Friday, August 20, 2010

Ramadhan terakhir mereka



Ramadhan tahun ini menjadi kenangan yang tidak mudah dilupakan. Sudah 3 orang kenalan dan sahabat dijemput menemui Allah pada Ramadhan tahun ini. Bermula dengan kematian isteri kepada SF Ustaz Abu Bakar Husin, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rapat Jaya Tambahan ketika hujan mencurah-curah sepanjang malam tersebut. Itulah pertama kali aku melihat Masjid Raja Nazrin, Masjid Daerah Ipoh penuh sesak seumpama Solat Jumaat. Inilah untungnya menjadi isteri kepada pimpinan Parti yang memperjuangkan Islam. Manusia dari seluruh pelusuk negeri menghadiri majlis pengkebumian tersebut. SF Ustaz Bakar pernah menjadi teman rapatku ketika mengajar di Sekolah Idris Shah Gopeng, 15 tahun lalu. Ketika itu aku mengjadi Guru Sandaran Tak Terlatih di sekolah tersebut.

Selang sehari selepasnya, menyusul pula bapa kepada Dr. Anuar Abdullah, Pengerusi Surau Muhajirin, Taman Lapangan SSI di mana kami menginap pada masa ini. Jika tidak kerana semangat juang dan kehebatannya beliau sudah pasti aktiviti surau kami tidak semeriah ini. Sebagaimana kisah kematian ayahandaku beberapa tahun lalu, begitulah kisah yang berlaku terhadap ayahnya. Akibat menderita sakit buah pinggang, hanya dalam masa 6 minggu sahaja, bapanya berubah dari keadaan sihat menjadi koma dan menemui ajal. Seolah-olah kisah yang menimpa ayahandaku kini berulang semula.

Petang semalam aku menerima mesej dari Ustaz Firdaus, PTA Lenggong mengenai kemalangan yang meragut nyawa bekas Kadi Lenggong, SF Ustaz Bukhari Harun. Beliau menjawat jawatan Pegawai Penyelaras Masjid ketika aku mula menjadi Kadi di Lenggong. Tanpa tunjuk ajar dan panduan beliau pasti sukar aku memulakan tugas pertamaku sebagai penjawat awam di sana. Di sebalik sifatnya yang begitu low profail tersembunyi khazanah ilmu di dadanya. Beliau adalah antara guru dan sahabatku dalam mentadbir hal ehwal agama di Lenggong ketika itu. Sebarang masalah dalam mencari hukum di dalam kitab kami selesaikan dengan merujuk kitab turath secara bersama. Segala jasamu, yang kupanggil Pok Yei tidak mampu aku balas dan hanya Allah yang mampu memberikan ganjarannya.

Malangnya oleh kerana pengkebumian dijalankan pada jam 9.00 pagi tadi, aku gagal menziarahinya buat kali terakhir. Aku terpaksa menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Batu Gajah. Dalam masa yang sama turut aku tinggalkan tugas sebagai Panel Penemuduga Imam bersama Pengarah di pejebatku sendiri. Mudah-mudahan Allah memberikan rahmat kepadanya dan menemukan kami semula di syurga nanti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...