Wednesday, December 19, 2012

RESOLUSI KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA


KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA

TEMPAT :         INSTITUT TADBIRAN ISLAM PERAK, JALAN RAJA MUSA MAHADI, IPOH, PERAK

TARIKH    :        28 NOVEMBER 2012M BERSAMAAN 14 MUHARRAM 1434H

 
ANJURAN :

BAHAGIAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH, JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

DENGAN KERJASAMA

PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI UGAMA NEGERI PERAK,

PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA       NEGERI PERAK DAN MAJLIS PERMUAFAKATAN PEGAWAI TADBIR AGAMA NEGERI PERAK

 

Pengenalan:
Mutaakhir ini Undang-undang Jenayah Islam adalah satu undang-undang yang sering disalah faham oleh masyarakat Islam dan bukan Islam. Kebanyakan pihak hanya menjadikan kekeliruan mengenai undang-undang ini sebagai bahan untuk menghentam, jauh sekali untuk bersama dengan pihak yang ingin melaksanakannya. Tidak kurang juga para cendikiawan yang mengambil kesempatan menonjolkan kekeliruan ini hanya semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan populariti, seolah-olah merekalah yang lebih prihatin dan berjuang dalam usaha melaksanakannya.

 

Objektif Konvensyen:

1.    Menjelaskan kepada masyarakat mengenai beberapa tohmahan dan kekeliruan berkaitan Undang-undang Jenayah Islam.

2.    Meyakinkan masyarakat bahawa Undang-undang Jenayah Islam boleh dan sesuai dilaksanakan di negara majmuk seperti Negara ini.

3.    Menjelaskan fungsi, peranan dan tanggungjawab semua pihak berdasarkan kemampuan dan kemahiran masing-masing.


Pembentangan Kertaskerja bertajuk;

1.    Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam di Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Dr. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Darul Fuqaha’.

2.    Kaedah Pensabitan dan Persaksian Dalam Konteks Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Encik Musa bin Awang, Presiden Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia (PPSM).

3.    Pelaksanaan Syariat Islam Dalam Kerangka Perlembagaan Negara, oleh Y.Bhg. Dr. Siti Zubaidah bt. Ismail, Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya.

 

RESOLUSI KONVENSYEN
Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah: Pemahaman dan Pelaksanaan di Malaysia, anjuran Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Pegawai Ugama Negeri Perak, Persatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Perak, dan Majlis Pemuafakatan Pegawai-Pegawai Tadbir Agama Daerah Negeri Perak, yang berlangsung pada 28 November, 2012 di Institut Tadbiran Islam Perak, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh, Perak dengan ini membuat resolusi-resolusi seperti berikut;

1.    Menyatakan kebimbangan terhadap usaha-usaha peminggiran Undang-Undang Islam dalam sistem perundangan Negara termasuk pihak-pihak yang menonjolkan kesukaran dalam pelaksanaannya yang hakikatnya hanyalah dalihan untuk tidak melaksanakannya.

2.    Menegaskan bahawa kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan adalah wajib dipertahankan dan tidak seharusnya diganggu gugat. Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Negara ini adalah hak umat Islam dan orang bukan Islam tidak wajar campur tangan yang bersifat negatif dalam urusan umat Islam.

3.    Semua Pengamal Undang-Undang yang beragama Islam wajib  membuat pentafsiran terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada di Negara ini ke arah yang menguntungkan Islam dan umatnya. Islam sebagai agama bagi persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai “Undang-Undang Islam mestilah menjadi asas dalam undang-undang Negara” bukan hanya digunakan dalam upacara rasmi semata-mata. Jika tidak dinyatakan secara jelas mengenai halangan pelaksanaannya maka hendaklah ditafsirkan bahawa Undang-Undang Islam dibenarkan untuk dilaksanakan.

4.    Setiap umat Islam wajib bersatu hati dan suara, menyatukan sikap dan tindakan dalam usaha mempertahankan kedudukan Islam dan syariatnya agar dapat dilaksanakan.

5.    Setiap ancaman terhadap Islam dan perlaksanaan syariatnya hendaklah dianggap sebagai ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

6.    Jabatan Agama Islam Perak hendaklah menerajui usaha penerangan dan penjelasan mengenai Syariat Islam ini termasuk melibatkan pihak bukan Islam dan agensi kerajaan seperti PDRM, ATM, Mahkamah dan lain-lain. Usaha penjelasan dan penerangan ini  hendaklah dilaksanakan dengan lebih serius oleh semua pihak termasuk pihak media massa dan menggunakan semua saluran yang ada samada media massa dan kuliah-kuliah di masjid dan surau.

7.             Jabatan Agama Islam Perak hendaklah membentuk suatu Jawatankuasa Khas bagi memulakan proses mentaqnin/menggubal deraf Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Perak mengikut Dasar Hukum Syara’ (Hudud, Qisas, Ta’zir dan Diat) untuk  dilaksanakan di negeri ini.

8.                Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak disarankan agar mengeluarkan fatwa khusus dalam hal perundangan Islam merangkumi kewajipan membantu usaha melaksanakannya, pengharaman memperlekehkannya dan sebarang sumbangan terhadap menyukarkan usaha perlaksanaannya.

Adalah diharapkan agar semua pihak yang terlibat dan semua pihak yang mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menyumbang ke arah pelaksanaan Undang-Undang Islam ini dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing.  Sebagai hamba Allah tidak ada sebarang kerugian pada kita, jika tunduk kepada kehendak Allah dan Allah Maha Berkuasa dalam menentukan kejayaan dan segala cabaran serta risikonya. Janganlah kita takut kepada manusia ketika melaksanakan urusan Allah, tetapi takutlah kepada Allah dalam berurusan dengan manusia.

Sekian, suatu resolusi telah dibuat semoga Allah SWT memberi kekuatan dan Pertunjuk dalam menjadikannya suatu kenyataan. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA

PENGLIBATAN ORANG BUKAN ISLAM SEBAGAI SAKSI DI MAHKAMAH SYARIAH MALAYSIA.
 
1.  Dr. Ahmad Fathi Bahansi dalam bukunya : Nazariyat al-Itsbat Fi al-Fiqh al-Jinaa’ie al-Islami , m/s : 12 menyatakan :

Ada 7 cara yang boleh digunakan dalam membuktikan kes-kes jenayah termasuk dalam kes-kes hudud , iaitu :

1)     Kesaksian.

2)     Pengakuan.

3)     Bahan Bukti (qarinah atau bayyinah)

4)     Keterangan Pakar (al-Khibrah)

5)     Pengetahuan hakim

6)     Dokumen ( Al-Kitabah )

7)    Sumpah

2.  Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah :

Ø  Al-Bayyinah ialah apa sahaja yang boleh menjelaskan kebenaran. Tidak semestinya dalam bentuk saksi. Al-Bayyinah bermaksud sebarang perkara yang boleh menjelaskan kebenaran tak kira dalam bentuk apa pun.

Ø  Menurut beliau, Pihak pendakwa perlu mengemukakan hujah untuk membuktikan kebenaran dakwaannya itu. Meskipun antara hujah atau alasan yang dimaksudkan ialah keterangan saksi, namun tidak menolak penerimaan terhadap keterangan-keterangan dari jenis lain.

Ø  Adakalanya keterangan / al-bayyinah jenis lain selain saksi dan pengakuan itu lebih jelas dan meyakinkan terutama keterangan bersifat bukti kejadian iaitu qarinah al-hal. (contoh dalam kes mencuri, apabila barang curi itu berada dalam simpanan tertuduh sedangkan pada masa itu tiada sebarang pengakuan dibuat dan tidak pula ada saksi yang melihatnya).

Ø  “Para Imam dan khalifah al-Rasyidun sentiasa menjatuhkan hukuman potong tangan apabila barang curi berkenaan didapati berada dalam simpanan tertuduh. Bukti / qarinah ini sebenarnya lebih kuat daripada saksi dan pengakuan.”

 

KEWAJIPAN MELAKSANAKANNYA

1.    Ayat-ayat berkaitan dengan Hudud dan Qisas ditujukan oleh Allah kepada orang-orang beriman seperti :

a.    Hukuman mencuri (فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا)bermaksud “hendaklah kamu semua memotong tangan kedua-duanya”,

b.    Hukuman berzina (فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا) bermaksud: “maka hendaklah kamu semua menyebat setiap orang daripada mereka berdua”.

c.     Hukuman Tuduhan zina (فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً) bermaksud: “maka hendaklah kamu semua menyebat mereka 80 sebatan”.

 Orang yang mampu di sini ialah pihak berkuasa. Justeru itu, pelaksanaan undang-undang Hudud dan Qisas adalah wajib kepada pemerintah dan wakil-wakil pemerintah.

2.    Kewajipan pemerintah melaksanakan undang-undang jenayah Islam telah disepakati oleh ulamak Islam.

a.    Menurut Abu Ishaq al-Syirazi:

“Tidak dilaksanakan Hudud ke atas orang merdeka melainkan oleh Imam (pemerintah) atau orang yang diserahkan mandat oleh pemerintah kerana tidak dilaksanakan hudud ke atas orang merdeka di zaman Nabi saw melainkan dengan izin baginda saw. Begitu juga di zaman Khulafa’, ia tidak dilaksanakan melainkan dengan izin para khalifah.”

b.    Allah berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 49-50.

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ .. وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ..

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu (wahai Muhammad) menghukumkan di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan jangan kamu menuruti kehendak nafsu mereka dan berjaga-jagalah mereka memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepada kamu. Maka sekiranya mereka berpaling, maka ketahuilah bahawasanya Allah hanya mahu menimpakan musibah kepada mereka dengan sebab sebahagian dosa-dosa mereka, dan seseungguhnya kebanyakan manusia itu benar-benar fasiq.”

c.      Seterusnya Allah berfirman

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ .. وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Adakah hukum Jahiliyyah yang mereka cari? Dan siapakah yang lebih baik berbanding Allah hukumannya bagi kaum yang sentiasa yakin”. 

Tokoh Ulamak, Ibnu Kathir r.h (hidup tahun 700 – 770 H /1300 – 1373M) mentafsirkan ayat di atas :

ينكر تعالى على من خرج عن حكم الله المحكم المشتمل على كل خير ، الناهي عن كل شر وعدل إلى ما سواه من الآراء والأهواء والاصطلاحات ، التي وضعها الرجال بلا مستند من شريعة الله ، كما كان أهل الجاهلية يحكمون به من الضلالات والجهالات ، مما يضعونها بآرائهم وأهوائهم ، وكما يحكم به التتار من السياسات الملكية المأخوذة عن ملكهم جنكزخان الذي وضع لهم اليساق وهو عبارة عن كتاب مجموع من أحكام قد اقتبسها عن شرائع شتى ، من اليهودية والنصرانية والملة الإسلامية ، وفيها كثير من الأحكام أخذها من مجرد نظره وهواه ، فصارت في بنيه شرعا متبعا ، يقدمونها على الحكم بكتاب الله وسنة رسوله صلى الله عليه وسلم . ومن فعل ذلك منهم فهو كافر يجب قتاله ، حتى يرجع إلى حكم الله ورسوله [ صلى الله عليه وسلم ] فلا يحكم سواه في قليل ولا كثير ،

“Allah mengengkari orang yang keluar daripada hukum Allah yang jitu, yang merangkumi segala bentuk kebaikan, yang menghalang sebarang bentuk keburukan dan beralih kepada selainnya yang berupa pandangan-pandangan, kehendak-kehendak nafsu dan pelbagai istilah yang dicipta oleh tokoh-tokoh manusia tanpa sandaran daripada Syariat Allah sebagaimana berlaku kepada orang Jahiliyyah yang berhukum dengan pelbagai kesesatan dan kejahilan yang dicipta oleh mereka dengan pemikiran dan nafsu mereka. Demikian juga hukum yang digunakan oleh Tatar berupa polisi pemerintahan yang dipetik daripada Raja mereka Genjiz Khan yang telah mencipta untuk mereka Yasaq yang merupakan buku himpunan hukum-hakam yang dipetik daripada pelbagai perundangan sama ada Yahudi, Nasrani dan agama Islam. Ia mengandungi banyak hukum-hakam yang diambil oleh beliau hanya berasaskan pemerhatian dan nafsunya, lalau ia menjadi syariat yang diikuti oleh keturunannya. Mereka mengutamakannya melebihi Kitab Allah dan Sunnah RasulNya saw. Sesiapa yang melakukan sedemikian maka dia menjadi kafir yang wajib diperangi sehinggalah dia kembali kepada hukum Allah dan rasul-Nya lalu tidak lagi berhukum dengan selainnya sama ada sedikit atau banyak.”

 

ALLAH MENAFIKAN KESEMPURNAAN IMAN GOLONGAN YANG TIDAK BERHUKUM DENGAN UNDANG-UNDANG ISLAM

Allah berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 65

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمَا (65)

ALLAH MENGHUKUMKAN KEKUFURAN, KEFASIKAN DAN KEZALIMAN GOLONGAN YANG TIDAK BERHUKUM DENGAN UNDANG-UNDANG ISLAM

a.    Allah menghukumkan kekufuran golongan yang tidak berhukum dengan undang-undang Islam dalam surah al-Maidah, ayat 44:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ (44)

Maksudnya: “sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang yang kufur”

b.    Allah menghukumkan kezaliman golongan yang tidak berhukum dengan undang-undang Islam dalam surah al-Maidah, ayat 45:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ(54)

Maksudnya: “sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang yang zalim”

c.     Allah menghukumkan kefasikan golongan yang tidak berhukum dengan undang-undang Islam dalam surah al-Maidah, ayat 47:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ(47)

Maksudnya: “sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang yang fasik”

Kekufuran dalam ayat di atas tidak merujuk kepada kufur iktikad tetapi kufur amal. Ibn Abbas menyatakan kekufuran di atas bukan bermaksud kufur yang memindahkan seseorang daripada agama tetapi ialah keengkaran (kufur) pada tindakan. Ini berbeza dengan Khawarij yang terus mengkafirkan pelaku maksiat. Ibn Jarir meriwayatkan tafsiran Ibn Abbas terhadap ayat-ayat ini dengan katanya:

من جحد ما أنزل الله فقد كفر. ومن أقر به ولم يحكم فهو ظالم فاسق.

“Sesiapa yang mengengkarinya maka dia menjadi kufur. Sesiapa yang memperakuinya sedang dia tidak berhukum maka dia adalah seorang yang zalim lagi fasik”.

 

KEBERKATAN PELAKSANAAN HUDUD

a.    Ibnu Hibban meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa sabda Nabi saw:

إقامة حد بأرض خير لأهلها من مطر أربعين صباحا

Maksudnya: “Pelaksanaan satu hukuman Hudud di satu bumi lebih baik bagi penduduknya berbanding hujan selama 40 pagi.”

b.    Ibn Majah dan Nasaei pula meriwayatkan Nabi saw bersabda: 

إِقَامَةُ حَدٍّ بِأَرْضٍ خَيْرٌ لِأَهْلِهَا مِنْ مَطَرِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Pelaksanaan satu hukuman Hudud di satu bumi lebih baik bagi penduduknya berbanding hujan selama 40 malam.

 

HUJAH DEMOKRASI MEWAJARKAN TAQNIN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM

Bagi sebuah negara yang majoriti rakyatnya adalah Muslim, menjadi hak majoriti untuk dilaksanakan dan diperundang-undangkan sebarang undang-undang yang berkaitan dengan agama mereka. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu beragama Islam merupakan rakyat majoriti. Hak majoriti perlu diraikan dan diberikan hak yang sepatutnya. Kegagalan pelaksanaanya telah menafikan hak majoriti rakyat beragama Islam.

HUJAH SEJARAH KENEGERIAN DAN KENEGARAAN

Sejarah negeri-negeri melayu yang bersatu membentuk Malaysia menunjukkan undang-undang Islam termasuklah undnag-undang jenayah Islam adalah undang-undang-undang asal kebanyakan negeri Melayu.

 

PENGGUGURAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG HUDUD KERANA SYUBHAH

Perbahasan tentang pelaksanaan undang-undang jenayah adalah relevan setelah undang-undang tersebut berjaya ditaqninkan. Dalam proses pelaksanaan, undang-undang Hudud dan Qisas tidak boleh dilaksanakan apabila tidak mencukupi syarat atau apabila berlaku syubhat kesamaran. Hal ini berdasarkan hadis Nabi saw:

           Maksudnya: “ketepikanlah Hudud dengan berlakunya syubhat kesamaran”.

a.    Dalam sejarah Islam Umar bin al-Khattab pernah menangguhkan pelaksanaan Hudud ketika berlakunya tahun kelaparan. Hal ini kerana di kala berlaku tahun kemarau setiap orang dikuasai keperluan hingga menjadikan mereka mencuri untuk mengalas perut. Di kala itu menjadi kewajipan orang berharta memberi makan kepada yang susah secara percuma atau dengan dibayar. Keadaan ini menjadi satu syubhah kesamaran yang kuat untuk mengenepikan Hudud. Tindakan Umar itu dijadikan hujah oleh Ahmad bin Hambal dan Auza`ie sebagai satu qiyas.

 

b.    Umar juga menggugurkan hukum potong tangan kerana syubhah kesamaran hamba yang mencuri kerana tidak diberi makan sewajarnya oleh tuannya.

 

c.     Diriwayatkan bahawa hamba-hamba Abd Rahman bin Hatib bin Abi Balta`ah r.a telah mencuri beberapa ekor unta seorang lelaki dari Muzainah. Lelaki itu akhir membuat aduan kepada Umar dan hamba-hamba tersebut mengaku kesalahan mereka. Umar lantas mengarahkan Kathir bin al-Salt memotong tangan-tangan mereka. Tapi kemudiannya Umar mengenepikan hukuman sambil menegaskan kepada Abd Rahman:

أما والله لولا أني أظن أنكم تستعملونهم وتجيعونهم ، حتى لو أن أحدهم يجد ما حرم الله عليه لاكله ، لقطعت أيديهم ، ولكن والله إذ تركتهم لاغرمنك غرامة توجعك

“Demi Allah , kalulah tidak kerana saya merasakan kamu menggunakan khidmat mereka dan kamu biarkan mereka kelaparan sampai ke tahap sekiranya salah seorang mereka menemui apa yang Allah haramkan pasti dia makan, sudah pasti saya memotong tangan mereka. Tetapi demi Allah tatkala saya lepaskan mereka pasti saya denda kamu dengan nilai denda yang pasti menyakitkan kamu.”

Umar kemudian bertanya kepada lelaki Muzani tersebut nilai unta yang dicuri dan dimaklumkan nilainya ialah 400 dirham. Lalu Umar mengenakan denda pampasan kerugian terhadap Abd Rahman sebanyak 800 dirham.

 

PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM TERHADAP BUKAN ISLAM

1.    Perbincangan tentang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam terhadap bukan Islam timbul kerana terdapat ayat al-Qur’an yang mengkhususkan perbincangannya, iaitu firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 42:

فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ( 42 )

Maksudnya: “Maka sekiranya mereka datang kepada kamu maka hukumlah di kalangan mereka atau berpalinglah daripada mereka. Dan sekiranya kamu berpaling daripada mereka maka mereka sama sekali tidak memudaratkan kamu sedikitpun. Dan sekiranya kamu menghukumkan mereka maka hukumkanlah di kalangan mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah sukakan orang yang adil.”

Ayat di atas menjelaskan pilihan yang boleh dibuat oleh pemerintah apabila bukan Islam datang menuntut pengadilan daripada mereka.

 

2.    Menurut Muhammad Rasyid Redha (1282 -1354 H / 1865 – 1935 M), ulamak berbeza pandangan:

 

a.     Adakah pilihan yang diberikan oleh Allah itu khusus melibatkan Ahlu Zimmah  di kalangan Yahudi, iaitu Banu Quraizah dan Banu Nadhir? Sama ada melibatkan

 

a.    Hukuman Hudud membabitkan zina; adakah disebat atau direjam?

b.    Atau Hukuman Qisas melibatkan Diyat. Banu Quraizah mengambil Diyat sepenuhnya bagi mangsa bunuh kalangan mereka berbeza dengan Banu Nadhir yang mengambil separuh Diyat sahaja. Mereka telah datang berhukum dengan Nabi saw. Baginda lantas menjadikan Diyat mereka sama sahaja.

b.    Atau pilihan itu khusus untuk golongan Mu`ahidin dan bukannya ahlu Zimmah.

c.     Atau ia umum untuk semua kes melibatkan semua bukan Islam berdasarkan kaedah “pengajaran berdasarkan lafaz yang umum bukannya sebab yang khusus”.

Muhammad Rasyid Redha berpandangan pilihan diberikan kepada pemerintah Islam khusus bagi kes melibatkan Kafir Mu`ahid dan bukannya Kafir Zimmah.

 

PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG TA`ZIR

Pelaksanaan undang-undang Ta`zir tidak membezakan islam dan bukan Islam. Hal ini kerana ia merupakan undang-undang yang diserahkan kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukan bentuk jenayah dan kadarnya.

 

Pelaksanaan Undang-Undang Hudud dan Qisas terhadap Bukan Islam

            Abu Hayyan al-Andalusi ketika mengulas ayat di atas menjelaskan pelbagai pandangan ulamak yang disimpulkan kepada 5 pandangan :

1.    Sebilangan ulamak Salaf berpandangan, sekiranya bukan muslim membawa kes ke pengadilan pemerintah muslim maka pemerintah mempunyai pilihan sama ada menghukumkan mereka dengan undang-undang Islam atau tidak. Antara mereka ialah `Ata’, Nakhaei, Sya`bi, Qatadah, Asom, Abu Muslim dan Abu Thaur.

 

2.    Abu Hanifah berpandangan sekiranya mereka membawa kes kepada pengadilan islam maka wajib mereka dihukum berdasarkan hukum Islam.

 

3.    Sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa pilihan tersebut telah dinasakhkan dengan perintah baru iaitu menghukumkan mereka dengan hukuman Allah apabila mereka datang. Antara mereka seperti Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, Hasan, Ata` Khurasani, Umar bin Abd Aziz dan Zuhri.

 

4.    Ulamak Hijaz pula berpandangan Hudud tidak dilaksanakan terhadap bukan Islam. Hujah mereka ialah syirik bukan Islam lebih besar daripada Hudud. Apabila pemerintah Islam menerima rundingan aqidah syirik mereka maka tentulah lebih aula Hudud tidak dikenakan kepada mereka. Bagi mereka, hukuman rejam terhadap orang Yahudi berlaku sebelum turunnya ayat mengarahkan pemerintah Islam mengambil Jizyah daripada bukan Islam.

 

5.    Mazhab Syafie membezakan antara Kafir Zimmi dan Kafir Mu`ahid. Bagi Kafir Zimmi, wajib ke atas pemerintah Islam berhukum di kalangan ahli Zimmah dengan hukum Islam apabila mereka datang ke pengadilan Islam kerana pelaksanaan hukum Islam itu adalah tanda mereka tunduk kepada Islam. Bagi Kafir Mu`ahid, pemerintah mempunyai pilihan sama ada melaksanakan atau tidak

Dr Abd Rahman Ahmad, salah seorang tokoh ulamak Azhar menyatakan:

Adapun hal keadaan bukan Islam sama ada Yahudi, Nasrani atau selain mereka yang hidup dalam masyarakat Islam, mereka hakikatnya adalah satu juzuk daripada masyarakat dan tanahair ini. Mereka bukannya tetamu atau orang yang bermukim sementara waktu. Mereka sebahagian ahli masyarakat yang akan menerima kesan daripada sebarang aktiviti negatif yang berlaku seperti kecurian, pembunuhan dan zina meskipun sumber perlakuan jenayahnya adalah orang Nasrani atau Muslim. Atas dasar itu, melanggar batasan-batasan ini merupakan satu pencabulan yang perlu ditangani. Atas dasar itu, maka pelaksanaan Hudud merangkumi bukan Islam selagi mana mereka menjadi penduduk negara muslim. Sememangnya telah sabit bahawa Nabi saw telah merejam dua orang Yahudi yang telah berzina. Tidak ada alasan bahawa jenayah itu berlaku antara mereka kerana sebarang jenayah memberi kesan kepada masyarakat apatah lagi apabila diketahui pelakunya tidak dikenakan hukuman maka ia menjadi godaan kepada yang lemah iman.”

Hujah mereka yang menegaskan bahawa pelaksanaan Hudud tetap dikenakan kepada bukan muslim ialah menjaga keharmonian masyarakat adalah lebih diutamakan berbanding menjaga individu.

 

Pelaksanaan Hudud Terhadap Warga Asing Bukan Islam

Bagi Abu Hanifah, bukan Islam yang bermukim sementara di negara Islam untuk berniaga atau melancong yang dipanggil golongan Musta’man, sekiranya mereka melakukan jenayah melibatkan hak Allah dan masyarakat seperti zina dan mencuri, maka mereka tidak dihukum dengan hukum Islam. Tetapi apabila ia melibatkan hak individu seperti Qazaf (tuduhan zina), Qisas atau Rogol mereka akan dihukum.

Berbeza dengan Abu Yusuf yang berpendirian bahawa Musta`man juga terikat dengan hukum Islam berdasarkan kontrak keamanan sementara yang diberikan yang membolehkannya berada di negara Islam. Apabila dia memohon untuk memasuki negara Islam maka dia telah bersedia menerima peraturan Islam sepanjang bermukim.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...