Saturday, May 23, 2009

Sikap Prejudis Terhadap Institusi Agama

Kezaliman Pihak Berkuasa Agama
Disiarkan pada May 22, 2009 dalam kategori
Komen & Pendapat
Dr MAZA: Email dan aduan seperti ini sudah banyak kali saya terima dari berbagai pihak. Ini adalah tindakan yang zalim ke atas pasangan yang sudah berkahwin secara halal. Jika pun pihak berkuasa agama tidak puas hati, mereka boleh didenda dengan wang atau minta mereka hadir kursus mudah. Kursus itu bukan rukun nikah. Jika pun ia boleh memberi manfaat, banyak kursus yang tidak berfungsi dengan baik dan lebih berbentuk bisnes. Seseorang boleh dikecualikan dari kursus berkenaan jika ada keperluan.
— On Fri, 5/22/09, xxxx xxxxxx (xxxxxxxxxxxxxxxx@yahoo.com) wrote:
From: xxxx xxxxxx (xxxxxxxxxxxxxxxxx@yahoo.com)Subject: Ingin bertanyaTo: moasriza@yahoo.comDate: Friday, May 22, 2009, 8:44 AM
Assalamualaikum Dr,
dulu Dr Asri adalah mufti negeri perlis. di sini saya ingin bertanya tentang perkahwinan.
saya mempunyai seorang sepupu yang telah berkahwin. sebelum ini dia adalah seorang janda. Di hari perkahwinan dia semasa akad nikah dia tidak mempunyai sijil kursus perkahwinan dan terus di nikahi oleh imam. kebetulan imam itu adalah bapanya sendiri.
Masalahnya sekarang selepas berkahwin dia mendapat cahaya mata. Sekarang ni anaknya dah dua orang. tapi dia tidak boleh mendaftar anak sebabnya mereka tidak di beri sijil nikah. alasannya ialah kerana mereka berdua tidak mempunyai sijil kursus sebelum berkahwin.anak sulungnya hanya di beri surat sementara dan anak kedua belum dapat lagi di daftarkan.Persoalannya sekarang ni apa yang wajib di dalam perkahwinan? Kursus ataupun akad nikah dan adanya wali. bukannya kawin lari.Apa yang pentingnya kursus perkahwinan? adakah ia boleh membawa kebahagian sehingga akhir hayat. apa yang telah saya ketahui kursus ini hanyalah menguntungkan setengah pihak sahaja. ada setengah yang pergi kursus hanya sempat berkahwin hanya seminggu sahaja. apa yang di pelajari di dalam kursus.Saya harap dato’ dr asri dapat memberi pendapat dan pandangan.xxxxxx

Pandangan Dr Asri ini sememangnya mudah dijangkakan. Apa sahaja kritikan org terhadap institusi agama, maka pasti dialah orang pertama yang akan terkinja-kinja membelasah sama. Latihan sambil belajar sebagai mufti tidak pernah menambahkan pemahamannya terhadap tugas-tugas pegawai agama. Beberapa perkara yang perlu direnungkan :
a. Beliau memastikan ketepatan kisah yang diemailkan oleh sepupu janda yang terlibat itu. Sebagai pegawai agama saya yakin 100% bahawa kisah ini tidak begitu tepat dengan yang diceritakan.
b. Masalah janda tu tak dapat daftar anak, bukan masalah takde sijil nikah. Kenapa tak dikatakan zalim kepada Jabatan Pendaftaran yang tak nak mendaftarkan anak itu.
c. Kenapa hanya Jabatan agama sahaja yang kena langgar prosedur sendiri untuk puaskan hati orang macam Dr Asri ni. Kenapa Jabatan Pendaftaran tak dimintak melonggarkan prosedur kerja mereka.
d. Dr Asri kata banyak kursus yang tidak berfungsi dengan baik dan lebih berbentuk bisnes. Berapa banyak Jabatan Mufti dia dulu buat kursus yang berfungsi dengan baik dan tak dikenakan bayaran (kursus agama tak boleh bentuk bisnes, bidaah agaknya).
e. Dr. Asri faham ke kebiadapan imam (bapa janda tu) yang sepatutnya faham prosedur dan undang-undang jabatan agama tetapi sengaja menikahkan anaknya tanpa mengikut prosedur. Takde mana-mana Qadi yang kata tak sah. Kalau dah boleh nikah sendiri, cetak le surat nikah sendiri.
Kepada semua umat Islam, ingin saya nasihatkan bahawa Institusi Agama ini mewakili Syiar Islam yang tidak kurang pentingnya berbanding Syariat Islam. Setiap Umat Islam bertanggungjawab memeliharanya dan jangan sekali-kali bersekongkol dengan musuh Allah dalam menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadapnya. Lebih baik kita merujuk kepada yang terlibat agar boleh diselesaikan apa sahaja masalah yang timbul berbanding menunjukkan penghinaan tanpa membantu menyelesaikan masalah.

Thursday, May 21, 2009

Anggota PKM - Antara Rakyat dan Penderhaka

Beberapa pihak membantah saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali semula negara ini. Teng dilaporkan berkata, bekas setiausa agung PKM itu yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Pemimpin Gerakan itu juga berkata, keganasan komunis yang melampau seperti pada-pada tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China dan Rusia telah mengalami transformasi serta kini sedang menuju ke arah perjuangan berasaskan ekonomi, lapor Bernama. Chin Peng, 85, yang dilahirkan di Sitiawan, Perak dikatakan masih mempunyai saudara mara di Malaysia. Permohonan beliau menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu. Ketika membantah cadangan tersebut, Bernama memetik Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee sebagai berkata kekejaman PKM di bawah pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan. Selain negara menjadi huru-hara, katanya, ramai isteri yang menjadi balu, anak kecil menjadi yatim manakala ibu kehilangan anak kerana perbuatan kejam dilakukan oleh komunis pimpinan Chin Peng.

Desakan tidak munasabah

"Oleh itu tidak timbul soal perikemanusiaan berhubung isu Chin Peng kerana kekejaman dan keganasannya tetap menjadi sejarah hitam kepada rakyat negara ini," tegas beliau. Syed Ali juga berkata adalah janggal apabila Gerakan membuat desakan yang tidak munasabah berhubung perkara tersebut. Manakala Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abu Zahar Ujang turut menolak sebarang usaha untuk membawa pulang bekas pemimpin PKM itu. Beliau berkata walaupun kerajaan kini mengamalkan sikap terbuka dan bertimbang rasa serta dasar yang agak liberal, namun cadangan sebegitu hendaklah diteliti serta dikaji implikasi yang bakal timbul. "Bagi saya yang juga sebagai bekas polis, kita jangan lupa kepada sejarah negara di mana beliau telah mengorbankan ribuan pejuang kita di atas nama komunisme dan mempunyai niat jahat untuk menumbangkan kerajaan," katanya. Timbalan Presiden Majlis Muafakat Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun berkata Pewaris menolak dengan lantang permintaan tersebut kerana ia seolah-olah melupakan peristiwa pahit yang pernah dilakar ketika penentangan komunis di negara ini. "Kita amat tidak bersetuju dengan permintaan itu dan kita tidak mahu luka lama berdarah kembali. Ketika penentangan komunis dulu ramai anggota pasukan keselamatan kita yang terkorban," katanya.
Isu berkenaan PKM adalah suatu isu yang menimbulkan sensitiviti yang amat hebat di kalangan rakyat negara ini. Komunis dianggap sebagai musuh no 1 negara walaupun mereka juga mempunyai sedikit sumbangan untuk negara. Mudah difahami sensitiviti ini jika ianya melibatkan anggota pasukan keselamatan yang berperang dengan mereka ataupun waris-waris mereka yang pernah menjadi mangsa keganasan mereka. Namun bagiku ianya tak ubah sebagaimana kebencian yang diwujudkan oleh US kepada dunia terhadap tentera German yang menentang tentera mereka melalui siri Combat. Penduduk dunia begitu memandang serong terhadap German termasuk Umat Islam walaupun ada sedikit sumbangan spritual oleh Adolf Hitler dengan mengganyang bangsa Yahudi.
Apa yang menghairankan adalah kerana mereka yang boleh berfikir dan tiada kaitan dengan keganasan mereka, ada sebahagiannya yang melatah dan bertindak lebih sudu dari kuah dalam mengecam mereka. Dalam isu ini beberapa perkara harus direnungkan iaitu :
a. Bukankah mereka itu warga negara asal yang bertindak mengangkat senjata atas nama kebencian terhadap penjajah.
b. Apakah kejahatan mereka begitu melampau berbanding dengan kejahatan penjajah British dan Jepun.
c. Apakah tidak ada pintu taubat kepada mereka sedangkan setiap manuasia wajar mendapat peluang kedua dalam hidup ini.
d. Kenapa kita boleh memaafkan begitu ramai penjenayah yang tidak kurang ganas dan kejamnya, yang ditangkap, didakwa dan dihukum penjara tanpa lucut hak kerakyatan, kemudiannya dibebaskan begitu sahaja .
e. Jika mereka terlalu bahaya kenapa kerajaan hanya sekadar membuat "gencatan senjata" tanpa meneruskan usaha menghapuskan mereka.

Pakatan Rakyat Perak Anjur Puasa Sunat, Mogok Lapar Sehari Isnin Depan

Pakatan Rakyat Perak akan melancarkan puasa sunat dan mogok lapar Isnin depan sebagai langkah rohaniah agar doa rakyat Perak supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dalam masa terdekat dimakbulkan.

Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata keputusan puasa sunat dan mogok lapar itu dibuat pada mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat Perak semalam.

"Saya menyeru umat Islam seluruh negeri Perak supaya bersama-sama berpuasa sunat pada hari Isnin depan dan bagi rakyat bukan Islam pula melancarkan mogok lapar selama sehari.

"Tujuannya adalah bagi mendoakan agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan secepat mungkin dan langkah ini diambil bersama-sama rakyat seluruh negeri Perak," kata beliau.

Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka melancarkan usaha rohaniah tersebut di Ipoh pada pukul 10.00 pagi bersama-sama Speaker V. Sivakumar.

Tuesday, May 12, 2009

Rakyat Menanggung Biawak Hidup

DYMM Sultan Perak tidak mempunyai kuasa memecat Menteri Besar atau menitahkan Menteri Besar meletak jawatan. Tindakan DS Nizar memohon perkenan pembubaran DUN pada 4 Februari 2009 tidak bererti Menteri Besar itu mengakui atau mengesahkan bahawa dia telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli DUN Perak. Ketika permohonan perkenan bagi pembubaran DUN dikemukakan oleh DS Nizar, kedudukan belahan sokongan dalam DUN Perak ialah 28 PR dan 28 BN, manakala kerusi ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah diisytiharkan kosong oleh Speaker pada 30 Januari dan 3 Februari.6. DYMM Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status 'hilang sokongan majoriti' kepada Menteri Besar. Kuasa memutuskannya adalah hanya pada DUN, di dalam persidangan DUN, melalui usul undi tidak percaya (vote of no confidence). Berdasarkan prinsip demokrasi dan sistem raja berperlembagaan, DYMM Sultan sepatutnya hendaklah memperkenankan permohonan pembubaran DUN yang dikemukakan oleh DS Nizar. Oleh kerana DS Nizar tidak meletak jawatan, DYMM Sultan tidak berkuasa memecat atau menitahkan perletakan jawatan MB dan DYMM Sultan tidak berkuasa menyiasat untuk menentukan status kehilangan sokongan majoriti bagi seorang Menteri Besar, maka perlantikan DS Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan batal. Selepas membaca kertas alasan penghakiman yang panjang lebar itu, Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim mengumumkan keputusan membenarkan semua tuntutan yang dikemukakan oleh DS Nizar kepada mahkamah. Oleh itu Dato' Seri Ir. Hj. Mohamammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Perlantikan DS Zambry sebagai Menteri Besar adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Semua langkah, tindakan dan keputusan DS Zambry atas kapasiti Menteri Besar Perak sejak 6 Februari 2009 sehingga hari ini adalah tidak sah, haram dan batal.

Mungkin alasan penghakiman seperti ini mengejutkan banyak pihak. Mana mungkin DYMM Sultan Perak yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara akan bertindak tanpa asas perundangan yang kukuh. Namun realitinya Baginda pastinya mendapat nasihat dan panduan daripada pihak yang dipercayainya. Atas dasar kepercayaan ini mungkin menyebabkan Baginda mengambil keputusan mengikut nasihat mereka. Walaupun Istana berada di atas politik, namun penasihat ini ada sebahagiannya bernaung dan berpaut diranting politik. Maka tindakan mereka telah mencemarkan kemuliaan Istana sehingga menghilangkan penghormatan rakyat dan dunia seluruhnya. Maka sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa mementingkan integriti dan kredibiliti apakah wajar disimpan lagi pengkhianat rakyat seperti ini.



Semua kenyataan dan perakuan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato' Ahmad Kamal Md Shahid dalam affidavitnya tidak diterima oleh mahkamah kerana pasukan peguam DS Nizar berjaya membuktikan Dato' LA itu tiada wibawa dan nyata berpihak (tiada credibility dan impartiality).




Semua pandangan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail dalam celahannya sepanjang perbicaraan kes ini diputuskan sebagai tidak menepati tafsiran sebenar bagi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak pada mana-mana artikel yang dirujuk.




Monday, May 11, 2009

Kemenangan Buat Rakyat Perak

Mendung hitam yang berarak semenjak petang semalam hanya melimpahkan hujannya selepas pengumuman kemenangan YAB IR Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada petang ini. Ianya seolah-olah mengumpul tenaga untuk membasuh segala kekotoran yang di tinggalkan oleh Barisan Nasional di negeri tercinta ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana sepanjang 3 bulan menunjukkan kuasa aku tidak pernah diizinkan Allah memanggil Dr. Zamri sebagai MB melainkan disandarkan dengan MB Haram. Gambar YAB IR Mohd Nizar Jamaluddin masih terlekat kukuh di pejabat.

Sokongan Moral Umat Islam Diperlukan

Satu Perbicaraan Kes Muhammad Ridzuan Abdullah atau Pathmanathan a/l Krishnan dan Indira Ghandi berkaitan isu penjagaan tiga orang anak mereka yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari KHAMIS bersamaan pada tarikh 14hb Mei 2009.

Muhammad Ridzuan akan diwakili oleh peguam muda yang mewakili Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA). Sehubungan dengan itu semua Umat Islam samada mewakili agensi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan dijemput hadir bagi memberikan sokongan moral serta menggambarkan perpaduan, kesungguhan dan kekuatan kita dalam memperjuang dan mempertahankan aqidah Umat.

Saturday, May 09, 2009

Penjelasan Sidang DUN Perak



Bersama Mempertahan Aqidah Umat

Merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan Abdullah atau Pathmanathan a/l Krishnan dan Indira Ghandi dalam isu penjagaan tiga orang anak mereka yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari Selasa bersamaan 5hb Mei 2009, Penulis ingin memberi beberapa pandangan yang mungkin mampu membawa pulangan yang lumayan kepada Islam itu sendiri. Secara peribadi, apabila penulis yang hadir melihat suasana dan berbual dengan barisan peguam muda yang mewakili Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) banyak sekali yang masyarakat Islam perlu tahu realiti yang sebenarnya. TUG OF WAR (tarik tali) kini berlaku sekali lagi di antara pasangan suami isteri apabila salah seorangnya memeluk Islam. Tug of War yang berlaku, tentu sekali melibatkan perebutan hak jagaan anak dan hak untuk menentukan status agama anak-anak mereka yang terlibat.

Yang menjadikan isu ini semakin “panas” dan celaru ialah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz, menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada suami isteri berkenaan memeluk Islam, maka anak tersebut hendaklah dibesarkan mengikut agama lazim / asal (common religion) pada waktu perkahwinan berkenaan.
Alasan yang menyebabkan keputusan ini dibuat, boleh difahami melalui kenyataan beliau seterusnya apabila beliau menyatakan bahawa “agama sepatutnya tidak dijadikan alat untuk pasangan terbabit melarikan diri daripada tanggung jawab kekeluargaan. Pemelukan ke dalam agama lain bukanlah suatu alasan untuk membubarkan sesuatu pernikahan secara automatik” (Religion should not be used as a tool to escape marriage responsibilities. Conversion is not grounds for automatic dissolution of a marriage – The Star).
Saya difahamkan bahawa keputusan ini dibuat kerana berlaku satu lagi kes yang sama melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi di Perak. Mohd Ridzuan atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, asalnya beragama Hindu, tetapi kemudiannya memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anak-anaknya iaitu Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, kepada agama Islam pada 12 April 2009 dan telah memohon hak penjagaan anak tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh sedangkan isterinya (Indra Gandhi) masih lagi beragama Hindu. Adalah difahamkan pihak isterinya telah memohon bantuan campur tangan kabinet sehingga menyebabkan Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz mengeluarkan kenyataan tersebut.
Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara ini dalam Perkara 12 dengan tajuk “Hak berkenaan dengan pendidikan”, memperuntukkan antara lain:-
(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.
Maka kita dapat memahami bahawa agama seorang kanak-kanak yang berusia di bawah 18 tahun hendaklah ditentukan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya iaitu salah seorang daripada mereka lantaran wujudnya perkataan “atau” yang memisahkan antara ketiga-tiga pihak yang disebut itu. Oleh itu, dalam kes ini, suami tersebut berhak untuk menukar agama anak-anaknya
Apabila kita melihat kepada Seksyen 95, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (terpakai hanya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan).
Dengan tajuk “Keupayaan masuk Islam” dinyatakan seperti berikut:-
“Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan-
(a) mencapai umur lapan belas tahun; atau
(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya”
Justeru itu, kita dapat memahami bahawa ia memperuntukkan, antara lain, bahawa kanak-kanak yang belum mencapai usia 18 tahun boleh memeluk Islam jika sekiranya mendapat restu daripada salah seorang, sama ada ibu, bapa atau penjaganya.
Malah dalam kes yang menjadi “landmark” dalam menentukan siapa yang berhak menentukan agama seseorang anak iaitu kes Subashini Rajasingam lawan Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 2-1 telah memutuskan bahawa bapa tersebut (Saravanan) mempunyai hak atau kuasa untuk menukarkan agama anaknya kepada Islam berdasarkan peruntukan Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam penghakiman oleh Yang Amat Arif Dato’ Bentara Istana Dato’ Nik Hashim bin Nik Ab. Rahman, Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam kes tersebut, beliau memutuskan bahawa salah seorang daripada suami atau isteri mempunyai hak untuk menukar agama anak mereka kepada Islam. Perkataan “parent” di dalam Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah bermaksud “single parent” (The word ‘parent’ in Article 12(4) of the FC, which states that the religion of a person under the age of 18 years shall be decided by his parent or guardian, means a single parent) Maksudnya, salah seorang daripada ibubapa tersebut berhak dan boleh menukarkan agama anaknya, tanpa perlu persetujuan kedua-dua ibubapa. Oleh itu, Artikel 12 (4) PP, tidak boleh dibaca sebagai memberikan hak memilih agama anak kepada kedua-dua ibubapa sebaliknya memadai salah seorang daripada mereka.
Jika kita mencari fatwa ulama’ pula, saya mendapati terdapat fatwa daripada “Lajnah Da’imah Lil Buhuth Al-‘Ilmiyyah wa Al-Ifta” (m/s 195) yang dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz, Sheikh Abdul Razzaq Afifi dan Sheikh Abdullah Bin Ghadyan, yang memutuskan bahawa seorang wanita yang telah memeluk Islam lebih berhak terhadap hadhanah (hak jagaan) anak beliau berbanding suaminya yang beragama Kristian, selagi mana wanita itu kekal sebagai Islam dan suaminya berterusan sebagai Kristian. Dan anak tersebut dihukum sebagai beragama Islam kerana mengikut agama ibunya. Ini disebabkan seorang yang bukan Islam (kafir) tidak boleh menguasai orang Islam berdasarkan dalil Al-Quran, Surah Al-Nisaa’, ayat 141:-

وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَـٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلاً
Maksudnya; “dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman”
Namun begitu, mungkin golongan bukan Islam akan bertanya, apakah Islam suatu agama yang langsung tidak memberi peluang kepada mereka untuk menjaga dan seterusnya mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka?
Sebenarnya, di kalangan fuqaha Islam, golongan ulama mazhab Shafie dan Hanbali yang mensyaratkan hadhanah diberikan kepada ibubapa / penjaga yang beragama Islam, manakala ulama mazhab Hanafi dan Maliki membenarkan hadhanah diberikan kepada ibu atau bapa yang bukan beragama Islam tanpa mengira mereka ahlil kitab atau tidak.
Dalil yang dipegang oleh ulama’ yang membenarkan hadhanah kepada golongan bukan Islam ialah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan lain-lain (lihat Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Dar Al-Fikr, Juzuk 7, m/s 727) , berkenaan seorang kanak-kanak yang disuruh memilih antara bapanya yang muslim atau ibunya yang musyrik, sedangkan dia cenderung kepada ibunya yang musyrik. Maka berdoalah Nabi SAW agar Allah SWT memberi petunjuk kepadanya, lalu hati kanak-kanak itu berubah dan memilih bapanya yang muslim. Tetapi hadith ini ditolak oleh Sheikh Dr Wahbah Az-Zuhaili dengan mengatakan bahawa ianya mansukh (dibatalkan) berdasarkan doa Nabi SAW tersebut.
Berdasarkan alasan-alasan tersebut, saya percaya bahawa pentas terbaik untuk menyelesaikan kekusutan ini ialah mahkamah syariah dan biarlah mahkamah syariah yang akan menyiasat dan membicarakan isu hadhanah ini untuk kemaslahatan anak tersebut. Perbicaraan di mahkamah syariah tidaklah bermakna bahawa pintu hadhanah “terkunci mati” kepada ibu atau bapa yang bukan beragama Islam kerana masih terdapat banyak pandangan fuqaha yang masih memberi ruang kepada mereka, kerana isu utamanya ialah kemaslahatan anak dan bukannya kemaslahatan ayah atau ibu!
Sebenarnya, alangkah hebatnya sokongan padu yang diterima oleh Indira Ghandi daripada keluarga, sahabat handai yang berlainan bangsa termasuk dua orang tokoh politik Democratic Action Party (DAP) iaitu Yang Berhormat Kulasegaran (juga sebagai peguam Indira Ghandi) dan Sivanesan yang begitu komited dari awal pagi sehingga petang berada bersama-sama mengikuti perjalanan kes. Dalam hal ini semua pihak menyokong keputusan yang menetapkan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Dalam perbezaan aliran politik, parti politik DAP, Malaysia Chinese Association (MCA), Malaysian Indian Congress (MIC), dan GERAKAN dan mungkin banyak lagi nampaknya bersama bersepakat dalam isu ini. Nampaknya tidak timbul musuh politik di kalangan mereka. Malah ada beberapa pemimpin utama dari parti berkenaan yang telah pun membuat kenyataan akhbar. Disinilah penulis ingin membangkitkan persoalan penting yang menyangkut isu perpaduan umat.
Pertama, alangkah baiknya sekiranya semua pihak sama ada badan bukan kerajaan atau NGO Islam yang ada turun padang memberi sokongan moral kepada barisan Peguam muda PEMBELA yang mencurah keringat tanpa bayaran yang tinggi. Meraka khabarnya menggunakan kekuatan kewangan sendiri yang agak terhad. Malah yang lebih penting sekali adalah kehadiran tokoh-tokoh politik setempat yang beragama Islam seperti dari United Malays National Organizatian (UMNO), Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk turun sama membawa panji-panji agama Islam itu sendiri. Tunjukkan kita tidak ada kompromi dalam mempertahankan Islam. Inilah masa yang sangat baik untuk mengangkat kekuatan Islam dan mewujudkan kebersamaan yang tidak berbelah bahagi untuk Islam. Tiada siapa pun yang rugi yang pasti Islam akan mendapat untung. Perbezaan dari sudut pendekatan ideologi dan pengaruh politik parti yang terasnya Melayu dan Islam sepatutnya tidak menghalang untuk bersama dalam hal yang bersangkut dalam hal agama Islam itu sendiri.
Kedua, untuk maklumat semua pihak, barisan peguam muda PEMBELA ini sedikit rasa kecewa yang bukan sahaja dalam hal kuantiti kehadiran sokongan yang kurang, tetapi semacam masyarakat Islam tidak ambil peduli dengan isu yang sensitif dengan agama Islam itu sendiri. Untuk maklumat semua pihak, isu ini hangat dimainkan oleh akhbar arus perdana masyarakat Cina dan India. Dengan itu penulis mewakili Agkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Perak ingin menyeru agar semua pihak ambil peduli dan tunjukkan sokongan yang kuat untuk kes yang disambung pada hari KHAMIS bersamaan pada tarikh 14hb Mei 2009. Sebagai seorang mukmin kita yakin dengan ketentuan ilahi dan apa yang berlaku sebenarnya tersembunyi hikmah yang besar, yang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya.

Daripada :
SUHAIMI BIN LATIP,
YANG DIPERTUA,
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) CAW. PERAK.

Khamis 8 hb Mei 2009
bersamaan 12 Jamadil Awwal 1430 H

Thursday, May 07, 2009

Persidangan Ala Cowboy


Polis angkat Speaker yang sah keluar dewan Lebih kurang jam 2.41 petang, sekumpulan orang yang berjaket hitam dipercayai anggota polis memeluk dan mengangkat keluar Speaker dari kerusinya dan mengheret keluar dari dewan. Dalam masa yang sama ADUN PR pula cuba mengheret Spekaer Haram keluar dari dewan. Suasana semakin parah dan kecoh. Speaker dilarikan polis. Tindakan nekad dan jahat terus digunakan oleh BN. Speaker bukan sahaja diangkat keluar dewan bahkan dilarikan entah ke mana. Ganesan pula terus ambil alih tugas Speaker dengan kawalan beberapa orang berjaket hitam yang tidak dikenali dengan berlagak samseng. Speaker Haram halau Adun Teja dan Simpang Pulai. Sebaik mengambil alih tugas haramnya, Speaker haram BN terus menghalau Adun Teja dan Simpang Pulai keluar dewan, tetapi tidak diendahkan. Bentara terus menjalankan tugas cuba mengheret mereka keluar.


Walaupun aku sudah meramalkan BN akan melakukan apa sahaja untuk merampas jawatan speaker namun tidaklah sampai menggunakan kaedah samseng yang amat memalukan. Sedangkan jawatan MB sendiripun sanggup dirampas secara tidak bermaruah, maka apa sangatlah kekangannya nak merampas jawatan speaker. Namun kaedah pencolekan secara terang-terangan seperti ini tak mungkin sanggup di lakukan oleh mana-mana kerajaan yang bermaruah. Kalau ini berlaku di Papua New Guiney atau Swaziland mungkin tidaklah begitu memeranjatkan.

Rekod Tangkapan Terbesar

PDRM sememangnya menjadi kebanggaan negara. Mungkin tidak akan ada mana-mana negara yang mampu menandingi mereka dalam membuat tangkapan. Hebatnya Malaysia, khususnya Perak tanah airku kerana sejarah mungkin tercatat hari ini. Suluruh rakyat boleh berbangga kerana kita pasukan keselamatan kita amat hebat dalam membuat tangkapan. Semua lapisan masyarakat mampu ditangkap samada rakyat marhaen hinggalah ke ahli-ahli Parlimen. Berbagai sebab boleh dilakukan bagi mendapatkan anugerah sebagai penjenayah samada bermula dengan menentang kemasukan pasukan bola Israel, tidak menghadiri kursus OLKN dan kini hanya kerana perihatin terhadap perkembangan Sidang Dewan Undangan Negeri. Berbanggalah kita kerana rakyat kita sudah menjadi serba boleh dan serba tak kisah. Ahli Parlimen kita bersikap terlalu humble sehingga jika tak mampu bermalam di hotel maka lokap juga boleh dijadikan tempat bermalam. Mungkin suatu hari di negara ini status sudah tidak lagi menjadi pertimbangan rakyat. Penjenayah tidak semestinya anggap sampah malah boleh angkat menjadi pemerintah. Label bekas penjenayah perlu dikaji dan diperhalusi kerana ianya terbahagi kepada 2; satu golongan penjenayah tidak bermaruah dan satu lagi penjenayah wira negara.

Tuesday, May 05, 2009

Peranan Institusi Imam

Amatlah menyedihkan apabila membaca berita seorang imam di Bukit Damansara dipecat setelah menyampaikan khutbah Jumaat yang menyeru kepada "pemerintahan adil, telus dan cara yang betul" pada Februari lalu. Ini menggambarkan bahawa Umat Islam tidak lagi mengganggap imam sebagai pemimpin masyarakat dan imam dianggap sebagai petugas yang boleh dikerah sesuka hati. Apakah ini merupakan satu penghinaan kepada pewaris kenabian yang sepatutnya ditaati dan dimuliakan oleh masyarakat.
Imam hakikatnya adalah jawatan yang amat penting di dalam sesebuah masyarakat Islam. Imam adalah mewarisi peranan yang dimainkan oleh Rasullullah S.A.W. sepanjang hidup baginda. Imam memainkan peranan yang cukup penting bukan sahaja dalam sembahyang malah berperanan penting dalam pembentukan masyarakat yang bertaqwa dan berdaya maju. Di antara beberapa peranan penting Imam dalam masyarakat adalah seperti berikut :

Simbol Penyatuan Umat
Imam dianggap sebagai simbol penyatuan umat melalui ibadat solat berjemaah. Solat berjemaah adalah simbol bagi kesatuan umat dan simbol ketaatan umat kepada pemimpin. Melalui solat berjemaah setiap umat Islam mengenepikan segala bentuk perbezaan yang ada dan tunduk kepada seorang pemimpin iaitu Imam. Konsep ini jika diguna pakai dalam segenap aspek kehidupan masyarakat sudah tentu akan dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Melalui solat berjemaah juga mengajar umat Islam tentang adab terhadap kepimpinan seperti adab menegur kesilapan pemimpin, adab menerima teguran dan adab menukar kepimpinan. Maka adalah amat pelik bagi AJK masjid yang sentiasa taat menjadi makmum kepada imam, setelah habis sembahyangnya terus memecat imam daripada jawatannya.

Penyelamat Umat
Secara umumnya imam bolehlah dianggap sebagai penyelamat umat daripada menanggung dosa kerana meninggalkan Fardhu Kifayah. Hukum solat berjemaah bagi sesebuah kariah adalah fardhu kifayah. Ini bermakna jika sekiranya tidak ada dilaksanakan solat berjemaah maka keseluruhan ahli kariah akan menanggung dosa. Pada masa ini banyak terdapat masjid yang gagal menghimpun ahli kariah untuk menunaikan solat secara berjemaah terutamanya bagi waktu Zohor, Asar dan Subuh. Sesetengah masjid hanya terdapat Imam dan Bilal sahaja yang datang berjemaah di masjid. Agak sukar untuk kita menyalahkan sesiapa memandangkan senario masa kini dimana tuntutan hidup yang semakin mencabar telah menyebabkan masyarakat semakin asyik dengan urusan seharian tanpa mempedulikan tuntutan Fardhu Kifayah ini. Ketika inilah Imam memainkan peranan yang cukup besar bagi menyelamatkan masyarakat daripada menanggung dosa.

Pemimpin Masyarakat Setempat
Imam tidak hanya sebagai pemimpin dalam solat berjemaah semata-mata, malah kepimpinan ini hendaklah merata dalam keseluruhan urusan hidup seharian. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peranan imam-imam dalam urusan kenduri-kendara, kematian dan sebagainya. Dalam hal ini imam-imam hendaklah menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Personaliti setiap Imam juga haruslah sentiasa dijaga agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Imam-imam hendaklah sentiasa kelihatan hebat pada setiap waktu dan ketika. Firman Allah S.W.T:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَةِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ( الأنبياء : 73)

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ ) السجدة :24)
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يُنصَرُونَ ( 41 ) وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُمْ مِنْ الْمَقْبُوحِينَ (42) (القصاص : 41-42
Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

Sumber Rujukan Masyarakat
Imam-Imam juga mestilah menyediakan diri dengan ilmu yang mencukupi. Mereka bukan sahaja perlu mahir dalam ilmu-ilmu Fardhu Ain sahaja malah mestilah menguasai kemahiran lain seperti ilmu Psikologi, Kaunseling dan sebagainya. Biasanya imam menjadi pusat pengajian Al-Quran bagi anak-anak di kampung.
Imam-Imam juga boleh mengambil peluang menjadi Guru Ta’mir yang mengajar di masjid-masjid dan memberikan perkhidmatan khidmat nasihat agama di masjid. Selain daripada itu para imam juga boleh membuka kelas pengajian berkaitan agama dan kebudayaan Melayu seperti marhaban, berzanji, rebana, qasidah dan sebagainya. Jika usaha ini tidak dimulakan maka tidak mustahil jika suatu hari nanti ilmu-ilmu ini akan pupus ditelan zaman. Selain daripada itu para Imam juga perlu mahir dalam ilmu yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti ilmu pentadbiran, teknologi, teknologi maklumat dan sebagainya. Mereka harus boleh memberikan sedikit pandangan mengikut perspektif Islam berkenaan perkembangan semasa supaya masyarakat tidak terus keliru dengan isu-isu semasa yang sentiasa berkembang.

Penggerak Kegiatan Masyarakat
Imam-Imam mestilah dapat menjadi penggerak dan pemangkin bagi segala kegiatan masyarakat setempat. Baik atau buruk sesuatu masyarakat banyak bergantung kepada sejauh mana para imam berperanan. Mereka mempunyai peluang sekurang-kurangnya setengah jam seminggu untuk berucap dimana kesemua ahli kariah wajib mendengarnya. Dalam hal ini Malik bin Nabi pernah menyebut, `keajaiban berlaku dalam dunia Islam dimana khatib dan makmum berpakat dalam suatu perkara. Khatib tahu khutbahnya tidak begitu bermanfaat untuk makmum dan makmum tahu khutbah itu tidak begitu bermanfaat baginya. Tapi Khatib bersetuju untuk terus berkhutbah dan makmum bersetuju untuk terus mendengar’. Inilah sindiran yang amat tajam yang mana jika kita mengambil iktibar akan dapat merubah keadaan masyarakat kita hari ini. Khatib mestilah membuat persedian rapi sebelum meniki mimbar pada hari Jumaat. Isi khutbah hendaklah dipastikan sentiasa sesuai dengan keadaan semasa dan menyentuh segenap lapisan masyarakat secara umum dan tidak ditujukan khusus kepada pihak tertentu sahaja. Ini akan menyakinkan jemaah tentang keikhlasan dan kejujuran Khatib dalam menyampaikan dakwah mereka melalui mimbar yang mulia itu.
Maka sebagai sebuah masyarakat yang mengaku beriman sewajarnya kita lebih beradab dengan para imam yang bukan sahaja memimpin kita di dunia malah memimpin kita menuju ke akhirat. Sedikit kekurangan dan kesilapan imam bukanlah menjadi lesen untuk kita bertindak biadab terhadap pewaris tugas kenabian ini.

Friday, May 01, 2009

Ini Bukan Sahaja Haram Tapi Haram Jadah



Entah kenapa bila orang Cina baca Quran untuk menasihati orang Islam yang tidak mahu mengamalkan Islam kita rasa begitu tercabar. Begitu ramai yang melenting termasuk mufti-mufti, kerana kononnya beliau menghina Quran. Bukan sedikit yang mendesak tindakan undang-undang diambil ke atasnya. Namun penghinaan yang keterlaluan seperti di atas seolah-olah tidak begitu besar dirasakan. Suatu ketika dulu ada budak Cina menghina Negaraku dulupun hanya riuh seketika. Walaupun penjenayah telah dikesan namun kemaafan yang dihulurkan. Kesalahan yang hampir sama diulangi namun rakyat seolah bosan untuk membincangkannya. Maka kita tunggu dan lihat di mana pejuang Melayu yang sering menyalak selama ini. Di mana mufti-mufti seluruh negara apakah akan mendiamkan diri sesunyi ketika mana jom heboh begitu hangat diperkatakan oleh mereka yang cintakan agama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...