Saturday, October 26, 2013

Khutbah ; Isra' Mikraj


اَلْحَمْدُ لله  الْقاَئِلِ :
سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ اْلمَسْجِدِ الْحَرَامِ إلَى الْمَسْجِدِ اْلأَقْصَاالَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا إنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
وبعد، فيا  عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
          Allah yang bersifat dengan segala sifat kebesaran dan keagungannya telah mencipta alam seisinya, sebahagiannya dapat kita saksikan sedangkan sebahagian besarnya lagi tidak dapat dikesan melalui pencaindera. Betapa hebatnya langit yang terhampar dengan jutaan bintang dan bulan menjadi penerang alam semesta. Kesemuanya itu adalah bukti kebesaran Allah. Maka bagi menyempurnakan bukti kebesaran dan keagungannya maka Allah telah memberi penghormatan kepada satu-satunya hamba yang paling dikasihinya, Muhammad SAW bagi melihat dan menghayati kebesarannya melalui peristiwa Isra' dan Mikraj. Peristiwa yang menjadi tanda kebesaran Allah ini termasuk dalam persoalan aqidah yang wajib diyakini kerana ianya sabit melalui nas Al-Quran dan Hadis Sahih. Al-Quran menceritakan mengenai Isra' iaitu perjalanan Nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa manakala Mikraj digambarkan melalui pengkisahan Nabi berada di Sidratul Muntaha. Huraian peristiwa Isra' dan Mikraj diperincikan oleh Rasulullah S.A.W melalui hadis dan sunnah baginda. Kebenaran ini perlu dijelaskan kerana masih ada lagi suara-suara yang masih mmpertikaikan kebenaran peristiwa yang amat besar ini. Mengingkari kebenaran peristiwa Isra' dan Mikraj akan menyebabkan seseorang itu murtad dan terkeluar dari Islam. Tidak perlu dan tidak sesuai untuk kita memperincikan segala peristiwa yang berlaku di dalam kisah Isra' dan Mikraj ini, tetapi penting untuk kita mengkaji beberapa perkara penting yang dapat diambil iktibar oleh Umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
          Isra' dan Mikraj berlaku ketika mana Rasulullah menerima dua kematian yang membabitkan pendokong kuat terhadap usaha dakwah baginda iaitu isteri baginda Saidatina Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib. Hikmah yang amat besar di sebalik kejadian tersebut adalah bagi membuktikan bahawa kemenangan Agama Allah ini bukan bergantung kepada pengaruh dan kedudukan seseorang yang menjadi benteng seperti Abu Talib dan tidak hanya bergantung  kepada kekuatan kewangan Saidatina Khadijah semata-mata. Umat Islam jangan   berpendirian bahawa kebenaran Islam tidak   mungkin dapat ditegakkan tanpa sokongan pengaruh mereka yang berkuasa dan mempunyai kewangan yang kukuh kerana tanpa keduanya Allah Maha Berkuasa  untuk memberikan kemenangan kepada sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakkal kepadanya. Akibat kematian kedua-dua tokoh tersebut maka tentangan        dan rintangan yang diterima oleh Rasulullah dan pengikutnya bertambah hebat dan   sampai ke kemuncaknya sehinggalah  Rasulullah mengalihkan dakwahnya  ke Taif. Namun  ternyata Bani Saqif yang menguasai Taif   lebih kuat menjadi penentang dan penolak dakwah Rasulullah. Malah Rasulullah dilontar dengan batu sehingga berdarah tumit kaki baginda yang mulia yang melayakkan penduduk Taif menerima laknat dan dihancurkan oleh Allah. Namun hati seorang insan yang mulia tidak pernah terfikir bagi membinasakan sesama manuasia walaupun baginda layak berbuat demikian namun doa baginda tetap tulus mengharapkan agar mereka atau keturunan mereka mendapat hidayah. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa walaupun penduduk Taif merupakan kerabat rapat di sebelah ibu kepada nabi tetapi hubungan kerabat dan pertalian darah semata-mata tidak menjamin bahawa mereka akan menyokong dan membantu usaha dakwah baginda. Kita hari ini juga tidak boleh bergantung kepada perjuangan yang semata-mata memperjuangkan bangsa dan keturunan tetapi hendaklah memurnikan perjuangan terhadap agama. Walaupun seseorang itu satu bangsa dengan kita tetapi kehidupannya sentiasa menentang Allah dan Rasulnya maka tidak sewajarnya kita menolongnya. Namun jika seseorang itu bukan puak kita, bukan sebangsa dengan kita tetapi kita mesti menyayanginya kerana dia seagama dengan kita. Begitulah sukarnya dakwah baginda untuk menyelamatkan kita daripada azab Allah yang amat pedih. Tugas dakwah Rasul terpaksa dibayar dengan titisan darah, kecaman dan ejekan, ancaman dan ugutan namun sedikitpun tidak melemahkan baginda dalam melaksanakan perintah Allah dan membawa rahmat ke seluruh alam. Firman Allah SAW :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ. الأنبياء 107
Dan tidak kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.


Sidang Jumaat sekelian,
          Perjalanan Isra' Mikraj sebenarnya bermula dengan perjalanan dari Masjidil Haram ke Baitul Maqdis yang berlaku terlebih dahulu, tidak secara langsung dari Masjidil Haram ke Sidratul Muntaha. Ini menunjukkan betapa mulianya kedudukan Baitul Maqdis sebagai pengikat hubungan di antara Nabi Muhammad dengan nabi-nabi sebelumnya dalam ikatan satu agama. Ini memberi isyarat bahawa perjuangan mempertahankan Baitul Maqdis dan membebaskan bumi Palestin mesti diteruskan sehingga ke titisan darah terakhir. Baitul Maqdis adalah milik Umat Islam dan Umat Islam mesti menguasainya walaupun rakyat Palestin sendiri sanggup memberikannya kepada Yahudi Israel Laknatullah. Jihad bagi merampas kembali Baitul Maqdis dari pengganas Yahudi lebih besar pahalanya daripada bersembahyang di dalamnya. Sokongan dan dokongan Amerika Syarikat sebagai bapa pengganas dunia, terhadap pengganas Israel tidak harus mematahkan semangat kita untuk terus menyokong perjuangan membebaskan Baitul Maqdis walau dengan apa cara sekalipun samada dengan bantuan kewangan, bantuan tenaga, bantuan senjata, doa dan sebagainya. Tidak perlulah kita sibuk bertelagah mengenai hukum pengebom berani mati yang membunuh seorang dua Bangsa Yahudi yang kononnya tidak berdosa tetapi mendokong tindakan pengganas Israel tetapi kita hanya menjadi pemerhati terhadap pembunuhan ribuan Umat Islam oleh pengganas Israel. Firman Allah :
فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ البقرة :194
Maka sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohannya terhadap kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.

Sidang Jumaat Sekelian,
          Pensyariatan solat 5 waktu adalah hikmah terpenting peristiwa Isra' dan Mikraj. Ianya diterima secara langsung oleh nabi tanpa perantaraan malaikat yang jelas menunjukkan betapa besarnya tuntutan solat di dalam Islam. Allah seolah-olah ingin menunjukkan kepada kita bahawa jika sekiranya Rasulullah SAW Mikraj ke langit dengan Roh dan Jasad kerana ianya sebagai satu mukjizat maka Umat Islam juga wajib Mikraj dengan roh dan hati sebanyak 5 kali sehari semalam. Pendakian dan Mikraj dengan roh ini hendaklah mencapai ketinggian yang mengatasi pengaruh hawa nafsu dan segala keinginan sehingga terbukti segala kebesaran, keagungan dan kebesaran Allah. Maka solat adalah satu kewajipan yang paling besar selama mana jasad dan roh masih ada pada seseorang manusia. Tidak wujud satu keadaanpun yang membolehkan seseorang muslim meninggalkan sembahyang walau apapun keadaan dan cabaran yang sedang dihadapinya. Meninggalkan sembahyang kerana menjaga sesuatu kepentingan di dunia bererti kita membesarkan makhluk daripada Allah.  Jika kepentingan peribadi, kepentingan keluarga, kepentingan masyarakat dan kepentingan Negara menyebabkan kita meninggalkan sembahyang maka bererti kita lebih membesarkan perkara tersebut daripada Allah dan itu adalah dosa yang amat besar di sisi Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita telah mendengar bagaimana nabi Muhammad s.a.w telah tercium bau harum Masyitah penyisir rambut kepada puteri Firaun sebagai anugerah Allah terhadap pengorbanan dan jihadnya dalam mempertahankan keimanannya kepada Allah. Jihad yang dilancarkan oleh Masyitah terhadap Firaun bukan sahaja telah mengorbankan dirinya sahaja malah suami dan anak-anaknya yang turut menjadi mangsa kezaliman Firaun dengan terhumbannnya mereka sekeluarga ke dalam periuk berisi air yang menggelegak. Jihad yang ditunjukkan oleh Masyitah terhadap Firaun yang mengaku sebagai tuhan mestilah diteruskan oleh Umat Islam pada hari ini dalam memastikan sebarang kezaliman dan penindasan yang semakin hebat dapat dihancurkan. Firaun dan sikap bongkaknya dalam melawan kehebatan Allah sentiasa ada di setiap zaman termasuk zaman kita ini sebagaimana nabi menyifatkan bahawa Abu Jahal merupakan Firaun pada zamannya. Segala keganasan dan penindasan yang dilakukan oleh Firaun sebenarnya terus diwarisi oleh sebahagian pemimpin dunia hari ini yang mengenepikan hari akhirat dan pembalasanNya dalam menilai segala tindakan.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...