ANCAMAN SYIAH IMAMIYAH ISNA ASYARIAH
(شِيْعَة إِماَمِيةَّ اِثْناَ عَشَرِيَّة)
الْحَمْدُلِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًۭا - الأحزاب : ٣٣
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "Ahlul Bait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! آتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah !
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Hadhirin Hadhirat Sekelian,
Penipuan barat terhadap umat Islam dan dunia seluruhnya bukanlah suatu yang menjadi rahsia. Sekian lama penipuan melalui peristiwa 11 september telah menjadi alasan untuk barat menzalimi umat Islam. Malah lebih malang lagi, bukan semata-mata masyarakat dunia, malah umat Islam sendiri yang menjadi mangsa turut terpedaya dengan propaganda barat. Kita turut sama bersekongkol dengan agenda barat walaupun nyata yang banyak terkorban dan menderita adalah umat Islam itu sendiri. Dengan hanya mengorbankan beberapa kerat rakyatnya sendiri, barat berjaya mendapat permit untuk berbuat sewenang-wenangnya terhadap umat Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Penipuan yang sukar dikesan oleh umat Islam sedangkan kesannya jauh lebih besar, adalah adu domba barat yang memecahbelahkan umat Islam dari dalam. Perancangan jahat ini adalah warisan dari usaha golongan munafiqin yang dipelopori oleh Abdullah bin Saba' yang berjaya memecahbelahkan para sahabat yang merupakan generasi yang terhebat pernah dilahirkan oleh Rasulullah saw.
Muzakarah Ulama' dan Cendiakawan Islam 2011 yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak pada 15 hingga 17 Mei 2011 yang lalu telah mengorak langkah untuk menghentikan segala sandiwara ini. Di sebalik keghairahan dunia bertelagah mengenai kewajaran pembunuhan Osama Ladin, yang meleret-leret hingga ke kaedah pengkebumiannya, Muzakarah tidak membiarkan umat Islam di negeri ini terbuai dengan dongengan ancaman yang tidak langsung sebenarnya mengancam kita di rantau. Muzakarah mengesan ancaman yang jauh lebih besar terhadap masa depan umat Islam di negara ini. Sekian lama umat Islam dipecahbelahkan dan dilaga-lagakan oleh pihak yang memusuhi kita, dalam masa yang sama mereka masih digolongkan sebagai sebahagian kita. Mereka menjadi agen kepada agenda barat untuk memecahbelahkan umat Islam di seluruh dunia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Salah satu ancaman yang diperbincangkan dalam Muzakarah tersebut adalah ancaman golongan Syiah, atau secara tepatnya golongan Syiah Imamiyah Isna Asyariah (شِيْعَة إِماَمِيةَّ اِثْناَ عَشَرِيَّة). Mereka telah menjadi ancaman kepada umat Islam semenjak sekian lama. Atas nama saudara seagama, mereka mendapat sokongan umat Islam seluruh dunia atas alasan memerangi keganasan barat. Namun dalam masa yang sama, akidah dan pegangan mereka menjadi ancaman kepada umat Islam seluruhnya. Perbezaan kita dengan mereka bukan sahaja perbezaan dari sudut feqah dan perkara cabang dalam agama malah membabitkan perbezaan aqidah dan iktiqad. Ini tidak menghairankan, memandangkan sumber rujukan mereka yang amat berbeza dari kita.
Selain dari al-Quran mereka yang berbeza dari al-Quran kita, sumber hadis mereka juga tidak sama dengan kita. Jika kita berpegang dengan 6 kitab hadis utama iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Termizi, Sunan Ibnu Majah dan Sunan Nasa’i, mereka berpegang kepada 4 kitab utama mereka iaitu Kitab Al-Kafi (الكافي) oleh Al-Kulaini (الكليني), Kitab Man Laa Yadhurruhul Faqih (من لا يضره الفقيه) oleh Ibnu Babawaih(ابن ببويه), Kitab al-Istibsor(الإستبصار) oleh At-Thusi(الطوسي) dan Kitab At-Tahzib(التهذيب) juga oleh At-Thusi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Terlalu banyak pertentangan yang membabitkan persoalan aqidah yang menyebabkan kita berbeza dengan mereka. Pertentangan ini menyebabkan mereka terkeluar dari agama Allah berdasarkan pegangan kita. Di antara pertentangan yang ketara adalah;
a. Perbezaan Rukun Islam dan Iman
b. Perbezaan Dua Kalimah Syahadah
c. Mencaci dan mengkafirkan para sahabat
d. Aqidah Raj’ah; dan
e. Kahwin Mut’ah
Hadirin yang dirahmati Allah,
Rukun Islam bagi Syiah adalah Sembahyang, puasa, Zakat, Haji dan Al-Wilayah(الولاية) sedangkan rukun imannya adalah At-Tauhid(التوجيد), An-Nubuwwah(النبوة), Al-Adlu(العدل) dan Al-Ma’ad(المعاد). Mereka juga berpegang kepada 3 kalimah syahadah, dengan menambah daripada syahadah kepada Allah dan nabi Muhammad dengan tambahan syahadah kepada para imam mereka yang ada sebanyak 12 orang. Jika al-Quran mengatakan para sahabat semuanya diredhai Allah, mereka pula mencaci malah mengkafirkan para sahabat. Dalam Kitab mereka Al-Kaafi, Al-Kulaini mengatakan :
كَانَ الناًّسُ أَهْلَ الرِّدَّةِ بَعْدَ النَّبِيِّ اِلاَّ ثَلاَثَةٌ : اَلْمِقْدَادُ بْنُ اْلأَسْوَدِ وَأَبُوْ ذَرٍّ اَلْغِفَارِيْ وَسَلْماَنَ الْفَارِسِيْ.
Para sahabat setelah kewafatan nabi telah murtad semuanya, melainkan 3 orang sahaja iaitu al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Zarr al-Ghifari dan Salman al-Farisi.
Sidang Jumaat sekelian,
Melalui Aqidah Raj’ah(رجعة) mereka percaya bahawa di akhir zaman nanti, Imam mahdi akan keluar dan menuju ke Madinah untuk membangunkan Rasulullah, Saidina Ali, Saidatina Fatimah dan seluruh Ahli Bait. Kemudian Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidatina Aishah akan dibangunkan untuk disiksa dan disalib.
Dari segi hubungan perkahwinan, mereka merosakkan institusi kekeluargaan, dengan menghalalkan perkahwinan Mut’ah yang telah diharamkan oleh Allah. Melalui perkahwinan Mut’ah, mereka bebas mengahwini mana-mana perempuan mengikut tempoh yang dikehendaki samada sehari, seminggu, sebulan atau apa-apa tempoh yang dijanjikan. Jumlah perempuan yang dikahwini juga tidak ada had yang ditentukan. Maka apakah bezanya perkahwinan seperti ini dengan aktiviti pelacuran yang tidak meletakkan sebarang tanggungjawab dan ikatan nasab kepada lelaki terhadap perempuan yang mereka kahwini dan anak yang dilahirkan.
Sidang Jumaat sekelian,
Golongan Syiah Imamiyah Isna Asyariah (شِيْعَة إِماَمِيةَّ اِثْناَ عَشَرِيَّة) sudah mula berkembang ke negeri ini. Mungkin sebahagian besar dari kita tidak menyedarinya, ataupun sedar tetapi tidak merasaikan ancamannya. Tahukah kita, ribuan saudara kita yang berpegang teguh dangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi mangsa pembunuhan mereka, yang menganggap halalnya darah kita di negara-negara yang dikuasai oleh mereka. Apa sangatlah nilainya nyawa kita pada mereka, sedangkan merekalah yang telah menumpahkan darah Ahli Bait, yang kemudiannya dikatakan bahawa merekalah golongan yang paling menyayangi Ahli Bait yang telah menjadi mangsa kekejaman mereka.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment