Saturday, October 26, 2013

Khutbah ; Jihad Fi Sabilillah


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :

لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْءَانَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ اْلأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ(الحشر:21)
Jika sekiranya Quran ini diturunkan ke atas bukit nescaya kamu akan melihatnya tertunduk dan terpecah kerana takutkan Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berpikir.
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
          Bertaqwalah kita kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan berjihadlah kita pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Sesungguhnya hanya orang yang berjihad di jalan Allah sahajalah yang akan mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Hari ini rata-rata orang memperkatakan mengenai jihad fi sabilillah. Disebabkan berlaku sedikit kesilapan di kalangan segelintir Umat Islam dalam mentafsirkan pengertian jihad ini maka istilah tersebut menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Hal ini ditambah lagi oleh sikap segelintir kita yang suka memperkatakan sesuatu walaupun kita tidak sebenarnya mengetahui mengenai perkara tersebut. Ini menyebabkan masyarakat tambah keliru dan memandang serong terhadap jihad yang merupakan salah satu tuntutan agama yang cukup penting.
Sidang Jumaat Sekelian,
          Ada di antara kita yang beranggapan bahawa jihad hanyalah semata-mata berperang mempertahankan negara dengan menggunakan kekuatan senjata. Ada yang mengatakan bagi negara yang aman sentosa seperti kita maka jihad sudah tidak relevan lagi dengan suasana semasa. Ramai juga yang beranggapan hanya golongan tertentu sahaja yang perlu berjihad tanpa membabitkan diri mereka. Hasilnya maka lahirlah Umat Islam yang ada hari ini menjadi Umat Islam yang berpada dengan apa yang ada, berserah kepada takdir semata-mata dan menjadi mainan dunia hingga diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja. Inilah bahayanya jika jihad sudah tidak dihayati lagi ataupun dihayati dengan cara yang tidak menepati kehendak Allah.

Sidang Jumaat sekelian,
          Jihad dalam Islam adalah menggunakan segenap tenaga, pemikiran dan segala sumber yang ada pada kita dalam menentang musuh-musuh Allah. Yang dimaksudkan dengan Musuh-musuh Allah adalah segala yang menghalang kita daripada agama Allah dan menghalang kita daripada melaksanakan amanah sebagai hamba Allah. Musuh-musuh ini sebenarnya berkeliaran di sekeliling kita merangkumi golongan munafiqin, golongan murtaddin, golongan orientalis, Yahudi dan Nasrani termasuk juga iblis laknatullah dan hawa nafsu kita sendiri
Pihak Orientalis telah berjaya mengelirukan Umat Islam dengan mengatakan bahawa jihad hanya perlu dilaksanakan jika kita diserang. Jihad dikatakan hanya dibolehkan bagi mempertahankan diri dari dianiayai. Sebenarnya jika kita melihat peperangan di dalam Islam biasanya terjadi apabila berlaku 3 keadaan;-

Pertama adalah untuk mempertahankan diri dari serangan orang Kafir. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah Ayat 190 :
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Berjuanglah di jalan Allah terhadap orang yang memerangi kamu tetapi jangan melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.

 Kedua adalah bagi mempertahankan diri daripada kezaliman orang yang zalim. Allah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 75 :
وَمَا لَكُمْ لاَ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا
        Mengapa kamu semua tidak berjihad di jalan Allah sedangkan golongan yang lemah samada lelaki dan perempuan dan anak-anak, masing-masing berkata Ya tuhan kami keluarkanlah  kami dari negeri kami yang mana penduduknya melakukan kezaliman ini dan berilah kami pelindung dan penolong dari sisimu.

Ketiga adalah diwaktu mempertahankan kedaulatan agama dan kebebasan menjalankan perintah agama. Allah berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 39 :
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ
                Perangilah mereka hingga tiada lagi timbul fitnah dan supaya seluruh kehidupan adalah mengikut ketentuan Allah seluruhnya.

Sidang hadirin sekelian,
Imam Nawawi menyebutkan dalam Matan Al-Minhaj bahawa hukum jihad terbahagi kepada 2 :
Pertama : Fardhu Kifayah – Memerangi orang kafir yang berada di negeri mereka setelah disampaikan kepada mereka seruan Islam. Ini adalah tanggungjawab pemerintah bagi memastikan Islam berada di kedudukan yang tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.

Kedua : Fardhu Ain – Memerangi orang kafir menyerang negara Islam di mana ketika itu setiap individu wajib mempertahankan negaranya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam konteks negara kita yang aman permai ini, jihad juga perlu dilaksanakan bagi memastikan keamanan dan kesejahteraannya akan terus terjamin. Kita harus berjihad melawan hawa nafsu kita dari terus hanyut dibuai gelombang maksiat yang akan melemahkan generasi kita dan akhirnya negara akan tunduk kepada kuasa-kuasa asing. Amar Makruf Nahi Munkar adalah sebesar-besar jihad yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu yang mengaku sayangkan agamanya. Segala bentuk maksiat, jenayah dan kemunkaran jangan dibiarkan dan dipertahankan walau apa sekalipun alasannya. Janganlah kita membiarkan masyarakat kita terus terusan melupakan Allah, meninggalkan segala suruhannya dan melakukan pendurhakaan terhadapnya. Jika satu pihak mencegah, pihak yang lain pula menggalak maka pastinya kita tidak akan dapat melihat Umat Islam menjadi umat yang kuat dan menjadi pemimpin kepada alam seluruhnya. Generasi yang leka dengan keseronokan dan hiburan, tengelam dengan nafsu dan khayal dengan minuman yang memabukkan, pastinya tidak akan mampu menyahut tuntutan jihad ke arah mengislah dan memperbaiki masyarakat. Lebih jauh dari itu apakah generasi seperti ini yang akan kita harap untuk mempertahankan negara dan masyarakat jika musuh menyerang kita. 

Sidang Jumaat Sekelian,
Ingatlah kita kepada Sabda Rasulullah S.A.W :
 حَدِيثُ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ قَالَ أَوَّلُ مَنْ بَدَأَ بِالْخُطْبَةِ يَوْمَ الْعِيدِ قَبْلَ الصَّلاَةِ مَرْوَانُ فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ فَقَالَ الصَّلاَةُ قَبْلَ الْخُطْبَةِ فَقَالَ قَدْ تُرِكَ مَا هُنَالِكَ فَقَالَ أَبُو سَعِيدٍ أَمَّا هَذَا فَقَدْ قَضَى مَا عَلَيْهِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ  
      Sesiapa di antara kamu yang melihat kemunkaran maka cegahlah dengan tangan (kuasa) yang ada, jika kamu tak berkemampuan maka cegahlah dengan lidah, jika kamu tidak mampu maka cegahlah dengan hati, sesungguhnya itulah tanda selemah-lemah iman.

Sidang Jumaat sekelian,
          Dalam hadis ini jelas kepada kita bahawa mencegah kemunkaran adalah tanggungjawab kita bersama. Bagi yang mempunyai kuasa maka wajib baginya menggunakan kuasanya. Jika sekiranya seseorang itu tidak mempunyai kuasa maka hendaklah digunakan lidahnya untuk menegur dan menasihat. Jika sekiranya nasihatnya tidak dipedulikan maka seharusnya dia membenci kemunkaran tersebut di dalam hatinya.

Sidang Jumaat sekelian,
Perintah rasul ini hendaklah dilaksanakan dengan tertib. Tidak harus bagi yang mempunyai kuasa memilih untuk tidak menggunakan kuasanya dan hanya berpada dengan membuat teguran dan nasihat. Begitu juga bagi yang mampu menasihat maka berdosalah dia mendiamkan diri walaupun terselit kebencian di dalam hatinya. Bagi yang benar-benar tidak mampu menasihati maka pilihan terakhir yang ada hanyalah membenci perkara tersebut dan jangan sekali-kali terlibat samada secara langsung atau tidak langsung. Namun begitu golongan terakhir ini adalah merupakan golongan yang paling lemah imannya. Maka renungkanlah dimanakah letaknya iman mereka yang melakukan kemungkaran tersebut ataupun mereka yang mempertahankannya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...