain kerana yang lain itu ( ذكر الله ) dan ( حيعلتين ) itu ( خطاب ) kepada manusia seperti salam dalam solat.

13. Sunat Muazzin seorang yang adil kerana amanah menjaga waktu.

14. Sunat Muazzin seorang yang nyaring suaranya kerana nabi menyuruh Abdullah Bin Zaid mengajar Bilal kerana suaranya yang nyaring.

15. Sunat Muazzin seorang yang baik suaranya kerana lebih berkesan.


16. Sunat yang mendengar Azan menjawab Azan walaupun dalam keadaan berjunub atau haid.

17. Sunat orang yang bang pada malam yang hujan atau ribut kuat atau sangat gelap mengucapkan ( الا صلوا في رحالكم ) atau dan ( الا صلوا في بيوتكم ) selepas ( حي على الصلاة) dan dijawab dengan ( لاحول ولاقوة الا بالله العلي العظيم )

18. Sunat berhenti membaca Al-Quran atau zikir atau doa dan sebagainya bagi menjawab azan.

19. Makruh menjawab azan atau Iqamah bagi orang sedang solat atau jimak atau qadha hajat dan sunat menjawab selepas selesai.

20. Bila azan beberapa orang dengan tertib maka sunat menjawab semuanya walaupun selepas selesai solat. Menjawab azan pertama lebih dituntut kecuali 2 azan subuh dan 2 azan Jumaat maka sama sahaja kedua-duanya.

21. Jika mendengar sebahagian kalimah azan maka sunat juga menjawab yang tak didengar.

22. Sunat menjawab Tarji’ walaupun tak didengar.

23. Sunat orang yang azan dan yang mendengar azan membaca doa.

24. Sunat berdoa antara bang dan Iqamah kerana sangat mustajab.

25. Makruh orang yang azan dan yang lain keluar dari tempat jemaah selepas azan dan sebelum solat kecuali uzur.

26. Sunat melewatkan solat sekadar memberi peluang orang berhimpun selepas azan kecuali maghrib kerana singkat waktu.

27. Makruh azan dan Iqamat oleh orang fasiq, kanak-kanak dan orang buta

28. Sunat melewatkan solat sekadar memberi peluang orang berhimpun selepas azan kecuali maghrib kerana singkat waktu.

29. Makruh ( تمطيط ) dan ( تغني ) iaitu melanjut-lanjut dan melagu-lagu jika tidak berubah makna tetapi haram jika mengubah makna.

30. Suci Muazzin dalam keadaan suci dari najis dan hadas tetapi sah jika tiada wudhuk.

31. Tersangat makruh Azan jika junub dan iqamah dalam keadaan junub lebih-lebih lagi makruh.
 
المراجعات :

1. سير السالكين اوليه الشيخ عبد الصمد الفلمباني.

2. الوجيز في فقه مذهب الامام الشافعي, اوليه حجة الامام محمد بن محمد ابي حامد الغزالي

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...