Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Thursday, October 31, 2013

Hudud bukan alternatif, tapi penyelesaian mutlak.



Tatkala Brunei mengisytiharkan pelaksanaan Undang-Undang Islam sepenuhnya maka timbulnya pelbagai maklumbalas dari pelbagai pihak. Pujian dan kejian silih berganti. Pelbagai ulasan dinukilkan, antaranya pernyataan kebimbangan terhadap penerimaan masyarakat, keberkesanannya dalam membendung jenayah dan maksiat hinggalah yang mempertikaikan kesesuaiannya.  Walaupun ianya terdedah kepada kajian dan perbahasan mengenai kaedah pelaksanaannya, namun tidaklah memberikan hak kepada manusia untuk mempertikaikan hak Allah mewajibkan Syariatnya kepada manusia sejagat. Malangnya inilah yang terjadi pada sebahagian manusia yang sentiasa berusaha mencari alasan agar tidak melaksanakannya. Ianya ibarat mengatakan ; “Jangan berani-berani membaca Al-Quran kerana jika tersalah maka akan dilaknat oleh Al-Quran itu sendiri nanti”. Antara komen-komen negatif yang banyak ditimbulkan oleh berbagai pihak termasuk cendiakawan yang mengaku mempertahankan kesucian Undang-undang Allah ini adalah seperti berikut:

Ini bukan Hududullah kerana Hududullah bukan sekadar perundangan negara tetapi ianya adalah batas sempadan manusia dari melanggar tata-susila agama dan sosial.
Sebenarnya ramai yang membaca Al-Quran namun gagal memahami Al-Quran mengikut kehendak Allah. Mereka gagal membezakan istilah Hududullah dengan Hukum Hudud. Hukum Hudud disebutkan oleh Allah secara jelas hukumannya di dalam Al-Quran atau dinyatakan oleh Rasulullah saw melalui hadisnya. Hukuman yang disebutkan ini ini tidak boleh dipinda oleh pemerintah dan perbincangan hanyalah mengenai kaedah perlaksanannya. Allah menggunakan kalimah Hududullah dalam Al-Quran bukan merujuk kepada Hukum Hudud tetapi merujuk kepada beberapa hukum lain antaranya mengenai hukum hakam perceraian,  hukum zihar dan hukum pewarisan. Di antara ayat-ayat Allah yang menggunakan istilah Hududullah adalah seperti berikut :
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (البقرة :229(
فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يَتَرَاجَعَا إِنْ ظَنَّا أَنْ يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (البقرة :230)
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا (الطلاق:1)
Setelah menceritakan salah satu hukum pewarisan Allah menyambung :
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (النساء: 13)
Begitu juga setelah menceritakan hukum zihar Allah menyambung :
فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ (المجادلة :4)

Antaranya juga mereka mengatakan bahawa Hukum Hudud telah mengalami banyak inovasi,  berbagai versi dan terbuka kepada ijtihad 
Bagi yang memahami mengenai konsep Hukum Jenayah Islam yang merangkumi Hukum Qisas, Hudud dan Takzir maka tidak perlulah diperpanjangkan mengenai isu ini. Ijtihad, inovasi atau kepelbagaian versi hanyalah dari sudut yang tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasul secara jelas, bukan segala-galanya. Tidak pernah berlaku perubahan kepada hukumannya kerana jika diubah maka ianya bukanlah lagi dinamakan Hukum Hudud. 100 sebatan tidak akan lagi dinamakan Hukum Hudud samada jika dijadikan 99 ataupun 101 sebatan.  Perlu dibezakan antara Hukum Hudud yang sebenar dengan hukum manusia yang didakwa sebagai hukum Hudud sebagaimana hukuman denda, penjara dan sebatan bagi kesalahan zina di negara ini.
 Ulamak telah menerangkan mengenai sebatan 80 kali yang dilaksanakan di zaman Khalifah Umar berbeza dengan 40 sebatan yang dilaksanakan oleh Rasululllah saw sendiri. Hakikatnya Saidina Umar sendiripun menyatakan tambahan 40 sebatan itu adalah sebagai Takzir, bukan Hudud.
Bagaimana melaksanakannya maka terpulang kepada pemerintah asal sahaja hukumannya mengikut ketentuan Allah. Tak perlulah dikeluarkan ungkapan-ungkapan bodoh seperti mempertikaikan perbezaan seksyen antara Enakmen Jenayah Islam Kelantan dan Terengganu dan sebagainya.

Ada juga yang mengatakan bahawa Hudud adalah wasail sesungguhnya. Dan maqasid adalah lebih utama. 
Samada ianya dianggap wasail atau maqasid yang pastinya ia adalah perintah Allah sama seperti perintah solat dan puasa. Ianya wajib dilaksanakan semampu mungkin dan bukan untuk dielakkan sehabis mungkin. Perintah Allah dalam Hukum Hudud adalah Muhkamat dan tidak meletakkan sebagai syarat dan pengecualian seperti perintah haji yang dikaitkan dengan kemampuan. Ianya tidak sebagaimana keharusan poligami yang dikait dengan kebimbangan tidak mampu berlaku adil kerana tidak disebutkan oleh Allah,  laksanakanlah Hukum Hudud apa yang baik bagi kamu, jika kamu takut disalah faham oleh manusia maka berpadalah dengan hukum manusia dan tinggalkanlah Hukum Hudud. Dalam mendepani perintah Allah maka tidak ada relevennya persoalan wasail atau matlamat sama sekali. Solat adalah wasail dan Maqasidnya mencegah perkara keji dan mungkar. Puasa juga adalah wasail dan Maqasidnya menjadikan manusia insan yang bertaqwa. Maka apakah tak perlu solat jika kita memang tidak pernah terlibat dengan perkara keji dan mungkar. Apakah tidak perlu lagi berpuasa jika sudah menjadi insan bertaqwa.
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ (العنكبوت:45)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (البقرة:183)

Dikatakan juga apabila dengan menjalankan hudud tidak membawa kepada maqasid lebih baik ia ditangguhkan seperti yang pernah dilakukan umar. 
Saidina Umar sering menjadi sasaran fitnah mereka yang membenci Syariat Allah. Kebijaksanaannya yang luar biasa sering disalahgunakan bagi menghalang hukum Allah dari dilaksanakan. Hakikatnya baginda tidak pernah menangguhkan hudud tapi tidak menghukum pesalah kerana ada syubhat. Bagaimana nak menghukum pencuri yang mencuri demi sesuap nasi akibat kemarau dan kebuluran yang meliputi seluruh negara. Namun jika si kaya yang di kelilingi makanan mencuri pasti akan dikerat tangan nya walaupun zaman kemarau  atau tidak.
Sebahagian kita pula membandingkan Hudud  dengan kadar rasuah di negara Islam bagi tujuan memperkecilkan Hukum Hudud.
Apakah rasionalnya perbandingan ini sedangkan kesalahan rasuah tidakpun melibatkan Hukum Hudud. Apa munasabahnya menyalahkan hudud dengan peningkatan rasuah.  Hudud bukan satu-satunya Hukum Allah. Ia datang bersama takzir dan qisas. Jika dirasakan rasuah lebih besar kesannya daripada kesalahan hudud maka takzirkanlah. Pilihlah pandangan yg membolehkan hukuman takzir lebih berat daripada hudud. Pasti negara yang melaksanakan Hukum Hudud akan menjadi negara yang paling aman dan paling selamat daripada rasuah.

Ada juga yang mengaitkan isu Hudud dengan masalah kemiskinan.  Apa guna hudud dikuatkuasakan jika kemiskinan melarat.  Negara yang aman dan kuat maka sesuailah hudud dilaksanakan, kerana hudud seharusnya memberi penyelsaian alternatif dan bukan pembebanan keatas rakyat. 
Penguatkuasaan Hudud adalah perintah Allah tidak kira kemiskinan melarat ataupun kemewahan melimpah ruah. Kalau majoriti rakyat kaya raya sekalipun tapi sentiasa hidup dalam ketakutan disamun, dirompak, dibunuh, difitnah dan sebagainya maka apakah ertinya kemewahan bagi mereka. Apakah bagi pemerintah yang rakyatnya masih ramai yang miskin maka segala hukuman jenayah tidak perlu dikuatkuasakan. Berikan sahaja kebebasan bagi rakyat untuk mencuri, merompak, membunuh dan sebagainya. Negara hanya akan aman dengan pelaksanaan Hukum Allah. Hudud bukan penyelesaian alternatif apatah lagi beban kepada rakyat tapi satu-satunya penyelesaian mutlak dan rahmat bagi rakyat.

Monday, January 30, 2012

Kecintaan Kepada Rasul Junjungan

          Kita sedang berada dalam suasana sambutan Maulidur Rasul SAW. Di mana-mana Umat Islam sedang meraikan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan berbagai kaedah sambutan. Kelahiran ini amat wajar diraikan kerana ianya bukan sahaja membawa kebaikan kepada Umat Islam malah menjadi rahmat kepada seluruh alam.

          Nabi Muhammad SAW telah melaksanakan tugas penyebaran Syariat Allah dengan menyerahkan seluruh jiwa raganya. Tidak ada manusia yang mampu menyaingi pengorbanan baginda dalam menyelamatkan manusia seluruhnya daripada kemurkaan Allah. Risalah dakwah baginda telah disambung dengan pengorbanan yang seumpamanya oleh para sahabat.

         Usaha dakwah memerlukan pendakwah-pendakwah yang sanggup mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk Islam.  Alangkah indahnya jika para pendakwah pada hari ini dapat mengorbankan seluruh jiwa dan raganya kepada perjuangan menyebarkan dakwah Islam. 

        Imam As-Syahid, Hassan Al-Banna merupakan satu contoh yang begitu sukar untuk dicari ganti. Diriwayatkan bahawa satu hari ketika anaknya sakit kuat, beliau terpaksa meninggalkan keluarganya untuk menjalankan tugas dakwah. Ketika isterinya memujuknya untuk membatalkan hasratnya untuk keluar beliau dengan tegas mengungkapkan : "Saya tau anak kita sedang sakit kuat. Walaubagaimanapun saya terpaksa keluar menjalankan tanggungjawab dakwah ini. Jika sekiranya ajal anak kita telah sampai, maka datuknya tahu jalan untuk membawanya ke kubur".

Begitulah tegasnya seorang pejuang apabila berhadapan dengan persimpangan antara kepentingan Islam dan keluarga. Beliau telah membuktikan keyakinan dan ketaayannya pada perintah Allah sebagaimana yang difirmankan dalam surah Al-Munafiqun ayat 9 :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ 


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu biarkan harta benda kamu dan anak pinak kamu menghalangi kamu dari mengingati Allah. Dan barangsiapa yang melakukan sedemikian, maka sesungguhnya mereka tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.

   
         Berikut adalah satu cerpen yang amat menyentuh hatiku tatkala pertama kali membacanya. Alangkah indahnya hidup ini jika segala keputusan dibuat berasaskan kepada taqwa dan kayu ukurnya hanyalah mencari keredhaan Allah swt. Mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan kepada penulisnya walau siapapun dia dan di mana sahaja dia berada.  

 AWAK SUDIKAH JADI ISTERI KEDUA SAYA

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin. Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fatimah mula sebak.
“Tak. Maksud saya – ”.  “Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.
 “Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini. Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.  Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.  “Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

            Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.  Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.  Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

        Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri, sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.  Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

          Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.  “Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.  “Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.  “Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.  Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
 “Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.  “Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.  “Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.  Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.  Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
 “Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah. “Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.  “Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.  “Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.  “Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.  Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
 “Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.  Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.  “Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.  “Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.  “Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
 “Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.  Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang. 
“Perjuangan,” jawab Fikri.


قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...