Saturday, October 26, 2013

Khutbah ; Fungsi dan Peranan Ilmu Pengetahuan



اَلْحَمْدُ للهِ اْلقاَئِلِ :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Saudara Muslimin yang berbahagia,
       Ilmu menurut perspektif Islam terbahagi kepada ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Kedua–dua jenis ilmu ini adalah sama pentingnya menurut Islam. Walaubagaimanapun setiap jenis ilmu ini mempunyai peranan dan fungsi yang berlainan. Ilmu Fardhu Ain adalah ilmu yang wajib diketahui oleh setiap individu muslim bagi melayakkan kita menjadi muslim yang sempurna. Setiap ilmu yang mana tanpanya tidak akan sempurna sesuatu kewajipan maka ilmu itu adalah dikira Fardhu Ain. Sebagai contoh apa sahaja ilmu yang membabitkan sah atau tidaknya solat seseorang maka ilmu tersebut adalah ilmu Fardhu Ain. Bagi setiap muslim maka setiap kewajipan seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji adalah kewajipan-kewajipan yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu. Oleh yang demikian ilmu bagi memastikan segala ibadah tersebut menjadi sempurna adalah wajib diketahui oleh setiap muslim. Ilmu ini wajib diketahui oleh semua muslim termasuk orang awam, kakitangan kerajaan, ahli-ahli akademik, usahawan-usahawan, para pemerintah dan rakyat jelata. Allah berfirman dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ(11)
Wahai orang-orang yang beriman, apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan serba serbi untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah , supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama. Dan ingatlah Allah maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
          Ilmu Fardhu Kifayah adalah ilmu yang tidak semestinya diketahui oleh semua individu muslim. Walau bagaimanapun ilmu ini mesti dipelajari dan dikuasai oleh sebahagian dari umat Islam mengikut kesesuaian dan keperluan setempat. Contoh ilmu Fardhu Kifayah adalah seperti ilmu perubatan, ilmu perundangan, ilmu kemahiran, ilmu pelayaran dan berbagai ilmu yang lebih dikenali oleh masyarakat Islam hari ini sebagai ilmu keduniaan ataupun ilmu sekular. Ilmu-ilmu ini tidak perlu dikuasai oleh semua individu muslim tetapi cukup jika diketahui oleh sebahagian umat Islam sahaja. Islam hanya memerlukan sebahagian sahaja umatnya menjadi kontraktor, sebahagian sahaja umatnya menjadi peguam, sebahagian sahaja umatnya menjadi doktor dan sebahagian sahaja umatnya menjawat berbagai profesion yang lain. Tetapi semua individu muslim wajib menguasai ilmu asas dalam agama iaitu Ilmu Fardhu Ain.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Terdapat kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat hari ini mengenai penekanan mesyarakat terhadap ilmu-ilmu Fardhu Ain dengan mengenepikan penekanan terhadap ilmu Fardhu Kifayah. Kesan daripada sikap sebegini dikatakan akan menyebabkan berlakunya kemunduran terhadap umat Islam kerana kurangnya umat Islam yang berjaya menguasai ilmu-ilmu yang menjadi keperluan semasa. Sebenarnya ini adalah berpunca daripada salah faham terhadap konsep kepentingan ilmu terutamanya terhadap kepentingan ilmu Fardhu Kifayah itu sendiri.
Allah dalam surah al-Taubah ayat 122 :
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Dan tidaklah patut orang-orang yang beriman keluar semuanya pergi berperang, maka hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap golongan mereka untuk mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama  supaya mereka dapat mengajar kaumnya yang keluar berjuang apabila mereka kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Sidang Jumaat Sekalian,
          Di negara ini terdapat ramai di kalangan kita yang menyahut perintah Allah ini dengan mendalami agama, baik di dalam negeri atau di luar negara. Ketekunan mereka mendalami ilmu agama menyebabkan mereka tidak mempunyai kesempatan bagi mempelajari kemahiran dunia dan sesetengah keadaan mereka seolah-olah ditinggalkan oleh arus kemajuan dunia. Oleh yang demkian wajarkah mereka ini terus dikecam hanya semata-mata kerana mereka memilih untuk memenuhi keperluan masyarakat yang memerlukan pakar-pakar yang boleh mengistinbatkan hukum dalam permasalahan agama. Lebih parah lagi jika kita menyalahkan mereka terhadap kemunduran agama dan kelemahan bangsa sedangkan mereka telah diamanahkan oleh Allah untuk memartabatkan urusan agama sama seperti golongan profesional, pakar-pakar berbagai bidang, usahawan-usahawan, kontraktor binaan, ahli-ahli sains dan pakar teknologi maklumat dalam membangun dan memajukan negara.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Persoalan penekanan dan penumpuan kepada ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah memerlukan pemahaman dan kerjasama semua pihak. Kepentingan setiap golongan tidak harus diperkecilkan. Tetapi perlu diingatkan bahawa samada kita di kalangan golongan yang mendalami agama atau di kalangan profesional yang menguasai kemahiran dunia namun penguasaan terhadap ilmu-ilmu Fardhu Ain adalah wajib terhadap semua golongan. Mereka yang mendalami agama tanpa langsung menghiraukan kemahiran dunia akan terpinggir dalam arus kemajuan dunia tetapi golongan professional yang langsung tidak mempelajari ilmu agama akan menempah kebinasaan di akhirat. Kita mungkin dilihat berjaya dan menjadi wira di dunia tetapi kita akan kecewa dan menderita apabila kembali menemui pencipta.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...