Saturday, October 26, 2013

Khutbah; Sumbang Mahram, Penyelesaian Oleh Allah

اَلْحَمْدُ ِلله القائل :
وَمِنْ ءَايَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (21)
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Negara sekali lagi dilanda dengan isu sumbang mahram yang amat memilu dan memalukan. Kisah-kisah seperti ini bukan sekadar berlaku pada masa ini tetapi berlaku sepanjang masa dan di mana sahaja. Namun oleh kerana mungkin terdapat isu-isu lain yang dirasakan lebih penting menyebabkan isu ini kurang mendapat tempat di media massa tempatan. Walaubagaimanapun kita tidak boleh memandang ringan terhadap isu ini kerana ianya akan membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan dan pencemaran terhadap kemuliaan keturunan dan kerosakan kepada tamaddun keinsanan itu sendiri. Anak yang lahir daripada perbuatan sumbang mahram ini akan terinaya dan menderita dalam kehidupannya.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Kita perlu melihat beberapa faktor yang membawa kepada berlakunya perkara tersebut. Faktor terbesar yang tidak dapat dinafikan adalah nafsu syahwat yang bermaharajalela. Ketundukan terhadap hawa nafsu berpunca daripada kelemahan akidah dan keimanan akibat kejahilan terhadap ayat-ayat Allah, kejahilan terhadap hukuman Allah dan kejahilan terhadap tanggungjawab dan amanah terhadap Allah. Ketundukan terhadap hawa nafsu menyebabkan manusia terlupa siapakah yang menjadi mangsa samada anak sendiri, cucu sendiri atau siapa sahaja. Sabda Rasulullah S.A.W :
 حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لاَ يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلاَ يَسْرِقُ السَّارِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلاَ يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ
Ertinya :
Hadis Abu Hurairah R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Tidak berzina seorang penzina sedangkan ketika berzina itu dia masih beriman, tidak mencuri seorang pencuri sedangkan ketika mencuri itu dia masih beriman, tidak minum arak seorang peminum arak sedangkan ketika itu dia masih beriman.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Faktor kewangan juga turut menyumbang terhadap berlakunya sumbang mahram di kalangan masyarakat. Budaya kebendaan yang mencengkam masyarakat hari ini membawa kepada perlumbaan menaikkan perbelanjaan perkahwinan hingga sampai ke tahap yang amat tidak masuk akal. Maskahwin dan hantaran hari ini bukan sahaja ditentukan oleh harga pasaran malah ditentukan juga berdasarkan taraf dan kedudukan. Keluarga hari ini tidak hanya menjadikan perkahwinan anak gadis mereka bagi melepaskan tanggungjawab malah menjadikan seperti satu perniagaan yang menguntungkan. Akibatnya bukan sahaja ramai gadis yang gagal mencari pasangan malah ramai anak-anak muda menghadapi masalah bagi mendirikan rumahtangga. Setelah berumahtangga  mereka akhirnya menanggung beban hutang yang terlalu lama untuk dilunaskan. Golongan yang gagal mendirikan rumahtangga walaupun setelah berusia akan mempunyai masalah dengan tuntutan fitrahnya. Bagi yang lemah imannya akan melempiaskannya tanpa mengira hukum halal dan haram. Rasulullah S.A.W bersabda :
 حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ عَلْقَمَةَ قَالَ كُنْتُ أَمْشِي مَعَ عَبْدِ اللَّهِ بِمِنًى فَلَقِيَهُ عُثْمَانُ فَقَامَ مَعَهُ يُحَدِّثُهُ فَقَالَ لَهُ عُثْمَانُ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَلاَ نُزَوِّجُكَ جَارِيَةً شَابَّةً لَعَلَّهَا تُذَكِّرُكَ بَعْضَ مَا مَضَى مِنْ زَمَانِكَ قَالَ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ لَئِنْ قُلْتَ ذَاكَ لَقَدْ قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ  
Ertinya :
Hadis Abdullah b. Masud R.A  diriwayatkan oleh Alqomah berkata : Aku berjalan bersama Abdullah di Mina, lalu kami bertemu Othman yang kemudian menghampiri Abdullah. Setelah berbincang beberapa ketika maka Othman berkata : Ya Abdullah, mahukah kamu aku akan kahwinkan dengan perempuan muda, mudah-mudahan dia akan mengingatkan pada masa lampau yang indah. Maka Abdullahpun menjawab : Ucapanmu sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W kepada kami : Wahai anak muda, barangsiapa antara kamu yang mempunyai kemampuan maka hendaklah dia berkahwin kerana ianya memelihara pandangan dan menjaga kemaluan, jika kamu tidak mampu maka hendaklah kamu berpuasa kerana ianya boleh menjadi benteng nafsu.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Sistem ekonomi yang tidak seimbang juga turut menjadi penyumbang. Sistem ekonomi yang tidak menjamin kecukupan keperluan asasi menyebabkan kehendak Syarak sering gagal dipenuhi. Sistem rumah kos rendah pada masa yang lalu yang tidak dilengkapi sekurang-kurangnya tiga buah bilik bagi memisahkan antara ibubapa, anak lelaki dan perempuan. Ini menyebabkan percampuran yang mulanya dianggap biasa menyebabkan suasana yang tidak disangka-sangka.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Kemasukan bahan-bahan lucah di pasaran tempatan merupakan antara faktor terbesar yang menggalakkan berlakunya bukan sahaja sumbang mahram malah jenayah seksual yang lain. Kanak-kanak  dan remaja hari ini telah mengalami proses kematangan sebelum sampai masanya. Pendedahan terhadap kegiatan tidak bermoral ini menyebabkan mereka menjalani kehidupan yang amat berbeza. Nafsu mereka dilonjak-lonjak sedangkan tiada tempat yang sah bagi mereka melempiaskannya. Tanpa asas agama yang kukuh pastinya mereka gagal mengawal dirinya dari melakukan perkara yang sama. Cara yang termudah dan paling selamat adalah melakukannya sesama sendiri. Apabila syaitan menguasai diri maka hubungan mahram dan persaudaraan sudah tidak lagi dipeduli.
          Selain bahan lucah sikap wanita hari ini yang masih terus tidak menutup aurat dan berpakaian seksi menyebabkan nafsu lelaki sentiasa terangsang. Walaupun mereka mengatakan bahawa tidak semua yang tidak menutup aurat menjadi mangsa seksual dan menutup aurat juga turut menjadi mangsa tetapi ia tidaklah boleh dijadikan hujjah. Sebagaimana bahan-bahan lucah yang merangsangkan nafsu syahwat remaja, maka sesiapa sahaja di sekelilingnya mungkin menjadi mangsa. Oleh yang demikian semua yang tidak menutup aurat dan berpakaian seksi perlu merasa tanggungjawab kerana tidak dapat dipastikan siapakah yang menjadi mangsa samada mangsa perkosaan atau mangsa sumbanh mahram akibat daripada perbuatan mereka.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Faktor undang-undang merupakan antara faktor terakhir yang sering dilihat sebagai jalan terakhir bagi menghapuskan sesuatu maksiat dan jenayah. Sebenarnya Allah meletakkan undang-undang dan hukum Allah sebagai asas utama pembasmian jenayah. Manusia hanya mampu berusaha menghilangkan faktor-faktor penggalak tetapi hanya Alllah yang mampu menghalangnya. Allah hanya akan menghentikan segala maksiat dan jenayah jika segala syarat dan usaha dilakukan oleh manusia. Di antara syarat yang mesti dilaksanakan adalah penguatkuasaan hukuman Allah. Hari ini kita mendengar cadangan bagi melaksanakan hukuman rotan atau sebat di khalayak ramai oleh berbagai pihak walaupun perkara tersebut pernah dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ini menunjukkan bahawa manusia tidak akan mampu selamanya membohongi diri dalam kembali kepada fitrah. Mungkin suatu hari kita akan melihat bukan sahaja orang Islam yang mahu kembali kepada hokum Allah malah orang bukan Islam akan menyokong dan mengharapkan perlaksanaan hukuman Allah. Firman Allah dalam surah Al-Nur ayat 2 :
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلاَ تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (2)
Ertinya :
Penzina perempuan dan penzina lelaki maka sebatlah kedua mereka denagn seratus sebatan, dan jangan kamu menaruh simpati ketika melaksanakan hukuman Allah, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan perlaksanaan hukumannya oleh sebahagian orang yang beriman.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Semua pihak perlu bertindak bagi membenteras sumbang mahram daripada terus berleluasa. Setiap individu wajib memastikan dirinya, keluarganya, jirannya dan masyarakatnya mengutamakan kehidupan beragama. Pembentukan institusi kekeluargaan perlu diperkemaskan dan dipermudahkan termasuk meringankan maskahwin dan hantaran, prosedur perkahwinan dipermudahkan dan ibu mesti sentiasa mengawasi kemasukan bahan-bahan lucah ke dalam rumah mereka dan bersikap tegas terhadap anak-anak mereka terutama dalam soal berpakaian. Pihak berkuasa juga wajib memastikan agar setiap rumah mampu mengasingkan anak lelaki dan perempuan serta memastikan penguatkuasaan dan pembasmian bahan-bahan lucah benar-benar dilaksanakan dengan berkesan dan tidak hanya melepaskan batuk di tangga dan berasaskan sensiviti semasa. Penguatkuasaan wajib dilaksanakan bersungguh-sungguh secara berterusan tanpa mengikut musim dan hanya dibuat setelah ianya banyak diperkatakan. Perlaksanaan undang-undang dan hukuman hendaklah dipertingkatkan dan semestinya di sesuaikan dengan hukum Allah. Peraturan berpakaian di tempat awam wajib diperkatakan dengan mengharamkan segala pakaian seksi yang keterlaluan yang mampu merangsang nafsu lelaki.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Tidak ada maknanya kita hanya sekadar mengambarkan kebimbangan dan kesedihan kita terhadap jenayah tersebut. Apa yang paling penting kita mesti melibatkan diri dalam dalam usaha memerangi jenayah tersebut. Kita wajib melakukan sesuatu yang kita mampu melakukannya. Marilah kita mengambil pengajaran daripada situasi ini bagi meletakkan hukum Allah sebagai penyelesai masalah. Kita hanya merancang sedang Allah menentukan.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...