Thursday, December 17, 2009

Hari Keluarga Masjid Negeri

Oleh kerana sehingga kini Jawatankuasa Tadbir Masjid Negeri masih belum dipinda, maka sehingga kinilah aku masih menjawat jawatan bendaharinya. Maka setiap tahun aku akan turut bersama dalam Hari Keluarga yang dianjurkan. Berbeza dengan tahun-tahun lalu, tahun ini Dato' Sheikh tidak bersama semenjak menjadi Pengarah.

Kemesraan lebih terserlah pada tahun ini memandangkan semuanya bersama menaiki bas beramai-ramai. Namun apa yang dirancangkan tidak semuanya menjadi kenyataan. Perjalanan ke Genting Highland terencat seketika apabila tayar bas terpaksa ditukar ketika berhenti di R & R Tapah. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Muzammil yang begitu tegas meminta bas lain untuk meneruskan perjalanan. Keselamatan penumpang sewajarnya menjadi keutamaan tertinggi dan tidak sewajarnya dipandang ringan.

Keadaan penginapan yang disediakan oleh agensi pelancungan bolehlah dikatakan selesa. Kami menginap di Ria Apartment yang terletak di bawah sedikit daripada puncak. Ini bermakna kami terpaksa menapak mendaki bukit untuk ke tempat permainan.


Kesejukan Tanah Tinggi Genting ini amat dirasai memandangkan hujan yang sentiasa mengiringi percutian kami kali ini. Ya lah, kalau tak nak sejuk sangat cukuplah di Cameron Highland yang tidak begitu jauh dari Bandaraya Ipoh.

Satu yang aku geram dengan pengurusan Theme Park ni. Ada ke salah satu permainan airnya, Bumper Boat mensyaratkan berat bawah 75 kg untuk menaikinya. Tanpa perlu menggunakan alat timbang tyang disediakanpun aku tahu aku terkeluar dari senarai kelayakan. Rasanya pelampung yang digunakan sama je dengan yang lain. Entah apa kajian yang dijalankan untuk permainan tersebut.
Secara umumnya walaupun ada beberapa masalah seperti nasi bungkus yang disediakan seolah-olah kami ni perlarian Rohingya, kurangnya disiplin beberapa orang peserta sehingga melambatkan pergerakan dan beberapa masalah teknikal, namun segalanya berjalan lancar dan amat menghiburkan. Tahniah atas pengurusan yang baik oleh Ustaz Muzammil dan Cik Fadzilah sehingga membolehkan kami menikmati percutian yang sukar untuk dilupakan.
* Aku lupa nak check setting date pada kamera. So jangan confuse dengan tarikh pada gambar tu.

Thursday, December 10, 2009

Bertukar ke Pejabat Agama Daerah Ipoh

Rabu, 9 Disember 2009 - jam 3.30 petang. secara rasminya aku menerima surat pertukaran ke Pejabat Agama Daerah Ipoh. Walaupun pertukaran bukanlah suatu yang asing bagiku semenjak menjadi warga JAIPk, namun pertukaran kali ini adalah satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Pertukaran ini bukan sahaja melegakan sedikit beberapa kekecewaan yang bersarang di benakku selama ini, namun ianya memberi sedikit kegembiraan bagi beberapa orang anggota bawahan yang gelisah menantikan siapakah yang bakal menggantikan aku di pejabat ini. Walaupun aku bukanlah yang terbaik, namun keikhlasanku mencuba sedaya upaya mengwujudkan suasana kemesraan antara anggota dan majikan mungkin menyebabkan kebimbangan ini timbul. Mungkin kurangnya pendedahan dan pengalaman bersama pegawai lain menyebabkan mereka merasakan suasana kerja yang sebegini tidak akan dapat dikecapi bersama pegawai lain.


Sebagai penjelasan agar tidak dipandang serong selama-lamanya, ingin aku jelaskan bahawa bahawa tidak pernah sekalipun aku mengambil kesempatan dengan hubungan baikku dengan pengarah selama ini. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir. Kalaulah tidak kerana Ustaz Yeop Saidin yang mendesak aku bertindak, perkara ini tidak akan sekali-kali aku lakukan. Walaupun beliau mendesak agar aku sendiri memohon kepada pengarah untuk kekal di Ipoh, namun aku katakan bahawa aku tidak mampu menyatakannya sendiri. Beliau terus mengatakan bahawa beliau sendiri aku bersemuka dengan pengarah untuk menyatakan hal tersebut. Beliau bersama dengan Ustaz Kamarudin mengadap pengarah dan 5 minit sesudah itu aku dipanggil oleh pengarah untuk masuk ke dalam biliknya.


Isu terbesar adalah mencari siapakah yang akan menggantikan aku di Kuala Kangsar. Oleh kerana pegawai yang paling rapat dengan pengarah pada masa ini adalah Ustaz Muzammil maka dialah yang pertama dihubungi oleh pengarah untuk mendapatkan persetujuan berpindah ke Kuala Kangsar. Oleh kerana Ustaz Muzammil merayu agar diberi masa sehingga tahun hadapan untuk menyelesaikan masalah keluarganya, maka fikiranku dan Kamaruddin terlintas nama Ustaz Burhanuddin yang belum pernah bertugas di daerah. Kami melihat Ustaz Burhanuddin adalah salah seorang yang berpotensi untuk ditonjolkan sebagai pimpinan di masa akan datang. Namun sekian lama di bahagian, tidak membantu beliau mengukir nama di kalangan masyarakat umum. Maka peluang berada di daerah adalah kesempatan terbaik bagi menempatkan diri di hati masyarakat. Tidak langsung terlintas untuk menganiaya, tetapi bagi melihat kemajuan kerjaya seorang teman.


Sebagai manusia biasa tidak mungkin aku mengharapkan agar Ustaz Burhanudin tidak menyimpan perasaan marah dan geram terhadap kami namun kami mengharapkan masa akan merawat segalanya. Suatu masa nanti kami yakin sebagaimana yang telah kami lalui, Ustaz Burhanuddin akan merasakan kemanisannya sebagai Pegawai Tadbir Daerah yang mana walaupun hanya menjalankan dasar bahagian-bahagian, namun peranan dan tanggungjawabnya tidak mampu dikesampingkan. Pengalaman membuat keputusan secara berseorangan, terkadang tak sempat mendapatkan pandangan teman-teman menjadikan Pegawai Tadbir Agama Daerah jauh lebih matang berbanding teman-teman di bahagian-bahagian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...