Sunday, September 11, 2011

Pembahagian Imam


Imam terbahagi kepada 8 golongan :

1. Tidak sah dijadikan imam sama sekali iaitu orang kafir, kanak-kanak belum mumaiyiz, orang gila, orang pitam, makmum, orang yang disyakkan sebagai makmum, orang ummi, orang yang bacaan Fatihahnya merosakkan makna. 
2. Orang yang tidak sah dijadikan imam jika diketahui keadaannya iaitu orang yang berhadas kecil atau besar, orang yang ada najis yang tidak dimaafkan, orang yang telor ( لحن ) yang merosakkan makna Fatihah padahal dia seorang yang qari atau orang yang sengaja mentelorkan bacaan Fatihah atau bacaan lainnya atau terluncur lidahnya dalam Fatihah tetapi tidak memperbetulkannya atau orang yang mampu belajar tetapi tidak belajar sedangkan dia tahu haramnya dan orang yang sengaja mentelorkan bacaan selain Fatihahnya. 

3. Orang yang tidak sah dijadikan imam kecuali yang kurang daripadanya iaitu khunsa hanya sah dijadikan imam oleh perempuan, tidak sah oleh lelaki atau sesama khunsa. 
4. Orang yang tidak sah dijadikan imam kecuali yang sama dengannya iaitu perempuan atau ummi yang tidak dapat belajar lagi seperti orang gagap (ارت) yang mengidgham bukan pada tempatnya atau telor (ألثغ) iaitu menukar huruf deng huruf lain dan orang yang (لحن) yang mengubah makna bacaannya. 
5. Orang yang tidak sah dijadikan imam pada satu sembahyang dan sah pada satu sembahyang yang lain iaitu orang yang bermusafir, kanak-kanak, orang berhadas, orang kena najis yang tersembunyi yang tidak diketahui keadaaannya . Maka tidak boleh dijadikan imam mereka ini pada solat Jumaat jika mencukupkan bilangan 40 dengan dia dan sah dijadikan imam pada sembahyang selain Jumaat atau pada Jumaat yang tanpa mereka sudah mencukupi bilangan 40 orang.

6. Orang yang makruh dijadikan imam iaitu orang Fasiq, pengamal bidah dan orang yang kulup. 
7. Mereka yang lebih utama tidak dijadikan imam (خلاف أولى) iaitu anak zina, anak yang diyakinkan dengan lian oleh bapanya, anak yang tak diketahui bapanya, Orang buta atau melihat sama sahaja tarafnya. 

8. Orang yang menjadi pilihan sebagai imam iaitu orang yang selamat daripada segala sifat di atas dan mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang akan diterangkan nanti. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...