Thursday, October 31, 2013

Hudud bukan alternatif, tapi penyelesaian mutlak.



Tatkala Brunei mengisytiharkan pelaksanaan Undang-Undang Islam sepenuhnya maka timbulnya pelbagai maklumbalas dari pelbagai pihak. Pujian dan kejian silih berganti. Pelbagai ulasan dinukilkan, antaranya pernyataan kebimbangan terhadap penerimaan masyarakat, keberkesanannya dalam membendung jenayah dan maksiat hinggalah yang mempertikaikan kesesuaiannya.  Walaupun ianya terdedah kepada kajian dan perbahasan mengenai kaedah pelaksanaannya, namun tidaklah memberikan hak kepada manusia untuk mempertikaikan hak Allah mewajibkan Syariatnya kepada manusia sejagat. Malangnya inilah yang terjadi pada sebahagian manusia yang sentiasa berusaha mencari alasan agar tidak melaksanakannya. Ianya ibarat mengatakan ; “Jangan berani-berani membaca Al-Quran kerana jika tersalah maka akan dilaknat oleh Al-Quran itu sendiri nanti”. Antara komen-komen negatif yang banyak ditimbulkan oleh berbagai pihak termasuk cendiakawan yang mengaku mempertahankan kesucian Undang-undang Allah ini adalah seperti berikut:

Ini bukan Hududullah kerana Hududullah bukan sekadar perundangan negara tetapi ianya adalah batas sempadan manusia dari melanggar tata-susila agama dan sosial.
Sebenarnya ramai yang membaca Al-Quran namun gagal memahami Al-Quran mengikut kehendak Allah. Mereka gagal membezakan istilah Hududullah dengan Hukum Hudud. Hukum Hudud disebutkan oleh Allah secara jelas hukumannya di dalam Al-Quran atau dinyatakan oleh Rasulullah saw melalui hadisnya. Hukuman yang disebutkan ini ini tidak boleh dipinda oleh pemerintah dan perbincangan hanyalah mengenai kaedah perlaksanannya. Allah menggunakan kalimah Hududullah dalam Al-Quran bukan merujuk kepada Hukum Hudud tetapi merujuk kepada beberapa hukum lain antaranya mengenai hukum hakam perceraian,  hukum zihar dan hukum pewarisan. Di antara ayat-ayat Allah yang menggunakan istilah Hududullah adalah seperti berikut :
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (البقرة :229(
فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يَتَرَاجَعَا إِنْ ظَنَّا أَنْ يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (البقرة :230)
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا (الطلاق:1)
Setelah menceritakan salah satu hukum pewarisan Allah menyambung :
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (النساء: 13)
Begitu juga setelah menceritakan hukum zihar Allah menyambung :
فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ (المجادلة :4)

Antaranya juga mereka mengatakan bahawa Hukum Hudud telah mengalami banyak inovasi,  berbagai versi dan terbuka kepada ijtihad 
Bagi yang memahami mengenai konsep Hukum Jenayah Islam yang merangkumi Hukum Qisas, Hudud dan Takzir maka tidak perlulah diperpanjangkan mengenai isu ini. Ijtihad, inovasi atau kepelbagaian versi hanyalah dari sudut yang tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasul secara jelas, bukan segala-galanya. Tidak pernah berlaku perubahan kepada hukumannya kerana jika diubah maka ianya bukanlah lagi dinamakan Hukum Hudud. 100 sebatan tidak akan lagi dinamakan Hukum Hudud samada jika dijadikan 99 ataupun 101 sebatan.  Perlu dibezakan antara Hukum Hudud yang sebenar dengan hukum manusia yang didakwa sebagai hukum Hudud sebagaimana hukuman denda, penjara dan sebatan bagi kesalahan zina di negara ini.
 Ulamak telah menerangkan mengenai sebatan 80 kali yang dilaksanakan di zaman Khalifah Umar berbeza dengan 40 sebatan yang dilaksanakan oleh Rasululllah saw sendiri. Hakikatnya Saidina Umar sendiripun menyatakan tambahan 40 sebatan itu adalah sebagai Takzir, bukan Hudud.
Bagaimana melaksanakannya maka terpulang kepada pemerintah asal sahaja hukumannya mengikut ketentuan Allah. Tak perlulah dikeluarkan ungkapan-ungkapan bodoh seperti mempertikaikan perbezaan seksyen antara Enakmen Jenayah Islam Kelantan dan Terengganu dan sebagainya.

Ada juga yang mengatakan bahawa Hudud adalah wasail sesungguhnya. Dan maqasid adalah lebih utama. 
Samada ianya dianggap wasail atau maqasid yang pastinya ia adalah perintah Allah sama seperti perintah solat dan puasa. Ianya wajib dilaksanakan semampu mungkin dan bukan untuk dielakkan sehabis mungkin. Perintah Allah dalam Hukum Hudud adalah Muhkamat dan tidak meletakkan sebagai syarat dan pengecualian seperti perintah haji yang dikaitkan dengan kemampuan. Ianya tidak sebagaimana keharusan poligami yang dikait dengan kebimbangan tidak mampu berlaku adil kerana tidak disebutkan oleh Allah,  laksanakanlah Hukum Hudud apa yang baik bagi kamu, jika kamu takut disalah faham oleh manusia maka berpadalah dengan hukum manusia dan tinggalkanlah Hukum Hudud. Dalam mendepani perintah Allah maka tidak ada relevennya persoalan wasail atau matlamat sama sekali. Solat adalah wasail dan Maqasidnya mencegah perkara keji dan mungkar. Puasa juga adalah wasail dan Maqasidnya menjadikan manusia insan yang bertaqwa. Maka apakah tak perlu solat jika kita memang tidak pernah terlibat dengan perkara keji dan mungkar. Apakah tidak perlu lagi berpuasa jika sudah menjadi insan bertaqwa.
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ (العنكبوت:45)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (البقرة:183)

Dikatakan juga apabila dengan menjalankan hudud tidak membawa kepada maqasid lebih baik ia ditangguhkan seperti yang pernah dilakukan umar. 
Saidina Umar sering menjadi sasaran fitnah mereka yang membenci Syariat Allah. Kebijaksanaannya yang luar biasa sering disalahgunakan bagi menghalang hukum Allah dari dilaksanakan. Hakikatnya baginda tidak pernah menangguhkan hudud tapi tidak menghukum pesalah kerana ada syubhat. Bagaimana nak menghukum pencuri yang mencuri demi sesuap nasi akibat kemarau dan kebuluran yang meliputi seluruh negara. Namun jika si kaya yang di kelilingi makanan mencuri pasti akan dikerat tangan nya walaupun zaman kemarau  atau tidak.
Sebahagian kita pula membandingkan Hudud  dengan kadar rasuah di negara Islam bagi tujuan memperkecilkan Hukum Hudud.
Apakah rasionalnya perbandingan ini sedangkan kesalahan rasuah tidakpun melibatkan Hukum Hudud. Apa munasabahnya menyalahkan hudud dengan peningkatan rasuah.  Hudud bukan satu-satunya Hukum Allah. Ia datang bersama takzir dan qisas. Jika dirasakan rasuah lebih besar kesannya daripada kesalahan hudud maka takzirkanlah. Pilihlah pandangan yg membolehkan hukuman takzir lebih berat daripada hudud. Pasti negara yang melaksanakan Hukum Hudud akan menjadi negara yang paling aman dan paling selamat daripada rasuah.

Ada juga yang mengaitkan isu Hudud dengan masalah kemiskinan.  Apa guna hudud dikuatkuasakan jika kemiskinan melarat.  Negara yang aman dan kuat maka sesuailah hudud dilaksanakan, kerana hudud seharusnya memberi penyelsaian alternatif dan bukan pembebanan keatas rakyat. 
Penguatkuasaan Hudud adalah perintah Allah tidak kira kemiskinan melarat ataupun kemewahan melimpah ruah. Kalau majoriti rakyat kaya raya sekalipun tapi sentiasa hidup dalam ketakutan disamun, dirompak, dibunuh, difitnah dan sebagainya maka apakah ertinya kemewahan bagi mereka. Apakah bagi pemerintah yang rakyatnya masih ramai yang miskin maka segala hukuman jenayah tidak perlu dikuatkuasakan. Berikan sahaja kebebasan bagi rakyat untuk mencuri, merompak, membunuh dan sebagainya. Negara hanya akan aman dengan pelaksanaan Hukum Allah. Hudud bukan penyelesaian alternatif apatah lagi beban kepada rakyat tapi satu-satunya penyelesaian mutlak dan rahmat bagi rakyat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...