Blog Peribadi bagi berkongsi pandangan dan maklumat mengenai pentadbiran dan pengurusan Islam, Hukum Hakam Islam, Syariah Allah, isu-isu semasa berkaitan ekonomi, sosial, kemasyarakatan, politik dan sebagainya.
Monday, September 20, 2021
SALAHKAH MENGUTAMAKAN VVIP SOLAT JUMAAT DI MASJID
Thursday, January 28, 2021
DIPLOMA PENTADBIRAN KEHAKIMAN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA
MENYAMBUNG PENGAJIAN DIPLOMA PENTADBIRAN KEHAKIMAN UNIVERSITI
ISLAM ANTARABANGSA
Jawapan yang aku terima betul-betul
meremukkan perasaanku. Impian dan cita-cita yang sekian lama tersemat di hati
ini seakan hancur berkecai tanpa sebarang jaminan masa depan yang boleh
disandarkan. Ketika itu aku bertugas di Sekolah Menengah Gopeng sebagai Guru
Sandaran Tak Terlatih, satu jawatan yang amat menjengkelkan dan tidak langsung
menarik minatku walaupun sedikit. Aku terpaksa memikirkan beberapa alternatif
bagi memastikan bidang kerjaya yang akan aku pilih. Ketika itu aku mempunyai
beberapa alternatif samada terus memasuki alam pekerjaan ataupun melanjutkan
pelajaran. Pilihan yang adalah ketika itu adalah:
a)
Mengikuti
pengajian Diploma Pentadbiran Kehakiman (DAIJ)
b) Memohon menjadi
Kapten dalam KOR AGAMA TENTERA (KAGAT) yang diberikan borang kerana keahlianku
sebagai Leftenan Muda Askar Wataniah (PALAPES U.Malaya)
c)
Mengikuti pengajian Diploma Pendidikan di Universiti
Malaya.
Pilihan ketiga adalah pilihan yang paling
mendesak untuk aku elakkan walaupun isteriku, Normaiza Abdul Rahim mengambil
pilihan tersebut. Kami mendirikan rumahtangga pada 31 Mei 1995. Walaupun agak
berprestij namun kehidupan sebagai tentera juga bukanlah pilihan utamaku. Maka
pilihan pertama itu aku pilih tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian yang
begitu bersungguh.
DIPLOMA PENTADBIRAN KEHAKIMAN (DAIJ)
Diploma ini
ditawarkan oleh UIA bagi persiapan mereka yang akan bekerja di
Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Selain dari UIA, UKM juga
menawarkan diploma yang sama dengan sedikit sebanyak perbezaan. Bagi para
pelajar yang baru menghabiskan pengajian Sarjana Muda Mereka dikehendaki
mengikuti pengajian selama 2 tahun. Kelebihan bagi pelajar UIA yang sudah
mengambil pengajian undang-undang, mereka akan memperolehi ijazah kedua dalam
bidang Syariah di samping ijazah undang-undang sivil yang telah mereka
perolehi.
Bagi mereka yang sudah diterima
bekerja di Mahkamah Syariah atau di Jabatan Agama Islam negeri-negeri, maka
mereka hanya perlu menghabiskan masa setahun sahaja bagi memperolehi diploma
tersebut.
Bagi aku
sebagai pelajar Universiti Malaya, diploma ini bukanlah suatu yang begitu
mencabar. Segala pelajaran undang-undang yang dijadikan silibus telahpun diajar
ketika aku di peringkat Sarjana Muda malah oleh pensyarah yang sama dari UIA
yang mengambil kelas part time di UM.
Bagi pelajaran Syariah pula diambil pensyarah daripada UM untuk mengajar
dalam kelas diploma ini. Ini menjadikan aku antara pelajar pilihan bagi mereka
memandangkan aku dianggap lebih mantap Bahasa Arab dan pembacaan kitab Arabnya
berbanding pelajar-pelajar daripada UIA. Namun genap sebulan aku di UIA, aku
dikejutkan oleh panggilan daripada apak yang menyatakan mengenai kehadiran
surat tawaran kerja daripada Jabatan Agama Islam Perak. Oleh kerana ketika itu
masih belum ada “aplikasi what apps” maka pilihan yang ada hanyalah meminta agar
apak membacakan segala isi kandungannya. Walaupun pelik dengan maksud yang
tersurat namun aku lantas menemui penyelia diploma ketika itu yang menggesa
agar aku pulang ke Perak untuk memulakan tugas. Beliau mengatakan bahawa nanti
datanglah balik ke UIA untuk menyambung kembali pengajian yang terhenti. Atas
nasihat itu maka baliklah aku ke kampung untuk melaporkan diri ke Jabatan Agama
Islam Perak.
Kisah permulaan hidupku sebagai seorang Qadi
Kisah hidupku sebagai seorang Qadi
bermula pada 1 September 1995 ketika mana aku memulakan tugasku di Jabatan
Agama Islam Perak. Aku pernah bertekad untuk berkhidmat sehingga pencen di
Negeri Perak jika diterima bekerja di Jabatan Agama Islam Perak walaupun
tawaran ini merupakan sejarah peribadiku yang agak aneh.
MENGHADIRI TEMUDUGA SPA
Sebaik sahaja menamatkan pengajian di
Universiti Malaya antara permohonan yang paling aku harapkan adalah jawatan di
Jabatan Agama Islam Perak. Aku pernah menghadiri pelbagai temuduga termasuk
bagi jawatan yang sama di Pulau Pinang yang mana di antaranya melibatkan Syeikh
Azmi, Mufti Kerajaan Pulau Pinang ketika itu. Beliau hanya bertanya mengenai Tuan
Sheikh Haji Yunus, seorang Ulamak dari Kampung Tualang Sekah yang terkenal suatu
masa dahulu. Walaubagaimanapun semua permohonan menemui kegagalan. Ironinya
bagi jawatan yang aku pegang sehingga kini juga pernah mengecewakan aku apabila
dinyatakan gagal. Aku telah menghadiri sesi temuduga bagi mengisi jawatan ini
yang dilaksanakan melalui Panel Penemuduga Suruhan Jaya Perkhidmatan Awan
Negeri Perak. Sesi temuduga melibatkan SS Mufti Negeri Perak yang ketika itu
disandang oleh SS Tan Seri Dato Seri Haji Harussani Bin Haji Zakaria dan tujuh
atau lapan individu lain yang tidak aku kenali. Tidak banyak soalan daripada
panel lain melainkan beberapa soalan umum yang boleh dijawab dengan tenang dan
yakin. Namun terdapat beberapa soalan dari SS Mufti yang menarik untuk
dikenangkan. Antaranya adalah :
Mufti : Keje Qadi ni
banyak berurusan dengan orang-orang tua..boleh ke?
Aku : Saya tak pernah
lagi menghadapinya tapi kalau orang lain boleh kenapa
tidak
saya ?
Mufti : Keje Qadi mesti boleh baca kitab Arab…tolong
baca kitab tu….
Aku : Sebelum baca saya nak maklumkan guru
Bahasa Arab saya bagitau, kita
kalau pertama kali baca kitab Arab ni
mesti ada salah. Cuma kita perasan ada salah dan kita betulkan kali kedua dan
kali ketiga baca.
Mufti : Okay ana bagi enta baca 3 kali !!!!
Akupun mula membaca dengan penuh ketenangan dan
kegelabahannya…..
Mufti : Ada 3 tempat salah.
Aku : Aku mengulang
bacaan dengan lebih hati-hati dan penuh kepasrahan…
Mufti : Okay…(tak dapat
dipastikan samada betul atau dia menyampah nak
mendengarnya)
: Hukum ada
berapa?
Aku : Hukum apa yang dimaksudkan…ada orang kata
hukum hudud, qisas
dan
takzir tu hukum…..(Entah macam mana aku gagal memahami
apakah maksud soalan tersebut)
Mufti : Apa lagi hukum
yang ada ?
Aku : Tak ingatlah….
Mufti : Fardhu Ain ni
sheikh !!!!!! Hukum Syarak, Hukum Akal dan Hukum
Adat…..
Mufti : Dahla…boleh
keluar……
Aku : Sebelum saya
keluar saya nak maklumkan ketiga-tiga syarat Qadi yang
saya baca
tadi telahpun saya penuhi…
Mufti : Ha Ha haa
(mufti ketawa tebahak-bahak seorang diri hampir setengah
minit
dengan diperhatikan oleh panel lain dengan penuh kehairanan.
Aku : Tanpa menunggu
lama akupun mengumpul segala sijil yang aku bawa
dan bergegas ke pintu keluar.
Sambil aku berjalan keluar mufti
menjelaskan kepada panel lain mengenai 3 syarat awal menjadi qadi yang aku baca
dalam Kitab Ahkamu Sultaniah tadi iaitu Islam, Lelaki dan Baligh.
Aku tak pasti berapa lama setelah itu
untuk aku mandapatkan jawapannya. Setelah suratnya kubuka maka jelas tertulis
di situ keputusan temuduga tersebut adalah GAGAL…..bukan simpanan apatah
lagi bukan berjaya…..aku ulangi….GAGAL.