Masjid
sudah menjadi satu institusi yang begitu penting dalam kehidupan umat Islam di
negara ini. Berlaku berbagai perkembangan terhadap pengurusan dan pentadbiran
masjid. Sejarah pentadbiran masjid bermula dengan pentadbiran masjid pertama di
zaman Rasulullah saw yang memperlihatkan baginda bertindak sebagai Pengerusi
dan Imam Besar Masjid Nabawi. Konsep ini berterusan diwarisi oleh para ulamak
yang menguasai ataupun menjadikan masjid sebagai pusat pengajian. Kebanyakan
mereka bukan sahaja menjadikan masjid sebagai pusat pengajian semata-mata,
tetapi segala urusan berkaitan pentadbiran, pengimarahan dan kewangan masjid
terletak di bawah arahan dan penentuan mereka. Maka tidak timbul keperluan
kepada sebarang jawatankuasa untuk tujuan tersebut.
Tidak
ada catatan yang merekodkan bilakah bermulanya pelantikan para pentadbir masjid
secara rasmi di negara ini. Walaubagaimanapun pelantikan dilaksanakan dengan
cara demokrasi yang berlangsung dengan aman dan harmoni. Fenomena ini
berlangsung begitu lama sehinggalah wujudnya sintom-sintom perpecahan umat
dalam berbagai sudut. Antara faktor terbesar yang memainkan peranan dalam
memecah belahkan umat Islam adalah faktor politik kepartian. Ketaksuban
terhadap politik kepartian telah melebar luaskan pergolakan umat Islam sehingga
melajak hingga ke masjid. Desakan meninggalkan politik di pintu pagar masjid
tidak langsung merawat pertelingkahan di kalangan umat Islam malah
menjadikannya lebih membarah. Maka masjid menjadi medan perebutan di kalangan
pengikut dalam mencari pengaruh. Akibatnya timbul isu pengundi hantu yang
dibawa khas tatkala Mesyuarat Agung Tahunan. Berbagai kisah hitam mencacatkan
imej dan nama baik masjid hingga memaksa pihak berkuasa campur tangan dalam
urusan pentadbirannya. Maka para
pentadbir masjid tidak lagi dibiarkan kepada masyarakat untuk menentukannya.
Hari
ini memperlihatkan bahawa kesemua negeri yang ada di seluruh negara sudah
mengambil alih peranan pentadbiran dan pengimarahan masjid. Undang-undang telah
menetapkan bahawa segala urusan ugama adalah terletak di bawah bidangkuasa
Sultan selaku Ketua Ugama Negeri. Dalam melaksanakan peranan ini, diwujudkan
Majlis Agama Islam Negeri bagi membantu dan menasihati Sultan. Maka Majlis
Agama Islam Negeri telah menentapkan kaedah bagi pentadbiran dan pengimarahan
masjid dengan melantik para pentadbir masjid dengan berbagai nama seperti
Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Kariah Masjid, Jemaah Nazir dan seumpamanya.
Secara umumnya keseluruhan negeri telah mewujudkan kaedah tersendiri bagi
membuat pelantikan tersebut dengan mengenepikan kaedah pemilihan orang
ramai.
Sebenarnya terdapat banyak masalah
yang timbul daripada sistem pemilihan orang ramai sebagaimana yang telah
diamalkan oleh masyarakat awam terdahulu. Mungkin pada masa dahulu kesan
negatif daripada kaedah pemilihan orang ramai ini tidak begitu ketara. Walaubagaimanapun
pada masa ini jika kita teliti maka kesan buruknya adalah melebihi daripada
kesan baiknya. Antara yang dapat kita lihat adalah kaedah pemilihan orang ramai
melalui Mesyuarat Agung Tahunan ini sebenarnya tidakpun mewakili atau
menggambarkan kehendak Jemaah sebagaimana yang sering dikatakan oleh sebahagian
manusia. Kebanyakkan masjid hanya memperlihatkan jemaah rutin atau harian yang
sentiasa mengimarahkan masjid setiap waktu dalam lingkungan 20 ke 30 orang
sahaja. Namun setiap kali Mesyuarat Agung Tahunan diadakan, jumlah ini
bertambah dengan mendadak hingga menjangkau ke jumlah 100 hingga ke 150 orang.
Maka apakah ini membolehkan segala keputusan yang diambil menepati segala
kehendak Jemaah yang sentiasa mengimarahkan masjid tersebut.
Satu kelemahan yang ketara di
kalangan para pentadbir masjid adalah mereka tidak mempunyai daftar rasmi ahli qaryah
yang kemaskini. Sebahagian dari mereka tidakpun mengetahui dengan tepat jumlah
sebenar ahli qaryah mahupun ketua isi rumah yang berada dalam qaryah mereka.
Maka ketiadaan daftar rasmi yang kemaskini ini memungkinkan berlakunya penipuan
seperti wujudnya pengundi hantu sebagaimana yang berlaku dalam pilihanraya
sebenar. Walaupun sebahagian mereka mungkin mengetahui bukan ahli qaryah yang
turut hadir, tetapi tidak ada kaedah yang mampu dibuat untuk mengatasi masalah
itu melainkan hanya menimbulkan pergeseran dan perbalahan semata-mata.
Dari segi realitinya, pemilihan para
pentadbir masjid tidak sewajarnya diserahkan kepada orang ramai. Ini
memandangkan sebahagian besar orang ramai akan membuat cadangan dan pemilihan
tidak berdasarkan kesesuaian dan kelayakan sebenar. Sebahagian mereka
mencadangkan seseorang yang lain bagi tujuan mengelakkan daripada orang lain
mencadangkan dirinya sendiri. Ada juga segelintir yang mencadangkan orang lain
yang dilihatnya terlalu banyak cakap atau sering menunjuk pandai. Dengan kata
lain mereka mencadangkan seseorang untuk dilantik berdasarkan kesesuaian dan
kelayakan sebenar tetapi hanya bertujuan untuk mengenakan (memadan mukakan
seseorang). Selain dari ini ada juga kesilapan dalam meletakkan kesesuaian dan
kelayakan sebenar bagi sesuatu jawatan. Sebagai contohnya bagi jawatan
bendahari, selalunya masyarakat kampung akan memilih seorang yang paling
“kedekut” yang dikenali di kampung tersebut. Maka lahirlah bendahari yang
berbangga dengan banyaknya wang masjid yang tersimpan di bank dan begitu sukar
bagi mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan masjid.
Kelayakan bagi dilantik menjawat
sesuatu jawatan ini telah digambarkan oleh Allah dalam firmanNya yang
menceritakan mengenai kisah anak perempuan Nabi Allah Shuib yang mencadangkan
kepada bapaknya agar mengambil Nabi Allah Musa sebagai pekerja.
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا
يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمِينُ (القصص:26)
Salah seorang
dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang
bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu
ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai".
Dalam
ayat ini Allah menyebutkan bahawa mereka yang paling berkelayakan untuk diambil
bekerja adalah orang yang kuat lagi dapat dipercayai. Dalam ayat ini Allah
mengutamakan orang yang kuat berbanding orang yang dipercayai. Istilah kuat di
sini boleh ditafsirkan dengan maksud cekap, mahir dan berkeilmuan. Maka
ciri-ciri yang paling penting bagi dilantik menjawat sesuatu jawatan adalah
kecekapan, kemahiran dan keilmuan mengenai jawatan tersebut. Oleh yang demikian
bagi jawatan Bendahari Masjid, ciri terpenting yang disebutkan oleh Allah
adalah kecekapan, kemahiran dan keilmuan dalam bidang kewangan. Seseorang
bendahari bukan sahaja perlu amanah dan dipercayai tetapi hendaklah dilihat
sebagai amanah dan dipercayai. Seseorang itu tidak akan dilihat sebagai amanah
dan dipercayai tanpa kemampuan beliau membentangkan penyata kewangan yang difahami,
kemas dan tersusun.
Sebenarnya
banyak pertikaian berlaku mengenai kaedah pelantikan yang telah ditetapkan oleh
Majlis Agama Islam Negeri pada hari ini. Antara kritikan yang dilemparkan
adalah kaedah tersebut adalah tidak demokratik malah tidak Syar’ie. Hakikatnya
kaedah yang ditetapkan dengan menafikan hak orang awam dalam membuat pemilihan
adalah tidak demokratik. Tetapi wajibkan kita mengamalkan demokrasi terutamanya
dalam amalan keagamaan seperti ini. Adakah kaedah ini tidak ada langsung asasnya
di dalam Islam. Jika kita merujuk kepada seerah Rasulullah saw, baginda tidak
pernah menentapkan satu kaedah khusus bagi pelantikan ke sesuatu jawatan. Ini
dapat kita lihat dalam pelantikan khalifah di kalangan para sahabat. Berbagai
kaedah yang dilaksanakan oleh mereka dan ianya menjadi ijmak yang tidak boleh
dipertikaikan keabsahannya.
Selepas
kewafatan Rasulullah saw, para sahabat besar telah meninggalkan jasad baginda
untuk diuruskan oleh ahli bait. Mereka bergegas mengadakan perbincangan bagi
melantik khalifah menggantikan Rasulullah saw sebagai pemimpin. Ini kerana
tidak wajar Umat Islam dibiarkan berterusan tanpa adanya seorang pemimpin yang
mengetuai mereka. Dalam peristiwa ini para sahabat hanya melibatkan para
pemimpin kaum yang mencadangkan dan membuat keputusan untuk melantik khalifah.
Setelah semuanya bersepakat melantik Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai
khalifah, barulah pencalonan tersebut dibentangkan kepada rakyat jelata bagi
mendapatkan baiah. Mereka tidak langsung melibatkan rakyat ketika proses
pemilihan. Inilah yang dinamakan oleh ulamak sebagai pemilihan oleh Ahli Hilli
Wal Aqdi ataupun dinamakan sebagai Majlis Syura. Mereka terdiri daripada wakil
kaum yang boleh membuat penilaian secara teliti.
Apa
yang berlaku hari ini adalah berdasarkan kaedah ini. Sebagai contohnya di
Negeri Perak Darul Ridzuan, pemilihan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid akan
dicalunkan oleh Jawatankuasa Pemilih yang dianggotai oleh Penghulu Mukim,
Pegawai Tadbir Agama dan dipengerusikan oleh Orang Besar Jajahan. Mereka ini
mewakili kepentingan masing-masing iaitu Penghulu Mukim mewakili pentadbiran
daerah berkenaan, Pegawai Tadbir Agama Daerah mewakili pentadbiran agama dan
Orang Besar Jajahan mewakili pihak istana. Pihak-pihak inilah yang akan
menyenaraikan nama bagi dilantik secara rasminya oleh Persidangan Majlis Agama
Islam Dan Adat Melayu Perak. Mungkin timbul persoalan bagaimana mereka hendak
mendapatnya calun-calun yang sesuai sedangkan mereka tidak mengenali semua
penduduk kampung yang terlibat. Sebenarnya terpulang kepada mereka untuk
melakukan siasatan melalui berbagai cara termasuk mendapatkan maklumat dari
berbagai pihak seperti ketua kampung, naib qadi, para imam dan orang ramai
sendiri. Mungkin berlaku kesilapan dalam sebahagian dari penilaian mereka akibat
kesilapan maklumat yang diperolehi tetapi ianya bukanlah menunjukkan kesilapan
sistem atau kaedah yang digunakan ini. Oleh kerana Rasulullah saw tidak pernah
menetapkan sebarang kaedah khusus bagi melantik pemimpin maka kaedah ini juga
adalah merupakan salah satu kaedah yang dibenarkan oleh Syarak. Walaupun ianya
bukanlah merupakan kaedah yang terbukti terbaik tetapi ianya boleh
menyelesaikan beberapa masalah yang timbul dari kaedah pemilihan orang awam
selama ini. Walaupun tidak demokratik tetapi apa yang lebih penting ianya
Syarie dan tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan RasulNya.
1 comment:
Post a Comment