Tuesday, August 31, 2010

Berbuka Di istana

Bukan semua orang berpeluang untuk berbuka puasa di istana walaupun ada yang sudah merasakan siksanya apabila menerima jemputan dari Pejabat Istana. Bagi Pegawai-Pegawai Agama Negeri Perak, tahun ini adalah tahun kedua diperkenankan untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama duli-duli tuanku di istana.
Bagi yang sudah biasa mungkin tidak menyedari sebarang keistimewaan jamuan makan di istana. Namun bagi yang pertama kali merasainya pasti akan merasa teruja dengan suasana yang tidak mungkin dapat kita perolehi di tempat-tempat lain.


Selain dari menu dan makanan yang disajikan mungkin ada yang beranggapan inilah peluang untuk kita beramah mesra dengan raja-raja. Walaupun menu yang disajikan bolehlah dianggap istimewa dari segi bahan dan harganya, namun bagi sesetengah orang ianya gagal membangkitkan selera mereka. Tidak keterlaluan jika dikatakan, apa sangatlah rasionalnya menggunakan Catering hebat seperti Pakeeza atau Casuarina sedangkan kita mampu mendapatkan makanan yang jauh lebih menyelerakan jika catering biasa diminta menyediakan masakan ala kampung.
Bagi yang ingin bersalam dengan duli-duli tuanku biasanya kesempatan itu diberikan selepas more ketika keluar dari dewan santapan. Sebelumnya hanya orang-orang besar kerajaan sahaja yang berada di keliling tuanku. Rakyat jelata hanya berkesempatan melihat dan mengintai dari jauh tanpa berpeluang untuk merapati mereka. Bagi yang mengharapkan untuk beramah mesra dan bersembang panjang dengan duli-duli tuanku lebih baik padamkan sahaja impian itu kerana antara kita ada darjat yang membezakan kita. Sedangkan pegawai-pegawai kerajaan seperti kamipun tidak pernah mendapat peluang, apatah lagi bagi orang kampung yang belum tentu mampu mencari idea apa yang perlu disembangkan jika berkesempatan beramah mesra dengan duli-duli tuanku.

Friday, August 27, 2010

Berbuka Di Hotel Seri Malaysia

Budaya berbuka puasa di hotel-hotel bagaikan sudah tidak dapat dibendung-bendung lagi. Walaupun dari satu sudut kelihatan seolah-olah seperti satu pembaziran namun bagi yang tidak biasa mereka beralasan sekadar ingin mencuba. Sekadar untuk mencuba berbagai juadah yang disediakan disamping menghayati suasana makan yang selesa tidaklah boleh dianggap keterlaluan. Namun untuk dijadikan budaya, rasanya tidaklah berbaloi jika dilihat kepada harganya. Dengan harga sekitar RM 30 hingga ke RM 40 cukup untuk membeli bahan mentah bagi keperluan seseorang selama seminggu. Malam ini aku dijemput oleh Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perak (PEWARAK) memandangkan aku adalah salah seorang ahli jawatankuasa persatuan ini.

Penglibatan dengan berbagai agensi menyebabkan aku terpaksa menyertai majlis berbuka di hotel beberapa kali dalam setahun. Ketika di Bahagian Pengurusan Masjid, atas permintaan anggota bawahan, setiap tahun kami akan bersama semua ahli keluarga berbuka di mana-mana hotel. Sebagai Bendahari Masjid Negeri, aku juga terpaksa membawa kakitangan masjid untuk merasai suasana tersebut. Ada masanya, dengan jumlah yang begitu besar, sebagai ahli jawatankuasa tertinggi, aku juga mengaturkan program yang sama untuk ahli keluarga Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak.

Terdapat beberapa masalah yang dihadapi ketika berbuka di hotel. Dengan bayaran yang semahal tu, pastinya kita mahukan manfaat yang setanding dengan perbelanjaan yang sudah dikeluarkan. Maka penuhlah meja dengan berbagai jenis hidangan yang disediakan. Tempoh waktu makan juga agak panjang hingga menjangkau ke pukul 10 malam jika ada lagi yang masih tinggal. Akhirnya perut terlalu kenyang sehingga menyebabkan ada ibadat yang tidak mampu dilaksanakan.

Saturday, August 21, 2010

Berbuka Bersama Masyarakat Orang Asli

Alhamdulillah, sebagaimana tahun yang lalu, aku berkesempatan menghadiri majlis berbuka puasa bersama masyarakat Orang Asli, Kampung Baduk, Ulu Chemor. Jika tahun lalu aku hanya hadir meraikan majlis penyampaian sumbangan dari Yayasan Taqwa, Wilayah Persekutuan, tapi malam tadi merupakan program yang ditaja oleh Pejabat Agama Daerah Ipoh sendiri.

Setelah menjamu selera dan Solat Maghrib berjemaah, aku diminta menyampaikan sedikit tazkirah. Berceramah kepada masyarakat orang Asli bukanlah semudah menyampaikan ceramah di masjid dan surau. Bahasa dan isinya terpaksa diturun tarafkan seolah-olah bercakap dengan pelajar sekolah rendah. Namun Alhamdulillah, penduduk kampung ini mengikut kata Mubaligh dan Penggerak Masyarakat yang menjaga mereka sebenarnya sudah jauh ke hadapan. Mereka tetap mengekalkan Solat Jemaah dan Terawih walaupun tanpa bimbingan dari para mubaligh. Ini jelas terbukti dengan bilangan mereka yang bersolat terawih bersama pada malam tadi. Walaupun aku tidak langsung memendekkan atau mempercepatkan bacaan pada malam tadi, tidak ada tanda rungutan di wajah mereka seolah-olah mereka telah biasa dengan suasana dan bacaan Al-Quran dalam kehidupan mereka.


Kampung ini bukanlah yang terbaik yang pernah diberi didikan oleh Jabatan Agama Islam Perak. Di Sungai Siput, Kuala Kangsar, terdapat sekolah agama rakyat khusus bagi Orang Asli yang terletak di Kampung Kenang. Pelajar sekolah ini sudah mengenali dan menghayati Islam jauh melebihi kebanyakan masyarakat Melayu yang ada. Jika di dengar bacaan Al-Quran mereka sudah tidak dapat dikenali keAslian mereka. Namun tidak banyak publisiti yang diberikan terhadap perkara ini oleh pihak yang menguasai media. Akibatnya masyarakat, termasuk para penceramah jalanan mahupun yang terkenal, sering membangkitkan isu pengabaian mereka oleh jabatan-jabatan agama seluruh negara. Mereka yang suka mengata dan menghina ini bukan sahaja tidak pernah melibatkan diri dalam usaha dakwah ini, malah tidakpun mahu membuat kajian dan mengumpul maklumat berkaitan sebelum bercakap.






Friday, August 20, 2010

Ramadhan terakhir mereka



Ramadhan tahun ini menjadi kenangan yang tidak mudah dilupakan. Sudah 3 orang kenalan dan sahabat dijemput menemui Allah pada Ramadhan tahun ini. Bermula dengan kematian isteri kepada SF Ustaz Abu Bakar Husin, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rapat Jaya Tambahan ketika hujan mencurah-curah sepanjang malam tersebut. Itulah pertama kali aku melihat Masjid Raja Nazrin, Masjid Daerah Ipoh penuh sesak seumpama Solat Jumaat. Inilah untungnya menjadi isteri kepada pimpinan Parti yang memperjuangkan Islam. Manusia dari seluruh pelusuk negeri menghadiri majlis pengkebumian tersebut. SF Ustaz Bakar pernah menjadi teman rapatku ketika mengajar di Sekolah Idris Shah Gopeng, 15 tahun lalu. Ketika itu aku mengjadi Guru Sandaran Tak Terlatih di sekolah tersebut.

Selang sehari selepasnya, menyusul pula bapa kepada Dr. Anuar Abdullah, Pengerusi Surau Muhajirin, Taman Lapangan SSI di mana kami menginap pada masa ini. Jika tidak kerana semangat juang dan kehebatannya beliau sudah pasti aktiviti surau kami tidak semeriah ini. Sebagaimana kisah kematian ayahandaku beberapa tahun lalu, begitulah kisah yang berlaku terhadap ayahnya. Akibat menderita sakit buah pinggang, hanya dalam masa 6 minggu sahaja, bapanya berubah dari keadaan sihat menjadi koma dan menemui ajal. Seolah-olah kisah yang menimpa ayahandaku kini berulang semula.

Petang semalam aku menerima mesej dari Ustaz Firdaus, PTA Lenggong mengenai kemalangan yang meragut nyawa bekas Kadi Lenggong, SF Ustaz Bukhari Harun. Beliau menjawat jawatan Pegawai Penyelaras Masjid ketika aku mula menjadi Kadi di Lenggong. Tanpa tunjuk ajar dan panduan beliau pasti sukar aku memulakan tugas pertamaku sebagai penjawat awam di sana. Di sebalik sifatnya yang begitu low profail tersembunyi khazanah ilmu di dadanya. Beliau adalah antara guru dan sahabatku dalam mentadbir hal ehwal agama di Lenggong ketika itu. Sebarang masalah dalam mencari hukum di dalam kitab kami selesaikan dengan merujuk kitab turath secara bersama. Segala jasamu, yang kupanggil Pok Yei tidak mampu aku balas dan hanya Allah yang mampu memberikan ganjarannya.

Malangnya oleh kerana pengkebumian dijalankan pada jam 9.00 pagi tadi, aku gagal menziarahinya buat kali terakhir. Aku terpaksa menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Batu Gajah. Dalam masa yang sama turut aku tinggalkan tugas sebagai Panel Penemuduga Imam bersama Pengarah di pejebatku sendiri. Mudah-mudahan Allah memberikan rahmat kepadanya dan menemukan kami semula di syurga nanti.

Monday, August 16, 2010

Kenaikan Pangkat ; Wajarkah Masih Ada Rungutan

Alhamdulillah, senarai nama yang dikemukakan untuk diperakui bagi kenaikan ke gred 44 telahpun diterima oleh pihak jabatan. Walaupun aku menganggapnya sebagai perkara biasa, namun kegembiraan melihat begitu ramai teman-teman yang dinaikkan pangkat begitu dirasai. Bagi pihak aku sendiri apalah sangat ertinya kenaikan setelah melalui penahanan selama 15 tahun lebih berbanding teman-teman lain. Kesemua yang naik bersamaku adalah juniorku sebanyak 5 tahun. Sebahagian dari mereka pernah meminta nasihatku ketika hendak menghadiri temuduga pengambilan bekerja beberapa tahun dahulu. Bagiku kenaikan pangkat adalah satu keistimewaan dan penghargaan, bukan hak dan kemudahan. Bukan semua pekerja berhak mendapat kenaikan pangkat walaupun ramai yang tidak begitu layak telahpun dinaikkan pangkat. Sewajarnya mereka yang memiliki kemahiran, kerajinan dan kelebihan tertentu sahaja yang berhak untuk dipertimbangkan.
Namun dengan pihak atasan yang tidak melihat kemahiran dan kelebihan sebagai asas telah menyebabkan kenaikan pangkat sudah menjadi rebutan secara tidak sihat. Asas utama dalam penilaian hanyalah sejauhmana taatnya seseorang kepada parti pemerintah. Jika asas ini dimiliki, terpadamlah segala kekurangan malah kecacatan di sudut yang lain. Kebolehan melaksanakan tugas bukan sangat menjadi keutamaan di dalam pemilihan.
Oleh kerana pencalonan dibuat berdasarkan senioriti, maka tersenarailah semua yang melepasi tempoh perkhidmatan yang ditentukan. Kini penempatan dan pertukaran mula menjadi bahan perbincangan. Secara asasnya kenaikan ini akan menyebabkan pertukaran. Jarang sekali penempatan sedia ada diteruskan jika berlaku kenaikan gred. Perjawatan yang ada sebelum ini sememangnya di daerah-daerah yang sebahagiannya jauh dari ibu pejabat. Jika tidak kerana menggunakan waran perjawatan baru, semua pihak menyedari kekosongan yang bakal diisi hanyalah di daerah yang jauh dari Ipoh. Seharusnya bagi yang mengisi borang kenaikan pangkat sudah bersedia bagi perpindahan mereka ke daerah jika berjaya.
Entah kenapa, jumlah kenaikan yang diluluskan, melebihi dari jangkaan. Asal kekosongan sekadar 3 penempatan kita menjadi 3 kali ganda. Maka sebahagiannya terpaksa di tempatkan di ibu pejabat di samping beberapa daerah yang amat perlu diisi. Maka timbullah rasa kurang senang kerana sebahagiannya tidak perlu dipindahkan dan ditempatkan di ibu pejabat.
Bagi pegawai lain, kenaikan ini menjadikan gaji dan elaun bertambah dengan mendadak. Berbeza denganku yang hampir-hampir mencapai maksimum, maka pertambahannya hanyalah beberapa ringgit sahaja. Walaupun jumlahnya belum dapat dipastikan, namun pastinya tidak akan sebanyak pegawai-pegawai lain yang mempunyai gaji asal yang kurang sedikit. Ini bermakna kenaikan ini mungkin berbaloi bagi menampung perbelanjaan mereka jika berlaku pertukaran. Entah kenapa kerana beberapa orang yang selamat dari perpindahan menyebabkan ada hati yang tidak merelakan. Sedangkan hakikatnya, jika hanya 3 kenaikan asal sahaja yang diluluskan, pastinya mereka yang berjaya tiada pilihan lain kecuali dipindahkan. Mudah-mudahan kealpaan ini segera diingati dan diperbaiki. Setiap yang bernasib baik pada hari ini tidak akan sentiasa dijunjung dan dipertahankan. Setiap pegawai mesti bersedia untuk berpindah mengikut arahan pihak atasan. Cuma masa yang akan menentukan. Jika kita rasa kita ada masalah, apakah kita wajar menganggap orang lain tidak menghadapi sebarang masalah. Oleh yang demikian, redhalah dan bincangkanlah dengan mereka yang berkuasa agar hilang segala yang rasa terkilan di hati. Jangan hanya kerana isu remeh seperti ini, kita bermasam muka dan menambahkan lagi jurang perbezaan antara sesama kita.

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan datang lagi, Apakah sepertimana dulu...



حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِي وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Telah menceritakan kepada kami Abu Nu'aim telah menceritakan kepada kami Al A'masy dari Abu shalih dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman: 'Puasa adalah milik-Ku, dan Aku sendirilah yang akan memberikan ganjarannya, orang yang berpuasa itu meninggalkan syahwatnya, makan dan minumnya karena Aku. Puasa adalah perisai, dan bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa dengan rabbnya. Dan sungguh, bau mulut orang yang berpuasa jauh lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak kesturi." - Riwayat Bukhari
Ramadhan Al-Mubarak sekali lagi melabuhkan tirainya. Terasa sangat betapa belas dan kasihnya Allah kepada hambaNya yang hina ini, yang masih diberikan peluang sekali lagi untuk merebut segala kelebihan yang dikurniakannya. Bukan sekali dua peluang ini sudah diberikan, bukan setahun dua kesempatan ini diabaikan, namun sekali lagi Allah masih memilih aku di antara hambanya yang masih bernafas di Bulan Ramadhan tahun ini.
Kesibukan tugas seharian yang tidak pernah berkurangan, sering menyebabkan keletihan yang mengurangkan peluangku untuk menambahkan ibadat-ibadat sunat. Melayani jemputan berbuka dari hotel hingga ke istana, pernah menyebabkan luputnya terawikhku suatu masa dulu. Jemputan tazkirah di masjid dan surau, memaksa aku melupakan hasrat bertadarus bersama jemaah di surau sendiri.
Apakah Ramadhan tahun ini masih sebagaimana dulu. Apakah kelalaian ini akan berterusan atau akan ada sedikit perubahan. Ya Allah, sebagaimana Engkau kurniakan nikmat memasuki Ramadhan kepadaku, maka berilah kekuatan kepadaku untuk menumpukan pengabdianku kepadaMu. Golongkanlah aku di kalangan hambaMu yang bertaqwa dan mendapat kejayaan cemerlang apabila berakhirnya Ramadhan nanti.

Tuesday, August 03, 2010

Akhirnya Dipanggil Juga

Jumaat, 30 Julai 2010, seminggu setelah kembali ke tanahair, sekali lagi menjadi sejarah tersendiri dalam perkhidmatanku sebagai penjawat awam. Sekali lagi aku dipanggil mengadap Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menggenapkan senarai 3 blacklisted yang dianggap bermasalah. Satu kelainan yang kurasa, apabila sehari sebelumnya, ketika sedang berbengkel di Hotel Seri Malaysia, aku dihubungi oleh PA beliau. Diberitahu mengenai hasrat Dato' Seri SUK hendak bertemu, aku ditanya bila ada kelapangan, berbeza dengan biasanya, ditetapkan masa untuk mengadap.

Pertemuan berlangsung tanpa mengambil masa yang lama. Tidak sebagaimana 2 sahabat terdahulu yang ditanya berkaitan beberapa isu, aku terus ditanya kenapa tidak dinaikkan pangkat. Seperti biasa aku katakan, manalah aku tahu kerana bukan aku yang menentukan. Selainnya kukatakan andaianku bahawa aku terkena tempias lantaran lamanya berkhidmat di masjid negeri yang dianggap markas pembangkang, dan kerana aktifnya aku mengarang khutbah ketika itu. Beliau menyatakan kekesalannya tentang suasana terkini sehingga berbagai penghinaan dilemparkan kepada Mufti.

Ketika beliau menyebut agar tidak menjadi seperti 2 orang sahabatku yang dianggap melampau, aku terus memintas untuk memberikan cadangan. Aku menyatakan bahawa ruginya kerajaan menggantung tugas 2 orang pegawai ini sedangkan mereka tiada masalah dalam bidang pentadbiran dan menjadi rujukan kepada teman-teman. Jika ketakutan politik yang jadi asas pertimbangan, maka aku cadangkan Unit Ukhuwwah atau Penguatkuasaan yang begitu kurang risiko berceramah dan bercakap politik di hadapan masyarakat.

Sebelum menamatkan pertemuan, beliau bertanya apakah sebelum ini ada secara tidak langsung menyelitkan unsur politik dalam khutbah atau ceramah. Aku menjawab bahawa 9 tahun aku di Bahagian Pengurusan Masjid, tidak ditukar ke mana-mana, maka aku menganggap bahawa aku bersih. Akhirnya beliau mengucapkan tahniah dan mengatakan aku telahpun melepasi tapisan dan layak untuk kenaikan pangkat.

Secara lisannya aku sudah layak untuk mengadakan kenduri kesyukuran, namun realitinya apa sahaja boleh berlaku. 

Kembalinya aku ke pejabat disambut oleh Pengarah dengan ucapan tahniah kerana bakal dinaikkan pangkat. Aku bergurau mengatakan :"apa kelas tahniah dari Pengarah...Setiausaha Kerajaan Negeri dah ucap tahniah dulu". 

Maka marilah kita meletakkan segala pengharapan hanya kepada Allah, bukan manusia biasa kerana manusia terlalu banyak helah dan tipu dayanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...