Jumaat, 30 Julai 2010, seminggu setelah kembali ke tanahair, sekali lagi menjadi sejarah tersendiri dalam perkhidmatanku sebagai penjawat awam. Sekali lagi aku dipanggil mengadap Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menggenapkan senarai 3 blacklisted yang dianggap bermasalah. Satu kelainan yang kurasa, apabila sehari sebelumnya, ketika sedang berbengkel di Hotel Seri Malaysia, aku dihubungi oleh PA beliau. Diberitahu mengenai hasrat Dato' Seri SUK hendak bertemu, aku ditanya bila ada kelapangan, berbeza dengan biasanya, ditetapkan masa untuk mengadap.
Pertemuan berlangsung tanpa mengambil masa yang lama. Tidak sebagaimana 2 sahabat terdahulu yang ditanya berkaitan beberapa isu, aku terus ditanya kenapa tidak dinaikkan pangkat. Seperti biasa aku katakan, manalah aku tahu kerana bukan aku yang menentukan. Selainnya kukatakan andaianku bahawa aku terkena tempias lantaran lamanya berkhidmat di masjid negeri yang dianggap markas pembangkang, dan kerana aktifnya aku mengarang khutbah ketika itu. Beliau menyatakan kekesalannya tentang suasana terkini sehingga berbagai penghinaan dilemparkan kepada Mufti.
Ketika beliau menyebut agar tidak menjadi seperti 2 orang sahabatku yang dianggap melampau, aku terus memintas untuk memberikan cadangan. Aku menyatakan bahawa ruginya kerajaan menggantung tugas 2 orang pegawai ini sedangkan mereka tiada masalah dalam bidang pentadbiran dan menjadi rujukan kepada teman-teman. Jika ketakutan politik yang jadi asas pertimbangan, maka aku cadangkan Unit Ukhuwwah atau Penguatkuasaan yang begitu kurang risiko berceramah dan bercakap politik di hadapan masyarakat.
Sebelum menamatkan pertemuan, beliau bertanya apakah sebelum ini ada secara tidak langsung menyelitkan unsur politik dalam khutbah atau ceramah. Aku menjawab bahawa 9 tahun aku di Bahagian Pengurusan Masjid, tidak ditukar ke mana-mana, maka aku menganggap bahawa aku bersih. Akhirnya beliau mengucapkan tahniah dan mengatakan aku telahpun melepasi tapisan dan layak untuk kenaikan pangkat.
Secara lisannya aku sudah layak untuk mengadakan kenduri kesyukuran, namun realitinya apa sahaja boleh berlaku.
Kembalinya aku ke pejabat disambut oleh Pengarah dengan ucapan tahniah kerana bakal dinaikkan pangkat. Aku bergurau mengatakan :"apa kelas tahniah dari Pengarah...Setiausaha Kerajaan Negeri dah ucap tahniah dulu".
Maka marilah kita meletakkan segala pengharapan hanya kepada Allah, bukan manusia biasa kerana manusia terlalu banyak helah dan tipu dayanya.
No comments:
Post a Comment