Sunday, October 27, 2013

Khutbah ; Muslim Liberal



اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

وَلاَ  تَهِنُوْا وَلاَ تَحْزَنُوْا وَاَنْتُمُ اْلأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِيْنَ – ال عمران : 139

Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu bersusah  hati jika kamu benar-benar beriman

اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدَنـَا مُحَمَّدِنِ الْهَادِىْ اِلىَ الْحَقِّ  وَاِلىَ الصِّرَاطِ الْمُسْتَقِـيْمِ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.
اَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.
Saudara kaum muslimin yang berbahagia,
          Sejak sekian lama terdapat dua fenomena utama yang begitu mempengaruhi psikologi Umat Islam di seluruh dunia. Pertamanya ialah Fenomena penjajahan barat ke atas Negara-negara Islam dan kesinambungan penjajahan merangkumi penjajahan pemikiran, penjajahan ekonomi, penjajahan budaya dan segala bentuknya yang lain. Keduanya adalah fenomena kemunduran dan ketinggalan Umat Islam dalam mengejar teknologi dan kemajuan masa kini. Akibat dua fenomena ini maka Umat Islam secara umumnya terbahagi kepada empat kumpulan. Kumpulan Pertama adalah mereka yang putus asa secara menyeluruh dan menerima hakikat bahawa Umat Islam sememangnya lemah dan tidak akan mampu menyaingi barat. Maka hiduplah mereka ibarat melukut di tepi gantang, adanya tidak menambah, tiadanya tidak mengurang. Mereka menumpang di penjuru dunia tanpa mengganggu sesiapa dan mahunya agar tiada sesiapa akan mengganggu mereka. Kumpulan Kedua adalah mereka yang mengambil kesimpulan bahawa agama adalah faktor penghalang utama bagi mengejar kemajuan barat dan agama mesti dipisahkan daripada kehidupan harian jika berhajat untuk bersama-sama dengan kemajuan barat. Kumpulan ini lebih dikenali sebagai golongan yang berfahaman Sekularisme. Golongan ini cuba mengasingkan agama dari kehidupan mereka dan memenjarakan agama di masjid-masjid dan di Institusi-Institusi agama semata-mata. Kumpulan Ketiga adalah mereka yang juga menganggap agama sebagai halangan tetapi berpendapat penyelesaiannya adalah dengan membuka dan membebaskan agama daripada tafsiran lama yang dikatakan jumud dan tidak menjadi pemangkin kepada kemajuan Umat. Golongan inilah yang dikenali sebagai Golongan Muslim Liberal yang dipelopori oleh golongan cendiakawan dan intelek yang merasa ujub dengan kehebatan pemikiran mereka yang dirasakan terlalu hebat. Golongan ini muncul hasil daripada kesan psikologi kekerdilan diri (Inferiority Complex) yang dihadapi oleh sebahagian Umat Islam hasil penjajahan barat menyebabkan mereka mendewa dan menyembah barat dan dalam masa yang sama memperbodoh dan membuang jati diri mereka sendiri. Mereka tidak mahu memisahkan diri dengan agama malah menggunakan agama sebagai pelindung kepada kekacauan pemikiran mereka. Mereka amat memerlukan agama tetapi agama dijadikan kuda tunggangan mereka untuk mencapai kepentingan dunia dan mereka menganggap merekalah pejuang agama. Manakala Kumpulan  Keempat adalah mereka yang mengakui kelemahan dan kemunduran Umat Islam tetapi tidak pernah menyalahkan agama terhadap kemunduran tersebut. Mereka memuhasabah diri mereka sendiri dan menyalahkan kelekaan mereka dalam memahami ajaran Islam dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka. Golongan terakhir inilah sebenarnya yang dapat diharapkan untuk mengembalikan kegemilangan Islam sepenuhnya.

Sidang Jumaat Sekelian,
          Khutbah hari ini tidak akan membincangkan kumpulan yang pertama, kedua dan keempat tetapi hanya akan menumpukan perbincangan kepada kumpulan yang ketiga kerana kumpulan ini terlalu berbahaya kepada kesucian ajaran Islam dan umat seluruhnya. Walaupun kumpulan ini tidak menamakan kumpulan mereka secara jelas tetapi manhaj dan pendirian mereka sama sahaja dan begitu mudah dikenali. Diantara pendirian mereka bahawa Islam adalah agama yang benar, namun dalam waktu yang sama agama selain Islam juga benar. Mereka mengatakan bahawa apabila seseorang mendakwa hanya tuhannya dan ajaran agamanya sahaja yang betul maka dakwaan tersebut adalah bersifat relatif dan terhad dalam konteks agamanya sahaja. Hakikat sebenar kebenaran tiada sesiapapun yang mengetahuinya dan manusia tidak perlu membuang masa dan membazirkan usaha untuk membenarkan dan mengagongkan agama mereka sahaja.

Sidang Jumaat sekelian,
          Kumpulan Muslim Liberal ini juga membahagikan wahyu kepada dua; iaitu wahyu secara bertulis (Al-Quran) dan wahyu tidak bertulis (Akal Manusia). Mereka mengatakan bahawa akallah yang sebenarnya yang menghidupkan Teks Al-Quran berdasarkan tujuan, konteks dan suasana semasa. Oleh itu Al-Quran dikatakan hanya bersifat menerangkan tujuan-tujuan agama manakala akal manusialah yang sebenarnya bertanggungjawab menyesuaikan Al-Quran dengan kehendak semasa. Sebagai contohnya ayat-ayat tentang hukum jenayah Islam dikatakan hanya bertujuan menjatuhkan hukuman kepada penjenayah sedangkan bentuk hukuman seharusnya ditentukan oleh akal manusia selaras dengan peradaban dan ketamadunan manusia. Mereka bermaksud membuka dan membebaskan tafsiran Al-Quran daripada tafsiran silam yang muktabar untuk memajukan Umat Manusia. Malah mereka menyindir ulama’ yang berpegang kuat kepada tafsiran muktabar dan disiplin ilmu yang ketat sebagai ‘Penyembah Teks” Al-Quran semata-mata. Pemikiran ini jika dibiarkan akan menjerumuskan mereka kepada takwilan tersendiri terhadap Al-Quran yang amat menyimpang sehingga ada yang mengatakan bahawa Syaitan dan Malaikat hakikatnya tidak wujud melainkan sikap buruk dan sikap baik yang saling bertentangan dalam jiwa manusia. Syurga dan neraka juga dikatakan sebagai kesan psikologi kegembiraan, kepuasan dan kekecewaan manusia dalam kehidupan. Cerita-cerita ghaib dan alam akhirat dianggap semata-mata rekaan ulama’ sebagai strategi menambahkan keberkesanan dakwah.

Sidang Jumaat Sekelian,
          Golongan Liberal ini berpandangan bahawa sifat Nubuwwah (Kenabian) hanyalah kemampuan manusia untuk memimpin manusia lain dan sesiapa sahaja boleh berusaha memilikinya. Nabi-nabi dianggap sebagai manusia biasa yang mungkin benar dan mungkin salah. Mereka juga boleh dipuji dan boleh dikritik. Ini akhirnya membawa kepada tuduhan melampau bahawa baginda bernafsu hebat dan menyimpan ramai gundik-gundik dan kepimpinan Rasulullah SAW hanyalah sebagai pemimpin kaum yang tidak ada keistimewaannya.

Sidang Jumaat Sekelian,
          Golongan Liberal juga mengatakan disiplin ilmu Islam seperti Usul Fiqh, Mustalah Hadis dan sebagainya adalah buatan ulama’ yang tidak sunyi daripada kecacatan. Segala hukum yang dinyatakan oleh ulama’ semuanya adalah bersifat ijtihadi dan boleh diterima atau ditolak. Penetapan sesuatu hadis samada Mutawatir, sahih atau dhaif juga adalah pandangan ulama’ yang boleh ditolak dan dipertikaikan. Malah mereka mempunyai kaedah usul fiqh tersendiri iaitu yang penting adalah tujuan hukum disyariatkan bukan hukum atau syariat itu sendiri. Maka lahirlah hukum-hukum pelik seperti hak dan tanggungjawab yang sama antara lelaki dan perempuan, arak tidak haram jika tidak memabukkan, aurat wanita perlu disesuaikan dengan zaman, Azab Kubur adalah sesuatu yang tidak masuk aqal dan berbagai-bagai lagi hukum yang tidak pernah dijangkakan akan dilemparkan kepada masyarakat.

Sidang Jumaat Sekelian,
          Golongan Liberal ini tetap ada di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja. Walaupun nama dan identiti mereka berbeza namun manhaj dan pembawaan mereka sama sahaja. Kesemua mereka mendapat didikan dari barat atau pernah berkhidmat dalam mana-mana institusi di barat. Negara-negara Timur Tengah menyaksikan lahirnya golongan ini seperti Taha Hussein, Ali Abdul Raziq, Ahmad Amin, Naser Abu Zaid dan sebagainya yang sebahagiannya ada yang ditarik balik kelulusan dan ijazah mereka oleh universiti asal pengajian mereka. Di Negara jiran kita melihat lahirnya penulis-penulis seperti Harun Nasution dan Nurcholis Majid. Maka apakah jaminan bahawa golongan ini tidak akan wujud dan berkembang di Negara kita yang tercinta ini. Bersamalah kita mengawasinya dan berjuang mempertahankan ajaran Islam yang tulen dan tidak memberi sebarang ruang kepada golongan sesat seperti ini bagi meragukan kita terhadap agama kita. 

Sidang Jumat yang dirahmati Allah,

          Umat Islam hari ini sudah tidak mempunyai masa lagi untuk membincangkan persoalan remeh temeh yang semakin lama semakin menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Akibat fahaman liberal yang melampau ini semakin banyak kekeliruan yang timbul terhadap agama di kalangan masyarakat. Persoalan pendedahan aurat, bersalaman antara lelaki dan perempuan, melibatkan diri dengan hiburan yang melampau, pergaulan bebas tanpa had dan sebagainya yang jelas haramnya sudah dijadikan sesuatu yang tidak ada kepastian sehingga sebahagian kita menjadi takut untuk menyatakan pengharamannya. Kita bersyukur kerana Mufti-Mufti sudahpun menyatakan dengan jelas hukum mengenai Sure Heboh yang sebenarnya sudah difahami oleh sebahagian besar Umat Islam. Namun akibat fahaman liberal yang dibawa oleh golongan di atas maka maksiat yang bersifat Sure Haram ini sudah dianggap biasa dan tidak dianggap berdosa lagi. Sesuatu hukum itu hanya diakui masyarakat apabila dikeluarkan secara rasmi dan diwartakan walaupun semua ulama’ yang ikhlas terhadap agamanya sudah sekian lama memfatwakannya. Inilah yang berlaku terhadap keputusan Kuiz SMS yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Umat Islam wajib meninggalkannya walaupun belum diwartakan kerana Hukum Allah tidak terikat dengan undang-undang pewartaan tersebut. Hukum Haram tersebut sudah berjalan sejak kewujudannya lagi dan keputusan tersebut hanyalah bersifat pengisytiharan hukum kepada awam yang mana dimaafkan sebelumnya kerana jahil terhadap hukum tersebut. Namun setelah ianya dijelaskan maka haram semua Umat Islam melibatkan diri dalamnya dan setiap sen yang dibelanjakan dan diperolehi daripadanya samada penganjur dan peserta adalah haram dan wajib ditinggalkan.  
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْم، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...