Alhamdulillah, senarai nama yang dikemukakan untuk diperakui bagi kenaikan ke gred 44 telahpun diterima oleh pihak jabatan. Walaupun aku menganggapnya sebagai perkara biasa, namun kegembiraan melihat begitu ramai teman-teman yang dinaikkan pangkat begitu dirasai. Bagi pihak aku sendiri apalah sangat ertinya kenaikan setelah melalui penahanan selama 15 tahun lebih berbanding teman-teman lain. Kesemua yang naik bersamaku adalah juniorku sebanyak 5 tahun. Sebahagian dari mereka pernah meminta nasihatku ketika hendak menghadiri temuduga pengambilan bekerja beberapa tahun dahulu. Bagiku kenaikan pangkat adalah satu keistimewaan dan penghargaan, bukan hak dan kemudahan. Bukan semua pekerja berhak mendapat kenaikan pangkat walaupun ramai yang tidak begitu layak telahpun dinaikkan pangkat. Sewajarnya mereka yang memiliki kemahiran, kerajinan dan kelebihan tertentu sahaja yang berhak untuk dipertimbangkan.
Namun dengan pihak atasan yang tidak melihat kemahiran dan kelebihan sebagai asas telah menyebabkan kenaikan pangkat sudah menjadi rebutan secara tidak sihat. Asas utama dalam penilaian hanyalah sejauhmana taatnya seseorang kepada parti pemerintah. Jika asas ini dimiliki, terpadamlah segala kekurangan malah kecacatan di sudut yang lain. Kebolehan melaksanakan tugas bukan sangat menjadi keutamaan di dalam pemilihan.
Oleh kerana pencalonan dibuat berdasarkan senioriti, maka tersenarailah semua yang melepasi tempoh perkhidmatan yang ditentukan. Kini penempatan dan pertukaran mula menjadi bahan perbincangan. Secara asasnya kenaikan ini akan menyebabkan pertukaran. Jarang sekali penempatan sedia ada diteruskan jika berlaku kenaikan gred. Perjawatan yang ada sebelum ini sememangnya di daerah-daerah yang sebahagiannya jauh dari ibu pejabat. Jika tidak kerana menggunakan waran perjawatan baru, semua pihak menyedari kekosongan yang bakal diisi hanyalah di daerah yang jauh dari Ipoh. Seharusnya bagi yang mengisi borang kenaikan pangkat sudah bersedia bagi perpindahan mereka ke daerah jika berjaya.
Entah kenapa, jumlah kenaikan yang diluluskan, melebihi dari jangkaan. Asal kekosongan sekadar 3 penempatan kita menjadi 3 kali ganda. Maka sebahagiannya terpaksa di tempatkan di ibu pejabat di samping beberapa daerah yang amat perlu diisi. Maka timbullah rasa kurang senang kerana sebahagiannya tidak perlu dipindahkan dan ditempatkan di ibu pejabat.
Bagi pegawai lain, kenaikan ini menjadikan gaji dan elaun bertambah dengan mendadak. Berbeza denganku yang hampir-hampir mencapai maksimum, maka pertambahannya hanyalah beberapa ringgit sahaja. Walaupun jumlahnya belum dapat dipastikan, namun pastinya tidak akan sebanyak pegawai-pegawai lain yang mempunyai gaji asal yang kurang sedikit. Ini bermakna kenaikan ini mungkin berbaloi bagi menampung perbelanjaan mereka jika berlaku pertukaran. Entah kenapa kerana beberapa orang yang selamat dari perpindahan menyebabkan ada hati yang tidak merelakan. Sedangkan hakikatnya, jika hanya 3 kenaikan asal sahaja yang diluluskan, pastinya mereka yang berjaya tiada pilihan lain kecuali dipindahkan. Mudah-mudahan kealpaan ini segera diingati dan diperbaiki. Setiap yang bernasib baik pada hari ini tidak akan sentiasa dijunjung dan dipertahankan. Setiap pegawai mesti bersedia untuk berpindah mengikut arahan pihak atasan. Cuma masa yang akan menentukan. Jika kita rasa kita ada masalah, apakah kita wajar menganggap orang lain tidak menghadapi sebarang masalah. Oleh yang demikian, redhalah dan bincangkanlah dengan mereka yang berkuasa agar hilang segala yang rasa terkilan di hati. Jangan hanya kerana isu remeh seperti ini, kita bermasam muka dan menambahkan lagi jurang perbezaan antara sesama kita.
No comments:
Post a Comment