Sunday, September 12, 2010

Jumaat Untuk Sehari !

Dalam perjalanan menuju ke kampung, aku dihubungi oleh Pejabat Daerah Batu Gajah mengenai perkenan DYTM Raja Muda untuk bersolat di Surau Ar-Rahmaniah, Taman Desa Aman. Dalam dengar tak dengar aku menyangka ianya adalah salah satu Surau Diri Jumaat ataupun kesilapan istilah surau digunakan bagi masjid. Namun selepas itu aku dimaklumkan oleh seseorang bahawa Solat Jumaat itu akan diadakan di surau baru yang sememangnya berhampiran dengan tapak bazar Ramadhan tempat aku sering membeli juadah berbuka.
Sebagaimana kebimbangan yang bermain di fikiranku begitu jugalah apa yang dirasakan oleh SS Dato' Seri Mufti. Dalam ucapannya beliau memohon agar perkara ini jangan dijadikan isu kerana beliau ada asas dalam memberikan kebenaran. Ketika aku mengajukan rasa tidak puas hati, sahabat di Jabatan Mufti hanya menjawab ada kebenaran Tuanku. Aku menjawab adakah Tuanku sudah dianggap sebagai Tuhanku kerana segala yang berkaitan dengan Tuanku tidak boleh langsung diperbahaskan langsung. Suatu yang tidak sah sebelumnya menjadi sah seolah-olah Baginda atas batang tubuhnya itu adalah mewakili Ulul Amri tanpa ada kaitan langsung dengan sebarang undang-undang dan peraturan lainnya, sesuai dengan status Raja Berperlembagaan.

Kebenaran Solat Jumaat ini dipohon oleh Jawatankuasa kepada Mufti tanpa perakuan dan kajian oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah. Ianya tidak dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa kerana ianya dibuat seminggu sebelum Hari Raya. Jika asas kesesakan yang dijadikan alasan, banyak lagi surau yang perlu dipertimbangkan memandangkan kebanyakan masjid begitu sesak setiap kali hari raya.  Dalam masa yang begitu singkat Mufti memaklumkan kepada Setiausaha Tuanku lalu mendapat maklum balas yang baik dari Tuanku untuk mencemar duli bersolat bersama jemaah di situ. 
Inilah masalah yang menyebabkan aku sering tidak sehaluan dengan SS Mufti lantaran sikapnya tidak menghormati pihak bawahan dan suka bertindak tanpa berfikir panjang. Wajarkah beliau hanya menerima bulat-bulat alasan jawatankuasa surau tanpa sebarang perakuan pihak Jabatan Agama Islam Perak yang berbidangkuasa bagi menjalankan kajian terhadap keperluan sesuatu kariah ? Wajarkah beliau mengecualikan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dalam sesuatu kes yang dirasakan tidak perlu sedangkan dalam banyak kes-kes lain yang memerlukan keputusan yang lebih segera terpaksa dinantikan begitu lama kerana menunggu Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bersidang ? Wajarkah beliau hanya meletakkan keharusan Syarak bagi berbilang Jumaat dalam satu kariah atas sebab Dzahmah (Sesak), hanya berdasarkan andaian beliau secara berseorangan dan menggunakan perkenan DYTM Tuanku sebagai Yang Dipertua Majlis secara berseorangan ? 

Apakah kita menganggap keharusan Syarak ini suatu yang remeh dan boleh dilaksanakan mengikut kehendak dan pemikiran individu tertentu sahaja. Kalaupun dari segi Syaraknya dianggap lulus, apakah tindakan ini boleh menjamin kesesuaiannya dari segi keadilan pentadbiran yang akhirnya menyebabkan kelulusan dan kebenaran Jawatankuasa Fatwa atau keputusan Majlis dianggap remeh dan tidak dipandang sebagai suci oleh masyarakat Islam seluruhnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...