Saturday, September 25, 2010

Selangkah ke dalam Wad

Selepas Solat Jumaat, 24 September 2010, kami berada di Klinik Kesihatan Greentown untuk mendapatkan suntikan wajib menjejakkan kaki ke tanah suci. Secara teorinya hanya isteriku sahaja yang akan mendapatkan suntikan kerana aku tidak diluluskan oleh Dr. Tharizah bagi mendapatkan suntikan sehinggalah tekanan darahku menurun. Oleh kerana masa yang begitu mendesak, aku cuba mendapatkan suntikan tersebut pada petang itu juga. Dengan pertolongan Ustaz Azmi Chai, yang membantu keseluruhan urusan haji kami selama ini, aku diminta untuk membuat ujian tekanan darah di hadapan jururawat yang bertugas. Malangnya bacaan yang dicatatkan adalah 149/101. Bacaan bawah melebihi 100 dianggap masih tinggi dan aku diminta berehat selama sejam. Setelah sejam berlalu aku ujian tekanan di arah dibuat di hadapan doktor yang bertugas. Malangnya bacaan yang dicatatkan amat mengejutkan. 180/120. Kedua-dua bacaan atas dan bawah amat tinggi. Doktor mengarahkan aku diberi ubat yang boleh menurunkan tekanan darah secara drastik dan disuruh baring selama sejam. Jika sekiranya tiada perubahan maka tiada pilihan lain melainkan terpaksa masuk wad dan tak dibenarkan balik.

Syukur Alhamdulillah kerana setelah sejam bacaan menurun kepada 159/89. Maka aku dibenarkan pulang dengan terpaksa menjalani rawatan susulan. Mulai Isnin hingga Rabu aku terpaksa membuat ujian tekanan darah setiap pagi. Paling parah Hari Isni juga aku diminta berpuasa dan diambil darah untuk ujian menyeluruh. Apakah aku mampu bertahan dari rasa nak pitam sebagaimana yang biasa aku tempuhi selama ini. Mudah-mudahan aku mampu melalui semua ini dengan selamat. Semoga inilah kali terakhir aku terpaksa hadir ke hospital untuk menanggung segala penderitaan ini. Dan yang paling besar, moga Allah menyelamatkan aku agar aku dapat disahkan layak untuk menunaikan haji pada tahun ini. Jika kes ini berlanjutan semakin lambatlah aku dapat menhantar buku laporan kesihatan itu kepada Tabung Haji dan semakin lambatlah aku akan mendapat tarikh penerbangan.

Dugaan Awal

Kegembiraan kerana terpilih untuk menerima anugerah menunaikan Fardhu Haji pada tahun ini merupakan satu nikmat yang tidak pernah aku bayangkan. Tanpa sebarang persediaan untuk menjadi tetamu Allah dalam masa terdekat, tiba-tiba takdir Allah telah menjemputku ke sana. Sebagai insan Muslim biasa, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Selain kegembiraan yang tidak mungkin dapat dinafikan, terdapat getaran dan kebimbangan di sebalik rahmat ini. Walaupun yakin dengan kasih sayang dan rahmat Allah, aku terasa gementar memikirkan apakah akan ada ujian dan cobaan yang diberikan oleh Allah sepanjang menjadi tetamunya nanti. Allah tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hambaNya, malah menguji hambanya agar terampun segala dosa mereka dan terangkat darjat mereka di sisiNya. Apakah dengan berbagai dosa dan kelalaian aku sebagai seorang pemimpin agama di negeri ini, akan dibiarkan oleh Allah begitu sahaja. Apakah aku akan diuji dan diberikan pengajaran oleh Allah sepanjang bertamu di tanah suci nanti. Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, jika engkau mengujiku, sesungguhnya aku redha dengan segala ketentuanMu. Namun jika engkau ampunkan segala kesilapanku, Engkau permudahkan segala urusanku, Engkau berikan keistimewaan kepadaku sebagai tetamuMu, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hambaMu.

Ujian pertama telah kuterima setelah tawaran pergi kuterima. Oleh kerana aku akan bertolak ke Mesir untuk berkursus selama 3 bulan, maka rayuan kuota untuk isteriku terpaksa dihantar ke Tabung Haji sebelum aku berangkat. Ketika itu senarai nama penerima anugerah masih belum diterima dari Jabatan Agama Islam Perak. Ini menyebabkan nama isteriku tidak dapat dipasangkan dengan namaku hingga menyebabkan ketika kesemua penerima anugerah lain telah menerima pengesahan untuk kuota isteri masing-masing namun aku masih lagi ditahap merayu. Alhamdulillah, dengan pertolongan Haji Mohd Abas, Timbalan Pengarah Tabung Haji Perak yang juga jiran setamanku, setelah sekian lama menderita perasaan, akhirnya hanya di saat hampir menyambut Hari Lebaran, barulah isteriku menerima tawaran dan segala urusan pasport dan sebagainya terpaksa dibuat dengan tergesa-gesa.

5.30 petang, Khamis, 23 September, kami membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Murshid dan Tharizah. Selepas Zohor sebelumnya aku terasa sakit kepala di pejabat. Tiba-tiba tekanan darahku mencatatkan bacaan 170/ 120. Tiga kali ujian itu dibuat kerana aku sebenarnya sentiasa membuat pemeriksaan sendiri di rumah dengan alat elektronik. Akhirnya aku di arahkan untuk mula memakan ubat dan datang semula dalam masa 5 hari.

-Bersambung-

Sunday, September 19, 2010

Mahalnya Kurma

Petang semalam sekali lagi akau melakukan tindakan mengikut perasaan bukan berdasarkan fikiran. Jumlah keseluruhan harga semua kurma di atas adalah RM 99.++.  Ini memecahkan rekod peribadiku dengan membeli kurma termahal sepanjang hidupku.
Oleh kerana terpengaruh dengan promosi kurma nabi, hati membuak-buak untuk merasai makanan sunnah. Entah kenapa tidak langsung terasa mahalnya ketika membayar walaupun ianya cukup untuk membeli beras selama 2 -3 bulan.
Dari segi besar dan rasanya taklah terasa sangat kehebatannya. Jauh sangat kalau nak dibandingkan dengan besar dan rasa kurma yang dihidangkan diistana. Entah apa sebenarnya jenis kurma yang dihidangkan diistana kerana besarnya 2-3 kali ganda dan lebih sedap pastinya. Kalau Kurma Ajwah ini sudah begitu mahal, maka berapa pulak harga kurma yang ada di istana itu.


Kurma Ajwah (Al-Kitab) ini adalah yang paling mahal. Walaupun isinya sekotak tak sampai 20 biji tapi harganya menghampiri RM 40.00 sekotak.

Satu masalah yang dihadapi dengan pembelian ini adalah kerana kotaknya yang terlalu cantik. Agaknya inilah harga yang terpaksa dibayar walaupun harga kurmanya tidaklah semahal mana. Walaupun makannya tidak, budak 3 orang tu yang beria sangat berebut nakkan kotak dan bekasnya.

Monday, September 13, 2010

Hari Raya Pertama (Gilirannya di mana ?)

Sudah beberapa tahun aku tidak Solat Sunat Aidil Fitri di kampungku sendiri. Walaupun itulah kemuncak gamitan memori zaman kecilku, namun keadaan memaksa aku melakukan pengorbanan. Oleh kerana aku hanya ada ibu dan bapa mertua, maka sewajarnya aku mengutamakan mereka. Walaupun sepatutnya tahun ini  bukan giliran kampung mertuaku, namun aku perlu berkorban untuk mereka. Sementelah kebanyakan adik beradik merancang balik dan berkumpul pada hari raya kedua.
Sememengnya jika ditanya, tidak ada sebarang keistimewaan berhari raya di sana. Selain dari mendengar kembali khutbah yang aku karang sendiri, dibaca dengan cara yang tidak begitu memuaskan hatiku oleh khatib amatur di kampung, maka apa nilai yang mampu menceriakan aku di sini. Tidak ada seorangpun menyapa dan menegurku di sini. Mana mungkin mereka mengenaliku sedangkan aku tidak lahir apatahlagi membesar di sini. Situasi ini amat jauh bezanyan jika aku bersembahyang  di kampung sendiri.

Selepas solat aku boleh diumpamakan seperti gadis sunti yang memerap di rumah. Ke mana hendak akutujui jika tiada sesiapapun yang benar-benar aku kenali. Ini berbeza jika aku berhari raya di kampungku sendiri. Semua kegembiraan yang sepatutnya aku rasai aku korbankan demi isteri yang kusayangi dan kedua ibu dan bapa mertuaku. Mudah-mudahan segala pengorbanan ini dihargai dan diganjari oleh Allah di Akhirat nanti.

Sunday, September 12, 2010

Jumaat Untuk Sehari !

Dalam perjalanan menuju ke kampung, aku dihubungi oleh Pejabat Daerah Batu Gajah mengenai perkenan DYTM Raja Muda untuk bersolat di Surau Ar-Rahmaniah, Taman Desa Aman. Dalam dengar tak dengar aku menyangka ianya adalah salah satu Surau Diri Jumaat ataupun kesilapan istilah surau digunakan bagi masjid. Namun selepas itu aku dimaklumkan oleh seseorang bahawa Solat Jumaat itu akan diadakan di surau baru yang sememangnya berhampiran dengan tapak bazar Ramadhan tempat aku sering membeli juadah berbuka.
Sebagaimana kebimbangan yang bermain di fikiranku begitu jugalah apa yang dirasakan oleh SS Dato' Seri Mufti. Dalam ucapannya beliau memohon agar perkara ini jangan dijadikan isu kerana beliau ada asas dalam memberikan kebenaran. Ketika aku mengajukan rasa tidak puas hati, sahabat di Jabatan Mufti hanya menjawab ada kebenaran Tuanku. Aku menjawab adakah Tuanku sudah dianggap sebagai Tuhanku kerana segala yang berkaitan dengan Tuanku tidak boleh langsung diperbahaskan langsung. Suatu yang tidak sah sebelumnya menjadi sah seolah-olah Baginda atas batang tubuhnya itu adalah mewakili Ulul Amri tanpa ada kaitan langsung dengan sebarang undang-undang dan peraturan lainnya, sesuai dengan status Raja Berperlembagaan.

Kebenaran Solat Jumaat ini dipohon oleh Jawatankuasa kepada Mufti tanpa perakuan dan kajian oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah. Ianya tidak dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa kerana ianya dibuat seminggu sebelum Hari Raya. Jika asas kesesakan yang dijadikan alasan, banyak lagi surau yang perlu dipertimbangkan memandangkan kebanyakan masjid begitu sesak setiap kali hari raya.  Dalam masa yang begitu singkat Mufti memaklumkan kepada Setiausaha Tuanku lalu mendapat maklum balas yang baik dari Tuanku untuk mencemar duli bersolat bersama jemaah di situ. 
Inilah masalah yang menyebabkan aku sering tidak sehaluan dengan SS Mufti lantaran sikapnya tidak menghormati pihak bawahan dan suka bertindak tanpa berfikir panjang. Wajarkah beliau hanya menerima bulat-bulat alasan jawatankuasa surau tanpa sebarang perakuan pihak Jabatan Agama Islam Perak yang berbidangkuasa bagi menjalankan kajian terhadap keperluan sesuatu kariah ? Wajarkah beliau mengecualikan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dalam sesuatu kes yang dirasakan tidak perlu sedangkan dalam banyak kes-kes lain yang memerlukan keputusan yang lebih segera terpaksa dinantikan begitu lama kerana menunggu Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bersidang ? Wajarkah beliau hanya meletakkan keharusan Syarak bagi berbilang Jumaat dalam satu kariah atas sebab Dzahmah (Sesak), hanya berdasarkan andaian beliau secara berseorangan dan menggunakan perkenan DYTM Tuanku sebagai Yang Dipertua Majlis secara berseorangan ? 

Apakah kita menganggap keharusan Syarak ini suatu yang remeh dan boleh dilaksanakan mengikut kehendak dan pemikiran individu tertentu sahaja. Kalaupun dari segi Syaraknya dianggap lulus, apakah tindakan ini boleh menjamin kesesuaiannya dari segi keadilan pentadbiran yang akhirnya menyebabkan kelulusan dan kebenaran Jawatankuasa Fatwa atau keputusan Majlis dianggap remeh dan tidak dipandang sebagai suci oleh masyarakat Islam seluruhnya.

Sehari Berhari Raya

Sebagaimana biasa setiap kali hari raya, lemang, ketupat dan rendang menjadi hidangan wajib yang disajikan pada hari pertama dan kedua raya. Ini bermakna selama 2 hari itulah terlalu sukar untuk mendapatkan sesuap nasi. Hari Raya tahun ini yang kebetulan jatuh pada Hari Jumaat membolehkan aku mendapat peluang mencari menu lain selain lemang dan ketupat. Kebetulan pada hari raya kali ini DYTM Raja Muda berkenan berangkat untuk Solat Jumaat di Surau Desa Aman, Ipoh. Demi tugas aku terpaksa berkejar dari Parit ke Ipoh untuk memastikan segala persiapan berjalan lancar. 


Malangnya pada hari raya tahun ini, kesemua kedai makan yang aku lalui ditutup sempena raya. Bermula dari kedai Salim bersebelahan surau tersebut hinggalah sepanjang jalan dari Ipoh ke Seri Iskandar, tidak ada sebuah kedai mamakpun yang dibuka pada hari itu.
Sepanjang perjalanan balik ke Kampung Tualang Sekah pada Hari Raya Kedua, kami mengambil kesempatan melepaskan geram di kedai mamak di Taman Maju, Seri Iskandar. Antara makanan favorite aku setiap kali ke kedai mamak adalah maggi goreng.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...