Monday, January 25, 2010

Perasmian Pondok Pengawal Keselematan



Indahnya hidup bermasyarakat jika sekiranya kita sanggup mengenepikan kepentingan peribadi bagi kepentingan bersama. Di taman yang mana majoritinya bekerja di waktu pagi, sememangnya terdedah kepada berbagai jenayah jika tidak ada usaha dibuat bagi memperbaiki keadaan. Cadangan melantik pengawal keselamatan yang membabitkan kos yang bukan sedikit bukanlah suatu cadangan yang mudah untuk dilaksanakan. Ianya sama sukarnya dengan cadangan memagar keseluruhan kawasan taman yang sekaligus menutup pintu masuk sebahagian penduduk yang berdekatan dengan pintu utama taman.
Sukar memastikan tiadanya suara bangkangan daripada keseluruhan penduduk bagi tujuan tersebut. Sehingga kini masih ada yang menyatakan keengganan secara terbuka bagi membuat bayaran tetap sebanyak RM 30.00 sebulan. Wang tidak boleh membeli segala-galanya. Namun desakan hidup yang berbagai menyebabkan ada pihak yang merasakan bebannya. Persatuan penduduk boleh mendengar rintihan dan rayuan mana-mana pihak dan mungkin boleh mengurang atau mengecualikan bayaran daripada mana-mana pihak yang berada dalam kesempitan. Namun pihak yang terlibat hendaklah menyuarakan rayuan mengikut saluran bukan hanya sekadar memboikot dan berdiam diri agar majoriti yang bekerjasama tidak merasakan ketidak adilan dalam kehidupan bermasyarakat.











Sunday, January 24, 2010

Orang Besar 16


Menginap di Taman Lapangan SSI tidak sama dengan mana-mana taman yang pernah aku diami. Kehidupan yang penuh dengan ketenangan dengan rumah yang selesa dan mempunyai halaman yang luas untuk aktiviti bersantai di waktu petang. Walaupun penduduk di sini dipenuhi dengan pegawai tinggi kerajaan, namun tiada apa yang membezakan antara kami. Bermula dengan tukang di kem tentera, guru sekolah menengah dan rendah, Pengarah JPN sendiri, professor di IPT, Kadi di Jabatan Agama hinggalah kepada businesman dan kontraktor semuanya dianggap sama. Pusat Berkumpul kami adalah Surau Muhajirin, Taman Lapangan SSI. Tiada protokol yang memisahkan kami walau ketua protokol SUK sentiasa bersama kami. Tahun ini satu lagi kebanggaan di taman ini. Kami sudah ada 2 orang pembesar negeri yang dianggap orang kuat istana. Kalau dulu kami mempunyai Y.D.H Toh Shahbandar Ulu, Dato' Haji Mohd Tarmizi bin Haji Idris, D.P.M.P., A.M.P., P.J.K. yang menjadi Orang Besar 16 semenjak 2005, kini kami ada Y.D.H. Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. Shaharudin bin Haji Nazari(bersara), P.M.P., K.A.T., A.M.P., P.J.M., psc. yang baru dilantik mulai 1 Januari 2010. Tahniah diucapkan buat Kol. Shaharudin yang dikenali ramai amat mahal senyumannya ketika menjalankan tugas. Namun itu semua tidak pernah dirasakan di taman ini kerana gelak ketawa dan senda gurau sentiasa mengiringi pertemuan kami sehingga terkadang kami terlupa pangkat dan darjat yang sering dititikberatkan sesama manusia.

Thursday, January 21, 2010

Penyerahan Perlantikan Jawatankuasa Kariah

Minggu ini adalah minggu yang begitu mencabar kesabaran dan kematangan bagi Pegawai Tadbir Agama Daerah seperti ini. Senarai Perlantikan Ahli Jawatankuasa Kariah bagi daerah ini telah diserahkan kepada semua pengerusi baru yang diluluskan perlantikannya oleh Majlis. Berbagai reaksi dari berbagai pihak diterima yang menyatakan rasa tidak puashati kerana berbagai alasan. Sebahagiannya melahirkan kebimbangan ahli kariah akan memberontak kerana namanya diketepikan seolah-olah hanya mereka sahajalah yang layak menjawat jawatan tersebut. Sebahagiannya membangkang pelantikan sebahagian jawatankuasa yang dilantik bersama walaupun dia sendiri turut dilantik oleh pihak Majlis sama seperti orang yang dipertikaikan. Sebahagiannya melenting kerana senarai yang dikeluarkan berbeza dengan senarai sedia ada walaupun ini adalah perlantikan baru dan perlantikan lama adalah terbatal dengan sendirinya.
Namun apa yang paling memualkan adalah bangkangan daripada pihak politik yang menyalahkan Jabatan Agama Islam Perak apabila nama mereka tidak disenaraikan. Apabila dikatakan senarai nama ini dicadangkan oleh pimpinan mereka, mereka tetap mengatakan ini semua disebabkan kelemahan Jabatan. Apabila disuruh merujuk kepada pimpinan mereka, mereka enggan kerana mungkin menganggap tidak mungkin pimpinan mereka mengenepikan "Orang Kuat" seperti mereka. Golongan seperti ini akan berterusan menuding jari kepada Jabatan ini tanpa mahu bermuhasabah dan mengakui bahawa merekalah yang bermasalah, dan jika tidak pimpinan merekalah yang perlu disalahkan.

Sunday, January 17, 2010

Disebalik Fitnah Yang Melanda

Pergolakan AJK Kariah yang heboh diperkatakan selama ini hampir-hampir dilupakan. Namun tidak semua yang menyedari masih ada lagi beberapa buah masjid yang masih ditahan pelantikannya walaupun sudah diluluskan oleh Majlis. Bagi kebanyakan orang awam yang hanya mendapatkan maklumat bergantung kepada media cetak semata-mata, menganggap ianya adalah angkara Pengarah dan Pegawai Tadbir Agama Daerah. Amat sukar untuk menerangkan secara terperinci kedudukannya yang sebenar memandangkan latar belakang yang berbeza di antara semua daerah. Namun bagi yang cuba memahaminya, cukuplah dengan meneliti dan mengkaji sebahagian daripada kronologi yang disediakan oleh Pegawai Tadbir Agama Slim River, yang merupakan daerah paling kuat bergolak dalam urusan perlantikan ini.

Tarikh

Keadaan / Perkara

Catitan / ulasan


1.8.09

Sabtu


Menandatangani senarai yang diberi oleh Pejabat Menteri Besar Perak tanpa pindaan walaupun didapati ada sejumlah nama yang saya sendiri tidak kenal.


- Tandatangan dibuat atas alasan menjaga nama baik Jabatan dan Pengarah yang telah mendapat arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

- Keadaan kelam kabut ini berlaku disebabkan senarai tersebut akan diangkat ke Persidangan Majlis dalam tempoh 2 hari.


2.8.09

Ahad


i. Mendapat panggilan telefon dari PPMD yang menyatakan beliau bersama Penghulu berada di rumah OBJ untuk mendapat tandatangan senarai tersebut.

ii. Beliau menyatakan Penghulu ingin meminda senarai tersebut. Dan saya memberi arahan sendiri dengan Penghulu Ulu Bernam bahawa senarai tersebut jangan dipinda. Pindaan hendaklah dibuat setelah Persidangan Majlis meluluskan kerana ingin mempercepatkan pelantikan Jawatankuasa Kariah yang berlarutan begitu lama.

iii. PPMD memaklum melalui telefon bahawa Penghulu telah membuat pindaan senarai tersebut tanpa kebenaran dan berbincang dengan PTA.

iv. Saya juga meminda kembali senarai tersebut dan menyerahkan kembali kepada Bahagian Pengurusan Masjid untuk diangkat ke Persidangan Majlis keesokan harinya.






PTA adalah pengerusi kepada panel pencadang jawatankuasa kariah. Penghulu tidak mempunyai sebarang hak untuk membuat keputusan sesuka hati.




Senarai inilah yang telah diluluskan oleh Majlis dan bukan senarai yang dipinda oleh Penghulu.


Ogos 2009


hingga


Disember 2009


Persidangan Majlis telah meluluskan senarai nama 6 buah daerah dan menolak senarai 10 buah daerah lagi.

PTA diminta membincangkan kembali senarai ini dengan Penghulu dan OBJ dan mengemukakan senarai baru kepada Majlis.

Oleh kerana menghormati YAB Menteri Besar, semua PTA menjadikan senarai yang dikeluarklan oleh Pejabat Menteri Besar sebagai asas dan hanya menukarkan mereka yang tidak layak dengan yang lebih layak.




Ini adalah prosedur sebenar cadangan perlantikan mengikut undang-undang.


Disember 2009


i.Persidangan Majlis telah meluluskan senarai tersebut bersama- sama dengan daerah yang lain


Maka bermulalah episod kontroversi apabila ada pihak yang tidak senang apabila melihat senarai yang diluluskan oleh Majlis berbeza dengan senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Perak. Perbezaan ini bukan hanya berlaku di Daerah Slim River malah hampir semua Daerah di Negeri Perak.


Pihak atasan telah diarah oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti peratus perubahan antara senarai nama yang diluluskan oleh Majlis dengan senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar.


PTA hanya boleh menanti apakah tindak balas yang akan dikenakan ke atas mereka akibat mempertahankan hak mereka yang telah diperuntukkan oleh undang-undang.


Sunday, January 10, 2010

RM 500,000.00 untuk Gereja Metro Tabernacle

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini yang rosak kerana dibaling bom api bagi membolehkan pihak pentadbiran gereja membangunkan rumah ibadat itu di tempat lain. Perdana Menteri berkata ia adalah sebagai tanda simpati kerajaan terhadap apa yang telah berlaku dan peruntukan itu akan disalurkan kepada pihak Assembly of God agar mereka dapat membangunkan gereja di kawasan baru. Ditanya sama ada kerajaan akan turut memberikan peruntukan kepada gereja-gereja lain yang terlibat dalam serangan Najib berkata "Tempat ini (Gereja Metro Tabernacle) dulu kerana inilah tempat yang paling berat sekali (mengalami kerosakan)."
(
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=467240 )

Setengah juta ringgit bukanlah suatu angka yang kecil bagi kebanyakan rakyat di negara ini. Kelulusan sebanyak itu bagi memperbaiki sesuatu bangunan yang rosak adalah suatu yang amat mengejutkan. Jika sekiranya gereja ini telah diinsurankan maka berganda besarnya gereja ini setelah dibangunkan di tempat lain sebagaimana meklumat Bernama di atas.

Jika sekiranya kelulusan ini diluluskan oleh Dato' Seri IR Mohd Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak, maka pasti ianya dikatakan atas desakan Ngeh dan Nga. Setiap yang diberikan kepada bukan Melayu, pasti menjadi bukti kepada tohmahan Boneka Cina yang dilemparkan terhadapnya.

Namun ini tidak pernah dibincangkan jika ianya dilakukan oleh pimpinan BN. Cepatnya anggaran kerosakan dibuat sehingga kelulusan sebegitu banyak diumumkan serta merta.

Apakah ianya tidak memerlukan siasatan rapi agar diketahui dengan jelas kos kerugian yang dialami. Apakah dengan hanya berbekalkan slogan Satu Malaysia, gereja sudah diangkat tarafnya setaraf dengan masjid dan surau atau sudah bertaraf lebih tinggi daripada keduanya. Berapakah dan bilakah agaknya peruntukan yang diluluskan bagi memperbaiki kerosakan sebuah surau yang berlaku dalam masa yang hampir sama.

SHAH ALAM, 9 Jan (Bernama) -- Cermin pintu sebuah surau di Taman Menara Maju, Kampung Jawa, Klang dekat sini didapati pecah kira-kira pukul 6 pagi setelah dibaling dengan batu. Selain cermin pintu itu yang pecah, terdapat tompokan air yang dibuang ke dalam surau berusia 13 tahun itu. "Saksi kejadian iaitu seorang penduduk tempatan yang hendak ke surau untuk menunaikan solat Subuh memberitahu polis yang dia nampak seorang suspek lelaki lari ke satu lorong kira-kira 200 meter dari surau itu dalam keadaan tidak memakai baju.
( http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=467264 )

Thursday, January 07, 2010

Memulakan Tugas Di PAD Ipoh

Minggu ini aku memulakan tugas secara rasmi di Pejabat Agama Ipoh secara berterusan. Walaupun Ipoh merupakan daerah kecil berbanding Daerah Batu Gajah dimana Pegawai Daerah berada di Batu Gajah, namun dari segi kepadatan penduduk Daerah Ipoh jauh lebih padat berbanding daerah lain. Rekod permohonan perkahwinan di daerah ini 2 kali ganda berbanding daerah besar seperti Teluk Intan, Taiping, Kuala Kangsar dan Manjung. Masalah yang sedikit timbul akibat tiadanya Timbalan PTA yang boleh menandatangani kebenaran nikah sebagaimana daerah-daerah lain. Walaubagaimanapun ianya tidak aakan dijadikan alasan bagi melewatkan proses permohonan orang ramai. Namun urusan lain seperti melawat masjid, SAR, Tadika dan sebagainya sedikit terjejas akibat kekangan waktu. Dari segi pelanggan yang berurusan, Daerah Ipoh didatangi oleh berbagai jenis manusia dari berbagai peringkat. Bermula dari golongan kampungan hinggalah kepada golongan elit yang bergelar dato' dan Tan Seri. Kemahiran komunikasi dan psaikologi yang tinggi amat dituntut bagi semua anggota pejabat ini. Semoga 2010M dan 1431H ini akan membawa sinar baru bagi daerah ini. Semoga PAD Daerah Ipoh akan menjadi pejabat agama daerah yang gemilang, bersih dari sebarang aduan dan cemohan, dekat di hati masyarakat dan malap sebagaimana malapnya fizikal bangunannya yang ditangguhkan pembinaan barunya semenjak sekian lama entah kerana apa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...