Sudah beberapa tahun aku tidak Solat Sunat Aidil Fitri di kampungku sendiri. Walaupun itulah kemuncak gamitan memori zaman kecilku, namun keadaan memaksa aku melakukan pengorbanan. Oleh kerana aku hanya ada ibu dan bapa mertua, maka sewajarnya aku mengutamakan mereka. Walaupun sepatutnya tahun ini bukan giliran kampung mertuaku, namun aku perlu berkorban untuk mereka. Sementelah kebanyakan adik beradik merancang balik dan berkumpul pada hari raya kedua.
Sememengnya jika ditanya, tidak ada sebarang keistimewaan berhari raya di sana. Selain dari mendengar kembali khutbah yang aku karang sendiri, dibaca dengan cara yang tidak begitu memuaskan hatiku oleh khatib amatur di kampung, maka apa nilai yang mampu menceriakan aku di sini. Tidak ada seorangpun menyapa dan menegurku di sini. Mana mungkin mereka mengenaliku sedangkan aku tidak lahir apatahlagi membesar di sini. Situasi ini amat jauh bezanyan jika aku bersembahyang di kampung sendiri.
Selepas solat aku boleh diumpamakan seperti gadis sunti yang memerap di rumah. Ke mana hendak akutujui jika tiada sesiapapun yang benar-benar aku kenali. Ini berbeza jika aku berhari raya di kampungku sendiri. Semua kegembiraan yang sepatutnya aku rasai aku korbankan demi isteri yang kusayangi dan kedua ibu dan bapa mertuaku. Mudah-mudahan segala pengorbanan ini dihargai dan diganjari oleh Allah di Akhirat nanti.
1 comment:
terima kasih atas segala tolak ansur dan keprihatinan.. pengorbanan sangat-sangat dihargai... tahun depan pun raye kat parit gak le nampaknye.. hehe.. sayang abang!!!
Post a Comment