Minggu ini adalah minggu yang begitu mencabar kesabaran dan kematangan bagi Pegawai Tadbir Agama Daerah seperti ini. Senarai Perlantikan Ahli Jawatankuasa Kariah bagi daerah ini telah diserahkan kepada semua pengerusi baru yang diluluskan perlantikannya oleh Majlis. Berbagai reaksi dari berbagai pihak diterima yang menyatakan rasa tidak puashati kerana berbagai alasan. Sebahagiannya melahirkan kebimbangan ahli kariah akan memberontak kerana namanya diketepikan seolah-olah hanya mereka sahajalah yang layak menjawat jawatan tersebut. Sebahagiannya membangkang pelantikan sebahagian jawatankuasa yang dilantik bersama walaupun dia sendiri turut dilantik oleh pihak Majlis sama seperti orang yang dipertikaikan. Sebahagiannya melenting kerana senarai yang dikeluarkan berbeza dengan senarai sedia ada walaupun ini adalah perlantikan baru dan perlantikan lama adalah terbatal dengan sendirinya.
Namun apa yang paling memualkan adalah bangkangan daripada pihak politik yang menyalahkan Jabatan Agama Islam Perak apabila nama mereka tidak disenaraikan. Apabila dikatakan senarai nama ini dicadangkan oleh pimpinan mereka, mereka tetap mengatakan ini semua disebabkan kelemahan Jabatan. Apabila disuruh merujuk kepada pimpinan mereka, mereka enggan kerana mungkin menganggap tidak mungkin pimpinan mereka mengenepikan "Orang Kuat" seperti mereka. Golongan seperti ini akan berterusan menuding jari kepada Jabatan ini tanpa mahu bermuhasabah dan mengakui bahawa merekalah yang bermasalah, dan jika tidak pimpinan merekalah yang perlu disalahkan.
No comments:
Post a Comment