Saturday, August 21, 2010

Berbuka Bersama Masyarakat Orang Asli

Alhamdulillah, sebagaimana tahun yang lalu, aku berkesempatan menghadiri majlis berbuka puasa bersama masyarakat Orang Asli, Kampung Baduk, Ulu Chemor. Jika tahun lalu aku hanya hadir meraikan majlis penyampaian sumbangan dari Yayasan Taqwa, Wilayah Persekutuan, tapi malam tadi merupakan program yang ditaja oleh Pejabat Agama Daerah Ipoh sendiri.

Setelah menjamu selera dan Solat Maghrib berjemaah, aku diminta menyampaikan sedikit tazkirah. Berceramah kepada masyarakat orang Asli bukanlah semudah menyampaikan ceramah di masjid dan surau. Bahasa dan isinya terpaksa diturun tarafkan seolah-olah bercakap dengan pelajar sekolah rendah. Namun Alhamdulillah, penduduk kampung ini mengikut kata Mubaligh dan Penggerak Masyarakat yang menjaga mereka sebenarnya sudah jauh ke hadapan. Mereka tetap mengekalkan Solat Jemaah dan Terawih walaupun tanpa bimbingan dari para mubaligh. Ini jelas terbukti dengan bilangan mereka yang bersolat terawih bersama pada malam tadi. Walaupun aku tidak langsung memendekkan atau mempercepatkan bacaan pada malam tadi, tidak ada tanda rungutan di wajah mereka seolah-olah mereka telah biasa dengan suasana dan bacaan Al-Quran dalam kehidupan mereka.


Kampung ini bukanlah yang terbaik yang pernah diberi didikan oleh Jabatan Agama Islam Perak. Di Sungai Siput, Kuala Kangsar, terdapat sekolah agama rakyat khusus bagi Orang Asli yang terletak di Kampung Kenang. Pelajar sekolah ini sudah mengenali dan menghayati Islam jauh melebihi kebanyakan masyarakat Melayu yang ada. Jika di dengar bacaan Al-Quran mereka sudah tidak dapat dikenali keAslian mereka. Namun tidak banyak publisiti yang diberikan terhadap perkara ini oleh pihak yang menguasai media. Akibatnya masyarakat, termasuk para penceramah jalanan mahupun yang terkenal, sering membangkitkan isu pengabaian mereka oleh jabatan-jabatan agama seluruh negara. Mereka yang suka mengata dan menghina ini bukan sahaja tidak pernah melibatkan diri dalam usaha dakwah ini, malah tidakpun mahu membuat kajian dan mengumpul maklumat berkaitan sebelum bercakap.






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...