Kegembiraan kerana terpilih untuk menerima anugerah menunaikan Fardhu Haji pada tahun ini merupakan satu nikmat yang tidak pernah aku bayangkan. Tanpa sebarang persediaan untuk menjadi tetamu Allah dalam masa terdekat, tiba-tiba takdir Allah telah menjemputku ke sana. Sebagai insan Muslim biasa, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Selain kegembiraan yang tidak mungkin dapat dinafikan, terdapat getaran dan kebimbangan di sebalik rahmat ini. Walaupun yakin dengan kasih sayang dan rahmat Allah, aku terasa gementar memikirkan apakah akan ada ujian dan cobaan yang diberikan oleh Allah sepanjang menjadi tetamunya nanti. Allah tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hambaNya, malah menguji hambanya agar terampun segala dosa mereka dan terangkat darjat mereka di sisiNya. Apakah dengan berbagai dosa dan kelalaian aku sebagai seorang pemimpin agama di negeri ini, akan dibiarkan oleh Allah begitu sahaja. Apakah aku akan diuji dan diberikan pengajaran oleh Allah sepanjang bertamu di tanah suci nanti. Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, jika engkau mengujiku, sesungguhnya aku redha dengan segala ketentuanMu. Namun jika engkau ampunkan segala kesilapanku, Engkau permudahkan segala urusanku, Engkau berikan keistimewaan kepadaku sebagai tetamuMu, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hambaMu.
Ujian pertama telah kuterima setelah tawaran pergi kuterima. Oleh kerana aku akan bertolak ke Mesir untuk berkursus selama 3 bulan, maka rayuan kuota untuk isteriku terpaksa dihantar ke Tabung Haji sebelum aku berangkat. Ketika itu senarai nama penerima anugerah masih belum diterima dari Jabatan Agama Islam Perak. Ini menyebabkan nama isteriku tidak dapat dipasangkan dengan namaku hingga menyebabkan ketika kesemua penerima anugerah lain telah menerima pengesahan untuk kuota isteri masing-masing namun aku masih lagi ditahap merayu. Alhamdulillah, dengan pertolongan Haji Mohd Abas, Timbalan Pengarah Tabung Haji Perak yang juga jiran setamanku, setelah sekian lama menderita perasaan, akhirnya hanya di saat hampir menyambut Hari Lebaran, barulah isteriku menerima tawaran dan segala urusan pasport dan sebagainya terpaksa dibuat dengan tergesa-gesa.
5.30 petang, Khamis, 23 September, kami membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Murshid dan Tharizah. Selepas Zohor sebelumnya aku terasa sakit kepala di pejabat. Tiba-tiba tekanan darahku mencatatkan bacaan 170/ 120. Tiga kali ujian itu dibuat kerana aku sebenarnya sentiasa membuat pemeriksaan sendiri di rumah dengan alat elektronik. Akhirnya aku di arahkan untuk mula memakan ubat dan datang semula dalam masa 5 hari.
-Bersambung-
No comments:
Post a Comment