الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .
اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati kecuali dalam Islam dan beriman kepada Allah. Sesungguhnya manusia telah dijadikan oleh Allah dan telah ditakdirkan dengan berbagai-bagai kesudahan.
Di kalangan manusia :
Di kalangan manusia :
1. Ada yang lahir dari keluarga beriman dan mati dalam keadaan beriman.
2. Ada yang lahir dari keluarga kafir dan mati dalam keadaan kufur.
3. Ada yang lahir dalam keluarga kafir tetapi mati dalam keadaan beriman kepada Allah.
4. Ada yang lahir dalam keadaan keluarga beriman tetapi mati dalam keadaan kufur kepada Allah.
Sidang Jumaat Sekalian,
Kita bersyukur kepada Allah kerana sebahagian besar kita adalah lahir dari keluarga yang beriman. Kita tidak perlu bersusah payah, kita tidak perlu mengkaji dan menyelidiki, tetapi kita telah disajikan dan diberi oleh ibu bapa atau penjaga kita dengan pengajaran iman dan Islam. Maka marilah sama-sama kita berdoa agar iman dan Islam kita dapat dipertahankan hingga ke akhir hayat.
Sidang Jumaat Sekalian,
Di antara kita ada yang tidak dianugerahkan oleh Allah dengan iman dan Islam ketika lahir. Walaupun kita semua telah berjanji menjadi hamba kepada Allah sebagaimana diceritakan oleh Allah dalam surah Al-A’raf ayat 172 :
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي ءَادَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ
Ertinya :
Dan ingatlah ketika tuhanmu mengeluarkan anak-anak Adam dari sulbi mereka, lalu Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka seraya berfirman : bukankah aku ini tuhan kamu?,maka mereka menjawab, bahkan, malah kami menjadi saksi. Dan kami lakukan ini agar manusia di Hari Qiamat tidak mengatakan sesungguhnya kami adalah orang –orang yang alpa terhadap keesaan Allah.
Golongan kedua ini lahir dalam keluarga yang syirik kepada Allah. Mereka melihat ibu bapa mereka menyekutukan Allah, malah jarang mereka melihat manusia menghambakan diri kepada Allah di sepanjang hidup mereka. Namun begitu Allah masih memberi akal fikiran kepada mereka yang membolehkan mereka berfikir, hati yang boleh merasakan kekuasaan Allah dan naluri yang boleh membezakan antara baik dan buruk, benar atau dusta. Mereka akan diazabkan oleh Allah bukan kerana mereka tidak dilahirkan Islam, bukan kerana keluarga mereka kufur kepada tuhan tetapi kerana kegagalan mereka mencari kebenaran. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 170 :
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ ءَابَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلاَ يَهْتَدُونَ
Ertinya :
Dan apabila dikatakan kepada mereka, ikutilah apa yang telah diturunkan oleh Allah. Mereka menjawab, malah kami hanya mengikuti apa yang kami dapati dari nenek moyang kami. Apakah mereka akan mengikuti juga walaupun nenek moyang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dan tidak mendapat pertunjuk.
Apakah mencari kebenaran dipersekitaran kekufuran ini merupakan suatu perkara yang mustahil. Betapa ramai kita melihat mereka yang lahir di kalangan keluarga yang kafir tetapi diberi hidayah oleh Allah. Mereka berusaha mencari kebenaran dan menemuinya di penghujung jalan. Malah kebanyakan mereka lebih istiqamah dan menghayati Islam berbanding kita.
Sidang Jumaat Sekalian,
Bagi golongan yang diberi hidayah Allah ini kita perlu membantu mereka untuk mereka terus kekal di jalan yang lurus. Segala kebaikan Islam harus ditonjol dan dizahirkan kepada mereka. Jangan sampai mereka merasakan seolah-olah tertipu dan terpedaya dengan sikap kita yang mengambarkan kebaikan Islam kepada mereka namun amalannya amat berbeza. Kita mesti menunjukkan contoh dan tauladan kepada mereka hingga mereka mendapat kekuatan iman dan berpegang teguh sebagaimana kita. Ketika itu tanggalkanlah gelaran muallaf daripada mereka. Mereka juga berhak memiliki Islam dan menghayatinya sama seperti kita.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bagi kita yang lahir sebagai seorang Islam maka hendaklah kita mempertahankannya hingga ke akhir hayat. Jangan kita beranggapan bahawa lahir kita sebagai seorang Islam maka terjaminlah kematian kita sebagai seorang Islam. Banyak perkara yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kekufuran jika kita tidak berjaga-jaga. Dalam mustika hadis keluaran Jabatan Perdana Menteri jilid pertama muka surat 261 dinyatakan beberapa sebab yang merosakkan iman dan Islam, yang mana jika kita tidak bertaubat maka akan menyebabkan kematian kita dikira sebagai mati dalam kekufuran. Terdapat 3 kategori iaitu melalui iktikad, melalui perkataan dan melalui perbuatan. Contoh iktikad adalah seperti kepercayaan alam ini terjadi dengan sendirinya, iktikad bahawa agama lain lebih baik dari atau sama sahaja dengan Islam, berbalik-balik hati antara hendak murtad atau tidak, ataupun bercita-cita menjadi kafir pada masa akan datang. Manakala dari segi perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah–rendah, mengejek dan mempermainkan nama Allah, sifat Allah, malaikat, rasul, kitab dan hukum hakam Allah. Contahnya seperti mengatakan bahawa hukum Allah itu zalim dan lapuk, berzina kalau suka sama suka tidak ada salahnya, bila mendengar azan lalu anjing dah menyalak dan apabila melihat orang menjilat jari selepas makan dikatakannya sungguh tidak beradab.
Manakala dari segi perbuatan seperti melakukan upacara ibadah seperti ibadah orang kafir dan meletakkan ayat-ayat suci, hadis nabi, nama-nama Allah dan rasul dan ilmu-ilmu agama di tempat yang najis dan kotor dengan tujuan menghina.
Sidang Jumaat Sekalian,
Ada orang beranggapan mati dalam Islam sama sahaja mati dalam kekufuran. Sebenarnya amat jauh bezanya balasan Allah terhadap dua golongan ini. Bagi orang-orang yang mempunyai iman walaupun sebesar zarah maka melalui syafaat Nabi Muhammad S.A.W maka akan dikeluarkan mereka dari neraka lalu dimasukkan ke dalam syurga. Manakala orang yang terbatal imannya akan kekal di dalam neraka. Oleh yang demikian marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memelihara iman dan Islam kita agar dapat menjadi golongan yang pertama tadi yang lahir sebagai seorang Islam dan mati sebagai seorang Islam.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِلــيْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment