Tidak apa yang aneh dengan JAIS terhadap Dr. Asri Zainal Abidin. Semua rakyat Malaysia tahu mengenai kesalahan Mengajar Tanpa Tauliah terutamanya beliau sendiri yang pernah menjawat jawatan Mufti. Berbagai pihak telah menerima nasib yang sama sebelum ini atas berbagai sebab. Ulama-ulama dan pejuang PAS terlalu ramai yang ditangkap semata-mata kerana menyampaikan ayat-ayat Allah. Pejuang reformasi bukan sedikit yang ditangkap semata-mata kerana menzahirkan perasaan mereka di jalanan. Namun amat berbeza dengan tangkapan terhadap Dr. Asri, kerana bukan sedikit yang menyokong beliau termasuk Menteri Agama, Perdana Menteri malah golongan anti agama seperti SIS.
Apa yang aneh adalah reaksi berbagai pihak yang melatah tak tentu hala. Tokoh 1Malaysia menyatakan kehairanan kenapa Dr. Asri sahaja ditangkap sedangkan ramai lagi yang berceramah tanpa tauliah dibiarkan. Hujah ini sama seperti mempertikaikan polis yang menangkap penjenayah, sedangkan banyak lagi penjenayah yang lepas bebas. Kejahilannya terserlah apabila mengatakan saya tak tau apa masalahnya dengan pendekatan atau aliran Wahabi Dr. Asri yang dipertikaikan sedangkan beliau adalah seorang ulamak yang bercakap secara terus terang dan berani dengan hujah dan dalil yang bernas. Entah bila penghakiman dibuat terhadap hujah dan dalil Dr. Asri dan siapakah yang menghakiminya. Kemampuan mendatangkan hujah dan dalil tidak bererti benar kerana tidak semuanya tepat. Kebanyakan pembaharuan yang dibawa oleh beliau hanyalah ulangan kisah lama yang telahpun dijawab oleh ulamak-ulamak terdahulu. Bagi yang cetek pengetahuan agamanya menganggapnya sebagai perkara baru dan beliau dianggap superhero yang didatangkan untuk menyelamatkan umat.
Turut melatah sama adalah para pimpinan PAS yang terpukau dengan kehebatan pidato beliau. Ketua Dewan Ulamak sendiri berkunjung untuk menarik beliau menyertai PAS walaupun sudah terang lagi bersuluh beliau merelakan dirinya diperkudakan oleh UMNO dan lebih banyak memperlekehkan perjuangan PAS berbanding UMNO. Walaupun PAS menentang segala bentuk kezaliman terhadap para ustaz dan penceramah yang ditangkap selama ini, namun keperluan kepada satu kawalan terhadap penyebaran ajaran salah tidak mungkin dapat dinafikan. Mungkin ramai yang berkata sebesar mana salahnya wahabi dan apakah kesan buruknya terhadap masyarakat. Tidak ada salahnya berpegang kepada pandangan wahabi selama mana kita meraikan perbezaan pandangan di kalangan ulamak. Namun jika sampai ke tahap membidaahkan segala amalan orang lain dan memaksa orang lain menerima pandangan mereka, maka situasi ini wajib dibendung oleh pemerintah. Bukan sedikit pertengkaran dan perbalahan melanda orang awam yang tidak memahami adabul ikhtilaf akibat ketaksuban mereka kepada Dr. Asri dan pengikutnya. Apatah lagi beliau menganggap perubahan yang dibawa itu adalah satu bentuk perjuangan dan tidak dinamakan perjuangan jika yang ditentang itu tidak dianggap salah atau sesat. Ketika bersama pengikutnya, ucapan beliau seolah-olah sedang mengetuai angkatan perang sedangkan ketika bersama ulamak lain beliau berdolak dalih mengatakan pengikutnya yang berlebih-lebih tanpa dapat dikawal.
Sebahagian kita mengatakan setiap hujah mestilah dilawan dengan hujah. Ungkapan ini hanya sesuai di bidang akademik dan keilmuan. Ianya tidak ada kena mengena dengan tindakan pemerintah terhadap rakyatnya. Hujah bagi mereka yang dikenakan tindakan undang-undang hanyalah didengar di mahkamah.
Walaupun saya amat tidak bersetuju dengan latahan berbagai pihak terhadap isu ini, namun kaedah bagaimana penguatkuasaan ini dilaksanakan oleh JAIS bukanlah satu tindakan yang tidak boleh dipersoalkan. Kesesuaian masa, alasan yang diguna, cara perlaksanaannya sememangnya mengejutkan kita semua. Namun bagi pihak yang membangkang, adakah reaksi yang sama turut diberikan jika yang ditangkap itu bukan mufti atau mantannya. Apakah pimpinan UMNO akah melenting jika yang ditangkap adalah penceramah yang tidak memberi kredit kepada mereka. Apakah SIS akan turut terpanggil jika tangkapan ini dibuat oleh SPRM dan sebagainya, bukan Jabatan Agama.
No comments:
Post a Comment