Wednesday, December 19, 2012

RESOLUSI KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA


KONVENSYEN FIQH JENAYAH SYARIAH: PEMAHAMAN DAN PELAKSANAAN DI MALAYSIA

TEMPAT :         INSTITUT TADBIRAN ISLAM PERAK, JALAN RAJA MUSA MAHADI, IPOH, PERAK

TARIKH    :        28 NOVEMBER 2012M BERSAMAAN 14 MUHARRAM 1434H

 
ANJURAN :

BAHAGIAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH, JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

DENGAN KERJASAMA

PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI UGAMA NEGERI PERAK,

PERSATUAN PEGAWAI-PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA       NEGERI PERAK DAN MAJLIS PERMUAFAKATAN PEGAWAI TADBIR AGAMA NEGERI PERAK

 

Pengenalan:
Mutaakhir ini Undang-undang Jenayah Islam adalah satu undang-undang yang sering disalah faham oleh masyarakat Islam dan bukan Islam. Kebanyakan pihak hanya menjadikan kekeliruan mengenai undang-undang ini sebagai bahan untuk menghentam, jauh sekali untuk bersama dengan pihak yang ingin melaksanakannya. Tidak kurang juga para cendikiawan yang mengambil kesempatan menonjolkan kekeliruan ini hanya semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan populariti, seolah-olah merekalah yang lebih prihatin dan berjuang dalam usaha melaksanakannya.

 

Objektif Konvensyen:

1.    Menjelaskan kepada masyarakat mengenai beberapa tohmahan dan kekeliruan berkaitan Undang-undang Jenayah Islam.

2.    Meyakinkan masyarakat bahawa Undang-undang Jenayah Islam boleh dan sesuai dilaksanakan di negara majmuk seperti Negara ini.

3.    Menjelaskan fungsi, peranan dan tanggungjawab semua pihak berdasarkan kemampuan dan kemahiran masing-masing.


Pembentangan Kertaskerja bertajuk;

1.    Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam di Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Dr. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Darul Fuqaha’.

2.    Kaedah Pensabitan dan Persaksian Dalam Konteks Negara Majmuk, oleh Y.Bhg. Encik Musa bin Awang, Presiden Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia (PPSM).

3.    Pelaksanaan Syariat Islam Dalam Kerangka Perlembagaan Negara, oleh Y.Bhg. Dr. Siti Zubaidah bt. Ismail, Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya.

 

RESOLUSI KONVENSYEN
Konvensyen Fiqh Jenayah Syariah: Pemahaman dan Pelaksanaan di Malaysia, anjuran Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Pegawai Ugama Negeri Perak, Persatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Perak, dan Majlis Pemuafakatan Pegawai-Pegawai Tadbir Agama Daerah Negeri Perak, yang berlangsung pada 28 November, 2012 di Institut Tadbiran Islam Perak, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh, Perak dengan ini membuat resolusi-resolusi seperti berikut;

1.    Menyatakan kebimbangan terhadap usaha-usaha peminggiran Undang-Undang Islam dalam sistem perundangan Negara termasuk pihak-pihak yang menonjolkan kesukaran dalam pelaksanaannya yang hakikatnya hanyalah dalihan untuk tidak melaksanakannya.

2.    Menegaskan bahawa kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan adalah wajib dipertahankan dan tidak seharusnya diganggu gugat. Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Negara ini adalah hak umat Islam dan orang bukan Islam tidak wajar campur tangan yang bersifat negatif dalam urusan umat Islam.

3.    Semua Pengamal Undang-Undang yang beragama Islam wajib  membuat pentafsiran terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada di Negara ini ke arah yang menguntungkan Islam dan umatnya. Islam sebagai agama bagi persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai “Undang-Undang Islam mestilah menjadi asas dalam undang-undang Negara” bukan hanya digunakan dalam upacara rasmi semata-mata. Jika tidak dinyatakan secara jelas mengenai halangan pelaksanaannya maka hendaklah ditafsirkan bahawa Undang-Undang Islam dibenarkan untuk dilaksanakan.

4.    Setiap umat Islam wajib bersatu hati dan suara, menyatukan sikap dan tindakan dalam usaha mempertahankan kedudukan Islam dan syariatnya agar dapat dilaksanakan.

5.    Setiap ancaman terhadap Islam dan perlaksanaan syariatnya hendaklah dianggap sebagai ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

6.    Jabatan Agama Islam Perak hendaklah menerajui usaha penerangan dan penjelasan mengenai Syariat Islam ini termasuk melibatkan pihak bukan Islam dan agensi kerajaan seperti PDRM, ATM, Mahkamah dan lain-lain. Usaha penjelasan dan penerangan ini  hendaklah dilaksanakan dengan lebih serius oleh semua pihak termasuk pihak media massa dan menggunakan semua saluran yang ada samada media massa dan kuliah-kuliah di masjid dan surau.

7.             Jabatan Agama Islam Perak hendaklah membentuk suatu Jawatankuasa Khas bagi memulakan proses mentaqnin/menggubal deraf Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Perak mengikut Dasar Hukum Syara’ (Hudud, Qisas, Ta’zir dan Diat) untuk  dilaksanakan di negeri ini.

8.                Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak disarankan agar mengeluarkan fatwa khusus dalam hal perundangan Islam merangkumi kewajipan membantu usaha melaksanakannya, pengharaman memperlekehkannya dan sebarang sumbangan terhadap menyukarkan usaha perlaksanaannya.

Adalah diharapkan agar semua pihak yang terlibat dan semua pihak yang mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menyumbang ke arah pelaksanaan Undang-Undang Islam ini dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing.  Sebagai hamba Allah tidak ada sebarang kerugian pada kita, jika tunduk kepada kehendak Allah dan Allah Maha Berkuasa dalam menentukan kejayaan dan segala cabaran serta risikonya. Janganlah kita takut kepada manusia ketika melaksanakan urusan Allah, tetapi takutlah kepada Allah dalam berurusan dengan manusia.

Sekian, suatu resolusi telah dibuat semoga Allah SWT memberi kekuatan dan Pertunjuk dalam menjadikannya suatu kenyataan. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...