Tuesday, May 31, 2011

Ulangtahun Perkahwinan ke 16

Kami secara rasminya disahkan sebagai suami isteri 16 tahun yang lalu. 2 tarikh keramat yang menjadi kenangan 31 Mei & 1 Muharram. Sukar untuk meraikannya pada 1 Muharram kerana walaupun bercuti, namun aku terpaksa menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat negeri. 

Sebagai lelaki, tarikh-tarikh sebegini bukanlah suatu yang begitu dinanti-nanti. Lelaki menganggap setiap hari tidak ada bezanya sama sekali. Setiap hari adalah istimewa walaupun suasana berbeza. Menggembirakan isteri adalah tanggungjawab mereka sepanjang masa. Berbeza dengan wanita yang begitu menganggapnya terlalu istimewa. Hari istimewa seperti ini tidak mungkin dibiarkan berlalu sia-sia. Mesti ada upacara untuk meraikannya.

Lelaki jarang sekali bertanya mengenai cinta dan kasih sayang isterinya. Bagi kami cinta itu telahpun dibuktikan dengan lamaran yang diterima. Pengesahan itu adalah pengesahan sampai ke mati. Tidak perlu ditanya-tanya lagi. 

Bagi wanita ucapan cinta perlu sentiasa diperbaharui. Penegasan hari ini tidak bermakna lagi setelah berganti hari. Esok lusa akan dipersoalkan kembali.   

Inilah konflik yang sering terjadi antara 2 hati. Walaupun sama-sama menyintai namun penzahirannya nyata berbeza. Jika tidak saling memahami, akan berantakanlah ketenangan yang sedia ada. Suami perlu meraikan keghairahan isteri untuk merayakannya. Isteri juga perlu memahami kekangan dan halangan yang dihadapi oleh suami.

Mudah-mudahan kasih sayang ini akan terus bersemi hingga kita menemui Ilahi.................. 

Tuesday, May 24, 2011

Kelemahanku...

Aku merupakan seorang yang amat lemah ketika kecilku. Berada di bawah ketiak emak sehingga meningkat remaja menyebabkan aku menjadi seorang yang tidak mampu berdikari. Aku mengambil masa yang lama untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Aku tidak betah membeli di kedai runcit di kampung tanpa ditemani sesiapa. Aku sentiasa bersama emak walau ke mana sahaja kerana aku tidak mampu bermalam walaupun sehari tanpa emak yang aku sayangi. 

Latar belakang yang sebegitu, menjadikan hati ini begitu kecil untuk menghadapi dunia yang mencabar. Pemergian ibu menjadikan aku seolah-olah sebatang kara di dunia yang tersendiri. Kasih-sayang yang melimpah bertukar menjadi kehidupan tanpa kawalan ibarat layang-layang terputus tali. Hati ini menjadi begitu lembut, mudah tersentuh dan begitu sensitif. Di sebalik kemampuanku hidup seperti pengemis, mengemis simpati, mengharapkan sesuap nasi dan menumpang kasih sesama ahli keluarga.

Keyakinan diri hanya mampu aku kecapi dalam beberapa period dalam hidupku. Jati diri pertama aku rasai apabila mampu melangkah ke kelas terbaik ketika di tingkatan 2. Sebelum itu aku  berada di kelas tercorot kerana aku merupakan calon simpanan yang ditawarkan melalui tawaran ke 3. Ketika itu aku sudah mula belajar tanpa terikut-ikut dengan kaedah teman-teman. Aku merasakan kemampuanku menguasai pelajaran setelah melihat beberapa teman yang seolah-olah begitu sukar untuk menguasainya. Akhirnya aku berjaya mempertahankan kecemerlangan akademikku sehinggalah aku meninggalkan menara gading.

Dunia kerjaya merubah sebahagian dari sikapku yang terdahulu. Tekanan berterusan terhadap Pegawai-Pegawai agama menyebabkan aku menjadi matang melebihi usia perkhidmatanku. Kekuatan akademik yang aku miliki menjadikan aku mudah mengetahui di mana silapnya persekitaran tugas ini. Ini menjadikan aku lebih berani menyanggah tindakan pihak atasan yang aku kesan sebagai separuh matang dalam pengetahuan mereka terhadap tugas dan undang-undang. Mereka dengan mudah menganaktirikan pegawai yang hanya tahu bersetuju tanpa menyelidiki terlebih dahulu. Aku menjadi salah seorang yang dianggap pejuang dalam sesetengah kes yang bagiku hanya sekadar menyatakan apa yang aku tahu.

Sehingga kini ramai yang menganggapku sebagai seorang yang berani, tegas dan mempunyai daya juang yang tinggi. Hakikatnya aku hanya mampu menjadi pemangkin agar teman-teman mampu bersama memperjuangkan hak-masing-masing. Ketakutan dan kelemahanku kini tersembunyi dan terhijab kecuali bagi mereka yang benar-benar mengenali. Di sebalik keberanianku menyanggah pihak atasan yang bertindak garang, aku sering tewas dengan rayuan anak buah yang mengemukakan rayuan. Aku anak bertindakbalas terhadap  maki hamun dan kemarahan, namun aku rebah tatkala mendengar keluhan dan esak tangis. Aku hanya mampu bertahan dengan kekasaran dan keganasan, namun aku layu dengan belaian dan pujuk rayu. Aku terpaksa melupakan sebahagian impian dan harapanku, kerana terlalu memikirkan hati dan perasaan seseorang yang aku sayang. Kerana tidak mampu melihat orang yang aku cintai menangis, aku mungkin akan menangis di hati, dan terus akan menangis kerana yang pasti, tiada siapa yang menyedari tangisan itu...  

Monday, May 23, 2011

Khutbah: Matilah Dalam Islam


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .

اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati kecuali dalam Islam dan beriman kepada Allah. Sesungguhnya manusia telah dijadikan oleh Allah dan telah ditakdirkan dengan berbagai-bagai kesudahan.

Wednesday, May 18, 2011

Khutbah: Ancaman Syiah Imamiyah Isna Asyairah

ANCAMAN SYIAH IMAMIYAH ISNA ASYARIAH

(شِيْعَة إِماَمِيةَّ اِثْناَ عَشَرِيَّة)


الْحَمْدُلِلَّهِ الْقَائِلِ،

وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًۭا  - الأحزاب : ٣٣

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "Ahlul Bait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).


أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! آتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ



Wahai hamba-hamba Allah !

 Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.



Hadhirin Hadhirat Sekelian,

Penipuan barat terhadap umat Islam dan dunia seluruhnya bukanlah suatu yang menjadi rahsia. Sekian lama penipuan melalui peristiwa 11 september telah menjadi alasan untuk barat menzalimi umat Islam. Malah lebih malang lagi, bukan semata-mata masyarakat dunia, malah umat Islam sendiri yang menjadi mangsa turut terpedaya dengan propaganda barat. Kita turut sama bersekongkol dengan agenda barat walaupun nyata yang banyak terkorban dan menderita adalah umat Islam itu sendiri. Dengan hanya mengorbankan beberapa kerat rakyatnya sendiri, barat berjaya mendapat permit untuk berbuat sewenang-wenangnya terhadap umat Islam.

Friday, May 06, 2011

Khutbah: Memelihara Warisan Sejarah Silam (Hari Warisan)

(02 Jamadil Akhir 1432H / 06 Mei 2011M)

“MEMELIHARA WARISAN SEJARAH SILAM”


الْحَمْدُلِلَّهِ الْقَائِلِ،

فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾ - النساء : 59

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.  Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala yang ditegah-Nya, moga-moga kita akan beroleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

     Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Atas nama cinta Shah Jehan telah membuktikan kepada dunia kehebatan cintanya dengan meninggalkan Taj Mahal untuk isterinya, Mumtaz Mahal. Atas nama pertahanan negara Tembok Besar Cina telah menjadi kebanggan Dinasti Cina yang sehingga kini dianggap sebagai salah satu keajaiban dunia. Kerajaan Mesir Purba diakui kehebatan tamadunnya berdasarkan kehebatan piramid-piramidnya yang menempatkan mayat para pemimpinnya. Jika kuburnya sahaja sudah begitu hebat, bagaimana pulalah agaknya kehebatan istana firaun ketika hidupnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...