Thursday, January 28, 2021

DIPLOMA PENTADBIRAN KEHAKIMAN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA

 

MENYAMBUNG PENGAJIAN DIPLOMA PENTADBIRAN KEHAKIMAN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA

Jawapan yang aku terima betul-betul meremukkan perasaanku. Impian dan cita-cita yang sekian lama tersemat di hati ini seakan hancur berkecai tanpa sebarang jaminan masa depan yang boleh disandarkan. Ketika itu aku bertugas di Sekolah Menengah Gopeng sebagai Guru Sandaran Tak Terlatih, satu jawatan yang amat menjengkelkan dan tidak langsung menarik minatku walaupun sedikit. Aku terpaksa memikirkan beberapa alternatif bagi memastikan bidang kerjaya yang akan aku pilih. Ketika itu aku mempunyai beberapa alternatif samada terus memasuki alam pekerjaan ataupun melanjutkan pelajaran. Pilihan yang adalah ketika itu adalah:

a)      Mengikuti pengajian Diploma Pentadbiran Kehakiman (DAIJ)

b)   Memohon menjadi Kapten dalam KOR AGAMA TENTERA (KAGAT) yang diberikan borang kerana keahlianku sebagai Leftenan Muda Askar Wataniah (PALAPES U.Malaya)

c)     Mengikuti pengajian Diploma Pendidikan di Universiti Malaya.

Pilihan ketiga adalah pilihan yang paling mendesak untuk aku elakkan walaupun isteriku, Normaiza Abdul Rahim mengambil pilihan tersebut. Kami mendirikan rumahtangga pada 31 Mei 1995. Walaupun agak berprestij namun kehidupan sebagai tentera juga bukanlah pilihan utamaku. Maka pilihan pertama itu aku pilih tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian yang begitu bersungguh. 

 

DIPLOMA PENTADBIRAN KEHAKIMAN (DAIJ)

            Diploma ini ditawarkan oleh UIA bagi persiapan mereka yang akan bekerja di Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Selain dari UIA, UKM juga menawarkan diploma yang sama dengan sedikit sebanyak perbezaan. Bagi para pelajar yang baru menghabiskan pengajian Sarjana Muda Mereka dikehendaki mengikuti pengajian selama 2 tahun. Kelebihan bagi pelajar UIA yang sudah mengambil pengajian undang-undang, mereka akan memperolehi ijazah kedua dalam bidang Syariah di samping ijazah undang-undang sivil yang telah mereka perolehi.

Bagi mereka yang sudah diterima bekerja di Mahkamah Syariah atau di Jabatan Agama Islam negeri-negeri, maka mereka hanya perlu menghabiskan masa setahun sahaja bagi memperolehi diploma tersebut.

            Bagi aku sebagai pelajar Universiti Malaya, diploma ini bukanlah suatu yang begitu mencabar. Segala pelajaran undang-undang yang dijadikan silibus telahpun diajar ketika aku di peringkat Sarjana Muda malah oleh pensyarah yang sama dari UIA yang mengambil kelas part time di UM.  Bagi pelajaran Syariah pula diambil pensyarah daripada UM untuk mengajar dalam kelas diploma ini. Ini menjadikan aku antara pelajar pilihan bagi mereka memandangkan aku dianggap lebih mantap Bahasa Arab dan pembacaan kitab Arabnya berbanding pelajar-pelajar daripada UIA. Namun genap sebulan aku di UIA, aku dikejutkan oleh panggilan daripada apak yang menyatakan mengenai kehadiran surat tawaran kerja daripada Jabatan Agama Islam Perak. Oleh kerana ketika itu masih belum ada “aplikasi what apps” maka pilihan yang ada hanyalah meminta agar apak membacakan segala isi kandungannya. Walaupun pelik dengan maksud yang tersurat namun aku lantas menemui penyelia diploma ketika itu yang menggesa agar aku pulang ke Perak untuk memulakan tugas. Beliau mengatakan bahawa nanti datanglah balik ke UIA untuk menyambung kembali pengajian yang terhenti. Atas nasihat itu maka baliklah aku ke kampung untuk melaporkan diri ke Jabatan Agama Islam Perak.     

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...