Sunday, February 28, 2016

Ujian Dari Allah

        Sudah begitu lama aku membiarkan blog ini terbiar sepi. Tiba-tiba hilang rasa untuk mencoretkan sesuatu buat tatapan semua. Suasana semasa menjadikan segala yang ingin kunyatakan menjadi menjadi hambar. Lidah yang sering mengkritik suasana tiba-tiba menjadi bungkam. Fenomena ini bukan sahaja melanda diriku sahaja malah turut melibatkan beberapa kenalan bloggers yang aku kenali.
               Berada dalam wad beberapa hari menjadikan hati ini meronta-ronta untuk mencoretkan sesuatu. Ini kali ke tiga aku dimasukkan ke dalam wad. Pertama kali ketika berada di Ipoh, aku dimasukkan ke dalam wad selama 5 hari akibat darah tinggi yang melampaui batas. Dengan bacaan bp melebihi 200, darah keluar daripada hidung dengan mencurah-curah. Doktor mengatakan aku bernasib baik kerana biasanya dengan keadaan sebegitu, urat darah halus biasanya putus di kapala hingga ke otak. Jika itu berlaku maka tidak ada lain jawabnya melainkan aku akan mengalami strok. Syukur Alhamdulillah yang telah memberikan aku peluang untuk hidup dan berbakti kepada agama sedikit masa lagi.
            Kini setelah aku bertukar ke Taiping, sekali lagi aku menerima ujian yang sama. Dengan cuaca Taiping yang sentiasa sejuk dan nyaman, suatu hari aku dikejutkan dengan rasa tekanan di dada. Walaupun aku baru nak merehatkan diri setelah kembali dari mengajar di masjid, tekanan di dada itu berterusan hingga mengganggu tidurku, Puas aku mencuba untuk melelapkan mata, namun dada yang berat menyebabkan aku menjadi tak berdaya. Lantas aku memberikan persetujuan kepada isteri untuk dihantar ke hospital. Bermula dari tengah malam sehinggalah siangnya aku dimasukkan ubat mencairkan darah dan keadaan pulih seperti biasa. Di katakan bahawa aku ditimpa serangan jantung dan keputusanku mendapatkan rawatan segera telah menyelamatkan nyawku buat kali kedua.
           Aku ditempatkan di wad CCU buat beberapa hari sebelum ditukarkan ke wad biasa beberapa hari kemudian. Kini seminggu setelah aku keluar wad, kini aku diganggu lagi dengan kesakitan yang serupa. Lena tidurku dikejutkan pada pukul 3 akibat kesesakan dada dan aku minta dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Kini aku ditempatkan di wad yang sama, D4, Hospital Taiping. 
            Entah sampai bila aku akan terus begini. Kebetulan dalam masa yang sama negara dikejutkan oleh bencana yang sama menimpa Dato' Kazim Alias. Dengan segala keperihatinan dan bantuan berbagai pihak beliau telah dua kali menjalani rawatan Angiogram bagi mengenalpasti keadaan saluran darah ke jantung yang mungkin tersumbat. Sedangkan aku masih tidak ada sebarang kepastian sama sekali. Menurut pihak hospital jika nak dibuat di Ipoh mungkain memakan masa 6 bulan untuk mendapatkan tarikh. Tetapi jika hendak di buat di IJN mungkin boleh disegerakan. Namun tanpa sebarang pertolongan seseorang, dengan hanya menggunakan prosedur biasa, entah bilakah orang biasa sepertiku ini akan mendapat rawatan sewajarnya. Bukan hanya perkara sebesar itu, malah walaupun mempunyai GL yang melayakkan aku berada di kelas pertamapun tak pernah aku nikmati. Jawapan standard yang aku terima hanyalah tiada kekosongan seolah-olah begitu ramai pesakit vip yg beratur untuk memenuhi wad. 
           Aku bersyukur dengan apa yang aku terima selam ini. Aku jugak seorang penduduk kampung yang bisa hidup serba kekurangan dan tanpa sebarang kemewahan. Namun apa yang menjadi tanda tanya adalah layanan yang tidak sama antara mereka yang dikenali dengan yang tak dikenali, mereka yang bergelar VIP dengan yang tiada apa di pandangan manusia. Ironisnya, mereka yang menguruskannya bukanlah golongan VIP atau ternama. Mereka hanyalah jururawat biasa dan doktor-doktor biasa yang tidak mengaut keuntungan puluhan ribu sebulan atas rawatan yang dikenakan. Jika mereka mungkin suatu hari nanti mengharapkan layanan sama rata kepada mereka, kenapa mereka sendiri tidak melakukan perkara yang sama kepada pihak lain. Kepada pihak pengurusan hospital, ada sesuatu yang wajar diperbetulkan.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...