Thursday, December 10, 2009

Bertukar ke Pejabat Agama Daerah Ipoh

Rabu, 9 Disember 2009 - jam 3.30 petang. secara rasminya aku menerima surat pertukaran ke Pejabat Agama Daerah Ipoh. Walaupun pertukaran bukanlah suatu yang asing bagiku semenjak menjadi warga JAIPk, namun pertukaran kali ini adalah satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Pertukaran ini bukan sahaja melegakan sedikit beberapa kekecewaan yang bersarang di benakku selama ini, namun ianya memberi sedikit kegembiraan bagi beberapa orang anggota bawahan yang gelisah menantikan siapakah yang bakal menggantikan aku di pejabat ini. Walaupun aku bukanlah yang terbaik, namun keikhlasanku mencuba sedaya upaya mengwujudkan suasana kemesraan antara anggota dan majikan mungkin menyebabkan kebimbangan ini timbul. Mungkin kurangnya pendedahan dan pengalaman bersama pegawai lain menyebabkan mereka merasakan suasana kerja yang sebegini tidak akan dapat dikecapi bersama pegawai lain.


Sebagai penjelasan agar tidak dipandang serong selama-lamanya, ingin aku jelaskan bahawa bahawa tidak pernah sekalipun aku mengambil kesempatan dengan hubungan baikku dengan pengarah selama ini. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir. Kalaulah tidak kerana Ustaz Yeop Saidin yang mendesak aku bertindak, perkara ini tidak akan sekali-kali aku lakukan. Walaupun beliau mendesak agar aku sendiri memohon kepada pengarah untuk kekal di Ipoh, namun aku katakan bahawa aku tidak mampu menyatakannya sendiri. Beliau terus mengatakan bahawa beliau sendiri aku bersemuka dengan pengarah untuk menyatakan hal tersebut. Beliau bersama dengan Ustaz Kamarudin mengadap pengarah dan 5 minit sesudah itu aku dipanggil oleh pengarah untuk masuk ke dalam biliknya.


Isu terbesar adalah mencari siapakah yang akan menggantikan aku di Kuala Kangsar. Oleh kerana pegawai yang paling rapat dengan pengarah pada masa ini adalah Ustaz Muzammil maka dialah yang pertama dihubungi oleh pengarah untuk mendapatkan persetujuan berpindah ke Kuala Kangsar. Oleh kerana Ustaz Muzammil merayu agar diberi masa sehingga tahun hadapan untuk menyelesaikan masalah keluarganya, maka fikiranku dan Kamaruddin terlintas nama Ustaz Burhanuddin yang belum pernah bertugas di daerah. Kami melihat Ustaz Burhanuddin adalah salah seorang yang berpotensi untuk ditonjolkan sebagai pimpinan di masa akan datang. Namun sekian lama di bahagian, tidak membantu beliau mengukir nama di kalangan masyarakat umum. Maka peluang berada di daerah adalah kesempatan terbaik bagi menempatkan diri di hati masyarakat. Tidak langsung terlintas untuk menganiaya, tetapi bagi melihat kemajuan kerjaya seorang teman.


Sebagai manusia biasa tidak mungkin aku mengharapkan agar Ustaz Burhanudin tidak menyimpan perasaan marah dan geram terhadap kami namun kami mengharapkan masa akan merawat segalanya. Suatu masa nanti kami yakin sebagaimana yang telah kami lalui, Ustaz Burhanuddin akan merasakan kemanisannya sebagai Pegawai Tadbir Daerah yang mana walaupun hanya menjalankan dasar bahagian-bahagian, namun peranan dan tanggungjawabnya tidak mampu dikesampingkan. Pengalaman membuat keputusan secara berseorangan, terkadang tak sempat mendapatkan pandangan teman-teman menjadikan Pegawai Tadbir Agama Daerah jauh lebih matang berbanding teman-teman di bahagian-bahagian.

1 comment:

Anonymous said...

Ustaz Yeob Saidin meninggal dunia hari ini, al -Fatihah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...